Tuesday, October 4, 2011

NEKTARIN


Sekali pandang seperti buah epal merah, cuma saiznya agak kecil.

Tengah hari tadi rakan sekerja membawa beberapa bungkusan buah ini di dalam kotak. Saya tidak begitu berminat pada mulanya kerana menyangkakan buah yang berbungkus dalam plastik itu buah epal. Kata mereka, buah itu satu keluarga dengan buah prun, tetapi isinya lebih keras dan agak rangup apabila dimakan.... Saya ambil satu bungkus yang mengandungi 5 biji buah dengan harga RM7.00... Apabila dilihat dari dekat, baru saya perasan, rupa-rupanya saya baru sahaja makan buah tersebut beberapa hari lepas, yang saya sangka buah prun. Sebenarnya, buah itu bukannya buah epal atau buah plum atau prun, tetapi buah nektarin.

Untuk mendapat maklumat lanjut tentang nektarin (Nectarine) itu, saya putuskan untuk 'bergoogling ria' sebaik sahaja pulang dari sekolah. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat informasi yang diperlukan... akan saya kongsikan di sini untuk menambahkan pengetahuan kita semua....

Nectarine ialah sejenis buah dari keluarga Prunus yang memiliki kekerabatan dengan peach atau persik. Kulit buah matangnya akan berwarna merah kekuningan, sedangkan isi buahnya berwarna kuning. Nama latinnya ada yang menyebut dengan Prunus persica var. nectarina. Ciri-ciri khas yang membezakannya dengan peach adalah tidak adanya bulu-bulu halus di permukaannya. Bulu-bulu halus pada permukaan buah ini merupakan ciri khas dari peach itu sendiri.

Tahukah anda, kadang-kadang sepohon peach boleh menghasilkan nektarin...? Keadaan ini berlaku semasa bunga peach mengalami polinasi, maka akan dihasilkan dua jenis biji. Satu jenis yang akan tumbuh menjadi pohon nektarin dan sejenis lagi akan tumbuh menjadi pohon peach itu sendiri. Malah kadang-kadang pada satu pohon peach akan muncul nektarin dan di pohon nektarin akan muncul buah peach !!! (Subhanallah…)

Secara fizikalnya, pohon nektarin mempunyai 'rupa' yang sama dengan pohon peach. Buahnya berwarna merah kekuningan (kuning gading). Antara buah yang matang dengan yang belum matang tak dapat dibezakan warnanya, namun rasa manis buahnya diperoleh seiring dengan tingkat kematangannya.

Isi buahnya berwarna kuning dengan semburat warna merah jambu di bahagian tengah berhampiran bijinya. Aroma buahnya khas seperti yang dimiliki oleh keluarga prunus lainnya. Rasanya lebih enak dibandingkan dengan peach.

Buah nektarin dibezakan menjadi 3 jenis:

1) nektarin tanpa biji (freestone), ini adalah jenis yang paling baik untuk dimakan mentah, kerana tidak 'terganggu' oleh bijinya;
2) nektarin dengan biji yang melekat (clingstone) - bijinya melekat kuat pada isi buahnya
3) yang ada di antara keduanya (semi-freestone) - bijinya agak nipis dan melekat pada isi buahnya.


Seperti halnya peach, nektarin berasal dari Cina, 2000 tahun yang lalu, dan telah dikembangbiakkan di Persia, Yunani dan Rom sejak dahulu lagi. Pada abad ke-17, nektarin mula diperkenalkan di Britain dan di Amerika oleh orang-orang Sepanyol. Kata ‘nectarine‘ itu sendiri bermaksud semanis nektar, iaitu cairan serupa madu yang terdapat pada bunga yang rasanya manis sekali.

Nektarin yang belum matang biasanya diperam pada suhu bilik dan yang matang biasanya disimpan di dalam peti ais dengan batas penyimpanan maksimum selama 5 hari.

Rasanya yang manis dengan aromanya yang harum menjadikan buah ini sesuai untuk dimakan terus atau dijadikan buah penutup hidangan atau menjadi campuran berbagai salad dan olahan aneka cocktail dan minuman segar.

Selain rasa yang manis tadi, nectarine mengandung banyak nutrisi penting, antaranya ialah :

  1. Beta-karoten memungkinkan tubuh kita untuk menghasilkan sejumlah vitamin A yang penting bagi kesihatan mata dan dapat mencegah penyakit seperti degenerasi otot. Satu cawan nectarine segar dapat membekalkan 214 mcg beta-karoten.
  2. Vitamin C dalam nectarine dapat melindungi molekul tubuh agar tidak rosak oleh radikal bebas dan bahan kimia lainnya yang menyebabkan perubahan sel. Vitamin C juga dapat melindungi kita daripada racun dan pencemaran yang menyebabkan penyakit. Satu cawan nektarin mengandungi 7.7 mg vitamin C.
  3. Lutein ialah nutrisi yang dapat menurunkan risiko penyakit kanser. Satu cawan nektarin segar mengandung 186 mcg lutein.
  4. Nutrisi penting lainnya adalah : serat, protein, kalsium, magnesium dan potasium.
    Nectarine juga mengandung zat besi, asid folic, vitamin K, serta gula semulajadi yang membantu memberikan tenaga.

inilah antara tanda kebesaran Ilahi....

1 comment:

teratai said...

saya pun beli hari ni,memang sedaplah rasanya:)