Pada 19 SEPTEMBER 1985 kami disatukan....sedar tak sedar, sudah lebih 3 dekad usia perkahwinan kami hari ini.
Dalam meniti 31 tahun hidup bersama, saya berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana Encik
Kasihku seorang yang penyabar kepada saya dan anak-anak. Dia menyayangi kedua
ibu bapa saya PAPA SOH dan MAMA CHE
HALIMAH sebagaimana dia menyayangi kedua ibu bapanya dan dia
menerima semua ahli keluarga saya.
Begitu juga di pihak saya, saya juga
menyayangi kedua ibu bapanya, ARWAH CHE POK MAT
dan ARWAH MEK
KIAH serta seluruh ahli keluarganya. Saya menerima mereka seadanya.
Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan
dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang
ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang
bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati
oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga
Firdaus….
Setelah 31 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang
perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu
dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang
mengimbau pengalaman lebih 3 dekad yang telah berlalu....
19 September 1985 – 19
September 2016 .
Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-31.
Kepada Encik Kasihku, terima kasih
kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri.
Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di
sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi
sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus
setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....
Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya
ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini
berawal dari hati atas nama cinta. Jalinan ini bermula dari rasa atas
nama sayang. Pautan ini berasal dari angan-angan atas nama rindu.
Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami
berdua...
Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam
perkahwinan, sangatlah ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua
dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun
perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....
Kami sedar, berkahwin pada usia muda banyak cabarannya.
Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri
itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Hal ini bukanlah tanggungjawab
satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan
buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama
amanah yang terpikul di bahu.
Sedar tak sedar, kini sudah 31 tahun kami hidup bersama
untuk saling melengkapi; dikelilingi 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH dan
dua orang menantu kami, anakanda NURUL AINA
AWANG dan SITI NUR AISHAH yang
telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.…
Ya Allah, berkatilah
kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU
redhai. Amin.
No comments:
Post a Comment