Sunday, June 22, 2014

Bertambah lagi umur Abe....

Abe ketika berusia 2 bulan....
Pada 22 JUN lebih dua dekad setengah yang lalu, pada usiaku hampir mencecah 24 tahun, aku mula bergelar 'Mak' dengan hadirnya Abe dalam hidup kami, yang kami namakan MOHD FARIS B. NAIN

Kami sangat bersyukur kerana dalam usia yang masih muda, kami sudah bergelar "Mak" dan "Ayah". Kehadiran Abe juga telah menceriakan lagi keluarga Papa dan Mama yang selama ini dikelilingi oleh 8 orang cahayamata yang kesemuanya puteri. Abe merupakan cucu pertama Tok Pa dan Tok Ma. Hadir seorang lagi putera dalam keluarga besar Papa, selain menantu pertamanya..., suamiku!
24 tahun yang lalu....

Abe hadir pada musim masyarakat dunia 'demam' bola sepak Piala Dunia. Kebetulan pada waktu itu, di Mexico berlangsung perlawanan Bola Sepak Piala Dunia kali ke-13 yang bermula dari 31 Mei hingga 29 Jun 1986. Aku masih ingat lagi, Abe selamat dilahirkan di rumah Mama tepat pukul 10.30 malam, beberapa jam sebelum perlawanan peringkat separuh akhir Piala Dunia 1986.

Ini bermakna, suamiku yang baru beberapa jam bergelar "Ayah" tidak lagi diselubungi resah gelisah menunggu 'orang baru'; dapat duduk dengan selesa, di depan kaca televisyen untuk menonton perlawanan separuh akhir antara Jerman dengan Perancis yang diadakan pada pukul 2.30 pagi (waktu Malaysia). Piala Dunia 1986 dimenangi oleh Argentina yang telah mengalahkan Jerman 3-2, dan Diego Maradona dinobatkan sebagai pemain terbaik pada musim itu.


22 JUN 2014 genaplah 28 tahun usia Abe....tatkala demam Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2014 baru di peringkat pusingan awal..... 


Kini Abe telah memasuki fasa baru dalam kehidupan.  Tanggungjawab Abe makin bertambah kerana telah menjadi ketua keluarga yang baru dibina lebih setahun yang lepas.   

Semoga Abe akan terus diberkati Ilahi. Jangan lupa berdoa kepada-NYA, selalu ingat Allah s.w.t dalam apa-apa jua keadaan, susah atau senang.... Tingkatkan usaha untuk membina masa depan yang bahagia bersama anakanda SITI NUR AISHAH...


Untuk Abe,

Mak dan Ayah sentiasa mendoakan agar Abe terus tabah dan kuat menghadapi cabaran hidup. Perjalanan masih jauh dan panjang. Setiap yang Abe lalui merupakan ujian daripada Yang Maha Esa. Kita perlu redha dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan ini.

Semoga Abe menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab.  Rajin-rajinlah bekerja dan sentiasalah ringan tulang untuk menimba lebih banyak pengalaman dalam dunia kerjaya....

SELAMAT HARI JADI, ABE.... 

No comments: