Showing posts with label doa. Show all posts
Showing posts with label doa. Show all posts

Saturday, July 28, 2018


Hari ini 28 JULAI 2018, usia Adik bertambah setahun lagi. 


 
Ucapan SELAMAT HARI LAHIR daripada kami sekeluarga untuk Adik....

Mak dan Ayah berharap agar Adik akan lebih matang dan kuat menghadapi cabaran hidup. 


Jangan lupa berdoa kepada Yang Esa. Selalu ingat DIA.  


Teruskan kecemerlangan untuk mencapai cita-cita Adik....



Cepatnya masa berlalu...

Sunday, September 10, 2017

Doa Buat Sahabat....

Syukur alhamdulillah, di celah-celah kesibukan dan kesuntukan masa, sempat juga kami singgah di Padang Embun menziarahi sahabat kami, Che Pah sebelum beredar pulang ke Kuantan petang tadi.  

Rindunya kami akan riuh suaranya, tak henti berceloteh setiap kali kami berkesempatan bertemu... Pada pertemuan tadi, Che Pah tetap ramah dengan senyuman walaupun dalam keadaan sedang diuji.  

Sesungguhnya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.



Tuhanku,
Engkaulah Maha Penyembuh, 
Maha kuasa atas segala sesuatu
Berilah kesembuhan untuk jiwa yang raganya sedang Engkau uji

Limpahkan kesabaran di kalbunya yang tak terbatas
Tetap hiasi hari-harinya dengan senyuman
jangan biarkan,...
Ujian-Mu membuatnya lemah dan murung
Dan jauhkanlah segala keputusasaan darinya
Tetap penuhi hatinya dengan semangat
Kerana Keajaiban-Mu itu Ada

Tuhanku,
Kabulkanlah doaku
Aameen

Semoga sahabatku Che Pah terus kuat menghadapi ujian ini, semoga sentiasa berada dalam perlindungan dan kasih sayang-Nya... dan
Semoga diberikan-Nya kesembuhan segera.




Monday, September 8, 2014

Nostalgia Musim Haji....


Di sana-sini ramai orang memperkatakan tentang ibadat haji yang bakal bermula tidak lama lagi. Beberapa orang rakan dan sanak saudara telah mendapat jemputan untuk ke rumah Allah pada tahun ini. Alhamdulillah. Saya turut gembira dengan perkhabaran tersebut. Bilakah pula giliran saya....?

Setiap kali musim haji tiba, saya sering teringat pengalaman buat pertama kalinya menghantar ahli keluarga terdekat ke tanah suci. Kenangan lebih 40 tahun yang lalu....
Saya masih ingat lagi, pada tahun 1968, ketika itu saya masih belum bersekolah. Saya bersama rombongan keluarga terdekat menghantar Tok Be Saadiah dan suaminya yang kami panggil Wak Aji untuk pergi menunaikan haji ke Mekah melalui jalan laut. Kami menghantar Tok Be di Stesen Kereta Api Tumpat. Tok Be akan menaiki kereta api terus ke Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Jeddah dengan kapal di Pelabuhan Kelang.
Tok Be (Saadiah) merupakan kakak sulung kepada nenek Lijah. Nenek Lijah mempunyai 5 orang adik beradik. 4 perempuan dan seorang lelaki. Yang lelaki saya tidak sempat kenal. Kata nenek, dia pernah dikerah menjadi buruh paksa membina Jalan Kereta Api Maut (semasa Zaman Pendudukan Jepun di Tanah Melayu) dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Nenek Lijah merupakan adik bongsu. 2 lagi ialah Tok Chik (Zainab) dan Tok Ngah (Esah). Dalam empat beradik ni, Tok Be merupakan orang yang pertama sekali ke Mekah dan dialah yang paling akhir kembali ke rahmatullah. Tok Be meninggal dunia pada tahun 2005.
Ingat-ingat lupa, kami menaiki bas @ menyewa kereta untuk ke Tumpat. Di stesen kereta api Tumpat (stesen paling akhir), orang sangat ramai. Pada masa tu, kalau ada orang pergi haji, hampir satu kampung akan turut serta mengiringi keberangkatan mereka. Maklumlah, bukan mudah untuk ke sana pada waktu itu, dalam satu kampung tu tak ramai yang pergi; tidak seperti hari ini.
Sebaik sahaja Tok Be menaiki kereta api menuju stesen Kuala Lumpur, saya ingat lagi, kami melambai-lambai dengan kain sapu tangan kecil sehingga kereta api hilang daripada pandangan mata. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Kelang kerana pada masa tu, bakal haji pergi ke Mekah menaiki kapal laut. Perjalanannya jauh dan tentu sekali mengambil masa yang lama. Berbulan-bulan lamanya jika diambil kira pergi dan balik. Tabung Haji belum ada lagi waktu tu untuk menguruskan jemaah haji, jadi semuanya diuruskan sendiri dengan bantuan kenalan, biasanya yang dah lama menetap di Mekah (mungkin orang yang mengetuai rombongan haji).
Perpisahan di stesen kereta api, kadang-kadang dirasakan sebagai perpisahan terakhir. Hanya doa dan air mata yang mengiringi TokBe agar selamat pergi dan kembali. Daripada apa yang diceritakan oleh Mama, Tok Be terpisah dengan Wak Aji (suami TokBe) ketika di Mekah. Mereka bertemu semula setelah kembali ke tanah air.
Pada masa tu, kami yang masih kecil tidak begitu faham erti perpisahan...
Buat sahabat yang akan / telah berangkat ke tanah suci, selamat menunaikan fardu haji dan selamat menyempurnakan ibadah, semoga mendapat haji mabrur....

Sunday, June 22, 2014

Bertambah lagi umur Abe....

Abe ketika berusia 2 bulan....
Pada 22 JUN lebih dua dekad setengah yang lalu, pada usiaku hampir mencecah 24 tahun, aku mula bergelar 'Mak' dengan hadirnya Abe dalam hidup kami, yang kami namakan MOHD FARIS B. NAIN

Kami sangat bersyukur kerana dalam usia yang masih muda, kami sudah bergelar "Mak" dan "Ayah". Kehadiran Abe juga telah menceriakan lagi keluarga Papa dan Mama yang selama ini dikelilingi oleh 8 orang cahayamata yang kesemuanya puteri. Abe merupakan cucu pertama Tok Pa dan Tok Ma. Hadir seorang lagi putera dalam keluarga besar Papa, selain menantu pertamanya..., suamiku!
24 tahun yang lalu....

Abe hadir pada musim masyarakat dunia 'demam' bola sepak Piala Dunia. Kebetulan pada waktu itu, di Mexico berlangsung perlawanan Bola Sepak Piala Dunia kali ke-13 yang bermula dari 31 Mei hingga 29 Jun 1986. Aku masih ingat lagi, Abe selamat dilahirkan di rumah Mama tepat pukul 10.30 malam, beberapa jam sebelum perlawanan peringkat separuh akhir Piala Dunia 1986.

Ini bermakna, suamiku yang baru beberapa jam bergelar "Ayah" tidak lagi diselubungi resah gelisah menunggu 'orang baru'; dapat duduk dengan selesa, di depan kaca televisyen untuk menonton perlawanan separuh akhir antara Jerman dengan Perancis yang diadakan pada pukul 2.30 pagi (waktu Malaysia). Piala Dunia 1986 dimenangi oleh Argentina yang telah mengalahkan Jerman 3-2, dan Diego Maradona dinobatkan sebagai pemain terbaik pada musim itu.


22 JUN 2014 genaplah 28 tahun usia Abe....tatkala demam Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2014 baru di peringkat pusingan awal..... 


Kini Abe telah memasuki fasa baru dalam kehidupan.  Tanggungjawab Abe makin bertambah kerana telah menjadi ketua keluarga yang baru dibina lebih setahun yang lepas.   

Semoga Abe akan terus diberkati Ilahi. Jangan lupa berdoa kepada-NYA, selalu ingat Allah s.w.t dalam apa-apa jua keadaan, susah atau senang.... Tingkatkan usaha untuk membina masa depan yang bahagia bersama anakanda SITI NUR AISHAH...


Untuk Abe,

Mak dan Ayah sentiasa mendoakan agar Abe terus tabah dan kuat menghadapi cabaran hidup. Perjalanan masih jauh dan panjang. Setiap yang Abe lalui merupakan ujian daripada Yang Maha Esa. Kita perlu redha dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan ini.

Semoga Abe menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab.  Rajin-rajinlah bekerja dan sentiasalah ringan tulang untuk menimba lebih banyak pengalaman dalam dunia kerjaya....

SELAMAT HARI JADI, ABE.... 

Monday, September 30, 2013

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PMR 2013



KEPADA SEMUA CALON PMR, KHUSUSNYA DI SMK TANAH PUTIH,

SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN PMR YANG AKAN BERMULA LUSA, 2 - 9 OKT 2013.... 


esok, kelas 'AWESOME 35' yang terakhir

murid 3K1 di bilik peperiksaan yang akan digunakan semasa PMR 2013 nanti

KEPADA ANAK SAUDARAKU SHAWALTU NAJWA BT SAHAZALI YANG AKAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN PMR DI DEWAN SMK AMINUDIN BAKI KL, DIDOAKAN AGAR BEE DAPAT MENGULANGI KECEMERLANGAN SEBAGAIMANA YANG PERNAH DILAKARKAN SEBELUM INI.  INSYAALLAH.

 

SEMOGA KALIAN AKAN MEMPEROLEH KEJAYAAN YANG CEMERLANG DALAM PMR DAN DALAM KEHIDUPAN SETERUSNYA SELEPAS INI.

PENGEMBARAAN KALIAN DALAM MENCARI KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN YANG HAKIKI MASIH JAUH....

SELAMAT MAJU JAYA...!



Thursday, September 19, 2013

Majlis Solat Hajat PMR & SPM 2013...


Saya baru sahaja balik dari program Solat Hajat dan Bacaan Yaasin yang diadakan di Dewan Terbuka sekolah, anjuran Panitia Pendidikan Islam. Hadirin mula berkumpul seawal 6.30 petang.

Selepas azan Maghrib berkumandang, para hadirin terus mendirikan solat Maghrib dan diikuti oleh Solat Hajat





Seterusnya, bacaan surah Yaasin dilakukan beramai-ramai sebelum tazkirah disampaikan sementara menunggu solat Isyak. Sebelum  solat Isyak, Tuan Pengetua, ENCIK CHAN KOK WAI telah mengambil kesempatan untuk memberi kata semangat kepada murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan PMR pada 2 OKTOBER 2013 ini dan SPM tidak lama lagi. Sebelum bersurai, para hadirin dijemput menjamu selera....


Kehadiran ibu bapa, murid dan guru-guru tadi bolehlah dikatakan sangat menggalakkan. Terima kasih kepada mereka yang telah hadir. Sesungguhnya program tahunan ini bertujuan untuk mendedahkan kepada murid tentang kepentingan sikap mengharap dan bertawakkal kepada Allah s.w.t setelah segala usaha dilakukan selama ini. Aktiviti ini juga boleh dijadikan sebagai medan untuk menanam dan membina budaya hidup dan kecintaan Islam dalam diri murid-murid.


Kesempatan mengumpulkan murid-murid serta ibu bapa mereka memberi peluang kepada penceramah dalam sesi tazkirah untuk memberi tips dan perkara-perkara yang patut diberi perhatian serta dipraktikkan oleh ibu bapa dan anak-anak menjelang peperiksaan PMR dan SPM 2013 nanti.

Semoga kejayaan akan mengiringi anak-anak didik kita hendaknya. Insya Allah.

Saturday, April 27, 2013

DOA BUAT BONDA NIK ZAKIAH...


Pagi Khamis 25 APRIL 2013, kami mendapat berita bahawa Mek @ Bonda Nik Zakiah jatuh sakit.  Sebelum ini Mek selalu juga sakit ringan-ringan.  Selalunya berita Mek sakit ringan-ringan tidak akan sampai ke telinga kami.  Kami akan tahu setelah sekali-sekala balik menjenguk Mek di kampung. 

Apabila menerima panggilan telefon daripada adinda Aynun yang mengatakan Mek sakit, maknanya Mek betul-betul uzur.  Sebelah tubuh Mek di sebelah kanan tidak berfungsi.  Mek tidak boleh bercakap. Mek dibawa ke hospital Daerah Tanah Merah untuk dirawat.   Anak-anak Mek yang berada di rantauan sudah mula berangkat pulang ke kampung pada petang hari Mek diberitakan jatuh sakit.  

Kami bertolak balik pada Jumaat usai waktu persekolahan.  Saya terpaksa memohon jasa baik Pengetua untuk meluluskan cuti CRK....

Sesampainya di Hospital Daerah Tanah Merah, kebetulannya hampir waktu melawat. 

Hati terasa hiba melihat Mek terlantar di katil tanpa boleh bergerak dan tidak boleh berkata-kata.   Air matanya meleleh apabila terdengar suara anak menantu dan cucu....

Dalam hati kupanjatkan doa agar Mek cepat sembuh.  Semoga Mek sempat menjejak kakinya di teratak baru kami.  Semoga Mek boleh bersama-sama meraikan majlis kesyukuran keluarga tidak lama lagi.....

Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada Bonda Nik Zakiah untuk menghadapi ujian ini.  Mek, cepatlah sembuh dan kembali berceloteh seperti dulu..... 


Sunday, June 17, 2012

Setiap hari... HARI BAPA

Hari ini, 17 JUN 2012 - hari minggu yang ke-3 bagi bulan Jun - HARI BAPA diraikan di seluruh dunia. Sebenarnya, kita tidak perlu menunggu tarikh tersebut untuk meraikannya... ibu dan bapa perlu diraikan pada setiap masa sementara masih ada ruang waktu...

Peranan dan tanggungjawab seorang insan yang bergelar bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun bapa tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menghargai dan memberikan kebahagiaan kepada bapa yang dikasihi.

Insan yang bergelar bapa ini telah membesarkan kami dengan limpahan kasih sayang walaupun kehidupan kami sekeluarga agak sederhana...segala pengorbanannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata..! TERIMA KASIH, PAPA. 

Semoga Papa akan kembali sihat seperti sedia kala.... dan insyaAllah Papa akan menerima cicit pertama daripada cucu kedua Papa, MOHD FAHMI NAIN tidak lama lagi.

 

Selamat Hari Bapa juga ditujukan istimewa untuk AYAHANDA kepada putera puteriku. Seorang AYAH yang sentiasa prihatin dengan keperluan anak-anak dan kaya dengan kasih sayang. Terima kasih kerana menjadikan kami sangat bermakna dalam hidupmu. 


Oleh itu, pada kesempatan sambutan HARI BAPA yang diraikan di seluruh dunia, anak-anak yang masih berpeluang menghargai BAPA mereka, jadikan hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat beliau... hargailah bapa kita pada setiap masa... 

"...Papa, engkaulah segala-galanya untuk kami ...."

Hari ini juga merupakan hari yang sangat bermakna, 27 REJAB.... marilah sama-sama kita mengingati dan menghayati peristiwa Isra' dan Mi'raj....


 

Thursday, May 10, 2012

Raikan ibu....

HARI IBU jatuh pada hari Ahad minggu kedua bulan MEI setiap tahun. Pada tahun ini, Hari Ibu jatuh pada 13 Mei 2012. Sama ada kita memanggilnya ibu, mak, ummi, mama atau mummy, maknanya sama sahaja.

Ibu adalah panggilan istimewa seorang anak kepada wanita istimewa yang melahirkannya.
Biarpun kasih sayang, pengorbanan dan jasa ibu saban hari dikenang selagi hayat dikandung badan, namun sambutan Hari Ibu memberi makna yang amat besar kepada semua ibu di negara ini.
Mama bersama 7 daripada 8 orang Puterinya.....

Peranan dan tanggungjawab wanita yang bergelar ibu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun ibu tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak sudah menjadi tanggungjawab mereka menghargai dan memberikan kebahagiaan kepda ibu yang dikasihi.


Oleh itu, pada kesempatan sambutan HARI IBU yang diraikan di seluruh negara Ahad ini, anak-anak yang masih berpeluang menghargai ibu mereka, jadikanlah hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat si ibu.... hargailah ibu kita pada setiap masa sementara masih ada ruang waktu....



Mama bersama satu-satunya Kakandanya.... Mok Abe

Ucapan Hari Ibu juga ditujukan istimewa untuk Bonda Mertuaku... Hjh Nik Zakiah Bt. Hj Nik Mat.  Semoga Mek sentiasa sihat dalam meniti usia emas ini.  Walaupun anak-anak Mek jauh di perantauan, namun Mek sentiasa di hati mereka....

SESUNGGUHNYA, SETIAP HARI MERUPAKAN HARI IBU....!

.... sekadar mengingatkan diri sendiri
"...Mama, engkaulah RATU hati kami sepanjang waktu...."

hujung minggu lepas balik KB bertemu Mama....



Monday, April 9, 2012

Pertama kali yang sungguh bermakna....

Seronok juga balik KB dengan bas.  

stesen bas KB
Sudah 2 kali saya balik ke KB dengan bas.  Pertama kali pada awal perpindahan saya ke Kuantan.  Balik bersama suami dan dan puteri bongsu kami.  Pulang sempena Hari Raya Aidil Adha setelah seminggu sesi persekolahan 2006 bermula.  Balik untuk mengambil kereta saya yang terpaksa ditinggalkan di KB semasa kami berpindah ke Kuantan pada akhir tahun 2005.  Kali kedua, bersama rakan yang sama-sama mengajar di SMKTP.   Saya dan Puan Zaleha ke KB untuk megikuti Kursus PTK3 di Hotel Perdana KB pada pertengahan 2006.

Perjalanan kali ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki bas berseorangan dari Kuantan ke KB. 

Teringat kenangan pertama kali naik bas berseorangan dari KL - KB 30 tahun yang lalu.  Ketika itu, saya masih lagi freshie.  Baru tamat Minggu Haluan Siswa.   Saya terpaksa balik kerana kaki saya sakit ketika menjalani aktiviti Minggu Haluan Siswa.  Pada mulanya tidak terlintas di minda untuk pulang, lebih-lebih lagi berseorangan, tetapi memandangkan kesakitan itu sudah terasa hingga ke lutut, rakan-rakan senior menasihatkan saya agar pulang ke kampung untuk berubat.    Atok Che Daud tukang urut tersohor, jadi saya mengambil keputusan untuk pulang berurut dengan Atok. Pulang bersendirian.  


Minggu pertama, tak kenal lagi KL.  Untuk ke stesen bas ekspres pun tak tahu jalan yang perlu diambil.  Nasib baiklah rakan sekelas semasa di SIC, Azmi Nasir sudi hantar saya ke stesen bas di Medan Mara, Jalan Raja Laut....hantar dengan bas mini....!   Ketika itu, tahun 1982, belum ada stesen bas Hentian Putra.  Azmi Nasir di Kolej Kediaman Pertama, saya  pula di Kolej Kediaman Kedua.  Dia berjalan kaki menjemput saya di Kolej  Kedua sebelum berjalan kaki ke Jalan Pantai Baru untuk mendapatkan bas mini....  Sahabat saya itu menunggu sehingga bas ekspres MARA yang saya naiki bergerak...

Itulah pengalaman pertama saya menaiki bas bersendirian dari KL - KB..... Kenangan ini akan saya simpan dalam ingatan sampai bila-bila.   Susahnya dahulu berbanding dengan anak-anak kita sekarang.....!  Sesungguhnya saya terhutang budi kepada rakan sekelas saya itu.  Terima kasih, Azmi.  

Jumaat lepas, 6 APRIL 2012.... saya telah mengambil keputusan untuk balik menjenguk Papa.  Papa tidak sihat.  Rasa ralat jika tidak menjenguknya buat seketika.  Inilah kali pertama kesihatan Papa agak uzur dalam usianya mencecah 70 tahun.  Sejak mendapat panggilan telefon daripada Papa pada petang Selasa lepas, hati terasa tidak tenang walaupun Papa menegaskan bahawa sakitnya tidak serius. 

Kebetulannya suami sedang bertugas di luar daerah sehingga hari Ahad.  Jadi terpaksalah saya menaiki bas bersendirian ke KB.   Bas Transnasional dari Kuantan menuju KB bertolak tepat pada pukul 1.30 petang dan tiba di stesen bas KB pada pukul 9.00 malam.
hampir pukul 6 ptg... lebih separuh perjalanan menuju destinasi....

Saya meninggalkan Kuantan dengan hati yang berbelah bahagi kerana pada hari Sabtu ada LADAP Panitia BM di sekolah.  Dalam masa yang sama fikiran saya pula  melayang-layang nun jauh di kampung halaman.  Terbayang-bayang keadaan Papa yang terbaring keuzuran di rumah.....  Saya pujuk hati dan percaya bahawa tindakan saya ini adalah paling tepat.... saya perlu segera menjenguk Papa.  Terima kasih rakan-rakan, terutama Cikgu Fuziellah dan Cikgu Noraisah kerana sudi mengambil alih tugas saya mengendalikan LADAP Panitia BM pada 7 April lepas. Terima kasih juga kepada Mr. See dan Mr. Chan kerana memahami situasi saya ketika itu....


Pengalaman pertama kali ini sangat bermakna.   Terasa puas kerana dapat menjenguk Papa dan Mama.  Dapat melihat sendiri keadaan Papa.  Dapat mencium tangan Papa dan dapat memeluk Papa.  Syukur alhamdulillah, kesihatan Papa bertambah baik.  Semoga dalam tempoh yang terdekat ini Papa akan kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa.  Jelas terpancar riak gembira pada wajah Papa.  Anak-anak bersatu untuk memastikan Papa segera sembuh.   Yang jauh di perantauan, yang tidak dapat pulang atas urusan kerja tidak henti-henti menitipkan doa agar Papa terus bersemangat dan tabah dengan ujian ini.
setia menanti di stesen bas KB dalam hujan yang sekali-sekala lebat membasahi bumi


Pengalaman pertama kali ini akan saya kenang sampai bila-bila.  Sedikitpun tidak terasa kepenatan walaupun saya sempat bersama keluarga selama 2 malam sahaja.  Saya bertolak balik ke Kuantan pada 8 April, Ahad.  Bas yang dijangka bertolak pada pukul 3.00 petang terlewat selama hampir 2 jam kerana mengalami kerosakan.  Bayangkan, pukul 1.40 petang saya sudah berada di stesen bas KB yang jaraknya hanya 6 km dari rumah.   Saya menunggu  dalam tempias hujan yang turun sekali-sekala lebat membasahi bumi Tanah Serendah Sekebun Bunga.   Syukur alhamdulillah, saya tiba dengan selamatnya di stesen bas Makmur tepat pada pukul 12.24 tengah malam.  

Papa bersama anak-anak dan cucu....

Perjalanan yang panjang langsung tidak memenatkan saya.  Saya rasa puas kerana dapat bertemu Papa.   Demi Papa, perjalanan yang lama sedikitpun tidak terasa.  

Papa, inilah sedikit sumbangan kami.  Hanya sedikit.  Sedikit waktu yang mampu kami luangkan untuk Papa.  Sesungguhnya, masa yang kami luangkan ini tidak akan sama sampai bila-bila jika dibandingkan dengan pengorbanan Papa.  Papa yang menjaga kami, membesarkan kami, memberi didikan kepada kami dan menumpahkan sepenuh kasih sayang sejak dilahirkan sehingga menjadi diri kami sekarang....

Papa lah segala-galanya....semoga Papa segera sembuh untuk kembali menceriakan keluarga besar kita.....

...terima kasih Sayang kerana mengizinkan saya untuk pulang buat seketika bertemu Papa.


Tuesday, April 3, 2012

Doa buat Papa....

Aku berdoa untuk seorang lelaki yang telah menjadi sebahagian hidupku
Seorang lelaki yang telah mengajarkanku bagaimana mencintaiMu
Seorang lelaki yang hadir dalam setiap doa setelah usai solatku
Seorang lelaki yang meletakkan namaku dalam lantunan doanya untukMu
Seorang lelaki yang hidup bukan hanya untuk dirinya sendiri, 
      tetapi juga untuku, Mama, adik-kakakku, dan untukMu
Seorang lelaki yang selalu menasihatiku untuk membakar kelemahan dan kekuranganku
Seorang lelaki yang merindui senyumku untuk mengatasi sedihnya
Seorang lelaki yang menjadi pemimpinku pada saat aku kehilangan arah

Seorang lelaki yang membutuhkan doaku untuk kehidupannya
Seorang lelaki yang selalu mengingatkanku akan mimpi besarku
Seorang lelaki yang menjadi pahlawan dalam keluargaku
Seorang lelaki yang kuingin untuk mendampingiku menuju JannahMu


...dan aku berdoa untuknya...

"Berikanlah kekuatan kepadanya untuk melalui ujianMu, agar dia mampu bangkit tiap kali badai menerpa
Berikanlah dia kehidupan yang mulia, sehingga dia dapat memuliakanMu
Berikanlah dia hati yang senantiasa ikhlas dan kuat menerima amanah-amanahMu
Berikanlah dia dada yang lapang, sehingga dia terus sabar dalam mendidik anak titipan dari Mu
Berikanlah dia umur yang berkah, sehingga setiap detik waktunya tak sia-sia di mata Mu..."

“Allah  tidak  membebani  seseorang  melainkan  sesuai  dengan  kesanggupannya.  Ia mendapat  pahala  (dari  kebajikan)  yang  diusahakannya  dan  ia  mendapat  siksa  (dari kejahatan)  yang  dikerjakannya.  (Mereka  berdoa)  :”Ya  Tuhan  kami,  janganlah  Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau berikan kepada orang- orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampuni kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”.”(QS. Al-baqarah : 286)

Ya Allah. Jadikanlah aku anak yang soleh, sehingga aku dapat menjadi pembuka gerbang syurga untuknya.
Ya Allah. Lindungilah orang yang kucintai dan mencintaiku dengan cintaMu.

Semoga Papa kembali sihat seperti sediakala....

Ameen….

Tuesday, January 3, 2012

Selamat Ulang Tahun Kelahiran....Jan's

Text Colour

Tahun baru, bulan baru, usia juga baru.

Januari meraikan ulang tahun kelahiran empat orang ahli keluarga terdekat.

Pembuka tirai tahun ini ialah adinda MUTIA ANGGEREK, puteri ke-6 HJ JUSOH DAUD & HJH CHE HALIMAH CHE YUSOFF yang akan menyambut ulang tahun kelahiran hari ini, Rabu, 3 JANUARI 2012....


Buat Adinda Anggerek,

Masih segar dala
m ingatan, saat adinda Anggerek hadir dalam keluarga kita 29 tahun yang lalu. Ketika itu Kak La masih menuntut di Lembah Pantai dan sedang bergelut untuk menghadapi peperiksaan akhir Tahun Pertama sesi 1982/1983. Cepatnya masa berlalu meninggalkan kita. Semoga adinda Anggerek terus cemerlang dalam kerjaya dan sentiasa ceria menempuh perjalanan hidup yang penuh dengan ujian ini....

Adinda Anggerek, ingatlah, janganlah kita sentiasa mengharapkan terbitnya 'pelangi' di siang hari kerana kadang-kadang awan mendung akan muncul tanpa diundang. Tapi percayalah, awan mendung yang menurunkan hujan rahmat akan berlalu juga apabila tiba masanya dan akan munculah pelangi yang indah. Fenomena ini akan menjadikan panorama hidup kita lebih indah dan berwarna warni....

23 Januari 1997 pula merupakan hari ulang tahun kelahiran buat anakanda saudara, AIN FEETREYNNA. puteri kepada ROSLENA JUSOH & MD ZAINUDDIN.

Istimewa untuk Fify yang kian menginjak usia remaja, Cik La sekeluarga mengucapkan selamat menyambut hari lahir yang ke-15. Semoga janji Fify yang diungkapkan sempena Tahun Baru 2012 beberapa hari lepas dikotakan. Doa daripada kami semua agar Fify dapat mengulangi kecemerlangan dalam PMR 2012 nanti....


Buat SHAWALTUL NAJWA, puteri kedua NORBANILAWATEY JUSOH & SAHAZALI AD yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-14 pada 30 Januari nanti, Cik La sekeluarga mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR, B. Cik La doakan agar Bee yang semakin ayu dalam meniti usia remaja ini terus menjadi anak yang solehah, yang sentiasa patuh kepada perintah Allah dan hormat akan orang tua. Semoga Bee juga akan melakar kejayaan dalam pelajaran.

Ucapan hari lahir juga ditujukan kepada adik sepupu DR HANIAH YUSOFF yang lebih dikenali dengan Kak Chek Ani, nama manjanya dalam kalangan keluarga kami. Kak Chek Ani akan menyambut ulang tahun kelahirannya pada 21hb JANUARI 2012...

SELAMAT HARI JADI untuk kalian berempat, semoga sejahtera sentiasa, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.