Monday, May 21, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (3) : Kampung Budaya Sarawak

Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan seni budaya yang unik.  Sejenak di bumi Kenyalang mendekatkan diri saya dengan keindahan dan keistimewaan budaya hidup pelbagai etniknya.  
Kampung Budaya Sarawak....

Hari ke-3, 14 Mei 2012 di bumi Kenyalang, pagi-pagi lagi selepas sarapan, kami berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village).  Kunjungan ke Kampung Budaya Sarawak merumus segala inti sejarah, budaya dan keistimewaannya.  

Terletak di kaki Gunung Santubung sejauh 35 kilometer dari bandar raya Kuching dan tersorok di tengah-tengah kehijauan hutan hujan, KBS mencanang pakej dan agenda lawatan yang unik lagi menyeronokkan.  Dalam keluasan 14 ekar landskap semula jadinya, KBS menghimpunkan diversiti kumpulan etnik utama Sarawak dalam persekitaran yang benar-benar serupa dengan kehidupan mereka di seluruh Bumi Kenyalang.
Gunung Santubung dari kejauhan....

Dalam perjalanan ke KBS, dari kejauhan kelihatan megah berdiri Gunung Santubung yang menjadi kebanggaan penduduk bumi Kenyalang yang penuh dengan ceritera rakyat lagenda negeri Sarawak.  Untuk ke sana kami melalui Damai Beach Resort dengan pasirnya kelihatan halus memutih menghiasi gigi pantai, mengindahkan panorama pantainya.  

Sesampainya kami di KBS, kami terus membeli tiket yang nilainya RM60.00 untuk seorang dewasa.  Bagi warga emas, pelajar universiti / murid sekolah dapatlah sedikit diskaun.  Agak mahal juga.  Hanya Che' yang mendapat separuh harga kerana berada dalam kategori Warga Emas...!   
Pasport ke KBS bernilai RM60.00....

Kami diberi 'pasport' sebagai pas masuk ke KBS. Variasi ucapan yang menyambut kedatangan tetamu sejurus melewati pintu masuk kampung di kaki Gunung Santubong ini amat jelas mewakili sistem sosio majmuk yang menjadi penghuni di dalamnya.
menapak ke rumah tradisional etnik Sarawak....

Kami mulalah berjalan-jalan dan singgah turun naik semua rumah yang ada di situ.  Tangganya tinggi-tinggi.  Ada rumah yang tangganya cuma batang kayu yang ditakak untuk tempat menapak.  Nak naik memang senang, tetapi bab nak turun tu yang gayat sikit. 
kenangan di rumah panjang kaum Iban....

Ada tujuh buah rumah semuanya, iaitu Rumah Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Penan, Melayu , Cina dan  Rumah Melanau. Mendaki tangga tinggi rumah Orang Ulu, bermain buai di bawah rumah Melanau dan belajar menyumpit di pondok Penan adalah antara aktiviti yang boleh dicuba. 

Selain 'apa khabar' dan 'ni how' yang biasa didengari di Semenanjung Malaysia, sesekali terdengar juga ucapan salam yang lain bunyinya. 'inou dengah', 'damea brita', 'nama brita', dan 'nu denge', itu semua bersahut-sahut daripada bibir mereka yang kelihatan bangga menyarung pakaian tradisional masing-masing.  

Selepas diamati betul-betul wajah, dan pakaian mereka   barulah kami dapat membezakan satu-persatu orang yang menyambut penuh senyum itu.   Melanau, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu, terasa sungguh istimewa dan betapa bumi Sarawak ini kaya dengan entiti seumpamanya.
jambatan ke rumah kaum Penan....bersama Kak Ha, Mek & Zue

Dalam turun naik rumah-rumah tersebut, kami seronok tengok gelagat 3 beradik cucunda kesayangan Kak Ha dan Abe Him.  Mereka sedang dalam fasa semua benda nak buat sendiri.  Cepat saja mereka 'memanjat' tangga termasuklah si adik Nisa.  
Nisa sabar menunggu untuk didukung menuruni tangga...

Ada suatu ketika di dalam rumah Orang Iban, tengok-tengok ketiga-tiga si cilik ni sudah ada di atas loteng.... Masa naik cepat sahaja, tetapi nak turun mungkin mereka terasa sedikit gayat, terpaksalah ayahanda mereka naik ke atas dan dukung  seorang demi seorang menuruni tangga....

Kami tidak sempat singgah di semua rumah etnik itu.  Kami mengejar masa untuk menonton persembahan kebudayaan yang dijangka bermula pada pukul 11.30 pagi di Theatre KBS.... Semua rangkuman kehidupan itu boleh disaksikan dalam persembahan budaya selama 45 minit di panggung KBS.   
tarian tradisional etnik di Sarawak....

Kami mengambil tempat duduk di barisan hadapan panggung.  Jangan pula terkejut kalau tiba-tiba disergah oleh pahlawan-pahlawan Iban yang bersenjatakan parang dan tombak. Juga bersedialah untuk menyerah diri kalau tempat duduk dijadikan sasaran sumpit.

PERTUNJUKAN budaya di panggung KBS menghimpunkan lagu-lagu, kostum ekstravaganza dan tarian etnik negeri.  Di atas pentas yang sarat ciri teater itu juga, kita disaksikan oleh kenakalan bakat-bakat ini mengusik para tetamu wanita di panggung itu. Sememangnya menghiburkan!

Walaupun tidak sempat menghabiskan 'penjelajahan' kami ke seluruh kampung etnik ini, namun kami tetap berpuas hati dengan pengalaman separuh hari di Kampung Budaya Sarawak."


Yang pasti, pengunjung Kampung Budaya Sarawak boleh mendekati gaya hidup pelbagai kaum dari pelbagai aspek termasuk makanan, muzik dan juga aktiviti yang berkaitan dengan alam semula jadi.
 

Kepelbagaian kaum dan etnik merupakan tarikan utama di kampung yang bertindak sebagai muzium hidup ini.  sewajarnyalah bukan sahaja warga asing, malah kami rakyat Malaysia yang datang dari Semenanjung juga kagum dengan apa yang kami temui ini....

Kami turut difahamkan bahawa KBS menyediakan pakej perkahwinan yang membolehkan pasangan pengantin meraikan hari bersejarah mereka dengan persediaan persalinan dan sambutan yang mengikut adat Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau atau Cina.

Pengalaman disambut dengan aneka ucapan salam kaum etnik, merentas sungai dengan titi buluh, hampir 'disumpit', dan kemudian diajak menari tarian tradisional, tidak mungkin kalau satu pun daripada pengalaman itu tidak membuatkan tetamu tersenyum dan terkenang-kenang kembali saat melangkah pulang! 
rehat sekejab sebelum meninggalkan Kampung Budaya Sarawak....
 
Keluar dari Kampung Budaya, pemandu bas membawa kami menjenguk Kuching Waterfront....

....bersambung.

 

No comments: