Showing posts with label SRJK (I) Kota. Show all posts
Showing posts with label SRJK (I) Kota. Show all posts

Tuesday, May 10, 2011

Terima Kasih Cikgu....

Selain sambutan Hari Ibu, bulan Mei juga merupakan bulan mengenang jasa guru-guru yang telah mengajar dan mendidik kita menjadi seperti "kita" hari ini. Kurang seminggu dari sekarang, kita akan meraikan Hari Guru 2011.

Mengimbau kenangan bersama guru-guru pada awal zaman persekolahan, aku terpanggil untuk mencatat secebis kenangan yang terpahat di minda semasa bersekolah di SRJK (Ingg) Kota, 1969 - 1974.

Jasa mereka tidak akan kami lupa. Kejayaan yang dikecapi kini bermula daripada didikan serta tunjuk ajar Cikgu-cikgu tersayang – akan tetap kukuh dalam ingatan.

Berikut antara kenangan yang masih tersisa dalam ingatan....

1. Cikgu Habsah (Form Teacher Std. 1 Blue -1969) – sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun lepas, rumahnya tidak jauh dari sekolah, (dekat bulatan Wakaf Hj. Abdullah Kota) dan beliau berjalan kaki sahaja untuk ke sekolah. Selepas berkahwin dengan Cikgu Yusof sekitar tahun 1972 (guru di SRJK(I) Kota juga), beliau menetap di kediamannya bersebelahan dengan pagar SK Kota.

2. Cikgu Tengku Hafni Zaharah (Form Teacher Std 2 Blue - 1970) – ayu, lembut, sopan santun, sentiasa berbaju kurung dan sangat prihatin. Keayuan dan kelembutannya menjadi Cikgu Tengku sangat istimewa di mata kami. Matanya berkaca-kaca sekiranya ada murid lelaki yang tidak mahu dengar arahannya...Beliau berkahwin dengan Cikgu Mohammad.

3. Cikgu Nik Mohammad - guru kelas Std 3 Blue (1971) - selalu hantar surat kepada seseorang melalui rakan sekelas, Haslin...kemudian digantikan oleh Cikgu Zainab – cakap Melayu ala orang putih kerana baru balik dari New Zealand...

4. Mr. Choong Chong Wah (FT Std 4 & 5 Blue - 1972/73) – asal dari Pulau Pinang, tinggi lampai, tinggal di Jalan Hamzah KB, naik vespa hijau ke sekolah, mengajar English & Arithmatics.

5. Mr. Chong Sam Chong (FT Std 6 Blue - 1974) – mengajarkan mata pelajaran Science dan Arithmatics. Kami mula belajar dengan beliau sejak Std 3. Beliau memilih Islam sebagai destinasi akhir, tp tak ingat nama Islamnya. Masa djh 6, kami melawatnya di hospital – ‘operation’ sebelum berhijrah menjadi seorang muslim.

6. Cikgu Fatimah Busu – beliau suka bercerita, selalu pakai blouse pendek dan kain sempit -kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke USM – novel karyanya Ombak Bukan Biru, The Missing Piece 1 & 2 antara koleksi peribadi yang istimewa – catatan sebahagian perjalanan hidupnya.

7. Cikgu Mara Rahmah – selalu ajar kami menyanyi “Waktu fajar saya bangun, matahari pun terang, kulihat berduyun-duyun …..“ (sudah lupa liriknya) – juga bimbing murid-murid SRJK Kota pelbagai jenis tarian/ taridra untuk masuk pertandingan – fashionable, berbaju warna sedondong dari cekak rambut, bingkai cermin mata, subang, baju, beg tangan hingga kasut - pernah berjumpa dengan beliau pada akhir tahun 90-an dalam satu majlis santai WAJANITA guru-guru wanita JPWP di Hotel Istana, KL...(masih berbaju kurung pesak sedondong), beliau ketika itu menjadi Guru Besar di SK Manjalara, KL.

8. Ustazah Zainun – berasal dari Kg. Laut. 6 tahun belajar dengan ustazah yang sama. Masa ni, fesyen ikat skarf di leher… belum ada tutup-tutup kepala lagi…

9. Cikgu Ismail, mengajar Tawarikh dan Ilmu Alam (Std 5) – sangat tekun untuk memastikan kami dapat ‘A’ dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5 – mengayuh basikal dari rumahnya di Lorong Che Majid off Jln Pasir Puteh KB ke sekolah. Setiap Sabtu dan cuti sekolah selalu buat kelas tambahan.

10. Mr. Loh Tong Seng – ajar Arithmetics (Std 6); Art & Craft – ingat lagi semasa Std 6, beliau ajar buat penguin guna sabut / buah kelapa dan kolaj.

11. Mr. Ong - ajar kami lagu untuk concert semasa kami Std 4 (1972)... lagu Kookabara sits on the old gun tree..., Che Mek cari etok...(dialek Kelantan), Siau siau ku niang....(lagu mandarin)...satu lagi lagu dah tak ingat. Masa tu kami bersekolah petang, jadi kenalah datang berlatih pada waktu pagi di kantin sekolah.

Tidak lupa juga kenangan bersama dua orang HM, iaitu Mr. Kassim (dari Std 1 - Std 3) dan Cikgu Ibrahim (Std 4 - Std 6)....


Kenangan di SRJK (I) Kota mengusik jiwa... cikgu ibarat lilin...


Wednesday, January 20, 2010

KOTA - (1)

Kota, (menurut Kamus Dewan) ialah tempat pertahanan yang dilingkungi tembok, batu, benteng atau tembok yang melingkungi kubu pertahanan...

Kota Jelasin. Sebuah kota yang melakar sejarah penting di Negeri Cik Siti Wan Kembang. 'KOTA' yang menjadi sebutan sampai bila-bila... Kampung Kota. Kampung tempat aku dilahirkan lebih 4 dekad yang lalu. Sebuah kampung yang indah lagi permai.

Kampung Kota yang letaknya dalam daerah Kota Bharu, sebenarnya mendapat nama daripada Kota Jelasin - Kota yang telah dibina oleh Raja Abdullah, suami dan sepupu kepada Puteri Saadong.

Alkisahnya, sewaktu remaja, Puteri Saadong merupakan seorang Puteri yang sangat cantik paras rupa dan tingkah lakunya. Puteri Saadong juga dikenali sebagai "Puteri Vijaya Mala". Kecantikan Puteri Saadong ini tersohor ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Cik Siti Wan Kembang, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak. Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah, iaitu anakanda Raja Bahar.

Setelah istiadat perkahwinan itu selesai, Raja Abdullah telah membina sebuah kota di hilir Negeri Kelantan dan dinamakan "Kota Jelasin". Setelah beberapa lama bersemayam di Kota Jelasin, mereka terpaksa berpindah pula ke Kota Mahligai (di Kampung Mahligai, Melor sekarang) apabila mereka diganggu oleh tentera Maharaja Siam yang ingin memiliki Puteri Saadong yang cantik itu.

Kota Jelasin - Kampung Kota nama diberi, tempat tumpah darahku.... Tapak Kota Jelasin sebenarnya terletak di Wakaf Che Yeh sekarang iaitu di tapak stesen RTM Kota Bharu (Radio Malaysia Kelantan),SK Kota, SK Seri Kota & SMK Kota.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula KOTA warisan nenek moyangku...

Monday, April 20, 2009

EJAAN BARU

Tahun 1972, untuk pertama kalinya saya dan rakan-rakan seangkatan bersekolah di sebelah petang.  Ini merupakan tahun pertama dan terakhir kami di sesi petang sepanjang 6 tahun di SRJK (I) Kota.  

Mulai darjah 4 saya ke sekolah berjalan kaki. Pukul 11.30 saya dah mula bertolak dari rumah. 30 minit perjalanan, sampailah ke sekolah. Kawan-kawan sekampung ramai yang sekolah pagi. Mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kota, satu sesi - pagi sahaja. Jadi, saya akan jalan kaki sorang-sorang sehinggalah separuh perjalanan, barulah ada kawan-kawan yang menyertainya, biasanya Zanita dan Wan Hasmah. Begitu jugalah semasa balik dari sekolah. 

Noni yang baru darjah 2, juga sekolah petang, tapi dia naik beca ke sekolah sebab ‘masih kecil' lagi.  Saya yang sudah darjah 4 ketika itu, terpaksa berjalan kaki kerana Pok Mat beca roda tiga tidak terima budak sekolah yang sudah besar....

1972 - perkara penting yang akan saya atau kami ingat sampai bila-bila ialah perubahan Sistem Ejaan bahasa Melayu.


 
Sistem Ejaan Baru telah dirasmikan pada 16 Ogos 1972. Ini bermakna sudah hampir 37 tahun ejaan baru dilaksana dan digunakan. Sistem Ejaan Rumi yang dilaksanakan pada tahun 1972 itu adalah hasil kesepakatan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia, bagi pihak kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia. Badan yang ditugaskan menyelaraskan ejaan tersebut ialah Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia yang dilantik oleh Menteri Pelajaran, dan Jawatankuasa ini diletakkan di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ini bermakna semasa kami di Std 4, merupakan era peralihan dalam mempelajari sistem ejaan - dari sistem lama kepada sistem baru. Rasanya, tidaklah mengambil masa yang lama untuk menguasainya.


Perubahan dan penyusunan semula ini telah dapat membantu pengguna Bahasa Melayu mengeja atau menulis kata-kata dengan ejaan yang betul dan tepat. Apa yang jelas ialah pelaksaanaan sistem ejaan baru itu telah banyak membantu mempertingkatkan lagi martabat bahasa Melayu itu sendiri.

Satu perkara yang menarik dalam sistem ejaan baru bahasa Melayu ini ialah perubahan dari Sistem Ejaan Rumi Za’aba, atau ejaan lama kepada bentuk ejaan baru (1972). Walaupun begitu perubahan sistem ejaan ini tidaklah banyak atau jauh berbeza, kecuali beberapa perubahan dan penyelarasan yang telah dibuat.

Salah satu perubahannya ialah huruf gabungan yang digunakan dalam sistem ejaan Rumi Za’ba, iaitu ch, dh, dz, sh, dan th telah diubah menjadi "c, d, z, sy, dan s".

Contoh: chinchin = cincin / dharab = darab / dzalim = zalim / sharat = syarat / mithal = misal / ranchangan = rancangan
contoh lain : ayer = air



Selain itu, angka 2 untuk kata ganda, tanda (- ) untuk kata sendi telah digugurkan.  Tanda (-) kekal untuk kata ganda.

Tapi yang peliknya, murid-murid sekarang suka sangat guna angka 2 untuk kata ganda ...


"Bahasa Jiwa Bangsa", jumpa lagi .



Friday, April 3, 2009

Ustazah

Subjek agama Islam diajar oleh ustazah yang sama dari Std One hingga Std Six. Ustazah Zainun, orang Kampung Laut, kawan Mama semasa mereka sama-sama belajar di Sek. Naim Lilbanat, KB pada tahun-tahun 1950-an.

Masa tu belajar agama guna tulisan Jawi, tapi bila naik Form 1 (1975), guna rumi hinggalah Form 5. Lama-lama kemahiran menulis jawi semakin merosot. Rasa rugi sangat, tapi nak buat macam mana, dasar kementerian pelajaran masa tu...(Beberapa tahun kemudian, barulah tulisan jawi dikembalikan) Aspek yang diajar sama seperti sekarang, iaitu Tauhid, Feqah dan Sejarah Islam.

Mula-mula belajar baca Alif - Ba - Ta, kemudian belajar menulis jawi. Ulang setiap huruf dalam satu muka surat. Huruf di barisan atas buku latihan, Ustazah yang tulis dulu. Kemudian, kami ulang, penuh satu muka surat. Kalau tulis dengan kemas dan bersih, dapat bintang. Ada satu bintang, ada dua bintang. Yang paling baik dapat tiga bintang. Bila dapat bintang, rasa seronok sangat.

Selalunya Ust. Zainun akan bercerita tentang kisah-kisah Rasullullah s.a.w. Cerita yang disampaikan dengan bersahaja tapi sungguh berkesan. Kami akan duduk bersila mengelilingi ustazah yang duduk di atas kerusi. Nama-nama seperti Aminah, Halimatusaadiah, Maisarah, Siti Khadijah telah tertanam dalam minda kami sejak kanak-kanak lagi.

Kami juga diajar doa-doa dalam sembahyang. Kami perlu menghafal doa-doa tersebut. Setiap murid disuruh baca dengan kuat dalam kelas secara bergilir-gilir. Kalau tak hafal, alamatnya kena dendalah. Jadi, sekejab sahaja kami dapat hafal walaupun doa itu panjang.

Saya masih ingat lagi, masa darjah 4, buat amali sembahyang jemaah. Sembahyang Asar. Masa tu sekolah belum ada surau. Kami menyusun meja rapat-rapat dan sembahyang beramai-ramai di atas meja tu. (Dulu meja kayu sangat kukuh, bukan seperti hari ni, meja diperbuat daripada kayu yang dimampatkan dan guna skru, mudah goyang / rosak. Yang terkini, meja pelajar dibuat daripada plastik)

Dulu tidak banyak kelas TADIKA. Kalau adapun, bukannya berasaskan pendidikan agama Islam. Kami tiga beradik yang atas ni tak masuk TADIKA pun. Di rumah, kami hanya diajar mengaji Quran. Amalan lain, kami ikut aje apa yang dilakukan oleh mereka yang lebih dewasa. Jadi, kami mendapat pendidikan agama secara formal setelah mula bersekolah.

Terima kasih Ustazah, kerana membekalkan ilmu agama yang menjadi asas kukuh untuk saya memulakan perjalanan yang panjang ini....

Wednesday, April 1, 2009

Art & Craft 1

Antara subject yang diminati semasa di sekolah rendah ialah Art & Craft.

Masa tu kami banyak guna crayon. Ada yang jenis lembut dan ada jenis yang agak keras. Yang jenis lembut lebih mudah digunakan dan warnanya lebih terang.



Untuk seni cetakan, kami guna water colour, dalam bentuk powder/ debu. Ambil beberapa jenis warna asas dan masukkan ke dalam palette yang besar. Guna brush yang besar juga. Campur dengan air. Semua ni disediakan dalam setiap classrom.

Water colour dalam tiub kecil tu mula digunakan setelah masuk sekolah menengah. Sekali-sekala bila pergi ke rumah Mak Abe, curi-curi guna water colour Kak Yah atau Kak Sah (mereka ni dah di sekolah menengah pada masa tu). Habislah dipicit bekas colour tu. Kadang-kadang letak warna merah pada kuku jari, buat inai...

Antara jenis seni yang diajar oleh Cikgu Habsah (Class Teacher One Blue) ialah seni cetakan @ mengecap corak menggunakan pelepah batang pisang yang dipotong, atau guna ubi kentang yang 'diukir' corak tertentu. Macam-macam corak yang dihasilkan. Sudah tentu Mamalah yang sediakan semua ni pada sebelah petang/ malam untuk dibawa ke sekolah keesokan paginya. 



 


Ada juga kawan-kawan yang tak bawa, terutama lelaki, mulalah melilau ke sana ke mari untuk minta simpati. Yang paling seronok apabila hasil kerja kita dipamerkan di papan kenyataan kelas. Rasa macam tak percaya... tapi bangga...





Jumpa lagi dengan kerja craft yang lain pula...



Saturday, February 7, 2009

Mula bersekolah

SRJK (Ingg) Kota menggamit memori. (Kini dikenali sebagai SK Seri Kota).

Tahun 1969, merupakan tahun keramat kepada saya kerana pada tahun itu saya mula menjejakkan kaki ke sekolah. Pada masa itu, sek ini terdiri daripada 2 blok bangunan satu tingkat. Setiap darjah mengandungi 3 kelas (Blue, Red & Green). Ada 2 sesi persekolahan. Sekolah ini berkongsi padang dan kantin dengan SK Kota. Jarak rumah ke sekolah lebih kurang 2 km. Saya ke sekolah menaiki teksi (beca roda tiga) Pok Mat dengan sewa bulanan (kalau tak silap) sebanyak RM3.00.

Hari pertama ke sekolah, Papa yang hantar. Pagi-pagi lagi Mama sudah menyiapkan sarapan dan rambut saya yang panjang diikat (ekor kuda) dan diletakkan bulu ayam merah sebagai hiasan. Dengan pinafore biru, kasut kanvas putih Badminton Master dan beg sekolah (bentuk kotak - berkunci - berwarna coklat), saya melangkah dengan penuh yakin ke sekolah.

Kini setelah 40 tahun berlalu, memori indah itu terus terpahat dalam ingatan - langkah pertama menuju kejayaan ...

bersambung ....