Monday, December 17, 2018

Sambil Menyelam Minum Air

Ahad 16 DISEMBER kami bertolak ke Kuala Terengganu.  En Kasihku ada mesyuarat di pejabatnya di KT.  Kami menginap di hotel penginapan tepi muara berhampiran tanjung yang indah nian pemandangannya.  Angin sepoi2 diselangi rintik-rintik hujan musim tengkujuh menjadikan suasana sungguh damai dan nyaman.

Selepas daftar masuk di hotel penginapan, usai solat Zuhur, kami pusing-pusing ke Seberang Takir dengan tujuan utk mencari keropok di Bukit Tok Beng.  


Pertama kali saya sampai di sini. Terletak di Kuala Nerus, ini merupakan satu lagi destinasi di mana kita dapat membeli keropok lekor. Keropok lekor di sini juga digelar Keropok Lekor Nombor atau Beratur, kenapa? Ini adalah kerana terlalu ramai orang yang datang untuk membeli keropok lekor semasa musim cuti sehinggakan untuk membeli keropok lekor di sini anda perlu mendapatkan angka giliran terlebih dahulu. Wah… dahsyat! Ramai yang sanggup beratur kerana keropok lekor di sini sedap dengan isi ikannya yang banyak berbeza dengan tempat lain.  Semasa saya singgah, tidak ramai pengunjung...jadi tidak perlulah kami mengambil nombor. 

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan dan singgah makan tengah hari di medan selera di Pantai Teluk Ketapang.  
Pantai yang agak luas ini terletak di utara Sungai Terengganu. Pantai ini digelar Teluk Ketapang kerana  kawasan ini dikelilingi oleh bukan sahaja pokok kelapa malahan pokok ketapang.  Di sekitar pantai ini terdapat banyak gerai  kecil untuk kita membeli makanan, dimakan sambil menikmati pemandangan. Di pantai ini juga terdapat gerai yang dilawati ramai orang untuk menikmati Ikan Celup Tepung (ICT).  ICT di sini tidak setanding ICT di Pantai Penarik....
Usai menghirup udara nyaman di Pantai Teluk Ketapang, kami terus menuju ke Manir.  Niat di hati untuk singgah di Klinik #SihatSokmo untuk bertemu anak menantu dan cucu.  Singgah untuk melunaskan rindu....

Di klinik hanya ada anakanda Fahmi.  Anakanda Aina dan cucuanda ada di rumah kerana dikhabarkan kurang sihat.
Kami meninggalkan rumah agam besan kami pada petang itu sambil berjanji untuk memenuhi permintaan mereka agar datang lagi untuk makan malam di rumahnya.



Pada sebelah malamnya, sebelum ke rumah besan, kami berhajat untuk keluar mengintai ke Pulau Warisan yang dikatakan sungguh indah pemandangannya dengan dihiasi cahaya lampu yang berwarna warni pada sebelah malam.  



Pulau Warisan ini kelihatan seperti I-City di Shah Alam dengan lampu-lampu pokoknya yang berwarna-warni, begitu hidup sekali suasana malam di tempat ini. Tak sah kiranya kawasan yang menjadi perhatian ramai tidak ada kedai makan bukan? Di sini terdapat banyak kafe untuk dijadikan tempat bersantai bersama keluarga sambil menikmati pemandangan Sungai Terengganu.  Jika kita datang pada waktu yang tepat, dapatlah kita menyaksikan pertandingan lumba perahu layar yang sering diadakan di sini, tetapi malam itu ketika kami singgah, suasana agak sunyi...mungkin kerana musim hujan...
Pada keesokan harinya, sepeninggalan suami ke pejabat, aku ditemani komputer riba yang sentiasa setia bersama untuk menyemak tugasan yang masih berbaki.

Kami meninggalkan Bandar Budaya Kuala Terengganu dalam rintik hujan bulan Disember menuju ke destinasi rutin saban minggu sejak bermulanya cuti sekolah akhir tahun ini.  

Begitulah percutian kami berdua pada tahun ini.  Cuti sambil bekerja.  Bekerja sambil singgah menjenguk cucu... 

No comments: