Sunday, April 19, 2009

SEKOLAH ANEKA


1967 – 1968. Masa tu aku belum lagi bersekolah. Baru umur 5 atau 6 tahun. 2 orang sepupu perempuan – Kak Yah dan Kak Sah, sudah masuk sekolah menengah. Kak Yah 10 tahun lebih tua daripadaku, manakala Kak Sah pula, 8 tahun lebih tua daripadaku. Walaupun jarak umur agak jauh, hubungan kami sangat rapat kerana tak ada sepupu perempuan lain lagi yang tinggal berdekatan. Aku, Kak Ros dan Noni seperti 'adik kandung' kepada Kak Yah dan Kak Sah. Lagipun 2 adik Kak Yah dan Kak Sah adalah lelaki (Abe Yie & Abe Die). Haniah masih baby lagi masa tu (Kini, Dr. Haniah - Pengarah Hospital Besut)

Aku selalu dengar Kak Yah dan Kak Sah sebut sekolah aneka. Aku tertanya-tanya apa itu sekolah aneka. Rasa teruja untuk ke sekolah aneka, walaupun tak tahu apa sebenarnya sekolah aneka ni. Terlintas difikiranku - mungkin ni sekolah untuk 'kanak-kanak besar'...Kalau dijelaskan pun, apalah sangat yang mampu difahami oleh kanak-kanak seusia aku pada masa tu...

Apabila aku masuk darjah satu pada tahun 1969, yang aku faham atau nampak sekolah aneka ni, bangunannya 2 tingkat, ada tangga tinggi. Besar. Hebat. Murid-murid perempuannya pakai baju sekolah (pinafore) warna biru muda. Pelajar lelaki pula pakai seluar pendek warna putih. Tak pakai beg sekolah, tetapi kepit fail sahaja bila ke sekolah. Bermulalah dunia fantasiku : "...suatu hari bila aku dah masuk sekolah aneka, tak perlu lagi bawa beg warna coklat ni (... berbentuk 4 segi - macam beg baju - ada kunci) seronoknya..."

Masa tu, sekolah aneka yang dekat dengan aku ialah Sekolah Menengah Kota, bersebelahan dengan SRJK (I) Kota, tempat aku belajar (sekolah aku - bangunan batu satu tingkat sahaja). Kak Sah bersekolah di 'sekolah aneka' SM Kota kerana dia belajar dalam aliran Inggeris, manakala Kak Yah yang mengikuti aliran Melayu bersekolah di SM Mulung.

Aku tak pasti bila...istilah sekolah aneka ni hilang begitu sahaja daripada ingatanku beberapa tahun selepas itu....

Bila aku dah belajar di peringkat yang lebih tinggi, hasil daripada pembacaan luas, barulah aku tahu bahawa sekolah aneka rupanya satu Sistem Aneka Jurusan di sekolah menengah rendah (SMR) sebagaimana yang terdapat dalam Penyata Rahman Talib.

Berikut sedikit info tentang SISTEM SEKOLAH ANEKA JURUSAN :

Sistem ini mula diperkenalkan pada 1 Januari 1965.

Menerusi sistem ini, murid-murid di SMR akan mengikuti pelajaran Aneka Jurusan, iaitu pelajaran am dan pelajaran persediaan pekerjaan dengan tujuan menolong diri mereka untuk mengetahui apakah bakat dan kecenderungan, dan jenis pelajaran (aliran akademik atau lain-lain) yang baik sekali untuk kebolehan masing-masing.

Pelajaran am termasuklah mata pelajaran wajib dan mata pelajaran asas seperti Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Ilmu Hisab dan Sains Am. Pelajaran Persediaan Pekerjaan pula termasuklah mata pelajaran Sains Pertanian, Sains Rumahtangga, Ilmu Perusahaan, Ilmu Perniagaan Am, dan lain-lain lagi.

Menurut sistem ini, pada akhir tahun ke-9, murid-murid itu akan mengambil peperiksaan SRP / LCE. Berdasarkan keputusan peperiksaan itu, mereka akan dipilih untuk masuk sama ada pelajaran Menengah Atas Aneka Jurusan dalam aliran akademik, teknik, pertanian, perdagangan atau pertukangan dan sekolah-sekolah pekerjaan, yang sesuai.

Apabila mereka tamat pelajaran menengah itu, kebanyakan murid itu tentulah telah menerima latihan cukup untuk mencari kehidupan mereka dan tentu berumur 17 atau 18 tahun, iaitu umur yang sesuai untuk mencari pekerjaan sama ada dalam perdagangan, perusahaan atau pertanian, atau bekerja sendiri, mengikut kesukaan masing-masing.

Sementara mereka yang berbakat untuk belajar dalam aliran akademik pula akan meneruskan pelajaran mereka ke maktab-maktab dan lain-lain yayasan.

Secara ringkasnya, sistem aneka jurusan ni bertujuan :

a) memberi pelajaran asas dan am selama 9 tahun kepada setiap murid hingga berumur 15 tahun lebih.

b) Mengadakan peluang belajar yang sama bagi setiap orang murid supaya mereka boleh menerima pelajaran dan latihan yang sesuai dengan bakat dan kebolehannya; dan

c) Menjamin cukup tenaga orang ramai.

Elok juga kalau sistem ni dilaksanakan untuk murid-muridku di Kelas 3K2 dan 3K4....

Maju Bangsa Maju Negara... jumpa lagi.

Foto : Kenangan di rumah Dr. Haniah

No comments: