Sunday, January 31, 2010

Sepanjang Jalan Pulang ...



Pelbagai jalan yang kita lalui dalam hidup. Ada jalan yang tiada rintangan, cukup senang kita melaluinya...tetapi ada juga jalan yang banyak lopaknya, banyak curamnya yang banyak mengajar kita tentang erti hidup sebenarnya...Yang banyak mematangkan diri menjadi yang lebih baik. Mungkin mengajar kita menjadi sabar, tabah, yakin dan mungkin juga mengajar kita untuk menginsafi diri, untuk kita renung ke dalam diri, apakah usaha kita selama ini berbaloi dan membantu diri..

Mungkin langkah perjalanan kita semakin keliru, semakin tidak pasti ke mana arahnya. Walaupun cantik aturnya, cantik pemandangannya, tetapi kadang2 langkah kita terhenti di tengah jalan. Kita tidak berasa yakin lagi dengan apa yang kita lakukan; pengorbanan kita selama ini dirasakan cuma sia-sia...

Kita sudah cuba yang terbaik, sudah mempersembahkan suatu yang mulia tapi kita rasakan perjalanan kita itu cukup singkat dan pilu rasanya...Iltizam yang padu dengan ketepatan yang jitu kita lakukan, tetapi perjalanan itu harus ditamatkan jua. Perjalanan yang kita rasakan dulu cukup manis, yang cukup cantik tetapi kenapa ia harus terhenti begitu?

Perjalanan kini, telah banyak onak dan duri yang kita lalui. Perjalanan yang cukup bererti bagi diri, terpaksa kita tamatkan bagi meneruskan perjalanan yang baru...Suatu perjalanan yang mungkin akan lebih memberikan manfaat pada diri, tetapi sanggupkah kita untuk menempuh suatu perjalanan yang baru? Sanggupkah? Mungkin oleh keterpaksaan kita harus juga melangkah ke suatu perjalanan yang baru...Mungkin juga perjalanan yang kita cuba elakkan sebelum ini, tetapi akibat keterpaksaan kita harus juga melangkah...Mungkin longlai dan lemah langkah kita, mungkin juga cukup perlahan langkah itu, tetapi sentiasa berharap langkah itu akan menjadi laju...

Dalam tiap langkah yang kita aturkan, kita mempelajari sesuatu. Sesuatu yang amat bermakna yang akan memandu hidup kita ke suatu arah atau destinasi yang sama. Manfaatnya mungkin kita tidak nampak sekarang, tetapi mungkin suatu hari manfaatnya akan muncul...

Kita rasakan mungkin ini takdirnya yang membuatkan perjalanan itu terhenti, tetapi ada yang menyalahkan takdir terus kerana menghentikan perjalanan...Tetapi tidakkah kita sedar tentang hikmah sesuatu kejadian? Hikmah untuk kita menjadi lebih baik. Bila tercapai hikmah itu, barulah kita tahu dan sedar apa yang berlaku sebenarnya dalam perjalanan hidup ini...

Sepanjang jalan pulang, kita pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran. Cabaran yang akan memberi pengalaman dan menjadi kenangan sepanjang hayat. Semuanya kita kendong walau dalam susah atau senang. Kita pasti pulang. Sepanjang jalan pulang, bawalah bekalan secukupnya, demi kesejahteraan yang abadi....

Friday, January 29, 2010

CINTA : terkenang kala keseorangan...


Bersendirian pada malam yang hening ini, sambil membelek album kenangan bersama rakan-rakan, membawa saya mengimbau memori indah di kampus biru, biarpun sudah lama berlalu....

Menyusuri jalan kehidupan di Lembah Pantai, terkumpul kisah suka duka yang masih hijau dalam ingatan. Yang pasti, hati sentiasa berlagu riang walaupun tugasan menimbun tunggu diselesaikan. Panggung Eksperimen dengan persembahan teater yang menghiburkan mewarnai malam-malam yang sepi.... tidak kurang juga penghuninya yang sempat menyemai cinta di Varsity Green lalu menuai rindu, akhirnya memateri janji - susah senang bersama sehingga ke hujung usia... Di sini jugalah bermula episod cinta yang panjang....

C-I-N-TA - setiap insan mempunyai sejarahnya masing-masing. Ada yang kecewa akibat putus cinta, ada yang cintanya tidak berbalas, ada yang berkorban kasih demi menurut pilihan keluarga, dan macam-macam lagi panahan cinta.

Melodi cinta juga berbeza antara satu sama lain. Ada yang cintanya menjelma pada pandangan pertama, ada yang mencanai rasa secara 'secret admirer', ada yang berjumpa di perhentian bas, ada yang bertemu setelah melanggar keretanya, ada yang hanya kenal selepas bernikah, dan macam-macam ceritera lagi.

Dalam mengenang pelbagai episod cinta ini, ada insan yang sangat bertuah kerana 'cinta monyet' ketika zaman persekolahan masih mampu bertahan hingga kini. Biasanya 'cinta monyet' ini hanya berkisar semasa zaman sekolah. Sebenarnya, tidak ramai yang mampu mempertahankannya lantaran masing-masing membawa haluan setelah meninggalkan alam persekolahan.

Melewati usia yang kian meniti senja ini, setiap kali mengingatkannya, pasti membuatkan kita tersenyum sendirian. Secara tidak langsung membuatkan kita sedar bahawa kita sangat mencintainya suatu ketika dahulu. Jika insan itu masih berada di sisi kita kini, cintailah dia selamanya. Jangan biarkan waktu yang berlalu itu membuatkan hubungan menjadi hambar.

Ada yang berpendapat bahawa mengingati kisah cinta lalu mampu menghangatkan kembali hubungan pada usia begini. Setiap pengorbanan, suka duka yang dilalui bersama sudah tentu membuatkan kita tidak mudah melupakannya begitu sahaja.

Jika adapun yang 'bertemu' dengan orang baru kini, belum tentu kesetiaan dan ketulusan yang pernah dicipta bersama-sama suatu ketika dahulu mampu dikecapi.

Hargailah cinta sementara masih bersisa di hati... sesungguhnya cinta sejati yang abadi hanyalah CINTA KEPADA YANG ESA...

Wednesday, January 27, 2010

FIKIRKAN & INGATLAH ...

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa daripada makanan,

Ingatlah
kepada seseorang yang tidak punya apa-apapun untuk dimakan.


Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,

Fikirkan
tentang seseorang yang meminta-minta di jalanan.


Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,

Ingatlah
kepada seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk dalam hidupnya.


Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,

Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Ingatlah
kepada seseorang yang meninggal terlalu cepat.


Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,

Fikirkan
tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.


Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,

Ingatlah
kepada orang-orang yang tinggal dijalanan.


Di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan yang menimbun,

Fikirkan
tentang pengangguran, orang-orang kurang upaya (OKU) yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.


Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,

Ingatlah
bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.


...dan ketika kita sedang bersedih serta hidup dalam kesusahan, tersenyum, berterima kasih dan bersyukurlah kepada Tuhan kerana setelah tersedar daripada tidur yang lena, kita masih diberi peluang menikmati indahnya sinaran suria pagi...!

Sunday, January 24, 2010

berhujung minggu di luar daerah...




Tahun 2010 sudah lebih tiga minggu berlalu. Cepatnya masa meninggalkan kita...

Selama tiga minggu itu jugalah, aktiviti di sekolah pada hari Sabtu berjalan lancar sebagaimana yang telah dijadualkan. Bermula dengan mesyuarat J/Kuasa HEM pada 9 Jan, mesyuarat J/Kuasa Persatuan & Kelab pada 16 Jan, dan kelas ganti pada 23 Januari lepas. Pada hari Sabtu ini pula 30 Jan, akan diadakan mesyuarat J/K Badan Beruniform ... Semuanya dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab oleh guru-guru yang terlibat. Siapa kata guru bekerja 5 hari seminggu...?


Selama 3 minggu berturut-turut juga kami menghabiskan cuti hujung minggu di luar daerah Kuantan.
Pada minggu pertama bulan Januari lepas, kami menghabiskan hujung minggu di Jengka, bermalam di Mercu View Resort (satu-satunya rumah rehat yang ada di Bandar Tun Razak, Jengka). Tujuan kami berhujung minggu di Jengka adalah kerana ingin bersama-sama Adik. Adik yang sedang menjalani latihan amali di IAB berada di Kampus UiTM Pahang pada hari Sabtu itu bagi memenuhi aktiviti terakhirnya sebagai MPP... jadi kami mengambil peluang berhujung minggu di sana, dapatlah bersama anakanda barang semalam.

Minggu berikutnya, selepas mesyuarat Kelab & Persatuan di sekolah, kami terus bertolak ke IAB, ambil Adik dan terus ke KL. Kami bermalam di Taman Bukit Serdang, dapatlah bertemu dan berkumpul adik-beradik... Noni, Anggerek, Nadia serta anak-anak saudara... Natasha, Najwa dan Eeka... Seronok juga sekali-sekala berkumpul beramai-ramai begini. Semasa cuti panjang yang lepas aku tidak berkesempatan berbuat demikian kerana sibuk melangsaikan tangggujawab dengan MPM...!

Cadangnya pada hujung minggu lepas, kami akan berehat di rumah sahaja... tiba-tiba suami mengajak aku ke IAB menjenguk Adik. Biasanya, bila tiba hujung minggu, ramai rakan serumah Adik akan balik ke kampung masing-masing sama ada di Kuantan, Temerloh atau KL...jadi tinggallah Adik dengan seorang dua rakan serumah ... jika di kampus, keadaan agak berlainan kerana mereka sentiasa sibuk dengan aktiviti yang padat sepanjang minggu. Jadi, kami rasa perlulah kami menjengok Adik... kebetulan pula dia kurang sihat...! Di KL, kami bermalam dan berehat di Sentul Villa.... Kebetulan aku juga kurang sihat sejak di sekolah lagi pada hari Sabtu lepas, jadi aku betul-betul berehat, tanpa fb, tanpa kerja sekolah...

Sebenarnya, bila berada di KL, sempatlah kami menjengok Abe yang sedang menuntut di sana... dapatlah bertanya khabar dan berpesan-pesan apa-apa yang patut...! Sempatlah juga kami berdua-duaan ke Kg Baru, menikmati selera masakan Kelantan di Restoran Kak Som...


Biasanya, selepas zohor lebih kurang pukul 3 petang, kami akan bertolak pulang...selepas singgah hantar Adik di IAB, kami akan meneruskan perjalanan dan akan tiba di rumah sebelum menjelang maghrib.


... sementara ada kesempatan, kami akan gunakan sebaik-baiknya bersama ahli keluarga... anak-anak, ibu bapa dan juga adik-beradik.... memikirkan, bila pula akan balik menjenguk ayah bonda di kampung dalam masa terdekat ini.


Yang pasti,
minggu ini aku akan berhujung minggu di rumah bersama anakanda Fahmi (itupun sekiranya Emi tidak ada program di UIA...) kerana suami terpaksa bertugas di luar daerah untuk beberapa hari...

Friday, January 22, 2010

Kota - (2)


Kota Kubang Labu - sebuah kota terakhir pemerintahan Raja Jembal, yang diperintah oleh Long Yunus. Daripada keturunan Long Yunus inilah asalnya Raja Kelantan sekarang.

Digambarkan oleh
S.Othman Kelantan dalam novelnya "ORANG KOTA BHARU", Sungai Kelantan yang mengalir tenang ini mempunyai dua tebing yang berlainan, satu landai dan satu curam, merakam dan membenamkan sejarah lampau.

Di sepanjang tebing yang agak tinggi dan curam, yang tersirat berselirat dengan akar buluh aur yang berumpun-rumpun subur dan hijau, dan berlumut berselut tidak terpermanai banyaknya, bermula dari pangkalan Kg Sireh dan pangkalan Lorong Gajah Mati hingga ke pangkalan Sungai Budur sampai ke Banggol dan Kampung Kijang dan Pulau Pisang, sendat dengan rumah orang Melayu. Terdapat juga rumah-rumah rakit yang berangkai-rangkai seolah-olah bunga gergasi yang tumbuh di permukaan sungai.

Di seberang sana, tepiannya agak landai terhampar indah dan seakan-akan tikar putih berpetak-petak yang kurang jelas, tetapi sambung-menyambung. Dahulu, pada waktu malam ketika bulan terang, kedengaran bising suara riang dan ketawa muda-mudi, bersama ibu bapa dan para gadis menikmati keriangan dikir barat atau wayang kulit atau rebana kerenceng atau tari inai atau kadang-kadang menora. Siangnya juga riang dengan perlawanan wau pelbagai jenis, atau dimeriahkan dengan perlawanan gasing dan pencak silat; atau paling tidak, kemeriahan kumpulan dara dan teruna yang bermain dan bersimburan air di tepi sungai ini.

Dahulu, di sebelah atas seberang landai itulah terletaknya KOTA KUBANG LABU. Kini, seluruh seberang sungai yang landai itu disebut Pasir Pekan, bersambung dengan Palekbang dan Kampung Laut dan terus ke Kampung Sungai Pinang. Kerajaan yang berpusat di Kota Kubang Labu ini meliputi sebuah jajahan yang disebut negeri dalam pemerintahan seorang raja yang amat berkuasa dalam abad ke-17, termasuk Wakaf Baru, Chabang Empat Tok Mek Ngah, Morat, Terbak, Tumpat dan juga Geting.

...sekadar mengenang warisan negeri Cik Siti Wan Kembang Tanah Serendah Sekebun Bunga...

Wednesday, January 20, 2010

KOTA - (1)

Kota, (menurut Kamus Dewan) ialah tempat pertahanan yang dilingkungi tembok, batu, benteng atau tembok yang melingkungi kubu pertahanan...

Kota Jelasin. Sebuah kota yang melakar sejarah penting di Negeri Cik Siti Wan Kembang. 'KOTA' yang menjadi sebutan sampai bila-bila... Kampung Kota. Kampung tempat aku dilahirkan lebih 4 dekad yang lalu. Sebuah kampung yang indah lagi permai.

Kampung Kota yang letaknya dalam daerah Kota Bharu, sebenarnya mendapat nama daripada Kota Jelasin - Kota yang telah dibina oleh Raja Abdullah, suami dan sepupu kepada Puteri Saadong.

Alkisahnya, sewaktu remaja, Puteri Saadong merupakan seorang Puteri yang sangat cantik paras rupa dan tingkah lakunya. Puteri Saadong juga dikenali sebagai "Puteri Vijaya Mala". Kecantikan Puteri Saadong ini tersohor ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Cik Siti Wan Kembang, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak. Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah, iaitu anakanda Raja Bahar.

Setelah istiadat perkahwinan itu selesai, Raja Abdullah telah membina sebuah kota di hilir Negeri Kelantan dan dinamakan "Kota Jelasin". Setelah beberapa lama bersemayam di Kota Jelasin, mereka terpaksa berpindah pula ke Kota Mahligai (di Kampung Mahligai, Melor sekarang) apabila mereka diganggu oleh tentera Maharaja Siam yang ingin memiliki Puteri Saadong yang cantik itu.

Kota Jelasin - Kampung Kota nama diberi, tempat tumpah darahku.... Tapak Kota Jelasin sebenarnya terletak di Wakaf Che Yeh sekarang iaitu di tapak stesen RTM Kota Bharu (Radio Malaysia Kelantan),SK Kota, SK Seri Kota & SMK Kota.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula KOTA warisan nenek moyangku...

Tuesday, January 19, 2010

TEMAN : Mewangi sepanjang zaman ....

Sepanjang perjalanan kehidupan ini, teman-teman datang silih berganti, namun begitu bukan mudah untuk kita tahu huluran persahabatan sejati. Saat air mata berguguran dan masalah muncul menjenguk, saat itu sesiapa yang ada bersama, itulah sahabat sejati.

Bukan mudah untuk seseorang yang asing sanggup susah dan senang dengan kita; persahabatan dihulur tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran. Bukan juga kerana status yang dipegang, kadang-kala itu menyukarkan kita untuk mengenali siapa sahabat dan siapa teman.

Ada... tetapi tidak ramai dan sukar untuk ditelah.


.... terkenang SAJAK PERSAHABATAN - Khalil Gibran

dan seorang remaja berkata,
bicaralah pada kami tentang Persahabatan.

dan dia menjawab:
Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih
dan dia pulalah naungan dan pendianganmu kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian

bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.

dan bilamana dia diam,hatimu berhenti dari mendengar hatinya;
kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan


Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;

Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya,
bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.

dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.


Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?

Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.

Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan..
Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.



Merenung dan memerhati perjalanan hidup... kadang-kadang ada teman yang suatu ketika amat rapat, tetapi akhirnya renggang, tanpa bicara dan tanpa senyum mesra.
Untuk mendapat sahabat sejati... kita perlu menjadi teman yang sanggup bersama walau dalam susah atau senang....

... teringat teman lamaku semasa zaman persekolahan & beberapa musim di Lembah Pantai - Zana, Wasitah, Ben, dan ramai lagi....

Sunday, January 17, 2010

Doa Ibu...












Ibu,


Doanya adalah penawar
juga racun berbisa

Ibarat tajamnya mata pisau
yang mampu melakar
masa depan yang gemilang
buat anak tercinta,
juga dapat menghancurkan
masa depan si anak yang derhaka


Setiap anak pasti berasakan dirinya lebih dekat kepada ibunya berbanding bapanya. Begitu juga dengan seorang anak yang suka membantah. Dia biasanya lebih banyak membantah ibunya daripada bapanya. Hal ini demikian kerana, ibulah yang mengandung dan melahirkannya. Ibulah yang menyusukannya, menjaga dan menguruskan seorang anak sehingga dewasa. Ibu memang memainkan peranan utama dalam membesarkan anak-anak.

Pasti setiap ibu selalu mendoakan anaknya menjadi baik dan berjaya apabila anak itu dewasa kelak. Namun begitu, kadang-kadang keadaan yang sebaliknya timbul. Ada ibu yang membiarkan anaknya hidup sengsara dan tidak mahu memaafkan kesalahan anak apabila anak itu derhaka kepadanya. Malah, mungkin juga si ibu mendoakan keburukan untuk anaknya... spt cerita lama "Si Tanggang"...

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w menengaskan, Allah tidak menolak doa orang tua untuk anak-anaknya. Sehubungan itu, sebaik-baiknya orang tua membantu anak-anak meraih kejayaan dalam hidup, sama ada di dunia mahupun di akhirat dengan mendoakan mereka. Begitu juga sebaliknya, anak-anak juga perlu mendoakan orang tua mereka....


... dipinjam drp : "Dahsyatnya Doa Ibu" - Syamsuddin Noor, PTS.

Thursday, January 14, 2010

PAGAR BUKAN SEBARANG PAGAR....



Pagar ialah struktur tegak yang dirancang untuk membatasi atau mencegah gerakan melintasi batas yang dibuatnya. Pagar umumnya dibezakan dengan dinding menurut kekuatan binaannya : suatu dinding umumnya didefinisikan sebagai pembatas yang terbuat daripada batu bata atau beton, yang tidak hanya membatasi gerakan, tetapi juga pandangan.

Pagar memiliki beberapa kegunaan, misalnya pagar pertanian untuk melindungi binatang ternakan daripada pemangsa; pagar privasi untuk memberikan privasi; pagar pengaman untuk menghindari pelanggar batas atau pencuri dan mencegah anak-anak dan binatang peliharaan untuk lari; serta pagar hias, untuk mencantikkan tampilan rumah, taman, atau lainnya.

Selain pagar dalam bentuk binaan yang bersifat maujud, terdapat juga pagar yang bersifat abstrak / ilusi, yang lebih dikenali sebagai 'pagar diri'...

'Pagar diri' perlu ada pada setiap individu sebagai benteng untuk menghalang diri kita daripada perbuatan jahat tukang sihir atau pengamal ilmu hitam. Sihir mungkin tidak mengenal siapa kita. Ia boleh menyerang kita, oleh itu kita perlu tahu cara-cara untuk memagari diri daripada sihir dan gangguan syaitan.

Berikut diturunkan beberapa panduan untuk memagar diri daripada terkena sihir @ ilmu hitam. Artikel ini dipetik dari Portal Komuniti :: Ukhwah.comhttp://www.ukhwah.com/

Pagar Pertama (1) - Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar Madinah. Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi: "Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu". (Riwayat al Bukhari.)

Pagar Kedua (2) - Berwuduk sebelum tidur
Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada mereka.

Pagar Ketiga (3) - Mengambil berat tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.

Pagar Keempat (4) - Mendirikan Solat Tahajjud untuk memagarkan diri dari sihir
Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah-mudahkannya. Sifat mempermudah-mudahkan bangun bersolat malam boleh memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu. Apabila syaitan telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah tak ubah seperti bumi yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil perlakuan syaitan tersebut.

Ibnu Mas'ud .a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang perihal seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam, maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda:Ertinya: "Sesungguhnya syaitan telah kencing di dalam telinganya"(Riwayat al Bukhari dan Muslim).

Pagar Kelima (5) - Membaca doa perlindungan apabila masuk di dalam tandas
Tandas adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia akan mencuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ketandas.

Pagar Keenam (6) - Memagar isteri selepas selesai akad nikah
Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:
"Ya Allah. Aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya,dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya."(Riwayat Abu Daud dan menurut al Albaaniy sanadnya baik).

Pagar Ketujuh (7) - Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat-ayat al Kursi dan berzikir kepada Allah sehingga terlelap.

Pagar bukan sebarang pagar... bentengilah diri dengan amalan soleh dan sentiasalah kita mendekatkan diri kepadaNYA, mudah-mudahan kita akan dilindungi Allah s.w.t. pada setiap masa....

Friday, January 8, 2010

BICARA CIKGU : JANJI TETAP DIKOTA....


Orang kata guru itu payah
Siang pergi, malam kerja
Aku kata guru itu mudah
Siang bergaji, malam bahagia
Pagi tak pernah rugi
Malam tidurpun selesa

Orang kata guru itu penat
Gaji tak seberapa, kerja berlambak
Aku kata guru itu rehat
Mengajar murid, penuh berkat
Kerja ikhlas, pahala penuh sendat
Ilmu yang dicurah, tak dapat disekat
Makin dicurah, makin mendekat

Orang kata guru itu sungguh bosan
Setiap tahun muka sama setiap bulan
Aku kata guru itu sungguh riang
Sekali berkata murid ketawa girang
Bila berjaya murid terus menjulang
Jasa bakti tak pernah hilang

Orang kata guru itu sepi
Dihumban ke dalam hutan, seperti tiada penghuni
Lebih-lebih lagi hulu negeri tak bertepi
Aku kata guru itu "happy"
Jasa bakti dipercayai
Masuk ke dalam hutan untuk berbakti
Pada bangsa anak pertiwi
Agar kelak menabur bakti
Setelah keluar dari IPT

Orang kata guru itu susah
Orang berkereta mewah berbatunya rumah
Masih meminta agar dipindah, tak pernah kena
Aku kata guru itu senang
Kereta tak ada, tak bayar hutang
Rumah sederhana, berhati tenang
Tidur lena, pencuri tak datang
Tak dapat pindah, bukan penghalang
Menerus hidup, seorang pejuang

Orang kata apa boleh dikata
Kalau hati sudah dimahkota
Janji guru janji dikota
Aku berkata itulah guru sungguh bertakhta
Jangan takut bila dikata
Janji kita harus dikota
Luput tidak diingat dikata.

Cikgu bicara lagi :
Hidup seorang guru sungguh bahagia
Terkenang jasa diluput tidak …

Foto : cenderamata kenangan utk Pn Pengetua sebelum aku pindah 2003...