Showing posts with label makanan. Show all posts
Showing posts with label makanan. Show all posts

Tuesday, February 28, 2017

Singkong dan Nostalgia Ubi Kayu

Kalau di Seberang Selat Melaka jenis makanan ini dikenali sebagai singkong, sama ada singkong rebus ataupun singkong goreng, tetapi di sini kita panggil ubi kayu... ubi kayu rebus atau ubi kayu goreng....

Sebut pasal singkong ni, teringat saya sebuah lagu dari seberang yang pernah popular suatu ketika dahulu..Lagu Singkong dan Keju, ciptaan Arie Wibowo...

" Kau bilang cinta padaku... aku bilang pikir dulu...
selera kita terlalu jauh berbeda....
parfummu dari Paris... sepatumu dari Itali....
Kau bilang demi gengsi...semua serba luar negeri....
Manakah mungkin.... mengikuti caramu yang penuh huru-hara...
Aku suka jaipong...kau suka disco
Aku suka singkong....kau suka keju
Aku dambakan seorang gadis yang sederhana...
Aku ini hanya anak singkong....hanya anak singkong..."

Masa tu, saya sendiri pun tak faham maksud singkong.... ! Rupa-rupanya singkong ini ialah ubi kayu...

Semasa wisata kami ke Tanah Seberang beberapa tahun lepas, di mana-mana sahaja kami dapat lihat singkong ini dijual oleh penjaja gorengan dengan kereta sorong. Yang uniknya, singkong @ ubi kayu goreng ini ditabur dengan parutan keju dan sebuk cili di atasnya.... Pada mulanya saya tidak berani mencuba, tapi setelah merasa satu, memang sedap...lemak masin.... cuma tak tahan rasa pedas serbuk cili.... 

Dulu, apabila tiba musim hujan, Atok akan ke tebing sungai untuk ambil ubi kayu. Ubi kayu ni kalau baru dicabut masih fresh dan tak masuk angin lagi. Biasanya kami akan tolong koyakkan kulitnya, basuh dan rebus sampai empok. Sambil-sambil tu Atok pula akan dapatkan nyior dan suruh Mama atau Nenek kukur (parut). Nyior yg diparut/ kukur ini akan digaul dng sedikit garam. Ubi kayu rebus tadi akan dicicah dng kelapa parut sebelum dimasukkan ke mulut...hmm best...!

Masa kanak-kanak dulu Nenek guna dapur kayu untuk memasak...kadang-kadang kami akan menyibuk di dapur. Kalau masih ada bara atas dapur kayu selepas Nenek memasak, kami akan masukkan ubi kayu ini ke dalam bara api itu. Kena berjaga-jaga, takut ubi kayu hangus, tak jadi ubi kayu bakar lagi, sebaliknya jadi arang ubi kayu...! Bila dah yakin telah masak, ubi itu dikeluarkan dari bara api dan dibuang kulitnya sebelum dimakan.

Kadang-kadang kami buat bengkang ubi kayu. Masa kecil-kecil dulu kami hanya memerhati Mama atau Nenek buat. Semasa darjah 6 kami 3 beradik dah pandai buat sendiri. Musim hujan akhir tahun, cuti sekolah. Kami akan fikir macam-macam aktiviti untuk dibuat. Ubi memang banyak pada musim ini kerana semua ubi perlu dicabut, takut ditenggelami air bah. Ubi kayu itu kami hantar ke kedai runcit berdekatan rumah Mama untuk dimesin (kalau tak, kami parut aje). Ubi kayu yang dah dimesin/ parut itu dicampur dengan kelapa muda yang telah diparut dan dicampur gula + garam secukup rasa. Lepas tu, diletakkan atas tudung periuk sebelum dibakar sehingga masak. Masa ni kami bakar guna sabut, belum ada oven; lagi jauh sekali ketuhar gelombang micro...! Seronok sangat... Bila dah masak, bentuknya yang bulat leper itu akan kami potong dan dihidangkan bersama kopi 'o' panas.

Ubi kayu ini juga boleh dibuat lepat ubi kayu. Yang ni Mama atau Nenek yang buatkan. Kami, masa tu tak pernah mencuba. (Kalau lepat pisang biasa juga buat sebab pernah buat di sekolah semasa belajar Home Science). Rasa lepat ubi ni mesti manis + lemak, barulah sedap... kena masukkan manisan @ gula melaka + kelapa muda, lepas tu bungkus dengan daun pisang dan kukus.

Selain itu, Nenek juga biasa buat tapai ubi kayu. Ubi kayu ni perlu direbus terlebih dahulu sehingga empuk. Ubi kayu rebus ini perlu disejukkan terlebih dahulu, ditabur dengan ragi sebelum disusun dalam periuk untuk diperam. Biasanya selepas 24 jam diperam, ubi kayu tadi akan bertukar menjadi tapai. Tapai yang nenek buat terkenal di sekitar kampung, dan kadang-kala, Nenek jual tapai ni di pasar Wakaf Che Yeh. Kata Nenek, bolehlah seringgit dua buat belanja dapur... nak toreh getah tak boleh kerana batang pokok getah basah. Musim tengkujuh katakan...!

Selain itu, ada lagi makanan favourite berasaskan ubi kayu pada musim-musimhujan begini, iaitu "putu halba". Gerai menjual putu halba tumbuh seperti cendawan lepas hujan di tepi-tepi jalan utama di negeri kelahiranku pada musim tengkujuh. Putu halba dibuat daripada ubi kayu + manisan + kelapa. Dikukus.

Kisah ubi kayu mengembalikan nostalgia semasa kanak2 dan awal remaja. Kini, walaupun sekali-sekala balik ke kampung semasa musim tengkujuh, tak sempat untuk makan ubi kayu rebus atau bengkang ubi kayu. Lepat ubi kayu dan tapai ubi kayu biasa juga makan kerana ada dijual di pasar, bolehlah dibeli.

Anak-anak zaman sekarang yg biasa dihidangkan dengan makanan segera tidak gemar makan makanan berasaskan ubi, apatahlah lagi ubi kayu.

Ubi kayu atau singkong makanan nenek-moyang masyarakat serumpun bangsa sejak zaman berzaman. Ubi kayu memberi sumber tenaga semasa zaman sukar. Alangkah pentingnya ubi kayu suatu ketika dahulu....

Saturday, November 1, 2014

secebis kenangan....kacar sugho di bulan Muharam....

Hari ini 1 NOVEMBER 2014, bersamaan dengan 8 Muharam 1436H.  2 hari lagi, 10 Muharam menandakan tibanya hari yang dikenali sebagai Hari Asyura.

Dah lama rasanya saya tidak merasai “sugho” @ bubur asyura ala Kelantan ni...tahun ni rasa teringin sangat untuk merasainya... Chek Yah kata, sugho Hjh Nik Meriam, Jalan Kelocor tempat saya selalu beli murtabak frozen dan akok tu paling best... nampaknya nak kena telefon untuk tempah sugho dengan Hjh Nik.

Teringat semasa zaman kanak-kanak dulu, melihat Nenek buat sugho bersama-sama jiran tetangga. Sehingga kini, masih ada masyarakat kampung yang meneruskan tradisi membuat bubur asyura beramai-ramai dalam bulan Muharam...

Dulu-dulu, orang kampung juga memanggil bulan Muharam sebagai bulan sugho... di sana-sini pasti ada kumpulan yang berpakat secara gotong-royong 'mengacar sugho' ni. Memang meriah sungguh walaupun mengambil masa yang lama, sehingga 8 - 9 jam untuk menukarkan bahan-bahan yang dijerang di dalam kawah itu menjadi sugho... Malangnya, anak-anak saya kini sudah tidak berkesempatan melalui pengalaman seperti itu....malah, mereka tidak begitu menyukai juadah turun-temurun ini...

Paling akhir, pengalaman bersama-sama (melihat orang) kacar sugho adalah semasa bertugas di SMK Sultan Ismail, Kota Bharu beberapa tahun lepas. Sudah menjadi tradisi warga SMKSI mengadakan majlis keagamaan begini bagi merapatkan hubungan silaturahim antara guru-murid-ibu bapa. Kalau tak kacar sugho, kami bekwah potong lembu sempena Maulidur Rasul.

Walaupun hanya sempat 2 tahun (2004-2005) bertugas di SMKSI sebelum berpindah ke Kuantan, kenangan bersama-sama rakan guru amat meninggalkan kesan di hati. Kami diagihkan tugas untuk menyediakan ramuan sugho tu. Kalau tidak silap, saya da
n beberapa orang teman guru diberi tugas menyediakan daging untuk digunakan sebagai ramuan sugho itu. Setiap orang menyediakan 1 @ 2 kilo daging. Daging ini kami rebus. Kemudiannya tongkolan daging yang telah direbus itu disiat-siatkan menjadi urat daging yang halus. Semua ni kami buat di rumah.

Keesokan paginya, kami bawa semua bahan yang telah disediakan itu ke sekolah. Hari kami buat majlis 'kacar sugho' tu kebetulannya jatuh pada hari Khamis, hari pakai baju batik ke sekolah. Jadi, berbaju batiklah kami pada hari itu. Tak sangka pula, ramai yang berbatik biru....macam uniform pula. Kami sama-sama berkumpul di atas wakaf berbumbung atap nipah di tepi kantin SMKSI untuk menyediakan apa-apa yang patut. Semuanya menjadi kenangan yang indah walaupun sudah lebih 8 tahun berlalu...

kenangan buat sugho di SMKSI...2005

Sebenarnya, bubur Asyura @ sugho ini ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharam iaitu pada Hari Asyura. Setiap negeri, terutama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, mempunyai Bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Bubur asyura @ sugho di Kelantan berbeza dengan bubur asyura yang terdapat di tempat lain…

Antara bahan yang digunakan untuk buat sugho ni ialah beras, ubi keledek, kacang merah, kacang hijau, kacang putih, jagung, rempah "sugho" (ramuan yang paling penting yang boleh membezakan rasa...), santan, daging , bawang merah, bawang putih, halia, gula dan garam secukup rasa. (Tak pasti pula, kalau-kalau ada yang tertinggal...!)

Tempoh mengacaunya ialah selama 7-8 jam... Mula-mula tidaklah terasa penat sangat kerana ramuan masih cair dan berwarna putih (campuran santan dan beras). Tetapi, selepas beberapa jam, setelah (telah dicampurkan dengan bahan-bahan di atas), sugho tadi menjadi semakin pekat, barulah mula terasa kepenatannya. Sugho ni perlu dikacau sehingga betul-betul sering, supaya tahan lama dan lambat basi. Selepas 7 atau 8 jam, dan sugho ni betul-betul sering, barulah disejukkan di dalam bekas... Masa kecil-kecil dulu Nenek akan sejukkan sura ni di dalam tempurung kelapa. Dulu, manalah ada bekas-bekas plastik yang tahan panas seperti hari ini...

Peristiwa Asyura berkaitan dengan peristiwa Nabi Musa a.s.,
Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

Ada juga anggapan bahawa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Nuh.
Kononnya, selepas diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. Apa pun yang pasti hari 10 Muharam berkait dengan peristiwa Nabi Musa dan ada anggapan ia berkaitan dengan juga dengan Nabi Nuh.

Puasa hari Asyura pula merupakan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah. (Riwayat Bukhari).

....Makan sugho makan juga, tapi penghayatan itu lebih penting. Menggabungkan kedua-dua niat itu alangkah lagi bagus. "Memasak dengan niat menjamu dan sedekah + menghayati peristiwa dan Kisah Nabi Nuh as".

Thursday, February 7, 2013

Kuih Bakul, Atuk dan Kenangan....

Tinggal beberapa hari sahaja lagi masyarakat Tionghua di seluruh dunia akan menyambut Tahun Baharu Cina atau dalam perbualan biasa, kami sebut sebagai "Raya Cina".

Menurut Wiki, Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Tahun 2013, atau tahun 1411 dalam kalendar qamari Cina merupakan Tahun Ular.

Menurut Wikipedia, "Gong xi fa cai" (Tulisan Cina Tradisional: 恭喜發財; Tulisan Cina Ringkas: 恭喜发财; pinyin: gōngxǐ fācái; Bahasa Kantonis (Yale): gūnghéi faatchòih; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai "Tahniah dan semoga mendapat rezeki" atau “Selamat Bertambah Kaya”..

Bagi masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baharu bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru. Acara terbesar pada malam Tahun Baharu Cina ialah ‘makan besar’ atau jamuan pertemuan semula. Bagi masyarakat Cina, makan besar cukup signifikan kerana semua anggota keluarga baik yang jauh mahupun dekat, akan kembali untuk mengeratkan talian perhubungan sesama keluarga di samping menikmati juadah-juadah lazat seperti ayam, ikan, itik, sup sirip ikan yu dan sayur-sayuran kemakmuran (prosperity vegetables).

Selain ‘makan besar’, Tahun Baharu Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Dulu, semasa zaman kanak-kanak...minggu-minggu terakhir sebelum “Raya Cina”, Atuk akan bawa balik banyak buah limau mandarin dan
kuih bakul yang dihadiahkan oleh kawan-kawannnya di sekitar bandar Kota Bharu.

Atuk yang dikenali sebagai Tok Mandur Daud, mempunyai ramai kenalan dalam kalangan masyarakat Cina kerana sejak sebelum Perang Jepun lagi Atuk merupakan seorang mandur Majlis Bandaran Kota Bharu (kini MPKB) yang dikenali ramai.

Kuih bakul yang Atuk bawa balik ada yang dibalut dengan daun pisang dan ada yang berbalutkan plastik lutsinar nipis. Disebabkan banyak sangat, kami agak memilih… pilih yang enak-enak sahaja… kuih bakul itu akan dipotong menjadi kepingan sebelum dimakan… Kuih bakul ini tahan lama walaupun tidak disimpan di dalam peti ais…!

Kuih bakul, nian gao atau kuih Tahun Baharu Cina merupakan kuih yang terkenal dalam masyarakat Cina. Sungguhpun boleh dimakan pada bila-bila masa, secara tradisi kuih ini paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina. Bagi masyarakat Cina, kuih bakul dipercayai membawa tuah kepada si pemakan pada hari perayaan ini kerana "nian gao" juga membawa erti "makin tahun makin tinggi."

Kuih bakul mempunyai pelbagai jenis, namun begitu ramuan utamanya ialah pulut. Pulut dikisar dan diacu mengikut kehendak atau boleh dimasak semula dengan menambahkan ramuan atau bahan-bahan lainnya. Kuih bakul yang biasa saya makan dahulu ialah jenis yang manis, dimaniskan dengan gula hitam, dengan warna kuning tuanya yang menonjol.

Dahulu, orang-orang Melayu Kelantan mahir membuat kuih bakul yang sememangnya digemari oleh semua lapisan masyarakat di sana. Menurut Atuk, banyak pantang larangnya untuk membuat kuih bakul ini dan proses mengukus kuih bakul juga mengambil masa yang lama, iaitu sehingga 8 jam. Kini, sudah lama saya tidak merasa keenakan kuih bakul...

Kepada rakan taulan dan anak-anak didikku (termasuk bekas murid di SMKTM & SMKTP) yang berbangsa Tionghua, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Gong xi fa cai"..... 

Saturday, October 20, 2012

bukan sebarang kayu...

Kayu ini bukan pokok kayu.  Juga tidak bangku kayu, apatah lagi pembaris kayu.  Kayu ini bukan sebarang kayu.  Kayu nama untuk sejenis ubi... makanan ruji nenek moyang era pendudukan Jepun.  

Ubi ... makanan yang enak suatu ketika dulu terutama pada musim bah...makan ramai-ramai adik- beradik. Ada pelbagai jenis ubi... ubi kayu, ubi setelor (keledek), ubi sare, ubi badak, ubi itik, dan ubi keling. Yang paling utama ialah ubi kayu. Pada musim tengkujuh semua ubi perlu digali / dicabut takut ditenggalami air bah.  Ubi kayu boleh juga dibuat tapai.  Nenek Lijah selalu buat tapai ubi kayu yang enak rasanya.

Masih segar dalam ingatan, kami duduk mengelilingi mangkuk besar berisi ubi kayu yang masih berasap serta semangkuk kelapa parut... kadang-kadang sambil berselimut @ berbaju tebal kerana kesejukan....

Ubi kayu ini cukup sinonim dengan orang kampung. Pelbagai masakan yang boleh dihidangkan. Daripada pucuk mudanya boleh dicelur dan dicicah budu atau dibuat kerabu dimakan dengan nasi. Cukup menggodakan selera bila dimakan dengan nasi panas terutama pada musim hujan begini. Suasana makan kena ada, misalnya makan di anjung rumah. Atas pelantar. Tapi hari ni tak banyak rumah moden yang ada pelantar. Kalau di kampung, pelantar sengaja dibuat untuk dijadikan tempat sembang2 pada waktu petang. Sambil bersembang sambil makan, walaupun secawan kopi 'O'.

Khamis lepas, besan kami - Abe Him dan Kak Ha membawa ubi kayu dari KT.  Abe Him rebus ubi kayu semasa singgah sebentar di IM8 untuk membawa anakanda Aina dan cucunda Hannan balik ke KT.  Sedap sungguh makan ubi kayu panas-panas dengan kopi 'O' yang dibancuh oleh Kak Ha.  

Tidak cukup dengan itu, mereka tinggalkan untuk kami ubi kayu yang masih belum direbus.  Hujan-hujan begini sedap juga makan ubi kayu tu....

Saturday, August 11, 2012

Sotong rebus katok serai

Antara juadah berbuka petang ini ialah sotong rebus katok serai.  Simple tapi sedap....

Kalau orang Johor, sotong masak asam merupakan hidangan yang simple dan paling mudah untuk disediakan. Tetapi bagi orang Pantai Timur, sotong rebus katok serai menjadi pilihan selain masak sambal, goreng kunyit, atau dibuat ketupat sotong. 

Sengaja dipanggil rebus katok serai untuk mengekalkan nama tradisionalnya....Katok bererti ketuk atau titik dalam bahasa masakan.

SOTONG REBUS KATOK SERAI

Bahan-bahannya :
1kg sotong segar 
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
2 keping asam gelugur (pilihan)
2-3 batang serai
Air secukupnya untuk kuah
Garam secukup rasa dan sedikit gula pasir / gula melaka
Beberapa biji lada hidup atau cili padi - jika mahu pedas

Cara membuatnya :

Sotong dibersihkan dan tos. Saya lebih suka kekalkan 'dakwat' sotong menjadikan kuahnya berwarna hitam. Walau bagaimanapun terpulang kepada citarasa masing-masing.  Kalau Pok Muda Leh, sotong ni kena bersihkan betul-betul untuk hilangkan warna hitam.... 

Bawang merah dan bawang putih dimayang halus, serai diketuk2.  Semua bahan termasuk sotong dimasukkan ke dalam periuk dan didihkan di atas api yang sederhana.   Masaklah seperti biasa hingga sotong masak tapi jangan terlalu lama, kerana sotong akan liat.   Akhir sekali, masukkan lada hidup dan cili padi. Sesuaikan rasa dan angkat. Sedap dimakan panas-panas bersama nasi putih.

Thursday, May 24, 2012

Ayam pansuh di rumah Hanna....

Hari ketiga di Kuching kami diundang untuk makan malam di rumah keluarga pengantin perempuan.  Selepas solat Isya' Kami dijemput oleh abang dan ahli keluarga Hanna di BDC dengan 3 buah kereta.

Ayahanda dan bonda Hanna, Encik Wasta dan Puan Masnah siap siaga menanti kami di pekarangan rumah. Di ruang hadapan sudah sedia terhidang pelbagai jenis juadah yang enak-enak, walaupun belum 'disentuh' tetapi aromanya menusuk deria bau dan deria rasa kami....menjadikan kami semakin tidak sabar untuk 'mencubanya'.  

Usai doa ringkas yang dibaca oleh Abang Him, kami pun dijemput menjamu selera.  Tuan rumah dengan penuh ramah melayan kami makan sambil menerangkan jenis masakan yang terhidang.... 
ayam pansuh...

Dalam banyak-banyak juadah yang terhidang, saya tertarik dengan sejenis masakan ini.... dari jauh nampak seperti daging ayam disaluti santan... tapi bukan ayam percik...!   Kak Masnah memberitahu bahawa itu merupakan sejenis masakan tradisional masyarakat Sarawak iaitu ayam pansuh.  

Pertama kali saya mendengar nama itu dan saya belum pernah merasanya sebelum ini.  Melalui "Cik Google" tahulah saya sebenarnya perkataan 'pansuh' dalam masyarakat Iban membawa maksud memasak makanan di dalam batang buluh.   

Jika masyarakat Melayu Semenanjung  menggunakan buluh untuk membakar lemang menjelang Hari Raya, tetapi masyarakat Sarawak khususnya masyarakat Iban memasak pelbagai jenis makanan di dalam batang buluh - nasi, sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam.... 

Jadi, ayam pansuh ini ialah ayam yang dimasak di dalam buluh bersama-sama daun mentimun.  Ada juga yang menggunakan pucuk ubi kayu atau disebut pucuk gadong.

Menurut Kak Masnah, untuk menyediakan juadah ini, antara bahan yang diperlukan ialah :
Ayam
Bawang putih, bawang besar & bawang merah
halia & serai
pucuk mentimun
garam secukup rasa
dan
buluh 4 batang (anggaran untuk satu ekor ayam)
daging ayam yang diperap sebelum masukkan ke dalam buluh....

Terlebih dahulu daging ayam dibersihkan dan diperapkan dengan garam secukup rasa.  Bahan-bahan di atas perlu dikisar / tumbuk halus dan perapkan bersama ayam tadi.   Ada yang mengambil masa sehingga setengah hari untuk memastikan ayam yang diperap itu mesra dengan rempah ratus tersebut.... 

Langkah seterusnya, kita perlu memasukkan daging ayam yang diperap itu ke dalam buluh dan disumbatkan dengan daun mentimun.  Buluh yang diisi dengan daging ayam itu akan dibakar di atas bara api dan biarkan sehingga ayam betul-betul masak.   

Yang menariknya, buluh yang besar dan tebal seperti yang kita guna untuk membakar lemang itu tidak hancur; sebaliknya isi ayam yang terdapat di dalam buluh itu masak dengan elok dan tulang ayam boleh pecah semuanya.    MasyaAllah.   Betapa besarnya kuasa dan ciptaan Ilahi....

Saturday, April 14, 2012

satar @ sata...?

Satar adalah makanan ringan yang diperbuat dari ikan. Ia merupakan masakan istimewa Terengganu, campuran ikan tumbuk, lada dan halia dibalut dalam daun pisang berbentuk 3 piramid. Setiap satu akan dicucuk seperti sate gergasi dengan batang buluh dan dipanggang atas bara api.

Resepi

Bahan-bahan

  1. 400 g isi ikan Tenggiri atau lain (dibuang kulit & tulang)
  2. 100 ml air asam jawa (dari 1 camt asam jawa)
  3. 8 biji buah keras
  4. 2 cm halia, dicincang halus
  5. 3 biji bawang merah, dihiris
  6. 1 ulas bawang putih, dicincang
  7. 150 g kelapa parut putih
  8. garam
  9. 1/2 camca gula
  10. 1 camt belacan
  11. 2-3 biji lada merah, dicincang
  12. 1-2 camt serbuk lada
  13. 1 helai daun salam, dimayang
  14. 1 helai daun kunyit, dimayang
  15. Daun pisang, dipotong empat segi 20 cm, dilayur
  16. Batang buluh halus sepanjang 30 cm (5-6)

Cara penyediaan

Rebus isi ikan hingga masak, angkat dan hancurkan. Campur dengan semua bahan. Bentukkan daun pisang seperti kon, isikan dengan 2-3 camca campuran ikan. Bungkus kemas dan cucuk dari bahagian bawah dengan buluh. Untuk setiap batang buluh, cucuk 4-5 bungkus satar. Bakar di atas bara api hingga keperangan (seperti pulut udang).

Masa membakarnya, harus bijak dan api jangan terlalu kuat dikhuatiri daunnya hangus dan menjadikan satar tidak enak.

sumber : wikipedia

Sunday, November 20, 2011

Singkong dan nostalgia ubi kayu....

Kalau di Seberang Selat Melaka jenis makanan ini dikenali sebagai singkong, sama ada singkong rebus ataupun singkong goreng, tetapi di sini kita panggil ubi kayu... ubi kayu rebus atau ubi kayu goreng....

Sebut pasal singkong ni, teringat saya sebuah lagu dari seberang yang pernah popular suatu ketika dahulu..Lagu Singkong dan Keju, ciptaan Arie Wibowo...

" Kau bilang cinta padaku... aku bilang pikir dulu...

selera kita terlalu jauh berbeda....

parfummu dari Paris... sepatumu dari Itali....

Kau bilang demi gengsi...semua serba luar negeri....

Manakah mungkin.... mengikuti caramu yang penuh huru-hara...

Aku suka jaipong...kau suka disco

Aku suka singkong....kau suka keju

Aku dambakan seorang gadis yang sederhana...

Aku ini hanya anak singkong....hanya anak singkong..."

Masa tu, saya sendiri pun tak faham maksud singkong.... ! Rupa-rupanya singkong ini ialah ubi kayu...

Semasa wisata kami ke Bandung baru-baru ini, di mana-mana sahaja kami dapat lihat singkong ini dijual oleh penjaja gorengan dengan kereta sorong. Yang uniknya, singkong @ ubi kayu goreng ini ditabur dengan parutan keju dan sebuk cili di atasnya.... Pada mulanya saya tidak berani mencuba, tapi setelah merasa satu, memang sedap...lemak masin.... cuma tak tahan rasa pedas serbuk cili....

Dulu, apabila tiba musim hujan, Atok akan ke tebing sungai untuk ambil ubi kayu. Ubi kayu ni kalau baru dicabut masih fresh dan tak masuk angin lagi. Biasanya kami akan tolong koyakkan kulitnya, basuh dan rebus sampai empok. Sambil-sambil tu Atok pula akan dapatkan nyior dan suruh Mama atau Nenek kukur (parut). Nyior yg diparut/ kukur ini akan digaul dng sedikit garam. Ubi kayu rebus tadi akan dicicah dng kelapa parut sebelum dimasukkan ke mulut...hmm best...!

Masa kanak-kanak dulu Nenek guna dapur kayu untuk memasak...kadang-kadang kami akan menyibuk di dapur. Kalau masih ada bara atas dapur kayu selepas Nenek memasak, kami akan masukkan ubi kayu ini ke dalam bara api itu. Kena berjaga-jaga, takut ubi kayu hangus, tak jadi ubi kayu bakar lagi, sebaliknya jadi arang ubi kayu...! Bila dah yakin telah masak, ubi itu dikeluarkan dari bara api dan dibuang kulitnya sebelum dimakan.

Kadang-kadang kami buat bengkang ubi kayu. Masa kecil-kecil dulu kami hanya memerhati Mama atau Nenek buat. Semasa darjah 6 kami 3 beradik dah pandai buat sendiri. Musim hujan akhir tahun, cuti sekolah. Kami akan fikir macam-macam aktiviti untuk dibuat. Ubi memang banyak pada musim ini kerana semua ubi perlu dicabut, takut ditenggelami air bah. Ubi kayu itu kami hantar ke kedai runcit berdekatan rumah Mama untuk dimesin (kalau tak, kami parut aje). Ubi kayu yang dah dimesin/ parut itu dicampur dengan kelapa muda yang telah diparut dan dicampur gula + garam secukup rasa. Lepas tu, diletakkan atas tudung periuk sebelum dibakar sehingga masak. Masa ni kami bakar guna sabut, belum ada oven; lagi jauh sekali ketuhar gelombang micro...! Seronok sangat... Bila dah masak, bentuknya yang bulat leper itu akan kami potong dan dihidangkan bersama kopi 'o' panas.

Ubi kayu ini juga boleh dibuat lepat ubi kayu. Yang ni Mama atau Nenek yang buatkan. Kami, masa tu tak pernah mencuba. (Kalau lepat pisang biasa juga buat sebab pernah buat di sekolah semasa belajar Home Science). Rasa lepat ubi ni mesti manis + lemak, barulah sedap... kena masukkan manisan @ gula melaka + kelapa muda, lepas tu bungkus dengan daun pisang dan kukus.

Selain itu, Nenek juga biasa buat tapai ubi kayu. Ubi kayu ni perlu direbus terlebih dahulu sehingga empuk. Ubi kayu rebus ini perlu disejukkan terlebih dahulu, ditabur dengan ragi sebelum disusun dalam periuk untuk diperam. Biasanya selepas 24 jam diperam, ubi kayu tadi akan bertukar menjadi tapai. Tapai yang nenek buat terkenal di sekitar kampung, dan kadang-kala, Nenek jual tapai ni di pasar Wakaf Che Yeh. Kata Nenek, bolehlah seringgit dua buat belanja dapur... nak toreh getah tak boleh kerana batang pokok getah basah. Musim tengkujuh katakan...!

Selain itu, ada lagi makanan favourite berasaskan ubi kayu pada musim-musim hujan begini, iaitu "putu halba". Gerai menjual putu halba tumbuh seperti cendawan lepas hujan di tepi-tepi jalan utama di negeri kelahiranku pada musim tengkujuh. Putu halba dibuat daripada ubi kayu + manisan + kelapa. Dikukus.