Bukit Cina yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka mewarisi peninggalan sejarah Negeri Melaka. Bukit Cina ialah sebuah bukit dalam kompleks Bukit Cina mengandungi 5 buah bukit, iaitu Bukit Tempurung, Bukit Cina, Bukit Tinggi, Bukit Tengah dan Bukit Gedong. Walaupun terdapat 5 buah bukit dalam kompleks Bukit Cina, namun hanya Bukit Cina yang disebut dalam sejarah.
Sejarah Melayu menceritakan bahawa Maharaja China ingin merapatkan hubungan dengan empayar Melaka, menghantar anaknya Puteri Hang Li Po dengan 500 orang dayang ke Melaka untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansor Shah (1457 - 1477). Baginda memilih salah sebuah bukit yang berhampiran dengan Bukit Melaka (kini, disebut Bukit St. Paul) bagi kediaman isterinya.
Di kaki bukit tersebut terdapat sebuah perigi untuk kegunaan isteri serta dayang-dayangnya yang dinamakan Perigi Raja atau Perigi Hang Li Po dan semenjak itu, bukit ini dikenali sebagai Bukit Cina. Perigi ini tidak pernah kering dan merupakan satu-satunya punca air semasa musim kemarau. Pihak Belanda membina tembok di sekelilingnya pada tahun 1677 untuk memeliharanya sebagai 'perigi permintaan' (wishing well).
Bukit Cina menjadi sasaran hampir semua penyerang Kota Melaka sebagai lokasi strategik untuk menakluki Kota Melaka daripada Portugis. Misalnya pada tahun 1528 - 1564, Sultan Alauddin Riayat Syah II dan para pengikutnya menggunakan Bukit Cina sebagai lokasi strategik untuk menyerang pertahanan Portugis di Bukit St. Paul. Johor, Acheh dan Belanda juga menggunakan bukit ini untuk melancarkan serangan ke atas Kota Melaka.
Pada pertengahan kurun ke-17, Bukit Cina yang seluas 26 hektar dibeli oleh Li Kup @ Kapitan Li Wei King dan diserahkan kepada Tokong Hoon Teng untuk dijadikan tempat pengkebumian orang-orang Cina. Inilah permulaannya Bukit Cina menjadi tanah perkuburan orang-orang Cina di Kota Melaka. Semenjak itu hanya sekali sahaja Bukit Cina ini menjadi sasaran serangan, iaitu pada tahun 1784 apabila Raja Haji menyerang orang-orang Belanda. Raja Haji yang mendarat di Teluk Ketapang sendiri yang menawan Bukit Senjuang, Bukit Cina dan kemudiannya membedil Kota Melaka.
No comments:
Post a Comment