Showing posts with label tanggungjawab. Show all posts
Showing posts with label tanggungjawab. Show all posts

Friday, October 5, 2018

Program Cakna Ibu Bapa ELIT'30



Sekali lagi perjumpaan antara ibu bapa - guru - Murid Elit  diadakan.  Kali pertama pada 6 APRIL 2018 dan kali ke-2 pada HARI PELAPORAN AKADEMIK PPT  2018.   
Perjumpaan kali ketiga melalui Program Cakna Ibu Bapa ini berlangsung dengan lebih bermakna lagi, terutama sekali penampilan ulung Pn. Lai selaku GPK1 SMKTP yang baharu menyampaikan taklimat berupa nasihat, bimbingan serta panduan kepada ibu bapa dan murid.  Perjumpaan kali ini juga menjadi  wahana perbincangan atau sesi berdialog  antara guru - murid dan ibu bapa secara lebih terancang.

Sesungguhnya, kejayaan pendidikan murid-murid merupakan kayu ukur kepada kejayaan mereka pada masa hadapan.        


Pesanan dan amanat yang sangat bermakna daripada Puan Lai, GPK1
Program Cakna Ibu Bapa ini merupakan kesinambungan daripada perjumpaan yang telah dibuat sebelum ini atas kesedaran bahawa pentingnya penglibatan ibu bapa / penjaga dalam meningkatkan motivasi murid ELIT untuk belajar dengan lebih proaktif demi memperoleh keputusan cemerlang, iaitu semua ‘A’  dalam SPM.

Kejayaan dalam bidang akademik dan kegemilangan sahsiah adalah sangat berkait rapat dengan sokongan, dorongan, tunjuk ajar serta nasihat yang berterusan daripada ibu bapa / penjaga seseorang murid serta guru-guru yang bertanggungjwab mendidik murid ini bagi mencapai kejayaan dalam hidup mereka.    Adalah menjadi harapan warga SMJKTP agar kolaborasi  ibu bapa / penjaga dengan guru-guru melalui Program  Cakna ini akan membuahkan hasil yang lebih cemerlang.

Antara visi program ini adalah untuk mengeratkan hubungan warga pendidik dengan ibu bapa / penjaga dan murid, selain bersama-sama berkongsi pendapat serta menggembleng tenaga  demi kecemerlangan akademik anak-anak mereka.

Antara objektif program ini adalah untuk : 
* Menilai kekuatan dan kelemahan murid ELIT dalam persiapan menghadapi peperiksaan SPM melalui sesi perbincangan bersama-sama guru mata pelajaran seterusnya membaiki kelemahan yang ada.
*    Menyedarkan ibu bapa / penjaga tentang peranan mereka dan bekerjasama dengan pihak sekolah demi kecemerlangan sahsiah dan akademik anak-anak.
*     Membolehkan ibu bapa berbincang dari hati ke hati tentang pencapaian akademik anak-anak mereka.
*     Memastikan program Sarana Ibu Bapa dapat dijalankan dan bergerak aktif seterusnya mewujudkan hubungan harmonis antara pihak sekolah / guru-guru dengan ibu bapa.


Perkongsian 'parenting skill' daripada Pn. Lai amat mempersona dan menyentuh jiwa pendengar
Sesi dialog guru - murid - ibu bapa / penjaga


Sesi dialog guru - murid - ibu bapa / penjaga

Sesi dialog guru - murid - ibu bapa / penjaga



Ikrar [kali kedua] daripada Murid Elit.  Kali pertama pada pertemuan April 2018

Menikmati juadah pengalas perut usai taklimat awal daripada Pn. Lai sebelum bermula sesi dialog




Majlis cakna ini berakhir hampir pukul 12.30 tengah hari.

Semoga segala hasrat dan harapan semua pihak dapat direalisasikan.

Thursday, September 13, 2018

Cerita Mikhail [1] : Tatkala Umi & Abi tiada di sisi

Buat pertama kalinya dalam hidup sejak bergelar ibu hinggalah kini mempunyai 3 cucu.... ada 'baby car seat' dlm keretaku.  

12/9/18 - Abi Mikhail terpaksa 'berehat' di KMC untuk mendapatkan rawatan susulan kerana batuk sejak sebelum Aidiladha akibat tersedut 'jerebu' di Port Dickson beberapa hari sebelum umat Islam menyambut hari raya korban baru-baru ini.   Umi Mikhail di JB dan TokAyah Mikhail pula di KB.  

Setelah puteri bongsu yg kini sudah berusia 29 tahun, baru sekarang aku tidur berdua bersama-sama kanak-kanak kecil, cucuanda si cilik MUHAMMAD FALIQ MIKHAIL B. MOHD FARIS yang akan genap 1 tahun 6 bulan, esok 15/9/18.   

13/9/18 - Khamis - Aku bersiap-siap seawal 5 pagi.  Segala keperluan sudah dimasukkan ke dalam kereta sebelum tidur, utk elakkan kelewatan pada esok pagi.

Usai solat subuh aku terus menyiapkan Mikhail, tukar pampers, bagi minum susu dan bawa ke kereta.  Tepat pukul 6.10 pagi kami sudah berada dalam WQP.  Selang lebih kurang 6 minit, kami sudah sampai di hadapan rumah 'Mama' Mikhail di IM1.  Lebih kurang 6.20 pagi aku bertolak ke tempat kerja dan alhamdulillah aku tiba seperti biasa di pekarangan SMJKTP, iaitu sebelum 6.35 pagi.    

Satu pengalaman baharu buatku.    


Zaman anak-anakku kecil dulu, aku tidak pernah melalui pengalaman ini kerana ada pembantu rumah yang dianggap sebagai keluarga sendiri yang akan mengurus dan menjaga 3 orang anakku yang masih kecil tatkala aku keluar ke tempat kerja.  

3 beradik itu MOHD FARIS @ Abi Mikhail, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH yang jarak usia mereka antara 1-2 tahun sahaja.   

Syukur kepada Ilahi kerana pada usiaku menjangkau lebih 5 dekad setengah ini, aku sempat melalui pengalaman ini yang tidak pernah aku alami pada zaman mudaku dahulu.








Tuesday, September 4, 2018

Tanjung Puteri Kami Datang

Sebut sahaja JB, teringat saya akan lagu nyanyian Aziz Ahmad ini.... Tanjung Puteri...

https://www.youtube.com/watch?v=GCo_Rofq-cw


1 SEPTEMBER
Bertolak dari rumah lebih kurang pukul 8.30 pagi, singgah sarapan di sebuah gerai sebelum susur masuk ke Jalan Muazam - Kuantan...

Lebih kurang pukul 10 pagi kami bergerak ke JB via Muazam Shah - Selancar - Yong Peng - JB
Kami sampai di hotel penginapan di DATARAN LARKIN lebih kurang pukul 2.30 ptg... check in, keluar minum, rehat di hotel.

Lepas Maghrib kami ke Warehouse @ Kilang berhampiran tempat penginapan kami.  Warehouse ini pada asalnya ialah kilang bateri Eveready.






2 SEPTEMBER
- breakfast di Restoran Mak Teh terletak di Nong Chik Height, Jalan Kolam Air.


- pusing-pusing bandar JB dan singgah di AEON Bukit Indah.
- Pada sebelah petangnya, kami berkunjung ke rumah sepupu Echah di Bandar Baru Uda.



3 SEPTEMBER
- Pagi-pagi lagi ke INSTITUT LATIHAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA @ Kolej Sains Bersekutu Kementerian Kesihatan,  yang letaknya lebih kurang 7 km dari tempat kami menginap, dalam kawasan Kempas.
- Echah akan mendaftar sebagai pelatih selama setahun di sini untuk PostBasic @ Diploma Lanjutan dalam bidang berkaitan dengan tugasnya sekarang.
























Kami bertolak balik ke Kuantan lebih kurang pada pukul 3:00 petang, via MERSING.

Hujung minggu nanti Mikhail dapat bertemu semula dengan Umi....


Saturday, March 31, 2018

ZIARAH POKTEH DI MELAKA

Kesempatan yang ada, kami merancang utk menziarah Pok Teh yang uzur di rumahnya di Hospital Melaka.  Kami berlima dan si kecik Mikhail bertolak dari Kuantan, manakala anakanda Fahmi, Aina serta HannanBella bertolak dari Bangi.







Semoga Pok Teh tabah dengan ujian ini dan diberi kesembuhan oleh-Nya. 

Thursday, May 15, 2014

SELAMAT HARI GURU 2014, Terima kasih, Cikgu...


Catatan pada malam penghulu hari yang nyaman....


Esok, seluruh warga pendidik akan menyambut Hari Guru 2014. Sedar tak sedar, tahun ini merupakan kali ke-28 saya menyambut Hari Guru setelah bergelar Cikgu.




SELAMAT HARI GURU buat semua insan yang bergelar guru... yang pernah dipanggil cikgu, teacher, sir, ustaz, ustazah dan sebagainya oleh anak didik mereka.... 
 
Teristimewa ucapan ini ditujukan khas buat guru-guruku yang telah mengajar dan mendidikku tanpa jemu dan penuh ikhlas... cikgu-cikgu di SRJK (I) Kota, KB (1969 - 1974), di SM Kota, KB (1975 - 1977) dan di Maktab Sultan Ismail (SIC), KB (1978 - 1981).

Tidak lupa, ucapan ini juga ditujukan kepada semua insan yang telah menjadi tempat untuk saya berguru dan mendapatkan tunjuk ajar di sepanjang jalan pulang... sama ada yang berlaku secara langsung ataupun tidak langsung.

Jasamu akan kukenang selagi hayat dikandung badan....terima kasih, Cikgu. Terima kasih, semua.


Selamat Hari Guru juga saya tujukan khas buat Kakanda saya CIKGU ROSLENA BT.JUSOH dan adinda saya, CIKGU NORBANILAWATEY BT. JUSOH; sanak saudara yang bergelar guru, semua rakan seperjuangan di seluruh pelosok tanah air, tidak kira sama ada yang bertugas di bandar ataupun nun jauh di pedalaman Gua Musang atau di Sabah dan Sarawak....!


Nostalgia Hari Guru beberapa tanun lepas...


Hari Guru 2013...
Pasti saban tahun akan ada getar di jiwa kita setiap kali melafazkan ikrar dan ketika menghayati bait-bait lirik lagu 'GURU MALAYSIA'.
"...amanat yang diberi, kami tak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan... tunai tetap kami tunaikan..."
Di SMKTP, sambutan Hari Guru di peringkat sekolah akan adakan esok, 16 MEI 2014 seperti juga sekolah-lain di Malaysia. Atur acaranya tetap sama sebagaimana tahun-tahun lepas.... membaca perutusan, ucapan, persembahan, penyampaian cenderamata dan makan-makan, kemudian diikuti dengan sukaneka.   



Selamat Hari Guru 2014.


semoga masih diberi kesempatan untuk menyambutnya pada tahun-tahun yang mendatang....


 

Monday, April 29, 2013

PRU : MERIAHNYA 5 TAHUN SEKALI....

Kemeriahan, kehangatan dan kesibukan menjelang PRU kembali lagi.  Sekali dalam masa LIMA tahun.   Ahad ini semua warganegara Malaysia yang berusia 21 ke atas dan telah mendaftarkan diri sebagai pengundi akan melunaskan tanggungjawab masing-masing.  Ini antara ciri sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berperlembagaan

Ayuh semua, jangan lupa 5 MEI 2013 nanti....

Kesempatan balik ke kampung hujung minggu lepas dapatkan merakamkan kemeriahan 'perang poster' di beberapa jalan utama di sekitar bandar Cik Siti Wan Kembang....




Terkenang saya ketika zaman kanak-kanak dahulu... tahun 1969, hampir 45 tahun yang lampau.  Poster KAPAL LAYAR simbol PERIKATAN yang dicetak di atas kertas ditampal oleh Papa di dinding rumah....

logo Parti Perikatan....

MARILAH MARI, PERGI MENGUNDI....



Saturday, October 13, 2012

Seperti Hatiku Dibawa Pergi....

Entah mengapa, hati terasa sayu dan sebak melihat anakanda keduaku bertolak pergi... pergi untuk memulakan fasa baru dalam hidupnya.  Bukannya tidak pernah berpisah dengannya sebelum ini.  Selalu sangat, tetapi perpisahan pada pagi ini terasa syahdu dan  sukar dibayangkan.  Terasa lain sangat....entah mengapa.   

Inilah putaran hidup.  Semua orang akan melaluinya, termasuklah aku sendiri suatu ketika dahulu.  Agaknya, beginilah juga perasaan Mama ketika melepaskan aku untuk hidup sendiri bersama suami dan anak kecilku 26 tahun yang lalu.... 

Yang pasti, selepas ini sudah pasti kami akan jarang-jarang bertemu.   Kesibukan tugas juga akan mengurangkan masa untuk dia bertemu dengan Abe dan Adik kerana ketiga-tiganya berada di tempat yang berasingan....
TAW 6006 meluncur laju menuju destinasi.... pandangan dari IM8

Anakandaku pergi untuk mula bertugas sebagai pegawai pelatih perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu selama 2 tahun.  Dia dikehendaki melaporkan diri esok, 14 OKTOBER 2012 -Ahad. 

Lebih kurang pukul 11.30 pagi tadi Anakanda Mohd Fahmi bersama  Nurul Aina dan baby Farhah Hannan yang ditemani oleh Kak Ma bertolak balik ke Kuala Terengganu.    Sebenarnya tinggi harapannya dan juga harapan kami agar dia ditempatkan di HTAA memandangkan anakanda Aina bertugas di UIAM dan mereka baru memulakan hidup berkeluarga di IM8.    Walau apa pun, kami amat bersyukur kepada Ilahi kerana dia ditempatkan di Hospital SNZ, Kuala Terengganu dan bukannya di daerah lain.... Kami percaya ada hikmahnya yang tersembunyi di sebalik penempatannya ini.  Kita hanya merancang tetapi perancangan Allah jauh lebih baik mengatasi segala-galanya.

Anakanda Aina yang mula bertugas di Pusat Pakar UIAM Jun lepas akan melepaskan jawatannya dan akan balik ke KT.    

menunggu Abah dan Mummy bersiap-siap untuk balik ke KT....

Sekurang-kurangnya kami masih ada kesempatan untuk menghabiskan sedikit waktu bersama anakanda Aina dan baby Hannan.  Seminggu, 2 minggu atau 3 minggu lagi....? Belum pasti...!  Yang pasti selepas ini, kami akan merindui mereka bertiga, lebih-lebih lagi baby Hannan.  Ah, 2 jam sahaja untuk ke KT.  Tak jauh.  Apabila rindu semakin sarat, kami pasti akan berkunjung ke sana.... tunggu kami, ya.

Buat Anakanda Mohd Fahmi, kami doakan agar anakanda dapat menyesuaikan diri dengan cepat di tempat bertugas yang baru.  Jalankanlah amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh iltizam. Kami doakan agar dipermudahkan segala urusan dan perjalanan kerjaya Anakanda.

Selamat berjaya Anakanda....

...terasa benar seperti hatiku dibawa pergi bersamanya.....



Monday, July 2, 2012

Papa & kunjungan mesra ke Rantau Mas


Jumaat lepas, kami sekali lagi berkesempatan untuk balik ke kampung menjenguk ayahanda bonda.  Kembali untuk melihat kerja-kerja pembikinan teratak kami yang masih belum siap....! Kami bertolak usai solat Jumaat dan tiba di KB lebih kurang pukul 6 petang.  Dalam perjalanan, kami singgah di Jabi untuk merasa sate Jabi yang tersohor suatu ketika dahulu... tapi kini rasa sate Jabi tidaklah sesedap beberapa tahun yang lalu.
Sate Jabi tidak lagi seenak dulu....

Hari Sabtu yang permai.  Pagi-pagi lagi kami keluar untuk menjenguk teratak kami yang masih dalam pembinaan.  Sebelum itu kami singgah bersarapan nasi kerabu Che Awang di Kg. Salor.  Kami sempat beberapa ketika ketika berada di tapak teratak kami di Kg Parit Cina.   Dari jauh kelihatan kelibat Papa berjalan masuk ke kawasan teratak kami.  

Nasi kerabu Che Awang... yang istimewanya ialah ayam & daging bakar

Papa nampaknya semakin sihat.  Waktu senggang yang ada dihabiskan untuk beriadah di kawasan teratak kami.   Menebas pokok-pokok renek yang mula berpucuk setelah dimesin beberapa minggu yang lepas.  Mengutip papan dan kayu-kayu kering untuk dibakar.  Mencabut tunggul yang masih tersisa selepas induknya ditebang.  Tunggul pokok durian dan tunggul pokok duku langsat yang sudah uzur di tepi pagar....   Memungut bungkusan kertas yang digunakan untuk mengisi debu simen.  Menebas rumput yang sudah nampak panjang.   Lalu dimasukkan ke dalam api yang sedang marak menyala. 

aktiviti riadah Papa....
Inilah antara aktiviti riadah yang Papa lakukan.  Kata Papa, sekurang-kurangnya dapat mengeluarkan peluh.  Dapat melatih tangan kanan Papa yang masih belum betul-betul kuat.  Kata Mak Usu, semalam Papa sudah boleh menggateh basikal.  Aktiviti yang sudah lama ditinggalkan... sejak empat bulan yang lalu...sejak Papa diserang 'mild stroke' pada awal April 2012.... genap 4 bulan sudah.  Alhamdulillah, kini, Papa kelihatan sudah semakin sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa.
pembakaran terbuka yang 'sihat'....
Kami hanya sempat bersembang dengan Papa buat seketika sebelum memohon diri untuk beredar ke Tanah Merah dengan janji untuk ke Rantau Mas selepas solat Asar nanti.

Sebenarnya, ada urusan penting yang perlu kami selesaikan di TM.   Sebaik sahaja memakir kereta, kami terus menuju ke Kedai Emas Cap Kuda yang terletak di sebelah kiri Pasar Besar Tanah Merah.  Sambil menunggu barang yang dihantar siap diproses, kami naik ke tingkat 1 Pasar Besar pekena mi celup yang tersohor sejak dulu lagi.
mi celup yang tersohor di pasar besar TM....
Sementara masa yang telah dijanjikan tiba, saya mengambil kesempatan untuk singgah di Cathay Beauty & Saloon yang letaknya di sebelah kanak Pasar Besar Tanah Merah untuk 'mencuci muka'...!

Selepas solat Asar, kami bersama Papa, Mama, Mak Usu dan dua kanak-kanak cilik itu bertolak ke Rantau Panjang.   Lebih kurang 40 minit juga perjalanan kami untuk sampai ke Taman Rantau Mas.   Inilah pertama kali kami menjejak kaki di rumah Na  (kecuali Papa).  Kunjungan untuk mengeratkan silaturrahim dan sebagai membalas kunjungan Na sekeluarga yang sebelum ini sudah tiga kali  berkunjung ke rumah kami di Kg Kota....
kunjungan mesra mengeratkan silaturrahim...

Kami disambut mesra oleh Na sekeluarga.  Mek nampak sungguh gembira, mungkin kunjungan kami ini sudah lama dinanti-nantikan.   Selepas berbasa-basi buat seketika, saperah dihampar menandakan juadah akan dihidang.  Juadah 'makan malam' yang sungguh memecah liur....   Asam pedas talapia, ayam paprik, ikan cencaru goreng bertaucu ? dan sayur campur benar-benar membuka selera kami.   Maklumlah Na sangat pakar memasak.  Tidak dilupakan akok dan kuih cara berlauk hasil air tangan Na sendiri.
 pasti meninggalkan kenangan yang bermakna....

Papa yang tidak makan nasi, tidak henti-henti menyuap akok yang kena benar dengan seleranya bersama air suam.   Bukan setakat dijamu makan, lauk-pauk itu ditapau pula untuk dibawa balik.  Semoga Na sekeluarga terus dimurahkan rezeki.
teruja....
Tentu sekali jejak pertama  ini menjadi catatan istimewa dalam lipatan sejarah keluarga.   Jejak pertama yang bakal membawa kepada terjalinnya ikatan yang lebih kukuh  antara dua keluarga.  Semoga apa yang dirancang berjalan lancar dan diberkati Ilahi.