Showing posts with label nadir. Show all posts
Showing posts with label nadir. Show all posts

Monday, July 4, 2011

Buah Sentol yang kian dilupakan....

Sebelum balik dari sekolah tadi, sambil menunggu loceng berbunyi, terdengar jauh-jauh di hujung telinga, rakan-rakan guru bercerita tentang buah nadir ini. Pokok sentol yang berbuah mengikut musim ini sangat mudah diperoleh suatu ketika dahulu, terutamanya di kampung-kampung....

Nama lain bagi buah sentol ialah kecapi, santol, santoi (Filipina), wild mangosteen dan lain-lain. Nama sainstifiknya
Sandoricum koetjape (Burm.f.) Merr.
Sekarang sudah ramai yang tidak kenal buah sentol. Generasi sekarang ni kenal buah epal, anggur, dragon...buah2 klasik ni dah tak kenal lagi dah...pokok ni pun sukar didapati dan jarang-jarang orang tanam. Buahnya boleh dibuat jeruk atau rojak...erm...sedap..... kulitnya pula boleh dibuat sayur lemak...
Pernahkan anda tengok pokok sentol ini?
Pohon sentol atau kecapi merupakan pohon yang rimbun dan besar, ada yang mencapai sehingga 30 m, tinggi. Walau bagaimanapun, kebanyakannya hanya mencapai sekitar 20-an meter. Batang pokok sentol dapat mencapai diameter 90 cm, bergetah seperti susu.
Menurut Wikipedia, daunnya tumbuh berselang-seling, bertangkai s/d 18 cm, menyirip beranak daun tiga, bentuk jorong (bulat panjang) sampai bundar telur, 6-26 × 3-16 cm; membulat atau agak runcing di pangkal, meruncing di hujung; hijau berkilat di sebelah atas, hijau kusam di bawahnya. Anak daun hujung bertangkai panjang, jauh lebih panjang dari tangkai anak daun sampingnya.
Bunga dalam malai di ketiak daun, berambut, menggantung, sampai dengan 25 cm. Bunga berkelamin dua, bertangkai pendek; kelopak bertaju 5; mahkota 5 helai, kuning hijau, 6-8 mm; samar-samar berbau harum.
Buahnya bulat agak pipih, 5-6 cm, kuning atau kemerahan jika masak, berbulu halus seperti baldu. Daging atau urat buah bahagian luar tebal dan keras, menyatu dengan kulit, kemerahan, agak masam; daging buah bahagian dalam lunak dan berair, melekat pada biji, putih, masam sampai manis. Biji 2-5 butir, besar, bulat telur agak pipih, coklat kemerahan berkilat; keping biji berwarna merah.
Pokok sentol berasal dari Indocina dan Semenanjung Malaysia. Berabad-abad yang silam, tumbuhan ini dibawa dan dimasukkan ke India, Indonesia (Borneo, Maluku), Mauritius, dan Filipina, di mana tanaman buah ini kemudian menjadi popular, ditanam secara meluas.
Pohon ini ditanam terutama kerana diharapkan buahnya, yang berasa manis atau agak masam. Kulit buahnya yang berdaging tebal kerap dimakan dalam keadaan segar atau dimasak lebih dulu, dijadikan manisan atau jem / marmalade.
Kayu pokok sentol bermutu baik sebagai bahan binaan rumah, bahan perkakas atau kerajinan, mudah dikerjakan dan mudah dipoles.
Berbagai bahagian pohon sentol memiliki khasiat ubat. Rebusan daunnya digunakan sebagai penurun demam. Serbuk kulit batangnya untuk pengubatan cacing gelang. Akarnya untuk ubat kembung, sakit perut dan cirit birit; serta untuk penguat tubuh wanita setelah bersalin.
Sentol ada dua jenis, iaitu yang mempunyai daun tua berwarna kuning sebelum gugur dan berdaun merah. Dahulu, kedua-dua jenis ini dianggap sebagai spesis yang berbeza : (Sandoricum indicum berdaun kuning dan S. nervosum berdaun merah).
Dulu, di sebelah rumah Nenek Lijah (sekarang tapak rumah Pak Muda Leh) ada sebatang pokok sentol yang besar. Ketika musim berbuah, Mama selalu buat jeruk sentol. Emm, sedap sungguh. Jenis sentol yang lebih lembut dan manis, kami panggil buah setiar... boleh makan mentah, tanpa perlu dijeruk atau dicicah dengan kicap + gula + garam....
Kini, kita dah tak boleh tengok buah sentol atas pokok. Pokok sentol dah semakin sukar ditemui. Nak tengok atau nak makan buah nadir ini, kenalah ke Pasar Siti Khadijah atau Pasar Wakaf Che Yeh ketika berkesempatan balik ke kampung.

Wednesday, June 29, 2011

Bemban dan Sembang-sembang pagi...

Sebenarnya, jarang-jarang kami berkesempatan bersembang antara satu sama lain, kecuali jika berkebetulan bertemu di kantin....



Pagi tadi, saya bersama Megawati, Ekelida, Suhana, Zulfazila dan Marina kebetulan berada di meja yang sama. Sambil menjamah sarapan (sebenarnya 'brunch' - breakfast + lunch), keluarlah pelbagai topik sebagai selingan mengisi 'ruang waktu' di meja makan. Bermula dengan cerita ikan patin... lepas tu tentang keenakan 'ikan darat', seperti sepat, keli, pepuyu yang suatu ketika dahulu terdapat di baruh atau bendang selepas musim menuai atau semasa musim menanam padi'; bukannya yang dibela di dalam kolam...!

Kisah ikan hilang begitu sahaja, dan timbul pula cerita buah-buahan 'kampung' yang sering menjadi 'makanan ringan' kami ketika zaman kanak-kanak, sambil bermain-main dengan rakan-rakan sekampung...ada cerita tentang buah kerian, sentol, sekiat, larak, buah kemunting, jambu biji berwana merah jambu, dan lain-lain. Panggilan buah ini mungkin berbeza mengikut tempat. Dalam bercerita tentang buah-buahan nadir itu, keluarlah pula cerita tentang pohon bemban.


Mega kata, dia tidak biasa dan tidak berapa kenal pohon bemban....mungkin faktor persekitaran rumahnya yang bercirikan urban tidak sesuai dengan pohon bemban. 

 
Nama saintifik pohon bemban ini ialah Donax Grandis. Bemban merupakan sejenis tumbuhan berumpun dengan batang yang kelihatan seakan-akan pokok buluh. Daunnya yang agak besar dan berbentuk oval itu mempunyai permukaan yang cantik berkilat. Batangnya tinggi dengan daunnya terletak di bahagian hujung batang. Bunganya berwarna putih dan menghasilkan bau wangi yang tidak kuat. Buahnya berbentuk bulat dan bersaiz kecil. Bemban mudah membiak melalui anak yang terhasil dari rumpunnya dan boleh dibiakkan melalui pecahan rumpun.

Saya masih ingat lagi, nenek gunakan kulit batangnya yang telah dibelah nipis untuk menjahit atap rumbia. Selain itu, ia juga boleh dianyam untuk dijadikan bakul. Perkataan bemban itu sendiri memberi maksud perangkap ikan sesuai dengan kegunaan batangnya yang boleh dianyam dan digunakan untuk menangkap ikan.

Saya juga pernah melihat nenek menggunakan kulit batang pokok yang telah dibelah, untuk mengikat anak-anak pokok padi atau kami panggil semai supaya senang dibawa ke petak semaian. Tapi sekarang zaman sudah berubah... orang dah tak pakai cara ni lagi. Petani-petani sekarang sudah tidak tanam anak padi, sebaliknya terus tabur benih padi di petak semaian. 

Bemban juga merupakan habitat utama bagi kelip-kelip. Ia juga sesuai dijadikan tumbuhan hiasan yang memaparkan ciri-ciri tropika.

Dulu, pohon bemban ini banyak terdapat di belakang rumah Mama, bersebelahan telaga We Tok Mek (nenek Mama). Pohon bemban ini menjadi sempadan antara rumah Mama dengan telaga tersebut. Kami selalu gunakan batang bemban ini untuk dijadikan senapang mainan... Daunnya yang agak lebar itu boleh digulung untuk dijadikan serunai. Serunai daun bemban menghasilkan bunyi yang merdu dan menjadi permainan kanak-kanak kampung.
Kami mulakan sembang-sembang pagi dengan imbauan kenangan zaman kanak-kanak... dan diakhiri dengan isu semasa yang menjadi bualan warga Kuantan, iaitu isu Lynas....