Wednesday, September 19, 2018

19 SEPTEMBER DATANG LAGI....

Raikan 56 & 33  Alhamdulillah.

56 tahun yang lalu, pada bulan SEPTEMBER, hari yang  KE SEMBILAN BELAS, aku dilahirkan sebagai puteri yang kedua kepada pasangan sejoli HJH CHE HALIMAH dan HJ JUSOH ...  Alhamdulillah, kini Mama dan Papa masih sihat dan masih boleh bersama-sama meraikannya....



19 SEPTEMBER 1985  kami disatukan....sedar tak sedar, sudah lebih 3 dekad usia perkahwinan kami hari ini.

Dalam meniti 33 tahun hidup bersama, aku berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana Encik Kasihku seorang yang penyabar kepadaku dan anak-anak. Dia menyayangi kedua-dua ibu bapaku sebagaimana dia menyayangi kedua-dua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluargaku.   

Begitu juga di pihakku, aku juga menyayangi kedua-dua ibu bapanya,  Allahyarham CHE POK MAT@Tok Ngulu Mamat dan Allahyarhamah MEK KIAH @ Nik Zakiah serta seluruh ahli keluarganya.  Aku menerima mereka seadanya.

Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….

Setelah 33 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengimbau pengalaman lebih 3 dekad yang telah berlalu....

19 September 1985 – 
19 September 2018

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-33  
190917

Kepada Encik Kasihku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....

26 OGOS 1984
Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta.  Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang.  Pautan ini berasal dari angan-angan atas nama rindu.  Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...


Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan, sangatlah ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....


Kami sedar, berkahwin pada usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Hal ini bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.



Sedar tak sedar, kini sudah 33 tahun kami hidup bersama-sama untuk saling melengkapi; dihiasi 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH dan dua orang menantu kami, anakanda NURUL AINA AWANG dan SITI NUR AISHAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.… 



Istimewa sekali, kehadiran cucuanda FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI (6 tahun), FALISHA SALSABILA BT. MOHD FAHMI (4 tahun), dan MUHAMMAD FALIQ MIKHAIL B. MOHD FARIS (1 tahun 6 bulan) si cilik yang sentiasa menghiburkan kami semua....rindunya Mak Tok....






Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.









No comments: