Monday, October 14, 2013

Sehari Selepas Wukuf....


Esok, 10 Zulhijjah 1434H bersamaan 15 OKTOBER 2013, sehari selepas jemaah haji melakukan wukuf di tanah suci Makkah, seluruh umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidil Adha.   
 
suasana wukuf di Padang Arafah

Tahun ini genap dua tahun mengikut perkiraan tahun Hijrah kakanda iparku kembali ke rahmatullah.  Kak Mah @ Che Long panggilan manja anak-anakku kembali menemui penciptaNya pada 11 Zulhijjah 1432H.

kenangan mengusik jiwa...gambar terakhir Che Long sebelum diserang angin ahmar

Tahun ini juga merupakan tahun pertama kami menyambut hari raya Qurban tanpa Mek.  Mek telah kembali ke rahmatullah lebih 5 bulan yang lalu.  Syukur alhamdulillah kerana Mek sempat bertemu dan meriba cucu sulung kami, cicit Mek yang ke-6 FARHAH HANNAN.  Kenangan ini akan kami ingat sampai bila-bila.

Mek meriba cicitnya yang ke-6, FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI

Aidil Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban. Ini bermakna peluang berkorban datang lagi. Sekali lagi kita berpeluang untuk beramal di samping membantu mereka yang memerlukan.

Amalan yang bukan sahaja disukai malah dicintai oleh Allah s.w.t. seperti mana yang disebutkan dalam hadis di bawah :


"Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya... dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah, kerana itu bahagiakan dirimu dengannya..." (Riwayat Tarmizi, Ibn Majah dan Hakimi)

Pengorbanan hanya dilakukan oleh orang-orang yang terpilih oleh Allah s.w.t. Semoga dengan ibadah korban ini akan lahirlah keinsafan dalam diri kita untuk turut berkorban ke jalan Allah.

Pada kesempatan ini, ingin kutitipkan ucapan selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua pengunjung blog ini.... dan ucapan selamat kembali ke tanah air kepada sanak saudara serta sahabat handai yang telah selesai mengerjakan ibadah haji....kembali dengan mendapat haji yang mabrur.



No comments: