Monday, April 23, 2012

Cakna Ilmu Sempena Hari Buku Sedunia....

23 April dianggap satu tarikh simbolik kepada dunia penulisan dan dunia kesusasteraaan. Pada tarikh yang sama juga pada tahun 1616, Cernvantes, Shakespeares dan Inca Garcilaso De La Vega meninggal dunia. Pada tarikh ini jugalah telah lahir dan matinya penulis-pelulis besar yang lain termasuklah Maurice Druonj, K. Laxness, Vlamir Nabokov, Josep Pla dan Manuel Mejia Vallejo. Atas sebab-sebab itulah, UNESCO mengisytiharkan 23 APRIL sebagai HARI BUKU SEDUNIA.

Hari Buku Sedunia dan Hari Hakcipta (World Book and Copyright Day / International Day of the Book / World Book Days) disambut pada 23 APRIL setiap tahun di seluruh dunia dan  mula disambut untuk pertama kalinya pada tahun 1995. 

Sambutan yang dianjurkan oleh UNESCO ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat dunia terutamanya golongan muda untuk membudayakan pembacaan dan menyanjungi mereka yang dihormati kerana sumbangan besar mereka kepada masyarakat dunia.


Dalam konteks Islam, kita mungkin meletakkan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. di Gua Hira' itu (dalam 40 tahun selepas kelahiran baginda) sebagai tarikh yang meletakkan manusia dan ilmu pada tempatnya. Tidak ada agama lain, baik agama wahyu atau agama budaya yang memberikan satu penekanan dan penghormatan yang besar kepada ilmu dan kitab.


Namun demikian, adalah malang bagi umat Islam apabila ajarannya yang mengangkat darjat ilmu ini tidak benar-benar dihayati dan dibudayakan oleh umat Islam. Kita tidak perlukan seperti hari Saint George untuk menghargai pembacaan buku atau menunjukkan hormat kita kepada ilmu, tetapi dalam konteks dunia Islam kini, adalah wajar untuk kita mula hasilkan sesuatu yang baru ke arah menggalakkan masyarakat Islam terutama golongan muda untuk membaca dan menghargai ilmu.

Di Malaysia, tarikh ini tidak dianggap sepenting tarikh-tarikh lain yang diraikan dengan penuh meriah di seluruh negara, seperti sambutan Hari Valentine, Sambutan Tahun Baharu dan lain-lain. Bagi kebanyakan anak muda negara ini, mereka akan membuat persiapan tertentu bagi menyambut ketibaan Hari Valentine dan sambutan tahun baharu. Lazimnya, tarikh ini akan disambut dengan pesta tari menari dan sambutan penuh meriah termasuk persembahan artis-artis ternama tanah air. Budaya sebegini telah sebati dalam diri anak-anak muda kita. Mungkin bagi mereka tiada ertinya sambutan Hari Buku Sedunia yang tidak disajikan dengan pesta sambutan dan perayaan seperti sambutan hari-hari lain.

Di negara kita, hari keagungan ilmu yang seharusnya didukung dengan gelombang sambutan meriah di seluruh dunia seakan-akan suram dan sepi tanpa sebarang sambutan. Masyarakat tidak langsung maklum betapa keramatnya tarikh ini. Lebih menyedihkan apabila masyarakat tidak langsung menghargai keajaiban dan keagungan ini.

Tamadun Islam yang mencapai mercu kegemilangan ketika zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w. dan Khilafah sangat mementingkan soal ilmu, malah menuntut ilmu itu satu kewajipan bagi setiap muslim di sisi agama Islam. Kedudukan ilmu yang cukup tinggi darjatnya ini terjamin melalui wahyu yang pertama diterima oleh Rasulullah s.a.w. daripada Allah s.w.t. dalam surah Al-Alaq. Ayat pertama itu menyeru Rasulullah dan umat manusia dengan seruan ‘bacalah…!’.

Rasulullah juga bersabda bahawa manusia yang tidak berpengetahuan (Alim) dan tidak berusaha untuk mendapatkan ilmu adalah seperti binatang parasit yang hanya hidup dengan menghisap darah binatang lain. Oleh sebab itu, kekuatann dan kegemilangan tamadun Islam diasaskan dengan kegemilangan tradisi intelektualnya.

Malah kota Islam Baghdad umpananya pernah dinobatkan sebagai “The Craddle of Civilization” atau paksi peradaban kerana telah menghasilkan karya-karya ilmu yang agung tulisan al-Ghazali, Ibn Khaldun dan nama-nama besar yang lain.

Tamadun yunani juga dianggap sebagai tamadun yang cukup gemilang terbentuk kerana tradisi keilmuannya yang cukup tinggi. Hasil keilmuan Yunani terutama yang berpusat di Athens telah memberi pengaruh yang besar ke atas Rom dan bangsa lain sehingga ke hari ini. Bidang-bidang ilmu seperti logik, matematik. Falsafah dan sains yang dibentuk sewaktu ketamadunan Yunani banyak mempengaruhi tamadun-tamadun lain termasuklah ketamadunan Islam sendiri. Pengaruh pemikiran dan karya-karya tokoh-tokoh yunani seperti Plato, Aristotle dan Socrates turut ditekuni dan memperaruhi pemikiran tokoh besar Islam seperti ibn Sina, al-Farabi dan Ibn Rushd.

Usaha ke arah memartabatkan ilmu haruslah dijalankan dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Amat rugi sekiranya kita tidak cakna tentang keanggunan dan keajaiban ilmu dengan tidak melakukan apa-apa untuk menambahkan ilmu. Kita boleh membiarkan tarikh 23 April sebagai Hari Buku Sedunia berlalu dengan begitu sahaja, tetapi jangan kita izinkan kekontangan dan kegersangan ilmu menyelubungi masyarakat kita.

Seharusnya kita jadikan tarikh ini sebagai batu loncatan untuk kita pelajari lebih banyak ilmu dan membaca lebih banyak buku atau sekurang-kurangnya mula sedar tentang keagungan ilmu dan buku.

Biasanya setiap tahun, KPPM akan mengarahkan semua sekolah di seluruh negara merancang dan mengadakan aktiviti sempena Hari Buku Sedunia ini.  Biasanya di SMK Tanah Putih, beberapa program dirancang dan dilaksanakan oleh Pusat Sumber Sekolah, antaranya adalah 'Seketika Bersama PSS', Resensi Buku, dan Pertandingan Melukis Poster.  

Mengapakah pada tahun ini tidak ada program seumpama itu, kecuali pameran buku yang dianjurkan oleh UBK....?

Bersama-samalah kita menyambut Hari Buku Sedunia pada tahun ini sebagai langkah pertama ke arah mengiktiraf kepentingan ilmu untuk masa depan diri dan bangsa yang lebih gemilang...



No comments: