Walaupun kita mengembara ke seluruh dunia untuk mencari keindahan, kita harus membawa keindahan itu dalam diri kita; sekiranya tidak, kita pasti tidak akan menjumpainya...
Tuesday, April 1, 2014
BUAT SAHABAT : INDAHNYA KENANGAN ITU...
SRJK (I) Kota
1969...
kita semua
bermula di sana
di bangku sekolah rendah yang sama
belajar tulis baca
bermain berlari bersuka ria
menyanyi bersiul riang
berebut tiang
melenggang gelung rotan
kala waktu di padang
kala waktu senggang
kala menunggu cikgu datang
yang lelakinya pula
kala rehat yang tidak berapa panjang
masih sempat main-main terajang.
begitulah indahnya kenangan
bersama rakan taulan
walaupun ada yang masih mentah
keanak-anakan
namun, tetap ada yang menyimpan perasaan
berkenan di hati akan seseorang.
Betapa dia terus memuja
walaupun mungkin tidak pernah terbalas...
namun, terubat jua rindunya
tatkala mata hanya melirik
rabung atap dari kejauhan...!
Ah, cinta monyet budak hingusan
atau dirinya yang terlebih perasan....
melewati enam tahun yang tidak pernah suram.
SM Kota
1975....
tahun baru
sekolah pun baru
bertingkat-tingkat aneka jurusan.
rakan taulan datang dan pergi
silih berganti
yang berlalu
pergi tanpa pesan
sedikit pun tidak terkesan
rakan yang baru
datang mengisi ruang
kita pun kian dijengah usia remaja
sudah tersimpan rasa silu dan segan
sudah beralas malu tatkala bergurau senda
tutur kata disusun tertib tatkala berbicara
usia remaja....
tandanya bermula
zaman gelora
penuh membara
tandanya bermula
zaman menunjuk bakat
ingin mencuba
tandanya bermula
zaman mencari citra diri.
Begitulah...
yang lelakinya suara sudah garau
sudah mula pandai peraga diri
mencuba nasib memikat si gadis...
yang perempuan pula
sudah pandai tampil bergaya
mula melawa cari identiti
seringkali diintai
abang-abang di aras tinggi
pantang bersua
diusik dikejar setiap hari.
Begitulah...
masa terus berlalu
musim perpisahan akhirnya tiba jua
walaupun tidak dipinta
setelah betahun-tahun
melakar memori indah bersama.
Dulu,
barangkali ada antara kita
yang sering bertukar-tukar ucapan
menitipkan berita
diiringi doa dan harapan
demi kesejahteraan
demi keabadian
jalinan persahabatan.
Dulu,
barangkali setiap kali tiba musim libur
dalam kelelahan mengejar cita
kita mungkin masih tidak pernah lupa
kita mungkin masih ada sedikit masa
bertemu dan bercerita di tangga
berkongsi kisah remaja
indah dan mengasyikkan.
Tiba-tiba
tanpa sedar
kita semua terpisah
...tanpa berita
...tanpa kata
lantaran cita-cita
kita mula jadi perantau
kita bawa haluan diri
demi mengukuh peribadi
bersama keluarga
bersama tuntutan masa
bersama tugas dan tanggungjawab...
Akhirnya,
tanpa sedar
kita tidak pernah lagi bersua muka
bertahun-tahun lamanya
lama sungguh... bertahun-tahun....
bertahun-tahun.
Sahabat,
kenangan itu sering singgah
walaupun kita terpisah jauh
ingatan itu tetap utuh
minda terus diterjah
walaupun segalanya sukar ditelah....
Sahabat,
kala usia kita kian merangkak senja
kala mata sudah kurang sinarnya
kala rerambut sudah mula terbang
hati meronta mencari bayangan
lantaran jejak yang lama hilang
sukar dikesan.
Sesungguhnya sahabat,
...yang ada hanyalah kenangan silam
rapi kemas tersimpan
dalam lipatan sanubari
...yang ada hanyalah harapan tak bertepi
terselit sunyi di hati.
Sahabat,
dengan kehendak Yang Maha Esa
setelah terpisah sekian lama
tiba jua saat dan ketika
kita dipertemukan semula
walaupun sekadar di alam maya.
Sungguh asyiknya kita
berminggu-minggu bersendaloka
di sebalik tabir alam di angin lalu
bertanya khabar melepas rindu
mengimbau memori yang kian kelam
membuka ceritera lama yang hampir hilang.
Akhirnya...
29 MAC 2014
tiba jua saat itu
saat yang telah lama
kita tunggu
berkumpul bertamu dan bertemu
di istana cinta syahdu
Tie dan Mie
menjadikan impian kita
suatu yang pasti.
Sungguh indah pertemuan itu
setelah sekian lama
kenangan yang tersimpan
kembali segar bugar dalam ingatan
titian persahabatan
kembali bertaut rapat erat
melerai rindu yang sarat.
Sahabat,
inginku panjatkan syukur ke hadrat Ilahi
pertemuan semula pada usia begini
pasti mengendong seribu erti
walaupun banyak sudah yang berbeza
walaupun kita semakin dihambat usia
namun, taman persahabatan kita
tetap semerbak harumnya
sewangi kesturi.
Pertemuan pertama yang bermakna
selepas berdekad-dekad
tidak bersua
segalanya adalah kerana DIA
....demi menghargai usia
....demi erti persahabatan.
buat sahabat semua
marilah kita terus kongsikan kenangan
marilah kita terus berseloka bersambung cerita
sementara diberi kesempatan oleh-Nya
untuk bertemu berbicara
andai hayat kita masih ada....
Syukur alhamdulillah,
terima kasih sahabat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
kawe nak nangis baca cerita demo
pergi tanpa pesan tanpa kesan
berjumpa semula bagaikan x pernah berpisah...gurau senda usik mengusik
bagaikan kita masih di bangku sekolah walaupun ada yg dapat cucu
rambut dah putih muka dah berkedut tapi semangat setiakawan masuh utuh masih padu untuk menjalani sisa hidup yang ada dalam mencari jalan pulang mengadap Allah SWT maha pencipta maha pengampun maha penyayang maha pengasih tqsm ila dr nik fauzi dlm rok atas bukit
Pertemuan Syawal ke-3 yg lepas di rumah Dr. Nizam, walaupun sekejab dan tak puas berbual bercerita, tetapi sangat bermakna. Bertabah rakan yg dpt bersama. Sempat bertemu cikgu BM kita semasa F3, Cikgu Mustafa. Pasti beliau gembira bertemu melihat anak didiknya yg sudah kian menginjak usia.... Semoga Cikgu Pa terus diberi kesihatan yg baik dan bahagia bersama keluarga...
Post a Comment