Friday, April 3, 2009

Ustazah

Subjek agama Islam diajar oleh ustazah yang sama dari Std One hingga Std Six. Ustazah Zainun, orang Kampung Laut, kawan Mama semasa mereka sama-sama belajar di Sek. Naim Lilbanat, KB pada tahun-tahun 1950-an.

Masa tu belajar agama guna tulisan Jawi, tapi bila naik Form 1 (1975), guna rumi hinggalah Form 5. Lama-lama kemahiran menulis jawi semakin merosot. Rasa rugi sangat, tapi nak buat macam mana, dasar kementerian pelajaran masa tu...(Beberapa tahun kemudian, barulah tulisan jawi dikembalikan) Aspek yang diajar sama seperti sekarang, iaitu Tauhid, Feqah dan Sejarah Islam.

Mula-mula belajar baca Alif - Ba - Ta, kemudian belajar menulis jawi. Ulang setiap huruf dalam satu muka surat. Huruf di barisan atas buku latihan, Ustazah yang tulis dulu. Kemudian, kami ulang, penuh satu muka surat. Kalau tulis dengan kemas dan bersih, dapat bintang. Ada satu bintang, ada dua bintang. Yang paling baik dapat tiga bintang. Bila dapat bintang, rasa seronok sangat.

Selalunya Ust. Zainun akan bercerita tentang kisah-kisah Rasullullah s.a.w. Cerita yang disampaikan dengan bersahaja tapi sungguh berkesan. Kami akan duduk bersila mengelilingi ustazah yang duduk di atas kerusi. Nama-nama seperti Aminah, Halimatusaadiah, Maisarah, Siti Khadijah telah tertanam dalam minda kami sejak kanak-kanak lagi.

Kami juga diajar doa-doa dalam sembahyang. Kami perlu menghafal doa-doa tersebut. Setiap murid disuruh baca dengan kuat dalam kelas secara bergilir-gilir. Kalau tak hafal, alamatnya kena dendalah. Jadi, sekejab sahaja kami dapat hafal walaupun doa itu panjang.

Saya masih ingat lagi, masa darjah 4, buat amali sembahyang jemaah. Sembahyang Asar. Masa tu sekolah belum ada surau. Kami menyusun meja rapat-rapat dan sembahyang beramai-ramai di atas meja tu. (Dulu meja kayu sangat kukuh, bukan seperti hari ni, meja diperbuat daripada kayu yang dimampatkan dan guna skru, mudah goyang / rosak. Yang terkini, meja pelajar dibuat daripada plastik)

Dulu tidak banyak kelas TADIKA. Kalau adapun, bukannya berasaskan pendidikan agama Islam. Kami tiga beradik yang atas ni tak masuk TADIKA pun. Di rumah, kami hanya diajar mengaji Quran. Amalan lain, kami ikut aje apa yang dilakukan oleh mereka yang lebih dewasa. Jadi, kami mendapat pendidikan agama secara formal setelah mula bersekolah.

Terima kasih Ustazah, kerana membekalkan ilmu agama yang menjadi asas kukuh untuk saya memulakan perjalanan yang panjang ini....

No comments: