Showing posts with label sejarah. Show all posts
Showing posts with label sejarah. Show all posts

Sunday, August 16, 2015

Peristiwa di Ladang Ng Tiong Kiat @ Sungai Jerik


Sebelum saya bertukar ke Jengka pada tahun 2000, saya tidak pernah mendengar nama tempat ini... Tiong Kiat (disebut Tong Kiat oleh penduduk setempat). Tempat ini juga dikenali sebagai Pekan Sg. Jerik, sebuah kampung baru yang menempatkan masyarakat Cina yang sebahagiannya datang dari Sitiawan, Perak yang letaknya dalam daerah Jerantut dan tidak jauh daripada Bandar Pusat Jengka.

Hutan Lipur Lubuk Yu yang hangat diperkatakan suatu ketika dahulu, (lepas selepas 6 orang maut dan 83 orang lagi dijangkiti virus kencing tikus), agak hampir dengan Pekan Sungai Jerik @ Tiong Kiat ini.

Pada tahun 2002, semasa membawa murid melawat muzium bandar diraja Pekan, saya terjumpa buku yang menceritakan satu peristiwa penting yang berlaku di Ladang Ng Tiong Kiat lebih 60 tahun yang lalu. Saya terpanggil untuk memiliki buku tersebut. Buku yang mengandungi pengkisahan "Peristiwa DYMM Sultan Pahang di Ladang Ng Tiong Kiat" mendekatkan lagi saya dengan tempat itu. Malang sekali buku tersebut telah hilang setelah dipinjamkan kepada seorang rakan sekerja. Saya akan dapatkan semula buku tersebut sekiranya saya berkesempatan sekali lagi ke muzium Pekan.

Kisah ini akan saya kongsikan dengan semua pengunjung blog ini....

PERISTIWA DYMM SULTAN PAHANG DICULIK

Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ogos tahun 1945...

Peristiwa sebenar tentang 'penculikan' DYMM Sultan Abu Bakar telah diceritakan oleh Tan Sri (Jeneral) Ungku Nazaruddin bin Ungku Muhammmad dalam suatu majlis pengkisahan pada malam 17 April 1992 bersempena dengan Seminar Sejarah Negeri Pahang. Ayahanda kepada Ungku Nazaruddin turut bersama dalam rombongan DYMM ke Kuala Lipis pada 17 Ogos 1945 sebagai jurubahasa dan juruiring kepada baginda Sultan. Yang turut mengikuti rombongan itu ialah Dato' Mahmud b. Mat (Pegawai Daerah Kuantan); Encik Abdullah b. Sihat (Pegawai Daerah Pekan); Encik Daud b. Ismail (Ketua Pelayan); Encik Abu Bakar b. Chik (Vallet); dan Encik Talib b. Muhammad (Pemandu).

Dalam keadaan yang tidak menentu
pada pertengahan Ogos 1945, DYMM Sultan Abu Bakar telah berangkat dari istana baginda di Pekan ke Kuala Lipis yang pada masa itu merupakan pusat pentadbiran bagi negeri Pahang. Keberangkatan baginda bertujuan untuk membincangkan pentadbiran negeri Pahang yang pada masa itu dalam keadaan tidak menentu.

Dalam perjalanan pulang, baginda dikatakan hilang kerana diculik semasa berada di ladang Ng Tiong Kiat (kini dikenali juga dengan Pekan Sg Jerik, Jerantut). Lokasinya adalah di antara Jerantut dengan Kuantan. Menurut cerita yang tersebar luas, baginda diculik oleh MPAJA. Ekoran daripada peristiwa itu, pihak Jepun mengapi-apikan perasaan orang Melayu supaya bangkit menentang orang Cina dan MPAJA.

Baginda dan rombongan bertolak ke Kuala Lipis pada 16 Ogos 1945 sebagai memenuhi jemputan Gabenor Pemerintah Tentera Jepun bagi negeri Pahang Darul Makmur untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 15 Sept 1945. Selain itu, Gabenor bagi negeri Pahang itu memberitahu bahawa beliau akan menamatkan khidmatnya di negeri Pahang dan seorang yang baru akan mengambil alih tempatnya. Digambarkan pertemuan itu diadakan "dalam suasana yang dingin serta penuh dengan syak wasangka", kerana ketika itu sudah nampak tanda-tanda bahawa Jepun terpaksa menyerah diri setelah berlakunya pengguguran dua biji bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.


Dalam perjalanan pulang, ketika sampai di ladang ubi Ng Tiong Kiat, kira-kira pukul 6.00 petang, mereka berhenti di situ untuk mengambil 2 ekor kambing gurun yang dipesan oleh Tuanku sendiri semasa dalam perjalanan dari Pekan ke Kuala Lipis. Di sinilah mereka 'diculik', iaitu diarah supaya tinggal di kem kumpulan gerila OSS 404 (Cairgorum II) yang dipimpin oleh Geaney bersama dengan gerila Force 136 kumpulan Pontoon di bawah pimpinan Mejar Leonard. Tuanku dan ahli rombongan cuma diberitahu bahawa penculikan ini terpaksa dilakukan demi menjaga keselamatan Tuanku sebagai pemerintah tertinggi negeri Pahang.


Dari ladang ubi Ng Tiong Kiat, Tuanku dan rombongan dibawa masuk ke kawasan pedalaman Hutan Simpan Jengka-Chenor, iaitu kem gerila British dan Amerika. (kini kawasan ini menjadi penempatan LKTP @ Felda Jengka).

DYMM serta rombongan berangkat balik meninggalkan tempat perladangan itu pada 12 September, iaitu setelah 27 hari berada di kawasan hutan simpanan itu dan setelah diberitahu bahawa Jepun telah menyerah diri. Tuanku diiringi oleh kumpulan Force 136 bersama dengan 10 anggota gerila wataniah yang berpakaian seragam lengkap dengan senjata.

Difahamkan bahawa markas SEAC di Colombo telah meminta Force 136 dan OSS 404 (Amerika) memberi perlindungan kepada DYMM dan rombongan kerana kuatir pada masa kekosongan kuasa dalam masa peralihan di antara penyerahan diri Jepun dan kedatangan Tentera Bersekutu, pihak MPAJA akan mengambil peluang untuk merampas kuasa dan menggunakan Tuanku sebagai tebusan.

Sesampainya Tuanku di Istana Seri Terentang, Bandar Diraja Pekan, baginda disambut seperti "orang mati hidup semula" kerana ada di antaranya yang menyangka bahawa DYMM telah mangkat dibunuh oleh MPAJA.

Sekadar berkongsi cerita sejarah...

Foto (1) : DYMM Sultan Abu Bakar (2) Residency, iaitu tempat tinggal Gabenor Jepun di Kuala Lipis yang merupakan tempat pertemuan antara Gabenor dan Baginda Sultan.

Sumber : Buku "Peristiwa Almarhum Sultan Abu Bakar Di Ladang Ng Tiong Kiat Pada Tahun 1945" oleh Ungku Nazaruddin, Lembaga Muzium Negeri Pahang.


Sunday, September 15, 2013

SELAMAT HARI MALAYSIA

Esok, Isnin 16 SEPTEMBER 2013 merupakan Hari Malaysia.

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama tahun 1963, 3 hari sebelum saya menyambut ulang tahun kelahiran yang pertama.

Perisytiharan ini menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. 

Pada asalnya, pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-6. 
Periystiharan Pembentukan MALAYSIA pada 16 SEPTEMBER 1963....

Selain itu, beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambat pengisytiharan hingga ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan hari cuti umum di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri

Walaupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti umum di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti umum di semua negeri di Malaysia.



Tuesday, August 6, 2013

PERISTIWA PENGEBOMAN HIROSHIMA & NAGASAKI





Hari ini, 6 Ogos, 68 tahun yang lalu gugurlah sebutir bom atom di bandar Hiroshima. 3 hari berikutnya, iaitu pada 9 Ogos bandar Nagasaki pula dibom. Bom atom yang buat pertama kalinya digunakan dalam sejarah tamadun manusia ini meninggalkan kesan yang amat dahsyat.

Dalam tragedi ini, beberapa orang anak Melayu yang menuntut di Jepun pada waktu itu berhadapan dengan saat-saat getir bertarung nyawa untuk hidup. Salah seorang daripadanya ialah Abd. Razak Abd. Hamid, anak Melayu yang berasal dari Kampung Baru, KL terkena bom di Hiroshima tetapi selamat!

Saya hadir ke majlis pengkisahan beliau berhadapan dengan peristiwa yang nyaris-nyaris meragut nyawanya di Hiroshima ini. Majlis tersebut diadakan pada pertengahan 1989 di Dewan Tun Syed Nasir, DBP Kuala Lumpur.

Pada pukul 8.15 pagi, 6 Ogos 1945, Abd Razak yang ketika itu berusia 20 tahun sedang berada di bilik kuliah Universiti Hiroshima. Tiba-tiba, satu pancaran cahaya yang amat terang membelah cahaya matahari. Sedetik kemudian bangunan universitinya ranap dan Abd Razak tidak sedarkan diri.


Setelah sedar kemudiannya, dia bersama-sama dengan Pangeran Yusof (anak Brunei) keluar daripada runtuhan itu. Apakah yang dilihatnya di luar? Sejauh mata memandang tidak ada apa- apa yang tinggal, padang jarak padang tekukur. Bangunan menyembah bumi. Manusia hangus di sana-sini. Orang yang hidup tidak serupa manusia, kulitnya mengelupas dan dagingnya merah. Jeritan di sana-sini meminta tolong dan meminta air. Air sungai sudah beracun!

Bermula dari detik itu, Abd Razak mengalami pengalaman yang pahit, sedih dan dahsyat. Mulalah dia mengumpulkan debu-debu kehidupan teman-temannya dan orang-orang yang dikenalinya di samping menolong dan menyelamat mangsa-mangsa yang lain.

Inilah suatu kisah dahsyat yang ngeri, sedih, pilu dan penuh linangan air mata. Dalam keadaan inilah anak Melayu ini tegak dan terus hidup dengan tiada apa-apa cacat celanya. Sesuatu yang menakjubkan! Kisah ini diabadikan dalam buku "Debu Hiroshima", terbitan DBP, 1987.

Selepas selamat pulang ke tanah air pada awal November 1945, beliau meneruskan pengajiannya di SITC, Tanjung Malim. Sebelum bersara, beliau merupakan pensyarah bahasa Jepun di ITM (UiTM), Shah Alam.

Menurut Cikgu Razak dalam bukunya itu, persiapan untuk misi pengeboman itu telah dilakukan 2 tahun sebelumnya. Persiapan membuat bom atom dilakukan dengan nama rahsia 'Projek Manhattan' di padang pasir New Mexico. Apabila persiapan itu beroleh kejayaan, pihak Amerika memindahkan bom itu ke sebuah pelabuhan.

Dari segi bentuknya, tiada luar biasa mengenai bom atom. Ia serupa sahaja dengan bom-bom yang lain, kecuali saiznya yang lebih panjang dan besar. Ia berukuran 3 meter panjang dengan garis pusat 0.7 meter. Beratnya 4 tan dengan kekuatan 20,000 tan TNT. Bom ini dibawa oleh kapal terbang pengebom, Enola Gay.

Kehadiran kapal terbang pengebom ni sebenarnya telah dapat dikesan pada pukul 7.25 pagi dan siren amaran serangan udara berkumandang nyaring di bandar Hiroshima untuk kesekian kalinya. Serentak dengan itu, Radio Hiroshima juga menyiarkan pengumuman tentang kedatangan kapal terbang pengebom musuh. Walau bagaimanapun, penduduk-penduduk Hiroshima tidak menghiraukan sama sekali amaran serangan udara itu. Mereka bersikap tenang, seperti biasa kerana telah lali dengan amaran serangan udara.... !

Sesungguhnya, peperangan banyak membawa kemusnahan...

Sumber : 'Debu Hiroshima', 1987, Othman Puteh - Catatan pengalaman Cikgu Abd Razak di Hiroshima.



Wednesday, March 9, 2011

GAHARU


"sudah gaharu cendana pula"

Peribahasa di atas merupakan salah satu peribahasa yang disunting daripada perbendaharaan peribahasa Melayu, yang sering diungkapkan oleh masyarakat dahulu hingga sekarang.

Peribahasa ini diucapkan sebagai sindiran kepada mereka yang sudah tahu akan sesuatu hal yang diperkatakan, tetapi sengaja tertanya-tanya seolah-olah tidak tahu atau tidak faham; orang yang berlagak tidak tahu.

Selain peribahasa yang tertulis di atas, ada beberapa ungkapan dan peribahasa Melayu yang mengandungi perkataan gaharu di dalamnya. Antaranya ialah :
"Bakar gaharu, kemenyan berbau" bermaksud orang yang menunjukkan kelebihannya supaya dipercayai orang; dan
"seperti buku gaharu" yang bermaksud memperlihatkan kecekapan apabila tiba masanya. (Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 423)

Selain memberi makna yang tersendiri, ketiga-tiga peribahasa ini juga memberi gambaran jelas bahawa gaharu sudah terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu sejak zaman silam lagi.

Sebenarnya perkataan 'gaharu' berasal daripada perkataan Sanskrit "AGAHARU", iaitu sejenis kayu yang digunakan oleh masyarakat Hindu di Utara India sebagai ukuran timbangan pada zaman klasik (Garu maknanya berat).

Gaharu dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 423 membawa maksud sejenis kayu yang harum berasal daripada pokok tangkaras (Aquilaria Malaccensis). Ini bermakna kayu gaharu ini mempunyai bau yang harum. Itulah kelebihan yang dikurniakan oleh Maha Bijaksana Tuhan pencipta alam kepada kayu yang bernama gaharu.

Gaharu ialah sejenis kayu berdamar yang amat wangi apabila dibakar yang terhasil daripada jenis pokok kayu yang digelar dengan nama pokok gaharu, pokok depu ataupun pokok karas. Nama saintifiknya Aquilaria dari famili Thymelaecae dan terdapat 15 spesis dari genus Aquilaria. Antaranya hanya 8 jenis yang ada menghasilkan gaharu dan yang terbanyak adalah dari jenis Aquilaria Crassna, Aquilaria Malaccensis, Aquilaria Agallocha dan Aquilaria Sinesis.

Sejak pada zaman purba lagi gaharu telah digunakan dan digemari serta didagangkan dengan harga yang tinggi. Ia menjadi bahan utama dalam upacara keagamaan, perubatan dan bahan wangian. Bangsa Arab adalah antara pengguna terbesar dunia dan selainnya negara-negara seperti China, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Eropah dan lain-lain lagi. Gaharu juga digunakan bagi menghasilkan pelbagai produk seperti minyak wangi, ubat-ubatan bagi rawatan kecantikan serta minuman dan lain-lain lagi.

Lain-lain nama bagi 'gaharu' mengikut negara dan budaya ialah :
- Chen-xiang (dalam bahasa Cina) dan Jin Koh (dalam bahasa Jepun) = kayu yang tenggelam ("sinking incense)
- Pokok gaharu yang telah diproses menjadi minyak digelar Oud oleh bangsa Arab
- Di Eropah pula dikenali dengan nama Lignum aquila (eagle-wood) @ Agilawood kerana rupanya seperti bulu burung helang.
- Nama lain yang disebut dalam kitab-kitab agama Kristian - Aloeswood
- Di Malaysia dan Indonesia dikenali sebagai "gaharu"
- Di Papua New Guinea digelar "ghara"
- Di Vietnam pula dipanggil "tram huong"
- Di India dikenali sebagai "agar"
- Di Laos dipanggil dengan nama "Mai Ketsana"

GAHARU HASIL DAGANGAN PAHANG

"Angin Barat Daya meniup keharuman baunya sehingga menusuk ke hidung pedagang-pedagang di Tanah Besar China. Lantaran itu ketika angin Timur Laut mula bertiup, berlumba-lumbalah mereka belayar ke Semenanjung Tanah Melayu, ke sebuah negeri bernama Pahang, untuk mendapatkan bahan dari hutan belantara..."
Gaharu menjadi hasil keluaran utama negeri Pahang pada zaman dahulu jelas dibuktikan dengan adanya catatan Wang Ta-Yuan di dalam buku sejarah China yang bertajuk "Tao-i-Chi-Leo" yang disusun pada tahun 1349. Berkaitan hasil negeri Pahang, Wang Ta-Yuan mencatatkan :
"Hasil keluaran negeri itu (Pahang) ialah huang-shu chen (berjenis-jenis kayu wangi), air wangi tapai, kapur barus, timah dan kayu sampang jenis kasar. Barang yang diperdagangkan dalam negeri itu ialah sutera kasar macam-macam warna, kain benang kapas, she-po (Jawa), perkakas dan besi, barang cat barnis dan perkakas bunyi-bunyian". (Buyung Adil, 1972, hal. 15)
Manakala dalam sebuah lagi buku sejarah China berjudul "Hsing-Cha'a" yang dikarang oleh Fei Hsin pada tahun 1436, juga menyebut tentang gaharu sebagai hasil negeri Pahang ketika itu. Fei Hsin menulis seperti berikut :
"Hasil dalam negeri gaharu, kapur barus, timah dan sejenis kayu yang digunakan sebagai pencelup. Barang-barang yang dibawa masuk ke dalam negeri itu ialah emas, perak, kain sutera yang berwarna-warni, kain jawa, perkakas tembaga dan besi, gong, papan dan lain-lain". (Buyung Adil, 1972, hal 17)
Setakat yang diketahui, kegunaan gaharu itu adalah sebagai ramuan dalam pembuatan minyak wangi dan penyediaan ubat tradisional China bagi menyembuhkan penyakit yang berpunca daripada kesejukan dan kelembapan.

Daripada kedua-dua catatan pengembara China di atas, terbukti gaharu adalah hasil keluaran utama bagi negeri Pahang pada zaman dahulu. Catatan itu jelas membuktikan bahawa bahan hutan tersebut dikeluarkan dalam kuantiti yang banyak dan juga memberi gambaran bahawa pekerjaan mencari gaharu di hutan dilakukan oleh kebanyakan penduduk ketika itu.

Kerja mencari gaharu dilakukan pada awal tahun kerana musim itu selalunya panas dengan hujan turun cuma sekali sekala. Keadaan cuaca seperti itu memberi kemudahan kepada mereka dalam menjalankan kerja tersebut. Manakala pada hujung tahun, ketika angin Timur Laut mula bertiup, belayarlah pedagang-pedagang China dengan jong besar penuh muatan lalu berlabuh di pengkalan, menunggu penduduk tempatan membawa hasil hutan sebagai tukaran.

Ini mewujudkan perniagaan dua hala ala sistem barter atau secara pertukaran barangan. Pedagang-pedagang China menawarkan berbagai-bagai bahan keperluan harian seperti alat tembikar dan benang sutera. Sementara penduduk tempatan bersedia dengan gaharu dan hasil hutan yang lain.

Begitulah cerita 'gaharu' yang menjadi hasil dagangan utama negeri Pahang suatu ketika dahulu... yang mencorakkan perniagaan dua hala yang terawal antara negeri China dengan negeri Pahang....


Rujukan : 1) Gaharu - Pembuka Lembaran Perdagangan China/ Pahang, Alauddin Bin Abdullah, Monograf Sejarah Pahang, Bil 4, 1989. 2) Wikipedia - Agarwood...

Tuesday, February 1, 2011

Februari : Mengenang Peristiwa Bukit Kepong (1)



Pekan Bukit Kepong

Pada tahun 1950-an, Bukit Kepong ialah sebuah pekan kecil yang terpencil jauh di hulu Sungai Muar, Johor. Perhubungan dari luar ke tempat ini hanya dengan menaiki bot perdagangan dari pekan Lenga yang terletak di hilir sungai, iaitu sejauh 49 km dari bandar Muar. Dari Lenga ke Bukit Kepong akan mengambil masa selama 1 jam setengah jika air pasang dan selama 2 jam setengah semasa air surut.

Pekan Bukit Kepong mempunyai lebih kurang 20 buah kedai papan berbumbung atap dan zink, dan kebanyakannya dipunyai oleh orang Cina. Pekan ini dihubungi oleh denai-denai kecil ke beberapa buah kampung yang bertaburan, iaitu terletak di antara 3 - 5 km ke pedalaman.

Jumlah penduduk yang seramai lebih kurang 1,200 orang itu, kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Melayu yang berpekerjaan sendiri atau mengambil upah menoreh getah. Kebanyakan orang Cina juga menoreh getah dan selain itu adalah sebagai peniaga dan menjaga ladang-ladang getah kepunyaan sendiri.

Balai Polis Bukit Kepong
Di Pekan Bukit Kepong terdapat satu kawasan balai polis seluas 62 meter persegi yang terletak di tebing Sungai Muar dan kawasan ini dipagari dengan dawai berduri. Kedudukan ini adalah di antara tebing Sungai Muar dan deretan kedai di pekan itu. Di dalam kawasan tersebut terdapat tiga buah bangunan , iaitu balai polis, satu deretan rumah kelamin dan satu deretan dapur di belakang rumah-rumah itu. Pagarnya mempunyai dua pintu, satu menghala ke barat, iaitu menghadapi tangga hadapan balai dan yang satu lagi menghala ke utara menuju sungai. Di rusuk balai ialah deretan rumah kelamin.

Bangunan balai dan rumah kelamin diperbuat daripada kayu beratap genting dan bertiang batu. Di dalam balai dan di dalam setiap rumah kelamin terdapat sebuah lubang di lantai untuk anggota dan keluarga mengambil perlindungan di bawah bangunan dan membuat tempat pertahanan jika berlaku sesuatu serangan. Di bawah bangunan-bangunan itu, terdapat lubang di dalam tanah yang berukuran 2.4 meter x 1.2 meter dan dalamnya 1.2 meter, di sekeliling pada bahagian atasnya ditimbun pula dengan tanah setinggi 0.3 meter. Kubu ini sama paras dengan dagu jika seseorang itu berdiri. Di kiri kanan tangga hadapan balai terdapat juga lubang pertahanan di dalam tanah yang sama dalam dan rupa bentuk, tetapi berukuran 1.2 meter x 0.6 meter. Kubu-kubu di atas balai pula hanya terdapat di bahagian hadapan, iaitu yang dibuat dengan menyusunkan guni-guni pasir. Kubu-kubu yang di luar bangunan, tetapi di dalam kawasan balai pula, dibuat daripada papan berbentuk petak yang berisi pasir dan pada bahagian atasnya disusun guni-guni berisi pasir.

Pada bahagian luar pagar Balai Polis pula, iaitu bertentangan dengan pintu pagar hadapannya, terdapat sebuah bangunan Balai Penghulu yang juga terletak di tebing sungai. Di antara kawasan Balai Polis dan Balai Penghulu itu terdapat jalan kecil yang menuju ke sungai. Lorong di hadapan deretan kedai menghala ke timur pula menuju ke Kampung Labis dan menghala ke barat arah ke Lenga.

Pada Februari 1950, iaitu bulan tercetusnya peristiwa berdarah itu, terdapat 32 orang anggota dan keluarga polis ditempatkan di Balai Polis tersebut.

bersambung...


Rujukan :

"Peristiwa Bukit Kepong" tulisan Mohd Yusof Ariffin yang terkandung dalam monograf "DARURAT 1948 - 1960, terbitan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 1984. Penulis berkhidmat sebagai polis mulai tahun 1949 dan bersara pada 31 Mac 1981 dengan pangkat ASP. Beliau pernah memenangi Hadiah Pertama Cipta dalam "Tata Seni Terbaik 1982" untuk filem "Bukit Kepong". Tulisan beliau mengenai "Peristiwa Bukit Kepong" ialah hasil kajian secara langsung yang pernah dijalankan di Bukit Kepong. Tulisan ini disiapkan pada 28 Mac 1980.


Saturday, January 29, 2011

Raya Cina & Kuih Bakul


Tinggal beberapa hari sahaja lagi masyarakat Tionghua di seluruh dunia akan menyambut Tahun Baharu Cina atau dalam perbualan biasa, kami sebut sebagai "Raya Cina".

Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Tahun 2011, atau tahun 1409 dalam kalendar qamari Cina merupakan Tahun Arnab.

Hari cuti raya Tahun Baharu Cina, merupakan antara hari raya masyarakat bukan Islam yang paling meriah. Tahun Baharu Cina merupakan sambutan kebudayaan ataupun bangsa, bukannya sambutan hanya satu-satu agama. Oleh itu, semua masyakarat berketurunan Cina akan meraikan perayaan ini tanpa mengira agama.

Menurut Wikipedia, "Gong xi fa cai" (Tulisan Cina Tradisional: 恭喜發財; Tulisan Cina Ringkas: 恭喜发财; pinyin: gōngxǐ fācái; Bahasa Kantonis (Yale): gūnghéi faatchòih; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai "Tahniah dan semoga mendapat rezeki" atau “Selamat Bertambah Kaya”..

Bagi masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baharu bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru. Acara terbesar pada malam Tahun Baharu Cina ialah ‘makan besar’ atau jamuan pertemuan semula. Bagi masyarakat Cina, makan besar cukup signifikan kerana semua anggota keluarga baik yang jauh mahupun dekat, akan kembali untuk mengeratkan talian perhubungan sesama keluarga di samping menikmati juadah-juadah lazat seperti ayam, ikan, itik, sup sirip ikan yu dan sayur-sayuran kemakmuran (prosperity vegetables).

Selain ‘makan besar’, Tahun Baharu Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Setiap kali menjelangnya “Raya Cina” nostalgia zaman kanak-kanak kembali mengisi memori tanpa sedar… Minggu-minggu terakhir sebelum “Raya Cina”, Atuk akan bawa balik banyak buah limau mandarin dan kuih bakul yang dihadiahkan oleh kawan-kawannnya di sekitar bandar Kota Bharu. Atuk yang dikenali sebagai Tok Mandur Daud, mempunyai ramai kenalan dalam kalangan masyarakat Cina kerana sejak sebelum Perang Jepun lagi Atuk merupakan seorang mandur Majlis Bandaran Kota Bharu (kini MPKB) yang dihormati dan dikenali ramai.

Kuih bakul yang Atuk bawa balik ada yang dibalut dengan daun pisang dan ada yang berbalutkan plastik lutsinar nipis. Disebabkan banyak sangat, kami agak memilih… pilih yang enak-enak sahaja… kuih bakul itu akan dipotong menjadi kepingan sebelum dimakan… Kuih bakul ini tahan lama walaupun tidak disimpan di dalam peti ais…!

Kuih bakul, nian gao atau kuih Tahun Baharu Cina merupakan kuih yang terkenal dalam masyarakat Cina. Sungguhpun boleh dimakan pada bila-bila masa, secara tradisi kuih ini paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina. Bagi masyarakat Cina, kuih bakul dipercayai membawa tuah kepada si pemakan pada hari perayaan ini kerana "nian gao" juga membawa erti "makin tahun makin tinggi."

Kuih bakul mempunyai pelbagai jenis, namun begitu ramuan utamanya ialah pulut. Pulut dikisar dan diacu mengikut kehendak atau boleh dimasak semula dengan menambahkan ramuan atau bahan-bahan lainnya. Kuih bakul yang biasa saya makan dahulu ialah jenis yang manis, dimaniskan dengan gula hitam, dengan warna kuning tuanya yang menonjol. Dahulu, orang-orang Melayu Kelantan mahir membuat kuih bakul yang sememangnya digemari oleh semua lapisan masyarakat di sana. Menurut Atuk, banyak pantang larangnya untuk membuat kuih bakul ini dan proses mengukus kuih bakul juga mengambil masa yang lama, iaitu sehingga 8 jam. Kini, sudah lama saya tidak merasai keenakan kuih bakul...

Setiap kali menjelang “Raya Cina”, nama Kang Gek Nee, seorang rakan lama semasa bersekolah menengah dulu akan singgah dalam memori... seorang rakan yang sudah sekian lama terpisah....

Kepada rakan taulan dan anak-anak didikku (termasuk bekas murid di SMKTM & SMKTP) yang berbangsa Cina, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Gong xi fa cai", semoga kedatangan Tahun Arnab ini akan membawa lebih banyak kemakmuran, bukan sahaja kepada penduduk bahkan juga kepada negara…

(Ini tajuk Kerja Kursus Sejarah PMR 2010, perayaan tradisi kaum di Malaysia....)


Thursday, January 27, 2011

Jejak Jerejak


Suatu ketika dahulu, sebut sahaja ke PULAU JEREJAK, ramai yang menggelengkan kepala. Jika tidak melawat saudara yang menghidap kusta, tibi atau pesalah jenayah, pasti kaki tidak menjejak ke pulau ini.

Jejak di Pulau Jerejak akan menemukan kita dengan tinggalan penjara dan hospital lama yang memiliki pelbagai kisah. Semakin jauh jejak kita, semakin banyak lembaran kisah lampau dibuka satu demi satu. Ada orang kata Pulau Jerejak atau Pulau "Alcatraz Malaysia" penuh dengan kisah seram dan misteri.....Namun begitu, berapa tahun kebelakangan ini ia mula meniti populariti sebagai destinasi percutian terbaru di Pulau Mutiara, selain tarikan bangunan bersejarah di sekitar Georgetown dan kemeriahan di pantai Batu Feringgi. Pulau Jerejak kini boleh dikunjungi dengan menaiki feri dari Bayan Lepas.

Kenali Jerejak

Pulau Jerejak dengan keluasan 362 hektar terletak 1.5 batu nautika dari tanah besar. Kawasan hutan pesisit pantai yang berusia lebih 4,000 tahun ini memiliki 210 spesis dari 71 keluarga flora dan 39 spesis fauna. Francis Light dikatakan sampai di Pulau Jerejak pada awal tahun 1786, sebelum 'menemui' Pulau Pinang.

Jerejak Suatu Ketika Dahulu....

Nama Pulau Jerejak muncul buat pertama kali dalam rekod kolonial apabila Kolonel Arthur Wellesley of Wellington, England mencadangkan agar pulau ini dijadikan tapak untuk untuk Fort Cornwallis (Kota Cornwallis). Cadangannya untuk membina sebuah pangkalan tentera laut British pada tahun 1797, bertujuan untuk melindungi bandar baru "Jamestown" (kini Bayan Lepas). Oleh sebab ia gagal dijadikan pangkalan tentera laut, pada tahun 1910 kerana kalah dari segi potensi berbanding Jamestown Pulau Jerejak dijadikan pusat kuarantin kesihatan pendatang asing.

Akibat daripada keputusan awal Francis Light yang membenarkan pendatang memiliki apa-apa sahaja tanah yang dipugar oleh mereka, Pulau Pinang dibanjiri oleh ramai pendatang. Sebagai langkah mencegah, semua pendatang harus diperiksa di pusat pemeriksaan kesihatan Pulau Jerejak sebelum dibenarkan mendarat di Pulau Pinang.

Selain berfungsi sebagai gerbang pemeriksaan tahap kesihatan imigran asing yang hendak bekerja di Pulau Pinang, pusat itu juga menjadi tempat kuarantin para jemaah haji yang balik dari Makkah sebelum mereka dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

Landskap awal Jerejak diikuti dengan pembinaan sebuah hospital untuk pesakit batuk kering dan kusta di sudut timur pulau ini pada akhir 1930-an. Sebenarnya, tahun-tahun awal pembukaan Jerejak akan mengimbas ingatan seseorang kepada beberapa kisah, antaranya tentang serangan malaria akibat kerja pemugaran hutan bagi membuka Georgetown diikuti dengan tempias Perang Dunia Kedua.

Pulau yang pernah hangat berikutan isu menjadikannya sebagai pusat kasino menerima jolokan sebagai "sanatorium" yang diperoleh selepas Perang Dunia Kedua apabila terdapat ramai mangsa perang yang mengidap batuk kering. Berikutan itu, kerajaan British membina hospital bagi pesakit tibi dan kusta di bahagian timur pulau ini yang boleh memuatkan 150 orang pada satu-satu masa.

Kisah kebangkitan semangat nasionalisme di Tanah Melayu juga tidak terkecuali. Oleh kerana British terasa kedudukan mereka terkepung dalam isyarat cemas dan berjaga-jaga, mereka mengisytiharkan Darurat pada tahun 1948 dan meluluskan Akta Darurat bagi membolehkan pejuang-pejuang kemerdekaan ditangkap dan dipenjarakan. Pulau Jerejak sekali lagi ditransformasi, kali ini menjadi salah sebuah Kem Tahanan Politik British pada tahun 1948.
Ketika itu, semua orang berasa gerun kalau mendengar nama Penjara Pulau Jerejak atau Pulau Buangan. Setiap satu bilik di dalam lokap itu yang mempunyai keluasan kira-kira 5 meter persegi, ‘disumbatkan’ sehingga lima orang tahanan. Paling ramai yang pernah dipenjarakan di sini ketika itu ialah anggota pasukan Angkatan Pemuda Insaf (API). Selain pengasas parti sosialis Melayu tersebut iaitu Ahmad Boestaman, tokoh lain yang pernah dipenjarakan di situ ialah Dr. Burhanuddin Al Helmi, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Cikgu Muhd Yusof Ayob, Rashid Karim, Ibrahim Karim dan ramai lagi.

Kemudian, Pulau Jerejak telah dijadikan Pusat Pemulihan Akhlak bagi mereka yang ditahan ketika berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang mula beroperasi pada 12 Jun 1969 dan dikendalikan oleh Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang. Pusat ini berfungsi sebagai penjara keselamatan tertinggi yang juga dikenali ramai sebagai "Alcatraz Malaysia".

Pada tahun 1981, berlaku rusuhan apabila seramai 100 orang tahanan mengamuk dan memusnahkan sebahagian bangunan Pusat Pemulihan Akhlak kerana tidak berpuas hati dengan pelanjutan tempoh penahanan.

Pada tahun-tahun berikutnya, bilangan tahanan semakin bertambah, hinggakan jumlahnya pernah mencecah 982 orang. Isu keselamatan menjadi kritikal. Sebagai langkah keselamatan, nelayan tidak dibenarkan menghampiri pulau tersebut dalam lingkungan 200 meter dari pantai. Kalau ada yang menghampiri dalam jarak tersebut, tembakan amaran akan dilepaskan. Walau bagaimanapun, tujuh orang tahanan berjaya memboloskan diri, empat orang pada Januari 1988 dan tiga orang pada Mei 1988.

Menyedari permasalahan kapasiti dan pengurusan penjara ini, kerajaan memutuskan untuk menutup operasinya pada tahun 1990 dan semua tahanan dipindahkan secara berperingkat-peringkat ke Penjara Muar dan Simpang Renggam, Johor sehingga 13 Ogos 1993. Semenjak itu, Pulau Jerejak hanyalah sebuah kanvas sejarah.

Pulau Jerejak Kini

Perancangan telah dibuat untuk membangunkan Pulau Jerejak menjadi sebuah tempat peranginan. Pada tahun 2000, Pulau Jerejak yang terkenal dengan jolokan "sanatorium" dan "penjara" ini dijadikan sebagai pusat peranginan bertujuan untuk menarik kedatangan pelancong sesuai dengan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan. Pada Januari 2004, Jerejak Resort & Spa dibuka untuk perniagaan. Tempat peranginan ini dibina di atas kawasan yang dahulunya merupakan pusat rawatan kusta. Pembangunan ini menimbulkan agak banyak perbalahan, dengan rasa bimbang terhadap penghapusan tinggalan dan warisan bersejarah pulau ini secara sistematik. Sesetengah pihak juga bimbang 'pembangunan' seumpama ini akan memberi kesan kepada ekosistem Pulau Jerejak yang mudah terjejas.

Perpindahan kesemua tahanan telah "menamatkan riwayat" Pulau Jerejak sebagai tempat "buangan" yang sekali gus meninggalkan sisa-sisa sejarah yang terus diabai dan dilupakan, meskipun ia dijadikan pusat pelancongan yang semakin popular.
Soalnya, setelah betapa banyak kisah sisa peperangan, layanan tahanan penjara, kematian di hospital kusta serta dendam pejuang yang tidak kesampaian, adakah salah kalau seseorang mahu percaya pada cerita-cerita seram yang disampaikan dari mulut ke mulut tentang Pulau Jerejak?
sekadar berkongsi cerita....

Rujukan : Wikipedia.



Sunday, August 1, 2010

OGOS 1945 - Bulan yang tidak menentu di Tanah Melayu

Di Tanah Melayu dan Singapura, pemerintahan Jepun semakin hari semakin tidak popular. Rakyat jelata hidup dalam keadaan gelisah kerana tekanan politik dan keadaan ekonomi yang begitu merosot.


Ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada awal Ogos 1945 mengejutkan seluruh dunia khususnya Maharaja Jepun, angkatan tentera serta rakyat jelatanya. Ledakan ini berlaku dalam keadaan penguasaan tentera Jepun ke atas negara-negara di Asia Tenggara kian merosot.

Apabila bencana yang besar ini menimpa rakyat jelatanya, Maharaja Jepun bersama menterinya bersetuju supaya Jepun mengangkat bendera putih untuk menyerah diri. Walau bagaimanapun, beberapa orang pegawai tertinggi angkatan tenteranya tidak pula bersikap demikian. Malah ada yang percaya bahawa lebih baik mereka mati daripada menyerah diri kerana kematian membuktikan taat dan cinta mereka kepada Maharaja dan tanah air mereka. Menyerah diri adalah suatu perbuatan yang memalukan.
Perbezaan pendapat ini menjadikan kedudukan pemerintahan Jepun di Asia Tenggara dalam keadaan serba salah.

Perisytiharan menyerah diri tidak terus berkuatkuasa sehingga awal bulan September.
Dalam tempoh sebulan bulan Ogos ini keadaan adalah tidak menentu di Tanah Melayu. Berita perkembangan Perang Dunia Kedua dapat diikuti melalui All-India Radio hampir setiap hari. Pada pagi 11 Ogos, pemberita menyampaikan berita "kemungkinan Jepun akan menyerah diri kepada Tentera Bersekutu dan Perang Dunia Kedua akan ditamatkan."

Pada esok harinya, sekali lagi All-India Radio menyiarkan perkembangan terbaharu tentang perang dan melaporkan bahawa pucuk pimpinan tentera Jepun di Tanah Melayu dan Singapura belum bersedia menyerah diri....!


Dalam keadaan yang tidak menentu inilah juga berlaku satu peristiwa yang menggemparkan rakyat Pahang. Pada pertengahan bulan Ogos DYMM Sultan Abu Bakar telah 'diculik' oleh pihak MPAJA dan berada hampir sebulan di kawasan pedalaman Hutan Simpanan Jengka - Chenor (kini Felda Jengka).

Rujukan : Wan Hashim Wan Teh, Perang Dunia Kedua - Perang Gerila Melayu Force 136, 1993
bersambung selepas ini...coretan pengalaman rakyat Malaysia yang terselamat dalam peristiwa pengeboman Hiroshima & Nagasaki dan peristiwa DYMM Sultan Abu Bakar 'diculik' oleh pihak MPAJA...

Saturday, July 3, 2010

Kadir Adabi (3) : tulisan-tulisannya....


sambungan...

Sangat jelas betapa gigihnya Abdul Kadir. Dalam tempoh hampir suku abad mulai 1921, beliau tidak henti-henti bekerja dengan caranya tersendiri; menerbitkan majalah, mengarang novel, aktif dalam gerakan belia dan budaya, dan kemudiannya politik.

Tulisan-tulisan Abdul Kadir menyentuh pelbagai tema dan mengenai berbagai-bagai isu. Tetapi tumpuan utamanya ialah kritik masyarakat dan buah fikiran ke arah memartabatkan bangsa Melayu.

Beliau juga banyak menulis mengenai pendidikan dan usaha-usaha yang patut diambil bagi meningkatkan kesedaran bangsa Melayu. Apabila Maktab Perguruan Sultan Idris dibuka di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1922, beliau telah menulis sebuah rencana di dalam majalah ‘Pengasuh’ bertajuk “Bolehkah diadakan sebuah kolej di Kelantan?”.

Tulisan ini telah menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat pembaca. Kemuncaknya, pada 20hb Mac 1923, beliau telah menulis surat kepada DYMM al-Sultan Kelantan memohon kiranya al-Sultan dapat mengusahakan penubuhan bukan hanya sebuah kolej, akan tetapi sebuah universiti di Kelantan. Setakat yang dapat dikesan, inilah cadangan pertama mengenai penubuhan sebuah universiti di Tanah Melayu pernah dikemukakan.

Sehingga ke akhir hayatnya, Abdul Kadir telah menghasilkan tidak kurang daripada 110 buah rencana, 3 buah novel asli dan sebuah novel saduran bertajuk “Persemburan Darah di Bawah Lipatan Takdir”. 3 buah novel aslinya, iaitu ‘Acuman Mahkota”, Sebelas Rejab” dan “Melati Kota Bharu” memperlihatkan keupayaan beliau menanggapi suasana dan kehidupan masyarakat Melayu Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua.

Selain gambaran tentang politik, novel-novel beliau juga menyorot kebangkitan semangat nasionalisme Melayu yang amat ketara, tetapi dilukis dalam pembinaan imej-imej alam secara simbolik. 3 buah novel ini telah mengangkat nama Abdul Kadir Adabi sebagai seorang novelis yang amat tajam, setanding dengan Ishak Haji Muhammad dan Harun Aminurrashid pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua.

Tidak syak lagi bahawa Abdul Kadir Adabi merupakan nama besar yang pernah dilahirkan di bumi Cik Siti Wan Kembang Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Dengan mengenangkan semua peranan yang pernah dimainkan serta buah fikiran yang pernah dikemukakannya demi kebangkitan dan kemajuan bangsa Melayu, pada akhir tahun 1969, sekumpulan siswazah Kelantan berasa terpanggil untuk menubuhkan sebuah kolej atau maktab swasta di Kota Bharu atas namanya – MAKTAB KADIR ADABI.

Manakala, pada awal tahun 2001 pula, kerajaan Negeri Kelantan, atas saranan Yang Amat Berusaha Tuan Haji A.Aziz Deraman (sekarang Dato’) Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu, dalam ucapannya pada majlis perasmian Bangunan DBP Wilayah Timur pada 9 September 2000, bersetuju menamakan sebatang jalan yang bermula dari persimpangan Jalan Dusun Muda hingga ke persimpangan Jalan Long Yunus dengan nama “Jalan Abdul Kadir Adabi" (dahulunya, sambungan Jalan Hospital).

Jasa A.Kadir Adabi terus tersemat dalam ingatan, lebih-lebih lagi dalam kalangan 'ore-ore Klate....'

Rujukan : Ikhtisar SEJARAH KELANTAN, Pustaka Aman Pres, KB - 2005

Friday, July 2, 2010

Kadir Adabi (2) : Persuratan & Politik...


sambungan....

Dalam tahun 1923, Abdul Kadir bekerja menjadi pembantu penulis petisyen kepada bapa sepupunya, Mat Saman bin Jambol. Sewaktu bekerja sebagai penulis petisyen inilah beliau menyambil menulis rencana dalam pelbagai majalah, di dalam dan di luar Kelantan, seperti Pengasuh, Edaran Zaman dan Saudara. Sejak rencana beliau yang pertama bertajuk “Permintaan” terbit dalam majalah Pengasuh keluaran 22hb Mei 1921, beliau terus menulis dengan pelbagai tajuk dan mengenai pelbagai persoalan.

Sekitar waktu yang sama juga Abdul Kadir banyak mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan sosial dan budaya di Kelantan. Pada tahun 1929, bersama-sama dengan As’ad Shukri bin Haji Muda (Dato’ Haji Mohamad Asri – Menteri Besar Kelantan 1964 – 1972), beliau menubuhkan Putera Club. Kelab ini menerbitkan majalah Putera bagi menyampaikan suara bicaranya, akan tetapi tidak lama. April 1930, Abdul Kadir menerbitkan majalah Kenchana pula. Akan tetapi dalam majalah ini beliau tidak menggunakan nama sebenarnya selaku pemimpin utama, sebaliknya berselindung di balik nama samaran : Wook bt. Abdullah. Selepas setahun 10 bulan, majalah kedua ini juga terhenti.

Tidak lama kemudian, awal Februari 1932, beliau mengisi masa lapangnya dengan bekerja menjadi penyunting majalah Pengasuh di bawah pimpinan bekas gurunya, Dato’ Laksamana. Tetapi tidak lama. Selepas dua bulan, kira-kira pada bulan April 1932, beliau meninggalkan Pengasuh untuk bergabung kembali dengan sahabat-sahabatnya, A’sad Shukri dan Yusuf Helmi bagi menerbitkan buku-buku pengetahuan umum di bawah siri “Kenchana Library”.

Mulai April 1934, Abdul Kadir menyertai majalah al-Hikmah, membantu pengarangnya Haji Ahmad Ismail (kemudiannya Dato’ Lela Negara). Tugas ini dipegangnya sehingga tahun 1941, iaitu apabila penerbitan al-Hikmah terhenti berikutan pecah Perang Dunia Kedua. Inilah waktunya apabila tulisan-tulisan beliau mencapai tahap kematangan dan daya intelektual yang tinggi.

Disebabkan oleh tulisan-tulisannya yang tajam dan mengkritik banyak pihak, terutama kalangan atasan dan pihak berkuasa agama, Abdul Kadir menjadi orang yang tidak disenangi.
Beliau pernah dipukul dua kali dengan kapak kerana tulisan-tulisannya. Kali pertama pada 2 Januari 1931 dan kali kedua pada 18 Mac 1936. Sebelum itu, pada 10 Oktober, Penasihat Undang-undang Kerajaan Kelantan, L.B William, pernah membuat kenyataan bahawa tulisan-tulisan Abdul Kadir mengenai perjudian mengandung unsur-unsur memecah keamanan dan ketenteraman di antara keluarga di Raja dengan orang ramai. Akibatnya, beliau dihadapkan ke mahkamah pada 6 Disember 1928 dan dijatuhi hukuman sehari penjara dan denda RM100.00, atau sebulan penjara dengan kerja ringan.

Tidak puas dengan menulis, Abdul Kadir melibatkan diri dalam politik pula. Apabila cabang Persatuan Melayu Semenanjung dibuka di Kelantan pada 10 Februari 1939, beliau duduk sebagai salah seorang ahli jawatankuasanya. Dalam tahun yang sama juga beliau melawat Pattani bagi meninjau reaksi rakyat Patani terhadap dasar Thai Rathaniyum Kerajaan Siam ke atas orang Melayu. Pada tahun 1940, beliau mulai berhubung dengan Ibrahim bin Haji Yaacob, pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM). Pertemuan pertama berlaku di Dungun, Terengganu, diikuti kemudiannya di Kota Bharu, pada waktu pejuang politik Melayu yang terkenal sebelum perang itu kerap berada di Kota Bharu kerana jaringan politiknya, juga kerana urusan cetak bukunya “Melihat Tanah Air”.

Menjelang Perang Dunia Kedua, Abdul Kadir sudah terlibat dalam KMM. Bagaimanapun, kegiatannya dalam KMM pada peringkat ini tidaklah terang-terangan, tetapi berselindung di balik kegiatan Setiawan Belia (sebuah badan budaya yang didirikan pada Oktober 1931), melalui pelbagai kegiatan, seperti ceramah, forum dan penerbitan. Dalam hal ini, peranan Abdul Kadir sangat besar.

Apabila Jepun menduduki Tanah Melayu, beliau menerbitkan majalah Matahari di Kota Bharu, tetapi sekali lagi dengan memakai nama samaran. Sebelum KMM dibubarkan Jepun pada 18 Februari 1942 (3 hari selepas Jepun menakluk Singapura), Abdul Kadir sempat menjadi Yang Dipertuanya yang sangat aktif bergerak. Beliau pernah ke Ipoh, menemui Onan Hj Siraj dan kemudiannya ke Singapura. Semasa di Singapura, Abdul Kadir sempat menyertai Berita Malai bersama-sama Ibrahim Hj. Yaacob. Selain itu, peranan beliau yang sangat penting pada peringkat ini ialah menjadi wakil KMM menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu dengan pihak berkuasa Jepun di Bangkok pada tahun 1942.

Menjelang akhir tahun 1943, Abdul Kadir Adabi yang pada waktu itu sudah lama berada di Singapura, dikirim kembali ke Kelantan bagi memperkuat barisan kemerdekaan bersama beberapa orang pemimpin KMM Kelantan yang lain, seperti As’ad Shukri dan Wan Ibrahim Mustafa, sebagai langkah awal bagi menghadapi sesuatu kemungkinan sekiranya Jepun ditakdirkan kalah kelak.

Namun begitu, Abdul Kadir Adabi tidak pernah sampai di Kelantan. Menyedari bahawa beliau masih tidak disenangi di Kelantan berikutan penglibatannya dalam petisi rakyat bagi menjatuhkan pimpinan Majlis Agama Islam Kelantan daripada penguasaan golongan aristokrat, maka beliau atas nasihat teman-temannya, memilih untuk menetap di Kuala Terengganu buat sementara waktu.

Semasa di sini, beliau bergabung tenaga menerbitkan “Chahaya Timur” bersama-sama Muhammad Saleh bin Haji Awang (Misbaha) dan Ibrahim Fikri (kemudiannya Menteri Besar Terengganu). Beliau tinggal berjiran dengan Misbaha di Kampung Masjid, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. Tidak lama di Kuala Terengganu, pada 24 Februari 1944, Abdul Kadir meninggal dunia kerana sakit jantung.

bersambung ....

Thursday, July 1, 2010

Kadir Adabi (1) : Kisah yang terjadi...


Saya sangat tertarik dengan Ruangan Sastera, BH, Selasa - 29 Jun 2010, “Muzakarah kes Natrah”. Kisah Natrah banyak ditulis oleh Fatini Yaacob (Datin Seri). Penyelidikan yang dilakukan oleh beliau bertahun-tahun akhirnya menghasilkan sebuah biografi yang amat bermakna kepada kita. Rencana tulisan Datin Seri Fatini dalam Dewan Masyarakat 1989, masih saya simpan sehingga kini walaupun sudah 21 tahun berlalu, seusia dengan anak bongsu saya…

Saya tertarik dengan buku biografi Natrah (1939 – 2009) Nadra @ Hurbedina Maria Hertogh @ Bertha – Cinta - Rusuhan – Air Mata. Buku ini belum saya miliki. Sudah cuba cari di MPH tetapi tidak ketemui… bagaimana untuk dapatkannya…?

Tengah hari semalam, setelah mendapat info daripada rakan-rakan fb termasuk daripada pengarangnya sendiri, saya telah membuat tempahan melalui Ujanailmu secara online. Harap-harap minggu depan "pertemuan saya dengan NATRAH secara lebih dekat lagi" akan menjadi kenyataan...!

Natrah Maarof atau nama Belandanya Hubedina Bertha Hertogh (1937 - 2009) dilahirkan pada 24 Mac 1937 oleh ibunya, Adeline di Bandung sebagai Kristian dan diserahkan kepada hartawan Cik Aminah Mohammad yang berasal dari Kemaman, Terengganu, dibesarkan sebagai seorang Islam. Natrah kemudiannya dikahwinkan dengan Mansur Adabi. Perkahwinan ini bagaimanapun berakhir dengan tragedi apabila meletusnya “Peristiwa Natrah” di Singapura pada awal 1950-an. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.

Mansur Adabi, seorang guru muda ketika itu merupakan anak tunggal kepada Abdul Kadir Adabi, seorang tokoh yang berasal dari Kelantan. Dalam kalangan masyarakat Kelantan, Kadir Adabi sinonim dengan nama sebuah sekolah swasta yang pernah wujud dan terkenal di Kelantan pada suatu ketika dahulu....

Dua hari lepas, ketika menatap petikan akhbar sambil bersarapan di kantin sekolah, beberapa orang teman bertanya tentang hubungan antara Mansur Adabi, Kadir Adabi dan Maktab Kadir Adabi…... Hasil daripada pembacaan dan sedikit pengetahuan yang ada, saya terpanggil untuk mencatatkan sesuatu di laman ini untuk kongsikan dengan semua pengunjung, khususnya generasi muda kelahiran Tanah Serendah Sekebun Bunga mengenai ABDUL KADIR ADABI.


ABDUL KADIR ADABI seorang tokoh terkenal dalam banyak bidang di negeri Kelantan – kesusasteraan, kewartawanan, budaya dan politik. Namun begitu, kesan yang sangat terasa sehingga sekarang ialah peranannya dalam dua bidang utama, iaitu kesusasteraan dan politik.

Abdul Kadir Adabi dilahirkan di Kampung Raja Dewa, Kota Bharu pada 17 Ogos 1901. Ayahnya bernama Ahmad bin Yusof bin Mekong Samah berasal dari Kampung Kemubu, Ketereh tetapi tinggal di Kampung Raja Dewa kerana diambil menjadi penghulu oleh Raja Dewa (Tengku Zainal Abidin bin Sultan Muhamammad III). Manakala ibunya, Che Biru bt. Bakar, memang warga asal Kampung Raja Dewa sendiri.

Abdul Kadir mula-mula menerima pendidikan daripada ayahnya, kemudian daripada Tuan Guru Haji Nik Daud, Kg Atas Banggol. Akan tetapi corak pendidikan awal ini terbatas pada pelajaran agama cara pondok sahaja. Baru pada tahun 1917, apabila Madrasah Muhammadiyyah (Melayu) ditubuhkan oleh Majis Ugama Islam Kelantan, beliau beroleh pelajaran secara formal. Tetapi tidak lama. Lebih kurang 3 tahun sahaja. Semasa belajar di sini, Abdul Kadir sempat berguru kepada Dato’ Laksamana yang membimbingnya belajar mengarang dan menterjemah.

Oleh sebab dibesarkan dalam lingkungan istana dan akrab dengannya, Abdul Kadir sangat terdedah kepada adat istiadat Melayu yang halus serta diceritakan bahawa Abdul Kadir memiliki budi pekerti yang tinggi, sangat tertib, baik dalam bercakap, berpakaian mahupun dalam tingkah laku. Daripada sifat-sifat inilah beliau kemudian beroleh nama jolokan “Adabi”, yang bermaksud orang beradab….

Rujukan : Ikhtisar SEJARAH KELANTAN, Abdul Razak Mahmud, PAP, Kota Bharu, 2005


foto :
1) Pengarang bersama "NATRAH"
2) Dato' Laksamana Hj Mohamed b. Khatib H Mohamed Said

entri seterusnya : peranan A. Kadir Adabi dalam bidang kesusasteraan....

Wednesday, June 30, 2010

Sejarah Kuantan (5) : Kemudahan Pendidikan


Perkembangan sistem pendidikan di Kuantan pada peringkat awal (zaman sebelum perang) tidaklah semaju di daerah Bentong dan Kuala Lipis. Hal ini demikian kerana kesulitan sistem perhubungan telah mempengaruhi kemudahan pendidikan, di samping pembangunan ekonomi yang kurang, taburan penduduk tidak sekata dan komposisi etnik.

Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 wujud syarikat-syarikat Eropah yang mengusahakan ladang getah, perlombongan dan sebagainya. Oleh itu, orang-orang Cina telah menduduki kawasan bijih timah di Sungai Lembing dan Gambang. Di sinilah antara sekolah yang terawal dibina terutama sekolah Cina.

Sekolah Melayu yang awal pula dibina di bandar Kuantan iaitu kira-kira penghujung tahun 1890-an. Tarikh yang diketahui berkenaan sekolah ini ialah 1904 / 1905 apabila sekolah tersebut dipindahkan ke tapak asalnya di sudut tapak pasar lama yang berhampiran dengan Jalan Lebai Ali ke tapak barunya di Padang Lalang. Ketika itu sekolah ini bernama Sekolah Melayu Padang Lalang.

Selepas 1903 hinggalah pendudukan Jepun, 8 buah lagi sekolah didirikan. Dalam tahun 1930 murid-murid lelaki di Sekolah Padang Lalang dipindahkan ke Sekolah Melayu Laki-laki Teruntum, Jalan Gambut dan Sekolah Padang Lalang menjadi sekolah Melayu Perempuan (Tahun 1948 sekolah ini mendapat bangunan barunya di Sekolah Perempuan Galing). Antara tahun-tahun 1945 – 1947, Sekolah Kebangsaan yang didirikan ialah SK Galing (1948), SK Jabor (1950), SK Sungai Ular (1951) dan SK Cherating (1952).

Di bawah kerajaan Inggeris hanya sebuah sekolah Inggeris dibina dalam tahun 1920. Muridnya hanya 10 orang dengan menggunakan Gudang Padi Kerajaan di Jalan Wall. Hanya dalam tahun 1924 dipindahkan ke Jalan Wong Ah Jang dan dinamakan Sekolah Sultan Abdullah. Lain-lain sekolah Inggeris yang awal dibuka oleh mubaligh Kristian ialah Sekolah Perempuan Methodist (1938), Sekolah St. Thomas (1950) dan Sekolah Rendah Asunta Convent (1956).

Asas sekolah Rendah Asunta ini bermula dari kelas tadika yang diajar secara terbuka di sebuah rumah kepunyaan Fr Gullitat yang dibina atas tanah kepunyaan taukey Chan Loon yang terletak di Jalan Gambut Kuantan. Pengendaliannya di bawah kumpulan mubaligh Kristian Franciscan Sister' of Mary. Tarikh penubuhan tadika ini ialah pada 3 Oktober 1955 dengan jumlah murid seramai 23 orang yang diajar oleh dua orang guru yang dibawa khas dari Singapura.

Selepas itu, kerajaan memutuskan untuk menukar pusat pentabdiran negeri dari Kuala Lipis ke Kuantan. Hasil daripada penukaran tersebut kerajaan telah memutuskan untuk mendirikan sekolah terkemuka di Kuantan yang dapat menyediakan pelajaran menengah Inggeris yang menekankan semua kemudahan termasuk asrama bagi murid-murid luar bandar.

Wujudlah Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (SABS) yang dibuka pada tahun 1957 yang menjadi salah sebuah sekolah terkemuka di Pahang dan kemudiannya dapat mengatasi Sekolah Menengah Clifford di Kuala Lipis. Dalam tahun 1963, Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) pula telah dibuka di samping Sekolah Menengah Alor Akar, Sekolah Menengah Sungai Lembing dan Sekolah Menengah Ubai yang masing-masing dibina pada tahun 1965.

Pendidikan di Kuantan terus berkembang dan menjadi bertambah penting selaras dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menekankan sekolah aliran sains, teknik dan vokasional. Muncullah sekolah-sekolah vokasional, Sekolah Menengah Teknik dan Maktab Perguruan. Kepesatan yang sedemikian rupa bermakna Kerajaan terpaksa menyediakan pelbagai prasarana bagi menampung keperluannya yang berkaitan dengan pelajaran, pertambahan bilangan murid dan kakitangannya.

PENUTUP

Semenjak dari pembukaannya yang bermula pada tahun 1950 hinggalah ke tahun 1970, Kuantan terus membangun walaupun pada peringkal awal perkembangannya agak perlahan. Seperti juga di tempat-tempat lain, Kuantan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Bertolak daripada hanya sebuah penempatan kecil sehinggalah menjadi tempat tumpuan pedagang-pedangang dan akhirnya menjadi ibu negeri, kadar pembangunannya adalah berbeza-beza. Kepesatannya jelas selepas Kuantan dijadikan ibu negeri, yang mana struktur pembangunannya yang lebih sistematik telah menjadikan Kuantan sebuah bandar yang moden. Sekarang, Kuantan terkenal bukan sahaja sebagai bandar utama di negeri Pahang tetapi juga sebagai pusat pelancongan dan pintu masuk ke pantai timur.

Foto : Sekolah Perempuan Methodist (1940)...

Tuesday, June 29, 2010

Sejarah Kuantan (4) : Sistem Perhubungan & Pengangkutan


Kita sambung lagi cerita tentang Kuantan (1850 - 1970)....

Sistem perhubungan dan pengangkutan utama di Kuantan ialah melalui air, darat dan udara. Dahulu, perhubungan melalui air adalah menggunakan perahu jalak dan perahu penambang, manakala perhubungan darat lebih tertumpu di kawasan bandar dan penempatan yang berdekatan sahaja. Perhubungan di dalam kawasan bandar disediakan dengan jalan raya yang bertar, manakala perhubungan antara Kuantan dengan Beserah, Gambang dan Sungai Lembing ialah secara meredah lorong-lorong dan denai ataupun melalui pesisiran pantai ketika air surut.

Dalam tahun 1908, Jalan Kuantan – Gambang sejauh 18 ½ batu (30 km) telah disiapkan. Walau bagaimanapun, kenderaan-kenderaan perlu menyeberangi Sungai Kuantan di TANAH PUTIH dengan menggunakan feri yang telah dibuka pada 5 September 1910. Dengan terbukanya jalan ini, Gudang Rasau telah ditinggalkan dan Kuantan mula diperluaskan. Perhubungan dari Sungai Kuantan pula dikendalikan oleh Syarikat PCCL yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan trak dan kereta api dari Sungai Lembing ke Pasir Kemudi dan kemudiannya belayar dengan menggunakan kapal wap ke Pelabuhan Kuantan. Pelabuhan Kuantan ini dibuka pada awal tahun 1900 dan dipindahkan ke Tanjung Gelang pada tahun 1970-an.

Pada bulan November 1918, jalan raya dari Kuantan ke Kuala Lipis melalui Jerantut telah disiapkan. Siapnya jalan tersebut bermakna memudahkan perhubungan Kuantan dengan kawasan Pantai Barat. Sebelum itu, pegawai-pegawai dan orang-orang di Ulu Pahang yang hendak ke Kuantan terpaksa menghilir Sungai Pahang dengan menggunakan perahu atau rakit ke Pekan. Kemudian berjalan dari sana ikut pantai laut ke Singapura dan juga ke Kuantan.
Perjalanan dari Kuantan ke Kuala Pahang, selama 8 bulan dalam setahun dilakukan dengan menggunakan perahu jalak yang boleh memuatkan dua belas orang dan barang-barang hingga 15 tan dengan bayaran $25.00 bagi sehala perjalanan. Kapal kecil digunakan untuk pergi ke Singapura (Lihat Sejarah Pahang PSCP)….

Berikutnya, rangkaian jalan raya dari Pekan ke Kuantan (di Bt. 6 Jalan Gambang, sejauh 30 batu @ 48km) pula dibuka pada tahun 1933. Manakala perhubungan jalan raya daripada Beserah ke Kemaman pula dibina semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan telah dibuka dengan rasminya pada tahun 1947. Dengan wujudnya rangkaian jalan raya ini, dapatlah orang-orang dari Kemaman dan Terengganu masuk berniaga di Kuantan menggunakan jalan ini.

Dengan bertambah baiknya perhubungan jalan raya dan perhubungan kapal dagang dengan Singapura, maka Kuantan menjadi tempat tumpuan pedagang-pedangang. Tambahan pula setelah terbinanya jambatan menyeberangi Sungai Kuantan pada 2 Julai 1967 menggantikan feri yang digunakan sebelumnya, kemajuan bandar Kuantan menjadi bertambah pesat.

Selain itu, kemudahan perhubungan bandar Kuantan bukan sahaja dengan adanya rangkaian jalan raya dan pelabuhan, tetapi juga Lapangan Terbang di Batu 9, yang dibina dalam tahun 1940-an. Lapangan terbang yang kenali sebagai Padang Garuda ini telah melengkapkan pula perhubungan melalui udara.

Kemajuan perhubungan dan pengangkutan ini sekaligus membantu Kuantan menjadi bandar yang penting bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran, tetapi juga menarik lebih ramai penghijrah bertumpu ke bandar ini….

Foto :
1) Jalan Besar Kuantan
2) Pemandangan bandar Kuantan dari pelabuhan dalam tahun 1914

... bersambung ke siri terakhir SEJARAH KUANTAN....

Sejarah Kuantan (3) : Pemodenan dan Perubahan Dasar Pentadbiran


Campurtangan Inggeris di dalam pentadbiran Negeri Pahang pada tahun 1888 telah memulakan era Sistem Residen. Melalui Sistem Residen, pentadbiran Negeri Pahang telah dibahagikan kepada beberapa daerah, antaranya ialah Daerah Kuantan. Daerah Kuantan telah ditadbirkan oleh seorang Pegawai Daerah. Pegawai Daerah yang Pertama dilantik pada 1 Julai 1889 ialah A.H.Wall.

A.H.Wall mempunyai bidang kuasa yang luas dalam hal ehwal pembangunan tanah, percukaian dan kemasyarakatan. Di samping itu, terdapat banyak sistem pentadbiran negeri dan daerah di Negeri Pahang yang telah diberi nafas baharu melalui perubahan dasar-dasar pentadbiran oleh penjajah Inggeris. Antaranya ialah memperkenalkan sistem pentadbiran penguasa tempatan yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan bandar dan kesihatan kepada penduduk setempat.

Melalui Warta Kerajaan Pahang Bil. 2167 bertarikh 1 Ogos 1913, telah ditubuhkan bertanggungjawab terhadap kawalan kebersihan, kesihatan dan pembangunan di dalam kawasan pentadbirannya dengan jawatan pengerusi “Kuantan Sanitary Board” pada masa itu disandang oleh Pegawai Daerah sendiri. Awal tahun 1940-an, Lembaga Bandaran Kuantan diwujudkan bagi menggantikan “Kuantan Sanitary Board”, manakala pada 3 Disember 1953 “Kuantan Sanitary Board”Lembaga Bandaran Kuantan dinaikkan taraf kepada Majlis Bandaran Kuantan.

Pada tahun yang sama, iaitu pada 2 Mac 1953, Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang telah membuat keputusan untuk memindahkan pusat pentadbiran Negeri di Kuala Lipis ke Kuantan. Tanggal 27 Ogos 1955 dengan rasminya KUANTAN diisytiharkan sebagai pusat pentadbiran dan IBU NEGERI PAHANG yang baru.

Ekoran daripada pengisytiharan itu, pembangunan Kuantan menjadi semakin bertambah pesat. Sebagai ibu negeri, Kuantan bukan sahaja menjadi pusat pentadbiran, tetapi juga menyediakan semua aspek kemudahan sama ada pendidikan, perhubungan, perumahan dan sebagainya sehinggalah Kuantan menjadi tumpuan pelancong.

Memandangkan kemajuan lebih pesat yang berlaku itu, kerajaan telah meluaskan kawasan Majlis Bandaran yang dipersetujui oleh Kerajaan pada awal tahun 1967. Ia diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran pada 1 September 1979.

Sebagai pusat pentadbiran, pejabat-pejabat kerajaan dan kemudahan telah disedia dan didirikan di kawasan sekitar Jalan Gambut dan Jalan Masjid sementara rumah kakitangan Kerajaan telah dibina di sekitar Jalan Teluk Sisek, JALAN TANAH PUTIH, Jalan Haji Abdul Rahman dan Jalan Dato’ Lim Hoe Lek daripada tahun 1948 hingga 1970-an. Antaranya ialah :

Bangunan Pejabat Daerah – dibangunkan di Jalan Besar pada tahun 1915 dan dipindahkan ke Jalan Wall (sekarang Jalan Mahkota) pada awal tahun 1930-an.

Pejabat Pos – dibangunkan pada tahun 1912 di tapak bangunan Hong Kong Bank, kemudiannya dipindahkan ke tapak bangunan Syarikat Telekom Malaysia Berhad sekarang pada tahun 1930-an dan ke Jalan Haji Abdul Aziz pada 1970-an.

Balai Polis – dibangunkan di Jalan Besar pada tahun 1915 dan dipindahkan ke Jalan Mahkota pada awal tahun 1930-an.

Pawagam pertama – didirikan di atas tapak bangunan Hotel Raya pada tahun 1915.

Pasar Kuantan – yang awal telah dibina atas tapak pejabat Pos di Jalan Abdul Aziz sebelum tahun 1920, dipindahkan ke tapak pasar lama Jalan Mahkota pada tahun 1930-an serta ke Jalan Tun Ismail pada tahun 1960-an.

Bank pertama – ialah Merchantile Bank Of India pada tahun 1920 di atas tapak Bangunan Hong Kong Bank.

Pemancar Telekom Bukit Pelindung – dibangunkan pada tahun 1949

Penjara Kuantan – dibangunkan pada tahun 1949 di Jalan Penjara.

Bangunan Kelab Kuantan (KRC) – telah dibangunkan pada tahun 1900-an di Jalan Mahkota.

Pejabat MPK – (Dewan Bandaran) dibangunkan pada tahun 1960 di Jalan Masjid.

Hospital Besar – yang asal terletak di Taman Asia Jalan Penjara dan telah dipindahkan ke tapak Hospital Besar Jalan Tanah Putih pada tahun 1960.

Masjid Sultan Ahmad 1 – dibangunkan dalam tahun 1960 di Jalan Masjid.

Pejabat-pejabat Kerajaan – sebelum tahun 1970, terletak di Jalan Dato’ Abu Bakar dan pada 28hb Februari 1970 telah dipindahkan ke Wisma Sri Pahang.

Foto :
1) Bangunan KRC yang telah mengalami pengubahsuaian...
2) Bangunan hospital kelihatan dari padang KRC dalam tahun 1914


...bersambung lagi...