Saturday, July 28, 2018


Hari ini 28 JULAI 2018, usia Adik bertambah setahun lagi. 


 
Ucapan SELAMAT HARI LAHIR daripada kami sekeluarga untuk Adik....

Mak dan Ayah berharap agar Adik akan lebih matang dan kuat menghadapi cabaran hidup. 


Jangan lupa berdoa kepada Yang Esa. Selalu ingat DIA.  


Teruskan kecemerlangan untuk mencapai cita-cita Adik....



Cepatnya masa berlalu...

Sunday, July 1, 2018

PUDING HIASAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, halaman 1241, PUDING membawa maksud :

I.    sejenis tumbuhan (pokok kecil); 

II.  sejenis hidangan manis dan lembut yang dibuat daripada pelbagai bahan seperti tepung, susu, telur, gula, dan buah-buahan.



PUDING HIASAN, atau nama botaninya ialah CODIAEUM VARIEGATUM merupakan sejenis pokok renek yang dijadikan tumbuhan hiasan kerana daunnya yang berwarna-warni.  Suatu ketika dahulu di rumah Mama banyak terdapat pokok puding ini.  Saya ada juga tanam pokok puding ini di sudut laman berhampiran telaga D'LAvender, rumah saya di Parit Cina.


Pokok puding hidup subur di kawasan beriklim panas dan lembab.  Warna daunnya ialah campuran warna-warna kuning, hijau, dan merah berbintik-bintik atau berbelak-belak.  Warnanya bertambah cerah jika kena cahaya matahari.




Daunnya ada berbagai-bagai bentuk.  Ada bentuk pepita yang panjang atau pendek dengan tepi lurus atau berkedut, hampir bulat, bujur ; ada juga yang sumbing sipi dan bentuk lelembing.

Jika musim panas terlalu kering, pokok puding hendaklah dijaga kerana pada masa itu daunnya boleh gugur.  Pokok puding mesti disiram dan disungkup untuk menyelamatkannya.  Pokok ini mudah diserang hamama pada musim panas.


Pokok puding perlukan tanah yang baik salirannya dan dibubuh baja cecair.  Pokok puding boleh ditanam dari keratan batang.  Jika keratannya direndam dalam air, ia cepat tumbuh akar dan lebih mudah hidup apabila ditanam. 

Nak tambah koleksi puding di PC.....