Monday, April 9, 2012

Pertama kali yang sungguh bermakna....

Seronok juga balik KB dengan bas.  

stesen bas KB
Sudah 2 kali saya balik ke KB dengan bas.  Pertama kali pada awal perpindahan saya ke Kuantan.  Balik bersama suami dan dan puteri bongsu kami.  Pulang sempena Hari Raya Aidil Adha setelah seminggu sesi persekolahan 2006 bermula.  Balik untuk mengambil kereta saya yang terpaksa ditinggalkan di KB semasa kami berpindah ke Kuantan pada akhir tahun 2005.  Kali kedua, bersama rakan yang sama-sama mengajar di SMKTP.   Saya dan Puan Zaleha ke KB untuk megikuti Kursus PTK3 di Hotel Perdana KB pada pertengahan 2006.

Perjalanan kali ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki bas berseorangan dari Kuantan ke KB. 

Teringat kenangan pertama kali naik bas berseorangan dari KL - KB 30 tahun yang lalu.  Ketika itu, saya masih lagi freshie.  Baru tamat Minggu Haluan Siswa.   Saya terpaksa balik kerana kaki saya sakit ketika menjalani aktiviti Minggu Haluan Siswa.  Pada mulanya tidak terlintas di minda untuk pulang, lebih-lebih lagi berseorangan, tetapi memandangkan kesakitan itu sudah terasa hingga ke lutut, rakan-rakan senior menasihatkan saya agar pulang ke kampung untuk berubat.    Atok Che Daud tukang urut tersohor, jadi saya mengambil keputusan untuk pulang berurut dengan Atok. Pulang bersendirian.  


Minggu pertama, tak kenal lagi KL.  Untuk ke stesen bas ekspres pun tak tahu jalan yang perlu diambil.  Nasib baiklah rakan sekelas semasa di SIC, Azmi Nasir sudi hantar saya ke stesen bas di Medan Mara, Jalan Raja Laut....hantar dengan bas mini....!   Ketika itu, tahun 1982, belum ada stesen bas Hentian Putra.  Azmi Nasir di Kolej Kediaman Pertama, saya  pula di Kolej Kediaman Kedua.  Dia berjalan kaki menjemput saya di Kolej  Kedua sebelum berjalan kaki ke Jalan Pantai Baru untuk mendapatkan bas mini....  Sahabat saya itu menunggu sehingga bas ekspres MARA yang saya naiki bergerak...

Itulah pengalaman pertama saya menaiki bas bersendirian dari KL - KB..... Kenangan ini akan saya simpan dalam ingatan sampai bila-bila.   Susahnya dahulu berbanding dengan anak-anak kita sekarang.....!  Sesungguhnya saya terhutang budi kepada rakan sekelas saya itu.  Terima kasih, Azmi.  

Jumaat lepas, 6 APRIL 2012.... saya telah mengambil keputusan untuk balik menjenguk Papa.  Papa tidak sihat.  Rasa ralat jika tidak menjenguknya buat seketika.  Inilah kali pertama kesihatan Papa agak uzur dalam usianya mencecah 70 tahun.  Sejak mendapat panggilan telefon daripada Papa pada petang Selasa lepas, hati terasa tidak tenang walaupun Papa menegaskan bahawa sakitnya tidak serius. 

Kebetulannya suami sedang bertugas di luar daerah sehingga hari Ahad.  Jadi terpaksalah saya menaiki bas bersendirian ke KB.   Bas Transnasional dari Kuantan menuju KB bertolak tepat pada pukul 1.30 petang dan tiba di stesen bas KB pada pukul 9.00 malam.
hampir pukul 6 ptg... lebih separuh perjalanan menuju destinasi....

Saya meninggalkan Kuantan dengan hati yang berbelah bahagi kerana pada hari Sabtu ada LADAP Panitia BM di sekolah.  Dalam masa yang sama fikiran saya pula  melayang-layang nun jauh di kampung halaman.  Terbayang-bayang keadaan Papa yang terbaring keuzuran di rumah.....  Saya pujuk hati dan percaya bahawa tindakan saya ini adalah paling tepat.... saya perlu segera menjenguk Papa.  Terima kasih rakan-rakan, terutama Cikgu Fuziellah dan Cikgu Noraisah kerana sudi mengambil alih tugas saya mengendalikan LADAP Panitia BM pada 7 April lepas. Terima kasih juga kepada Mr. See dan Mr. Chan kerana memahami situasi saya ketika itu....


Pengalaman pertama kali ini sangat bermakna.   Terasa puas kerana dapat menjenguk Papa dan Mama.  Dapat melihat sendiri keadaan Papa.  Dapat mencium tangan Papa dan dapat memeluk Papa.  Syukur alhamdulillah, kesihatan Papa bertambah baik.  Semoga dalam tempoh yang terdekat ini Papa akan kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa.  Jelas terpancar riak gembira pada wajah Papa.  Anak-anak bersatu untuk memastikan Papa segera sembuh.   Yang jauh di perantauan, yang tidak dapat pulang atas urusan kerja tidak henti-henti menitipkan doa agar Papa terus bersemangat dan tabah dengan ujian ini.
setia menanti di stesen bas KB dalam hujan yang sekali-sekala lebat membasahi bumi


Pengalaman pertama kali ini akan saya kenang sampai bila-bila.  Sedikitpun tidak terasa kepenatan walaupun saya sempat bersama keluarga selama 2 malam sahaja.  Saya bertolak balik ke Kuantan pada 8 April, Ahad.  Bas yang dijangka bertolak pada pukul 3.00 petang terlewat selama hampir 2 jam kerana mengalami kerosakan.  Bayangkan, pukul 1.40 petang saya sudah berada di stesen bas KB yang jaraknya hanya 6 km dari rumah.   Saya menunggu  dalam tempias hujan yang turun sekali-sekala lebat membasahi bumi Tanah Serendah Sekebun Bunga.   Syukur alhamdulillah, saya tiba dengan selamatnya di stesen bas Makmur tepat pada pukul 12.24 tengah malam.  

Papa bersama anak-anak dan cucu....

Perjalanan yang panjang langsung tidak memenatkan saya.  Saya rasa puas kerana dapat bertemu Papa.   Demi Papa, perjalanan yang lama sedikitpun tidak terasa.  

Papa, inilah sedikit sumbangan kami.  Hanya sedikit.  Sedikit waktu yang mampu kami luangkan untuk Papa.  Sesungguhnya, masa yang kami luangkan ini tidak akan sama sampai bila-bila jika dibandingkan dengan pengorbanan Papa.  Papa yang menjaga kami, membesarkan kami, memberi didikan kepada kami dan menumpahkan sepenuh kasih sayang sejak dilahirkan sehingga menjadi diri kami sekarang....

Papa lah segala-galanya....semoga Papa segera sembuh untuk kembali menceriakan keluarga besar kita.....

...terima kasih Sayang kerana mengizinkan saya untuk pulang buat seketika bertemu Papa.


No comments: