Hari ketiga di Kuching kami diundang untuk makan malam di rumah keluarga pengantin perempuan. Selepas solat Isya' Kami dijemput oleh abang dan ahli keluarga Hanna di BDC dengan 3 buah kereta.
Ayahanda dan bonda Hanna, Encik Wasta dan Puan Masnah siap siaga menanti kami di pekarangan rumah. Di ruang hadapan sudah sedia terhidang pelbagai jenis juadah yang enak-enak, walaupun belum 'disentuh' tetapi aromanya menusuk deria bau dan deria rasa kami....menjadikan kami semakin tidak sabar untuk 'mencubanya'.
Usai doa ringkas yang dibaca oleh Abang Him, kami pun dijemput menjamu selera. Tuan rumah dengan penuh ramah melayan kami makan sambil menerangkan jenis masakan yang terhidang....
ayam pansuh... |
Dalam banyak-banyak juadah yang terhidang, saya tertarik dengan sejenis masakan ini.... dari jauh nampak seperti daging ayam disaluti santan... tapi bukan ayam percik...! Kak Masnah memberitahu bahawa itu merupakan sejenis masakan tradisional masyarakat Sarawak iaitu ayam pansuh.
Pertama kali saya mendengar nama itu dan saya belum pernah merasanya sebelum ini. Melalui "Cik Google" tahulah saya sebenarnya perkataan 'pansuh' dalam masyarakat Iban membawa maksud memasak makanan di dalam batang buluh.
Jika masyarakat Melayu Semenanjung menggunakan buluh untuk membakar lemang menjelang Hari Raya, tetapi masyarakat Sarawak khususnya masyarakat Iban memasak pelbagai jenis makanan di dalam batang buluh - nasi, sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam....
Jadi, ayam pansuh ini ialah ayam yang dimasak di dalam buluh bersama-sama daun mentimun. Ada juga yang menggunakan pucuk ubi kayu atau disebut pucuk gadong.
Menurut Kak Masnah, untuk menyediakan juadah ini, antara bahan yang diperlukan ialah :
Ayam
Bawang putih, bawang besar & bawang merah
halia & serai
pucuk mentimun
garam secukup rasa dan
buluh 4 batang (anggaran untuk satu ekor ayam)
daging ayam yang diperap sebelum masukkan ke dalam buluh.... |
Terlebih dahulu daging ayam dibersihkan dan diperapkan dengan garam secukup rasa. Bahan-bahan di atas perlu dikisar / tumbuk halus dan perapkan bersama ayam tadi. Ada yang mengambil masa sehingga setengah hari untuk memastikan ayam yang diperap itu mesra dengan rempah ratus tersebut....
Langkah seterusnya, kita perlu memasukkan daging ayam yang diperap itu ke dalam buluh dan disumbatkan dengan daun mentimun. Buluh yang diisi dengan daging ayam itu akan dibakar di atas bara api dan biarkan sehingga ayam betul-betul masak.
Yang menariknya, buluh yang besar dan tebal seperti yang kita guna untuk membakar lemang itu tidak hancur; sebaliknya isi ayam yang terdapat di dalam buluh itu masak dengan elok dan tulang ayam boleh pecah semuanya. MasyaAllah. Betapa besarnya kuasa dan ciptaan Ilahi....
No comments:
Post a Comment