Saturday, February 13, 2010

Raya Cina.... Cina Kelantan @ Teluk Kandis - Pendek...



Tidak jauh dari rumah saya di
Kg Kota, terdapat beberapa petempatan masyarakat Cina yang lebih dikenali sebagai Cina kampung. Penempatan ini letaknya di Kg Teluk Kandis dan di Kg Pendek. Ada antara anak-anak mereka yang sebaya dengan kami dan menjadi rakan baik semasa bersekolah. 2 orang sahabat yang nama mereka masih dalam ingatan ialah WEE SAW LAN dan KANG GET NEE.

Saw Lan, tinggal di Kg Pendek, Jalan Salor, KB (merupakan kawan baik kakak saya), kami sama-sama belajar hingga ke menengah atas, dan sama-sama ‘graduate’ pada tahun 1985 di UM.

Get Nee pula yang dikenali sebagai ‘Ani’ di kampungnya merupakan rakan sekelas saya semasa di sekolah menengah rendah. Sudah ebih 30 tahun lamanya kami terpisah. Selepas LCE saya meneruskan persekolahan di SIC dan Get Nee kekal di SMK Kota.

Get Nee tinggal di Kg Teluk Kandis. Kami selalu berbasikal untuk ke rumah Get Nee, melalui lorong berbatu kecil (kini sudah bertar) menghala ke tebing Sungai Kelantan. Lorong ni hanya muat sebuah kereta dan tidak boleh berselisih. Dari jalan utama, iaitu Jalan Salor, lebih kurang 400 meter ke dalam, kita akan sampai ke sebuah perkampungan masyarakat Cina, yang kami kenali sebagai Cina kampung…

Salah seorang penghuni keturunan Cina di sini, yang kami kenali dengan nama Melayunya 'Mek Ngo', mempunyai hubungan yang agak rapat dengan keluarga saya. Mek Ngo merupakan seorang peraih di Pasar Besar Kota Bharu. Mek Ngo sudah agak berumur pada masa saya masih bersekolah. Setiap hari dia akan berulang-alik ke KB dengan teksi/ beca roda tiga. Masih jelas tergambar dalam ingatan senyuman Mek Ngo yang manis, setiap kali teksi yang ditumpangi Mek Ngo lalu di depan rumah kami. Biasanya teksi tersebut sarat dengan barangan yang akan dijual di pasar Kota Bharu nanti.

Apabila tiba Hari Raya Cina, saya bersama beberapa orang kawan sekelas akan berbasikal ramai-ramai ke rumah Get Nee. Kami mengambil masa selama lebih kurang 20 - 30 minit untuk sampai ke destinasi. Sekarang, jika menaiki kenderaan bermotor, dalam masa kurang daripada 10 minit sampailah kita ke Teluk Kandis. Lebih 30 tahun dulu, jalan raya tidaklah sesibuk sekarang. Di rumahnya, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan kering, buah limau mandarin dan air oren atau sarsi atau lemonade atau ice cream soda di dalam botol (botol warna hitam seperti botol kicap). [Dulu, di rumah kami sendiri pun, hidangan air dalam botol seumpama ini, juga menjadi kemestian semasa hari raya]. Kami akan diberi ‘ang pau’ sebelum beredar pulang.

Sebenarnya, kaum Cina di Kelantan terbahagi kepada dua golongan, iaitu Cina Peranakan dan Cina Bandar. Orang Melayu memanggil golongan Cina Peranakan sebagai Cina kampung, Cina Kelantan atau Orang Cina kita. Bagi golongan Cina yang tinggal di bandar, mereka dipanggil Cina benua atau Cina Bandar.

Bagi saya, Mek Ngo, ‘Mek Yah’ dan ‘Ani’ mewakili masyarakat Cina kampung yang mengamalkan budaya Melayu. Dulu, mereka bercakap dialek Kelantan sesama sendiri, bercucuk tanam, berbual di anjung rumah, memakai kain pelikat bagi lelaki, dan memakai kain batik bagi kaum wanita. Ada juga yang berkelubung kepala jika keluar rumah. Cina Peranakan ini juga makan budu dan ulam-ulaman. Mereka juga menggunakan nama Melayu, seperti Che Husin, Che Hassan, Mek Su dan nama-nama lain yang mencerminkan proses asimilasi telah merubah dan membentuk budaya tersendiri dalam kalangan masyarakat tempatan.

Walau bagaimanapun, mereka tetap mengamalkan budaya mereka sendiri ketika berada di dalam rumah. Mereka masih lagi mengekalkan budaya Cina seperti sembahyang, adat perkahwinan dan juga upacara pengkebumian.

Dulu, bila berkunjung ke perkampungan masyarakat Cina kampung di Kg Teluk Kandis atau di Kg Pendek, (banyak lagi tempat lain di Kelantan sebenarnya) kita akan dapat melihat senibina rumah asal Cina yang amat unik dan menarik. Rekabentuk, jenis kayu, malah ukiran yang dipahatkan adalah seni Melayu, cuma tulisan kaligrafi Cina yang mempunyai ciri ke”Cina”an menghiasi ruang tamu dan anjung. Namun begitu, kini, kesenian dan kehalusan senibina rasanya sudah tidak ada lagi kerana kebanyakan rumah sudah dibina semula dengan rekabentuk moden.

Terdapat kajian yang mengatakan bahawa orang Cina mempunyai petempatan awal di Pulai, Gua Musang. Semasa menutut di UM dulu, dalam kuliah Sejarah Malaysia, Prof Khoo Kay Kim pernah mengatakan bahawa generasi pertama yang datang ke Tanah Melayu bermula di Kelantan dan bukannya di Melaka. Buktinya, terdapat sebuah patung lama - Ma Chor Bew di tokong Sui Yek Khong di Pulai, Gua Musang. Patung ini yang dikesan berasal dari zaman Dinasti Ming yang memerintah Negeri China antara 1368 sehingga 1644.

Di Kelantan sahaja, terdapat 24 tokong dengan tokong tertua berusia 600 tahun dikesan di Kampung Pulai, Gua Musang dan tokong yang berusia 300 tahun di Kampung Tokong, Kemubu (kampung adik ipar saya… Sahazali Awang Deraman...) Sehingga kini, masyarakat Cina kampung di Kg Tokong masih kekal mengamalkan budaya Melayu dan mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat setempat.

Walau bagaimanapun, dalam mengharungi arus pemodenan hari ini, generasi baru sekarang sudah semakin jauh dengan amalan generasi terdahulu, tidak kira sama ada masyarat Cina kampung atau masyarakat Melayu sendiri.

Anak-anak muda sekarang sudah tidak lagi suka pakai kain pelikat atau makan sireh…!

1 comment:

M. Ibrahim said...

Dekat kampung saya tu. Masa kecik-kecik dulu selalu gi tengok menora...