Showing posts with label cuti. Show all posts
Showing posts with label cuti. Show all posts

Wednesday, May 1, 2019

CUTI HARI BURUH @ PEKERJA


Selamat datang MEI.  Cepatnya masa meninggalkan kita... suku pertama 2019 sudah berlalu.  Mei bulan peperiksaan untuk anak-anak didikku.  Tahun ini kita menyambut Ramadan pada bulan Mei,

Hari ini, 1 MEI 2019, RABU - cuti umum sempena Hari Pekerja. Saya tidak merancang untuk ke mana-mana.... Santai dan berehat di rumah melayan cucuanda Mikhail sambil menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh.   

Mogok Haymarket 1886 di Chicago, Illinois
Hari Pekerja atau Hari Buruh merupakan  salah satu nama untuk pelbagai cuti tahunan yang diraikan pada 1 Mei (atau dalam permulaan bulan Mei). 

Hari ini juga disebut sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, yang diraikan bagi memperingati kejayaan pergerakan buruh melalui mogok umum dan Mogok Haymarket pada tahun 1886 yang menuntut lapan jam waktu bekerja di Amerika Syarikathttps://en.wikipedia.org/wiki/Haymarket_affair


SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA.... bekerjalah dengan ikhlas dan jujur, ganjarannya besar di dunia dan akhirat.



Monday, December 10, 2018

Disember Yang Padat

Disember yang sentiasa menghambat... 

Berulang alik antara kota kelahiran dengan kota tempat menggali rezeki.

Di KB, aku penunggu setia sambil menyiapkan kerja2 yang perlu diselesaikan sebagai persiapan utk sesi persekolahan yang baharu....Dia ke kantor melunaskan tanggungjawab.

Di Kuantan, aku ke pejabat menyelesaikan tugasan, dia di rumah mengemas dan menyediakan juadah enak...yang sentiasa ditunggu-tunggu anak-anak....

Begitulah, minggu bersilih ganti.

7 November - kami bertolak ke KB, selepas bermalam satu malam di PC, keesokannya, Mikhail kami hantar ke rumah TokMa nya di RP.  



9 NOVEMBER - kami ke HRPZ2, ziarah PokTeh yang dirawat di sana.  PokTeh nampak tidak banyak berubah berbanding seminggu sebelum itu ketika kami singgah ziarah di rumahnya di Taman Ayuni, Bt. 10 TM.


Semoga PokTeh terus kuat dan reda dengan ujian ini.  




Biarlah kenangan ini terakam di sini....




Balik daripada menziarahi PokTeh, kami singgah di Miria.  Sudah agak lama tidak meroti canai di sini....Bukan selalu dapat bersama Papa makan-makan begini.





Alhamdulillah, Papa nampak sihat dan ceria bersama-sama anak-anak.  13 Disember, kami akan balik semula ke Kuantan.

Begitulah, sehingga penghujung Disember...LPT2 menjadi penghubung KB - Ktn.


Friday, November 23, 2018

Minggu-minggu Terakhir Sesi Persekolahan 2018

Akhirnya, sesi persekolahan 2018 sampai ke penghujungnya.  

Minggu ini merupakan minggu terakhir persekolahan.  Dalam kesibukan melunaskan tugasan akhir tahun, pelbagai program telah dirancang untuk memastikan kemenjadian murid berjalan seperti biasa.





































23 NOVEMBER 2018 merupakan hari terakhir PUAN SITI SARA  di SMKTPsetelah berkhidmat di TP berbelas-belas tahun lamanya.  Semasa saya mula bertugas di TP, Siti Sara sedang bercuti tanpa gaji mengikuti suami yang sambung belajar di UK.







Walaupun sekolah sudah mula bercuti, tugasan yang diamanahkan sebagai persiapan sesi baharu 2019 perlu dilunaskan.  Begitulah ketentuannya, berulang alik Kuantan - KB - Kuantan dalam masa beberapa minggu ini.   

Semoga dalam beberapa tahun terakhir ini sebagai penjawat awam, aku dapat menyumbang bakti terbaik buat semua.  Insya-Allah.


Sunday, June 3, 2012

Awal Jun - bercuti dan berehat di rumah....

Tahun lepas pada tarikh dan minggu yang sama saya sekeluarga dan beberapa orang adik bercuti di kampung halaman bersama bonda dan ayahanda tercinta.

1.6.11 jalan-jalan di KB


2.6.11 bersantai di tepi Pantai Irama, Bachok


3.6.11 makan-makan di Royal Kelantan (RK) Western Food, KB....



Semalam, hari ini dan beberapa hari lagi saya menghabiskan cuti di rumah saya di IM6 Kuantan. 

1.6.12 - Adinda Anggerek dan Nadia datang bercuti di Kuantan bersama dua orang anak saudara tersayang.... B & C.... A baru 2 minggu di UPM, jadi susahlah sikit untuk Along Tasya ikut sekali.   Mereka bermalam di Tembeling Resort, Teluk Chempedak.  

pandangan dari anjung Studio Aprtm D-3-10

Eeka nak mandi dan berenang di kolam.... Bee pula nak jalan-jalan makan angin di pantai Teluk Chempedak.  

Eeka yang mabuk berenang....

Malam tu kami makan-makan di Sara Thai Kitchen, Jln Teluk Sisek....

ramai-ramai di Sara Thai Kitchen....

Petang Sabtu, 2.6.12 pula kami ramai-ramai ke Pantai Batu Hitam.  Eeka tak puas hati kerana tak dapat mandi pantai

sepetang di Pantai Batu Hitam....

Pada sebelah malamnya adinda Melisa Kamelia atau lebih mesra kami panggilnya Kakak datang bertandang ke rumah saya di IM6 bersama Jai dan anak-anak.  Kebetulan Kakak balik ke rumah bonda mentuanya di kampung Seberang Balok....  Dapatlah tengok baby Zharif yang sekarang dah masuk usia 6 bulan.  

bersama baby Zharif....

Terima kasih Ya dan Wan kerana menjenguk kami.  Terima kasih Kakak kerana singgah di teratak kami....




Monday, May 28, 2012

seketika di kampung....

25.5.12 - usai solat Jumaat, kami bertolak balik ke kampung halaman.  

Cuti sekolah bermula esok selama 2 minggu.   Kebetulan Anakanda CT Nadiah juga bercuti selama seminggu, jadi dapatlah kami balik sama-sama.  Tak lama, hanya 3 malam.  Isnin, kami  sudah kembali ke Kuantan.

Kami tiba di rumah Mama sudah agak lewat.  Malam.  Mama akan mengikuti rombongan lawatan ke Acheh yang dijangka bertolak pada hari Ahad nanti.   
masih dalam pembinaan....

Esoknya, pagi-pagi lagi kami ke tapak rumah kami yang masih dalam pembinaan.  Selepas itu kami ke Pasar Siti Khadijah sebelum balik menjengok Mek di Batang Merbau, Tanah Merah.   Abang Mie minta tolong belikan serunding daging yang selalu kami hadiahkan kepadanya.  Sedap katanya....  

serunding @ sambal daging Kak Ani di Pasar Siti Khadijah....


bersantai sambil minum air nyiur muda....

puteri tunggal bongsu kami....

Sebelum ke TM, kami singgah di rumah Mama terlebih dahulu untuk mengambil apa-apa yang patut dan yang pasti untuk minum kopi-o panas yang disediakan oleh Mama.  Kebetulannya Papa sudah ada di rumah.  Papa nampaknya semakin sihat, cuma belum boleh berjalan-jalan di KB.  Selepas berbual-bual seketika dengan Papa, kami meminta izin untuk bertolak balik ke TM.

Kami tiba di rumah Mek ketika zohor sudah hampir ke penghujung.   Abang Mie tiba kira-kira 30 minit selepas itu dan Pak Teh sampai melewati waktu Asar.  Malam itu, keempat-empat anakanda Bonda Nik Zakiah berkumpul di rumah Mek.  A'zemin Mamat, Nain Mamat, Lokman Mamat dan Aynun Mamat. 

Bilangan anak-anak Mek sudah kurang.  Tinggal 4 daripada 6. Terasa seolah-olah ada yang tertinggal.  Terasa-rasa seperti Che Long masih ada.  Itulah hakikat kehidupan.... dua anak Mek sudah kembali menemui Penciptanya.   Arwah Abang Aziz kembali ke rahmatullah hampir 7 tahun yang lalu, manakalah arwah Che Long @ Kak Mah pada Hari Raya Haji yang kedua @ 11 Zulhijjah yang lepas.  

Kini, tinggallah Mek menghabiskan usia yang sudah semakin lanjut, yang kudratnya semakin menipis hari demi hari bersama dua orang cucunya, anak kepada puteri Mek yang bongsu - Su Aynun....  Mek sudah agak uzur sejak beberapa bulan kebelangan ini.   Mek terpaksa  menggunakan tongkat untuk berjalan bagi mengurangkan sengsara sakit lututnya.
tongkat Mek.... lama dan baru

Esok paginya, sebelum saya bertolak balik ke rumah Mama di KB, kami ke pekan TM untuk membeli tongkat yang lebih selesa untuk Mek gunakan. 

Kami bertolak balik dari rumah Mama di KB sebelum tengah hari.... Mama masih di Acheh dan hanya akan balik pada petang Rabu nanti.

kenangan Mama di Acheh....

Kami sampai di rumah di IM6 Kuantan sebelum azan Maghrib berkumandang di udara....


Friday, May 18, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (2)

Hari kedua,  sebelah petang usai majlis resepsi kami menyusuri Sungai Kuching @ Sungai Sarawak dengan cruise @ bot melepasi kediaman Ketua Menteri Sarawak.  
mesra bersama keluarga Kak Ha & Abe Him

Kami 9 orang semuanya, dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 seorang.  Biasanya RM20 hanya sehingga jambatan, jika ingin melewati kediaman KMS, akan dikenakan bayaran sebanyak RM25 seorang.  Memandangkan kami dalam jumlah yang ramai, pemandu cruise itu memberi diskaun kepada kami.  


menunggu di jeti...
Semasa kami mula menjejakkan kaki ke perut bot itu, awan kelabu bertompok hitam di sana-sini sedang melintasi sungai Kuching.  Sungai Kuching agak luas dan lebar.    Bot yang kami naiki akan mudik ke hilir sehingga tiba di kawasan rumah kediaman Ketua Menteri Sarawak.   Panorama di sepanjang sungai kelihatan menarik.  

menyusuri Sungai Kuching @ Sungai Sarawak....
Menurut pemandu bot tersebut, Kuching ditadbir oleh dua orang Datuk Bandar daripada dua kaum yang berbeza.   Pembangunan antara kedua-dua belah sungai nampak ketara perbezaannya.  Di sebelah kanan sungai  menghala ke muara kelihatan banyak bangunan tinggi terdiri daripada hotel, pejabat pentadbiran dan pusat beli belah.  Hotel Magheritta, Hilton dan lain-lain lagi mewarnai panorama tebing kanan sungai pada waktu malam.  Seronok sungguh melihat pemandangan di kiri dan kanak tebing sungai Kuching yang lebar ini. 
Kuching Water Front

Cuaca mula mencemburui kami.  Langit mendung bertukar kelabu gelap menandakan hujan akan turun pada bila-bila masa.  Ketika kami melepasi kawasan kediaman KM yang tersergam indah di tebing sebelah kiri Sungai Kuching, pemandu bot mula mengubah haluan dan membuat pusingan mudik ke hulu menghala ke jeti semula.  Ketika inilah tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya berserta angin yang agak kencang.  Saat itu kami berada di tengah-tengah Sungai Kuching. 
pandangan dari cermin tingkap bot... hujan dan air sungai bergabung ....

Jarak penglihatan menjadi semakin kabur.  Hati mula berasa bimbang.  Di kiri kanan tebing sudah tidak nampak apa-apa.  Kelabu dan putih berkabut.  Tidak ada lagi bangunan batu dan rumah penduduk yang kelihatan.   Air hujan yang lebat meleleh masuk melalui cermin tingkap.  Walaupun tidak banyak tetapi sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam keadaan hujan lebat dan angin bertiup kencang ini.  Kalau sebelum ini kami tidak henti-henti menemubual pemandu bot ini, tetapi kini suasana sunyi sepi. Hanya enjin bot dan deburan air hujan memecah kesenyapan kami.
air hujan yang meleleh keluar melalui tingkap bertakung di lantai bot

Perjalanan kami masih jauh.  Kelajuan bot menjadi agak perlahan kerana pemandangan di hadapan sangat kelam dan kabur.  Kami tidak mahu mengganggu konsentrasi pemandu bot, jadi lebih baik berdiam dan berdoa dalam hati agar tidak ada perkara buruk berlaku.....!  Terasa pergerakan bot perlahan sangat.  Terasa lama berada di dalam bot berbanding ketika mudik ke hilir. 

Hati berasa lega kerana jeti tempat kami naik sudah kelihatan.  Hujan pun sudah semakin reda.  Bot hanya melewati jeti tanpa singgah menurunkan kami rupa-rupanya.  Ada lagi jarak perjalanan yang perlu dihabiskan.   Sambil bergurau, Abang Safuan berkata, "kita baru habis RM15.00 ada lagi RM5.00...."  Bot yang kami naiki terus menghala ke hulu.  Di sebelah kanan kami kelihatan bangunan Dewan Undangan Negeri gah berdiri di tebing Sungai Kuching yang menjadi mercu tanda dan kebanggaan penduduk Sarawak.
Bangunan DUN bersama titisan hujan....

Kami menjejak kaki di jeti dalam keadaan hujan masih turun renyai-renyai.   Kami bersyukur kerana telah sampai di pangkalan dengan selamatnya.....

Sebelum pulang kami singgah di Top Spot Food Court untuk makan malam. Medan Selera ini terletak di tingkat 6.  Kami menaiki lif untuk sampai ke sana.  Bangunan ini memang dikhaskan untuk medan selera ini sahaja, tidak ada kedai lain selain daripada kedai @ gerai makan.

Ramai betul peminat makanan laut singgah di sini dan benar gerai makanan berasaskan makanan laut, tetapi kebanyakannya gerai tidak halal.  Kami singgah di gerai Muslim Seafood.  

Saya tidak pasti apakah keistimewaan makanan laut di medan selera ini.... Makanannya memang sedap, tidak jauh bezanya berbanding dengan tempat-tempat lain terutamanya di Tanjung Lumpur, Kuantan.  Yang ketara bezanya ialah harga makanan di sini (khususnya di 'stall' makanan laut yang kami singgah) boleh tahan mahalnya.   Di gerai lain, tak pastilah pula.  Mungkin mereka "mengenakan" kami yang bukan penduduk tempatan....!  
menjamu selera di Top Spot Food Court....

Makanan yang belum saya cuba dan rasa di tempat lain ialah sejenis makanan laut yang dikenali sebagai 'ambal' goreng berlada.   Di semenanjung rasanya tidak ada jenis hidupan laut ini. Kalau ada pun sangat sukar ditemui.   Ambal ini sejenis dengan 'keluarga' kupang, kerang, kepah, lala, tijah dll yang terdapat di semenanjung....   
beginilah rupa ambal yang belum dimasak...

Kami beredar dari medan selera itu dengan senang hati.... gendang gendut tali kecapi; kenyang perut suka hati.... 

Sebenarnya, saya ada janji temu dengan sahabat yang telah lama terpisah pada malam itu....Dalam hati saya berdoa agar sahabat saya itu belum sampai di tempat penginapan kami untuk membawa kami ke rumahnya....!


Monday, November 14, 2011

BANDREK

Anda tahu Bandrek?

Semasa wisata kami ke Gunung Tangkuban Prahu hujung bulan lepas, kami sempat singgah di sebuah gerai menjual minuman yang terdapat di situ. Cikgu Ishak mempelawa kami untuk minum teh halia. Kami bayangkan teh tanpa susu dicampur dengan halia.

Rupa-rupanya telahan kami silap. Apabila dihidangkan, yang dikatakan 'teh halia' itu dikenali sebagai 'bandrek' yang rasanya seperti minum jamu selepas bersalin tetapi agak manis....! Tak tertelan rasanya kerana manis dan pedas berempah.... Memang sukar untuk kami habiskan segelas besar "teh halia" panas yang sedikitpun tak ada rasa teh itu. Walau bagaimanapun, isteri En. Wan boleh habiskannya dan terus membeli bandrek serbuk dengan harga 20000 rupiah (kalau tak silap) untuk 6 kotak kecil bandrek. Cikgu Ishak pula minum bandrek yang dicampur dengan susu....!

Sebenarnya, bandrék ialah minuman tradisional orang Sunda dari Jawa Barat, Indonesia. Minuman ini biasanya dihidangkan pada cuaca dingin, seperti ketika hujan ataupun pada malam hari. Bahan asas bandrék yang paling penting ialah halia dan gula merah. Sesetengah daerah tertentu menambahkan rempah-rempah tersendiri untuk memperkuat kesan hangat yang diberikan bandrék. Susu juga dapat ditambahkan tergantung selera penyajian. Ramai orang Indonesia percaya bahawa bandrék dapat menyembuhkan penyakit ringan. Minuman ini juga berkhasiat menghilangkan masuk angin.

Bandrek ini rasanya manis, hangat dan sedikit "spicy" atau pedas. Tak terbayangkan ada minuman yang rasanya pedas, kan? Minuman ini terbuat dari gula merah, gula putih, halia, dan dicampur dengan beberapa jenis rempah.

Menurut penjual di gerai itu, di Indonesia pada zaman dahulu, khususnya di Jawa Barat, bandrek ini sering dijual di kedai-kedai bandrek, dan menjadi minuman wajib untuk orang tua di daerah Sunda sebelum turun ke ladang atau sawah.

Kini, seiring perkembangan zaman, Bandrek digemari oleh generasi tua mahupun muda. Bahkan sekarang ini, bandrek dihasilkan dalam bentuk instant / segera. Ada yang berbentuk seperti syrup atau cair dan ada juga yang berbentuk serbuk instant.

Setelah digoogle, dapatlah saya sertakan di sini resipi asas bandrek. Manalah tahu ada yang ingin mencubanya....

Bahan-bahan

Cara menyediakannya :

  1. Semua bahan disatukan
  2. Rebus air hingga mendidih serta mengeluarkan aroma bandrek
  3. Angkat lalu saring dengan saringan halus
  4. Sajikan dalam keadaan hangat

Sesiapa yang berhasrat ke Bandung, bolehlah mencuba bandrek ini dan dapat tahu rasanya yang sebenar....!