Monday, December 31, 2018

Sepanjang Jalan Kenangan 2018

Alhamdulillah, akhirnya tugasan akhir tahun 2018 selesai jua.  Sebenarnya, tugasan 2019 yang lebih mencabar sedang menunggu.  Kita akhirnya tiba di penghujung muara waktu. 

Syukur juga kerana kita masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar tahun 2018 yang disulami hujan yang masih turun renyai-renyai membasahi bumi.... 






Kita semua tahu, mentari 2018 bakal terbenam dan akan diganti dengan fajar 2019. Tentu sekali banyak kenangan yang terakam dalam memori sepanjang 12 bulan kita berada di tahun 2018. Pasti ada yang manis dan ada juga yang pahit. Semuanya merupakan asam garam kehidupan yang akan terpahat kukuh dalam ingatan sampai bila-bila.

Alfatihah buat PokTeh @ Lokman Mamat yang telah pergi buat selama-lamanya beberapa hari sebelum berakhirnya 2018.



Anakanda Fahmi sudah berjaya memulakan klinik #Sihatsokmonya di pekan Manir dengan sokongan kuat daripada anakanda Aina.  Semoga segala usaha membuahkan hasil yang penuh keberkatan.  Mak Ayah akan sentiasa berdoa dari jauh.








Anakanda Aishah menyambung kursus setahunnya di JB, meninggalkan anak kecil tentu sekali dengan hati yang berat...tetapi demi masa depan yang lebih maju, pengorbanan adalah jawapannya.  Mikhail anak yang baik, tidak sukar menjaganya.  Tinggallah Mikhail bersama-sama Abi, Mak Tok dan CikDya sementara waktu ini.

Anakanda bongsu sudah mula bekerja tahun 2018.  Bidang kerja yang memang ditunggu2 dan diminatinya.  Alhamdulillah.







Mikhail semakin lincah keletahnya.  Hannan bakal memulakan persekolahan darjah 1.  Bella akan belajar di sekolah yang sama dengan Kakak Hannan, tetapi peringkat prasekolah.  

Akhir tahun 2018 meninggalkan kesan di hati apabila ahli keluarga terdekat dipanggil pulang buat selama-lamanya.

Begitulah kehidupan.... ada suka, ada duka... semuanya mewarnai sepanjang jalan hidup kita. 

Sesungguhnya, semua peristiwa yang berlaku di sepanjang tahun 2018 akan kami jadikan teladan dan sempadan buat menempuh perjalanan menuju jalan pulang yang masih jauh....

Mungkin ada yang beranggapan bahawa tahun yang bakal berlalu sebagai tahun yang tidak pernah diduga akan hadir di dalam diari hidup mereka, lantaran ujian dan cabaran yang betul-betul menekan jiwa. Jangan lupa, seperti yang selalu diperkatakan orang, ujian dan cabaran ialah rempah ratus kehidupan.

Tanpa ujian dan cabaran, hidup kita akan berlalu bak air yang mencurah keluar daripada pancur, sekadar mencurah turun, tak ada langsung nilai-nilai yang boleh dikenang dan dijadikan teladan.

Sebaliknya, jika perjalanan hidup kita seperti air sungai yang sekejap cetek dan sekejap melimpah ke tebing, kemudian perlu mengharung segala batu, kayu termasuk sampah sarap… ketibaan kita di muara nanti merupakan sesuatu yang amat bermakna.


Paling penting juga, ingatlah, bukan kita seorang sahaja yang diuji. Ada insan lain yang
lebih teruk ujiannya daripada kita. Lantas, jadikan ujian Ilahi sebagai pendekat diri kita kepada-Nya dan percayalah…. YANG PAHIT AKAN MANIS AKHIRNYA…

Tak kisahlah apa-apa sekali pun peristiwa yang kita lalui di sepanjang 2012, yang pasti kita perlu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi kesempatan untuk terus melihat fajar tahun baharu yang bakal muncul nanti....

Tahun baharu bermakna usia sudah tidak baharu lagi. Hayat bertambah menjadi semakin lama...baki usia menjadi semakin susut.



SELAMAT TINGGAL 2018... SELAMAT DATANG TAHUN BAHARU 2019  



Semoga kita semua terus diberi kelapangan dan kekuatan mental serta fizikal bagi membolehkan kita memantapkan amal ibadat buat bekalan di akhirat kelak...juga dapat kita berbakti kepada keluarga, agama dan negara. 

Semoga kita terus berada dalam perlindungan dan kasih sayangNya....Amin. 

No comments: