Showing posts with label tugas. Show all posts
Showing posts with label tugas. Show all posts

Wednesday, May 1, 2019

MENGIMBAU KENANGAN JURUHEBOH PADA HARI BURUH

1 MEI merupakan hari cuti umum kepada semua pekerja.  Pagi ini tiada apa-apa yang hendak dibuat.  Sarapan sudah disediakan.  Cucuanda ke rumah Mama pengasuhnya.  Nak mengemas rumah, tak berapa rajin.  Bersantailah di depan laptop ni...


Terkenang 4 tahun lepas,  kami warga SMKTP 'bekerja' @ bertugas untuk satu program sekolah yang agak besar juga yang jatuh pada hari JUMAAT 1 MEI 2015.  Kami tiada pilihan kerana hanya pada pada tarikh tu VVIP yang dijemput merasmikan program itu kelapangan.


Tugasan saya adalah sebagai JURUHEBOH...hihihi... tak lena tidur jg kerana melibatkan VVIP dan pihak Istana... Tp amanah yang diberi  perlu diambil dengan penuh tanggungjawab... biarlah itu menjadi kenangan pertama dan terakhir.


Sebenarnya, sebelum bertugas di SMKTP mulai 2006, saya tidak pernah terlibat dengan tugasan sebagai juruacara majlis / Juruhebah  / Juruheboh.  Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya akan diberi tugasan itu.   Saya rasa saya tidak berbakat dan tidak berkebolehan.  Berbeza dengan Kakanda saya CIKGU ROSLENA dan juga adinda saya CIKGU NORBANILAWATEY, mereka memang selalu menjadi juruacara majlis bukan sahaja di peringkat sekolah, malah di peringkat PPD dan JPN.

Segalanya bermula pada tahun 2006.  AJK Kelab Staf yang diketuai oleh Cikgu Awang Mahadi telah memberi tugasan sebagai juruacara kepada saya untuk majlis persaraan Pn. Kan, Penyelia Petang pada masa itu.    

Saya ketika itu merupakan guru baharu di SMKTP dan bertugas di sesi petang.  Agaknya kerana saya guru baharu, agak senior pula tu, jadi saya menjadi 'mangsa' utk tugasan tersebut.  Sudahlah itu merupakan pengalaman pertama, malah solo pula tu.  Tak ada partner.   Saya tak tahu nak rujuk kepada siapa.  Tapi saya terima dengan positif.  Saya terus menghubungi kakak saya yang biasa menjadi pengacara majlis untuk mendapat panduan dalam mengacarakan sesuatu majlis.

Begitulah asalnya.... hmmm rupa-rupanya berbakat juga, bakat terpendam dalam lumpur...hahaha...

Selepas itu, bermulalah beberapa siri  pengacaraan majlis.  Ada yang memang dilantik dlm AJK awal, ada yang secara bidan terjun.  Terima sahajalah.  ALAH BISA TEGAL BIASA.


Sepanjang menjadi pengacara majlis itu, saya digandingkan dengan beberapa orang rakan guru yang lain.  Secara solo hanyalah semasa persaraan Pn. Kan dan Malam Juara-Juara kali ke-2.  Saya diminta  menggantikan Pn. Rohani Deraman pada saat-saat akhir kerana beliau terpaksa hadir kursus pada tarikh tersebut, yg tinggal 2 hari sebelum Malam Juara-Juara.


Berganding suara dengan        Pn. Fauziah Abu Hassan dan    Pn. Chan Mee Lan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SMKTP 2007.












1) Bersama Pn. Surani Awang - Kejohanan Sukan Tahunan 2010 di Stadium Darul Makmur. Masa RUMAH BIRU menjadi Juara Keseluruhan.
Kebetulannya pula pada masa yang sama di luar stadium ada program JOM HEBOH

2) 2012 - Bersama Cikgu AB Malek di Mini Stadium UIAM.  Partner hilang tinggalkan saya seorang mengendalikan majlis.  Muncul setelah majlis bersurai... Macam-macam ragam...hahaha...

3) 2013 - Sekali lagi berganding dengan Pn. Suriani Awang di Mini  Stadium UIAM jg.

Begitulah antara memori menjadi pengacara majlis di SMKTP.  Kenangan yang mewarnai perjalanan hidup seorang guru biasa di sekolah harian biasa; yang menyimpan segala ragam citra watak yg menghidupkan cerita...  

Friday, January 11, 2019

Selamat Berhijrah & Selamat Datang

Setelah 2 minggu sesi 2019 bermula, impian Cikgu Jo utk berhijrah ke tempat baharu akhirnya menjadi realiti setelah surat yang sekian lama ditunggu-tunggu tiba di tangan.

rakaman kenangan pada 11 JAN 2019

En. Jo yang berada di TP selama lebih kurang 2 tahun akan memulakan tugas GPK HEM di sekolah baharu, iaitu di SMK Pandan.  Tempat beliau akan diambil alih oleh En. Tan Ka Keong yg sebelum ini memegang jawatan GPK Koku sejak Jun 2018.

Tempat En. Tan akan diisi oleh Encik Muhd Azian, juga merupakan bekas guru di SMKTP dan saya sempat bersama beliau pada tahun 2006 - 2007.


Selamat maju jaya di tempat baharu, Cikgu Jo.  Selamat datang Cikgu Azian.
 

Wednesday, January 2, 2019

Apabila Fajar 2019 Menyingsing_

Selamat tahun baharu 2019... 

2 JANUARI 2019...selamat kembali ke sekolah anak-anak didikku...





Biarlah kita mulakan hari pertama dan seterusnya dengan ikhlas.  Semua perkara akan menjadi susah sekiranya kita tidak melakukannya dengan ikhlas Sekiranya kita melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas, setiap perkara yang dianggap sukar oleh orang lain, tetap mudah bagi kita.  Sekiranya kita ikhlas melakukan sesuatu perkara, kita pasti akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan penuh bersemangat. Oleh itu dahulukan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara.

Tahun ini merupakan tahun yang ke-33 saya bergelar pendidik dan masuk tahun ke-13 saya di SMJKTP.   Semoga SMJKTP akan terus meninggalkan kenangan indah dalam perjalanan kerjaya saya....

2121 pasti tiba jua nanti....

Friday, November 23, 2018

Minggu-minggu Terakhir Sesi Persekolahan 2018

Akhirnya, sesi persekolahan 2018 sampai ke penghujungnya.  

Minggu ini merupakan minggu terakhir persekolahan.  Dalam kesibukan melunaskan tugasan akhir tahun, pelbagai program telah dirancang untuk memastikan kemenjadian murid berjalan seperti biasa.





































23 NOVEMBER 2018 merupakan hari terakhir PUAN SITI SARA  di SMKTPsetelah berkhidmat di TP berbelas-belas tahun lamanya.  Semasa saya mula bertugas di TP, Siti Sara sedang bercuti tanpa gaji mengikuti suami yang sambung belajar di UK.







Walaupun sekolah sudah mula bercuti, tugasan yang diamanahkan sebagai persiapan sesi baharu 2019 perlu dilunaskan.  Begitulah ketentuannya, berulang alik Kuantan - KB - Kuantan dalam masa beberapa minggu ini.   

Semoga dalam beberapa tahun terakhir ini sebagai penjawat awam, aku dapat menyumbang bakti terbaik buat semua.  Insya-Allah.


Tuesday, September 19, 2017

SEPTEMBER YANG SENTIASA DI HATI....

Raikan 55 - 32 - 54...  Alhamdulillah.

55 tahun yang lalu, pada bulan SEPTEMBER, hari yang  KE SEMBILAN BELAS, aku dilahirkan sebagai puteri yang kedua kepada pasangan sejoli HJH CHE HALIMAH dan HJ JUSOH ...  Alhamdulillah, kini Mama dan Papa masih sihat dan masih boleh bersama-sama meraikannya....



19 SEPTEMBER 1985  kami disatukan....sedar tak sedar, sudah lebih 3 dekad usia perkahwinan kami hari ini.


Dalam meniti 32 tahun hidup bersama, aku berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana Encik Kasihku seorang yang penyabar kepadaku dan anak-anak. Dia menyayangi kedua-dua ibu bapaku sebagaimana dia menyayangi kedua-dua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluargaku. 



Begitu juga di pihakku, aku juga menyayangi kedua-dua ibu bapanya, ARWAH CHE POK MAT dan ARWAH MEK KIAH serta seluruh ahli keluarganya.  Aku menerima mereka seadanya.


Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….


Setelah 32 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengimbau pengalaman lebih 3 dekad yang telah berlalu....

19 September 1985 – 
19 September 2017

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-32  
190917

Kepada Encik Kasihku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....

26 OGOS 1984
Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta.  Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang.  Pautan ini berasal dari angan-angan atas nama rindu.  Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...


OKTOBER 2016
Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan, sangatlah ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....


Kami sedar, berkahwin pada usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Hal ini bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.



Sedar tak sedar, kini sudah 32 tahun kami hidup bersama-sama untuk saling melengkapi; dihiasi 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH dan dua orang menantu kami, anakanda NURUL AINA AWANG dan SITI NUR AISHAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.… 



Istimewa sekali, kehadiran cucuanda FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI (5 tahun), FALISHA SALSABILA BT. MOHD FAHMI (3 tahun), dan MUHAMMAD FALIQ MIKHAIL B. MOHD FARIS (6 bulan) si cilik yang sentiasa menghiburkan kami semua....rindunya Mak Tok....






















Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.








SEPTEMBER kali ini juga membawa berita gembira buatku. Gembira seorang penjawat awam, merangkap pendidik anak bangsa tercinta; 
yang setia dengan gelaran CIKGU akademik yang biasa-biasa; 
dan yang sentiasa seronok dengan tugas hakiki  sejak mula 
mengajar anak didik tulis dan baca

....Alhamdulillah, pada tahun-tahun terakhir perkhidmatanku  ini, setelah berkhidmat lebih daripada 3 dekad
 sempat jugalah aku merasa....

Alhamdulillah, semuanya rezeki daripada Allah s.w.t.   Rezeki yang dipinjamkan dan untuk dikongsi bersama-sama....

Tuesday, June 13, 2017

Tangkas Di Padang Ilmu


Sesi persekolahan penggal kedua tahun 2017 kembali lagi ... anak-anak didik mula melangkah ke sekolah untuk menimba ilmu... Cikgu-cikgu terus mengejar masa mencurah bakti... di padang ilmu....

















Di padang ilmu
kita mestilah tangkas berlari
menuju hala
ke benua luas terbuka.

Di padang ilmu
kita tidak semestinya lupa
akan pesan ayah bonda
mengejar cita-cita :
- perlu banyak tenaga
- perlu banyak kerja
- perlu banyak tumpuan
- perlu banyak perhatian
- perlu banyak usaha
- perlu banyak mengingati Tuhan

... pesan ayah bonda lagi
ikhlas suci mengangkat pekerti
menggenggam ilmu
bukan mudah diperoleh.

Di padang ilmu
semerbak harum kembang minda
sisipkan di hati penuh yakin
pasti di hati penuh yakin
pasti mewangi taman kejayaan.

Di padang ilmu
kita mencapai acuan penuh iltizam
untuk nanti merangkul jaya
memeluk erat harapan keluarga
memeluk erat sejahtera negara....




Ilmu itu bagai bintang-bintang yang gemerlapan menyinari hati sanubari setiap insan yang mendamba kebenaran...

Iman memberi cahaya pada jiwa, ilmu memberi sinar pada wajah. Walaupun tiada pangkat, orang-orang yang beriman dan berilmu tetap dipandang mulia di sisi Allah s.w.t.

Semoga kita semua akan diberi sinar cahaya kebenaran....InsyaAllah...




Thursday, October 15, 2015

Seketika di meja tulisku....


Meja tulisku
sarat kertas dan buku
pena gagah menari
tangan bersimpang-siur
memikirkan tugas dan peranan
merenung arah dan tujuan
mengelamun sedetik rasa.

Meja tulisku
menjadi saksi
bahawa aku memerah minda
mencari jawapan dan penyelesaian
kekadang hilang pertimbangan
apabila menuntut kesegeraan
apabila mengejar masa
sedangkan diri dimamah lelah.

Meja tulisku
juga saksi kelegaan
pabila kerja dibereskan
idea dapat dicurahkan
dapat memecah kebuntuan
dapat menyulam kegigihan
dalam keterbatasan.

 (selesai sudah HRMIS2.0 dan PT3 bertulis 2015...)