Pagi tadi, rakan sekerja CIKGU ZAIDOM MUDA membawa buah celagi ke sekolah. Dibedak-bedakkan kepada kami.... mereka panggil buah ni buah asam jawa. Terima kasih, sahabat kerana mengembalikan nostalgia makan buah celagi ketika zaman kanak-kanak dulu....
BUAH CELAGI sebenarnya berasal daripada Pokok Jawa atau Tamarind. Rasanya yang masam masam manis
menjadikan buah celagi makan ringan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat
Kelantan. Asam jawa atau celagi
ialah sejenis pokok
saka malar
hijau yang
menghasilkan buah asam untuk kegunaan masakan harian di Malaysia.
Bersumberkan Cik Wiki, rekod dan
sejarah ada menunjukkan bahawa ibu
negeri Senegal diberi nama ‘Dakar’ dalam bahasa
tempatan yang bermaksud “pokok asam jawa”. Pokok asam jawa merupakan tumbuhan semula jadi di benua Afrika.
Kini asam
jawa telah tersebar luas ke serata dunia dan termasuklah yang ada di Malaysia.
Ia juga boleh menjadi pokok
hiasan selain ditanam
sebagai pokok tanaman. Pokok ini diperkenalkan ke negara-negara di Asia melalui
pedagang-pedagang Arab yang datang
singgah ke Asia Tenggara. India
ialah negara yang mempunyai tanaman dan ladang asam jawa yang paling luas di
dunia.
Nama lain bagi
buah celagi atau asam jawa ialah Asam, Asam Jawa, Asam Kemal, Asam Kuning (Melayu).
Asam jawa
merupakan sejenis ramuan masakan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Biasanya asam
jawa akan dilarutkan ke dalam air dan hanya
airnya digunakan dalam masakan. Hampasnya pada kebiasaannya dibuang.
Selain
digunakan dalam masakan, asam jawa juga boleh dimakan begitu sahaja ataupun
dengan ditambah dengan gula. Selain itu asam jawa juga digunakan secara
tradisional bagi mengubat batuk dan perit tekak. Pucuk muda mentah atau yang telah
dicelur, dimakan dengan budu, cencaluk, sambal belacan atau pencecah
lain dengan nasi. Buah muda asam jawa yang dikupas kulit dan ditumbuk kasar
atau diracik kecil, dicampurkan dengan sambal belacan, sesuai dimakan dengan
nasi. Rasa buah asam jawa adalah masam-masam manis manakala daunya berasa
sedikit kelat dan masam.
Suatu ketika dahulu, ketika kami di sekolah rendah, kami suka mengutip buah celagi @ buah asam jawa ini selepas balik mengaji Quran madrasah Tok Nik Weil. Di hadapan kedai Mok Yoh Aji ada sebatang pokok celagi yang besar. Pokok celagi ini merupakan pokok saka
yang mana pokok matangnya boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter. Pokok ini
boleh hidup lama dan masih mampu mengeluarkan hasil walaupun telah berusia
puluhan tahun. Pokok ini tahan dari serangan serangga perosak, tiupan angin
kencang malahan tahan terendam dalam air berbanding dengan pokok lain.
Batang pokok celagi di hadapan kedai Mok Yoh Aji pendek dan mempunyai banyak cabang dan bentuk pokoknya adalah
rimbun. Dahan dan cabang pokok mempunyai susunan yang terbuka luas. Dahan pokok
amat kuat dan tahan tiupan angin kencang dan jarang-jarang sekah atau patah.
Kanopi pokok celagi ini juga berbentuk seperti kubah yang bulat melebar. Daun celagi yang gugur menghiasi tanah....
Buah celagi mempunyai dua jenis
iaitu celagi yang manis dan yang masam. Buah celagi boleh dimakan segar
dan ada dijual di pasar kebanyakannya di Utara seperti Kedah dan Perlis (bekalan dari Thailand).
Asam jawa biasanya dijadikan jus minuman yang dicampur dengan air gula sebagai
minuman segar terutama di Malaysia, Thailand dan Indonesia
serta negara tropika lain.
Kini jus asam jawa telahpun dibotolkan dan mudah
didapati secara runcit oleh usahawan tempatan dalam pasaran domestik malahan
ekspot. Syarikat ADABI menghasilkan puri asam jawa yang ‘sedia guna’ dan
mendapat pasaran yang sangat luas di Malaysia. Kordial minuman asam jawa juga merupakan antara perisa yang popular
di Malaysia.
Peranan asam jawa dalam masakan
memang penting dari zaman nenek moyang hinggalah kini. Ada pepatah Melayu yang
berbunyi 'garam di laut, asam di darat; dalam periuk, bertemu jua'. Pepatah ini
menunjukkan betapa pentingnya peranan asam dalam kehidupan harian masyarakat
kita.
Di Kelantan misalnya, terdapat aktiviti industri asas tani
dengan memproses asam jawa menjadi sejenis pencuci
mulut. Caranya adalah dengan membuat asam
jawa disalut dengan gula pasir, serbuk cili dan dibalut seperti gula-gula. Rasa
masam, manis dan pedas ini sangat enak rasanya dan harganya juga sangat murah. Sebenarnya, asam jawa 'putar' yang banyak terdapat di Pasar Siti Khatijah kini datangnya dari seberang Sungai Golok....!
Kegunaan celagi atau asam jawa dari segi perubatan tidak boleh dikira banyaknya.
Untuk tujuan komersial didapati asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam
ubat demam
dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut
kembung. Sama ada dimakan begitu sahaja
atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa amat berkesan dalam mengatasi masalah
penghadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (skurvi). Amalan ini juga telah terbukti secara klinikal di beberapa
negara seperti di India.
Asam jawa juga digunakan sebagai sapuan untuk
mengurangkan kesakitan akibat keradangan. Ia juga digunakan untuk berkumur-kumur bagi
mengurangkan sakit tekak. Caranya adalah dengan mengambil sedikit garam
dicampur ke dalam air asam dan kemudian ia boleh digunakan sebagai sapuan bagi
melegakan sakit sendi.
Daun asam jawa sama ada yang kering atau yang telah
direbus boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan terseliuh. Losyen atau ekstrak daunnya pula boleh digunakan
bagi merawat sakit mata, sebagai antiseptik, merawat cirit-birit, jaundis,
sakit kulit dan buasir. Kulit pokok asam jawa, jika digoreng dengan garam
dan dikisar lumat boleh digunakan sebagai penawar ketakcernaan dan kolik.
Air rebusannya digunakan dalam kes radang gusi, lelah dan sakit mata. Losyennya boleh digunakan pada kudis dan ruam ulat bulu. Tepung daripada biji asam digunakan untuk merawat
bisul.
Begitulah alkisahnya buah celagi @ asam jawa yang sangat dekat di hati masyarakat kita....
No comments:
Post a Comment