Showing posts with label tokoh. Show all posts
Showing posts with label tokoh. Show all posts

Tuesday, May 31, 2011

seketika di SIC : Pengetua (2)....


Mulai Januari 1980, SIC menerima seorang pengetua baru. Beliau ialah Encik Ahmad Merican Othman. Sebelum pindah ke SIC, beliau menjadi pengetua di SIS Pasir Mas. Encik Ahmad Merican memang tersohor dengan penglibatan yang aktif dalam bidang sukan, terutama sekali olahraga.

Beliau yang memiliki "smilling face" sentiasa tersenyum, peramah tetapi tegas orangnya. Sewaktu perhimpunan mingguan, beliau sering menegaskan
tentang konsep "sense of belonging" dan melarang keras pelajar daripada memijak rumput di kawasan persekitaran sekolah.

Sepanjang 2 tahun di bawah pimpinan beliau, ada beberapa peristiwa yang masih segar dalam ingatan. Dalam mengejar kecemerlangan akademik, beliau dalam masa yang sama memberi galakan kepada pelajar SIC untuk terlibat dalam
pelbagai aktiviti di luar bilik darjah. Pada tahun-tahun 1980-an, aspek kokurikulum belum lagi diberi keutamaan seperti hari ini, tetapi beliau ketika itu sudah berpandangan jauh tentang aspek ini. Penglibatan dalam aktiviti luar bilik darjah dapat menanam keyakinan diri yang tinggi dalam diri seseorang pelajar.

Pada pertengahan tahun
1980, pelajar Lower Six telah terlibat dengan projek kajian soal selidik Bandar Kota Bharu di bawah MPKB. Program yang diselia oleh consultant dari Australia / New Zealand ...(?) ini memerlukan "pekerja tanpa gaji" yang dibayar sedikit elaun untuk menjalankan kaji selidik untuk meluaskan kawasan bandar Kota Bharu. Tuan Pengetua memberi sokongan moral yang tinggi dan sebahagian besar pelajar Ting. 6 Rendah terlibat.

Kami menjalankan projek ini pada cuti sekolah bulan Jun selama 2 minggu yang kebetulan jatuh pada bulan puasa. Kami secara berpasangan akan berjalan dari rumah ke rumah mengikut kawasan yang telah ditetapkan. Menandakan setiap rumah di dalam peta kosong yang ada di tangan kami lokasi rumah-rumah tersebut. Menyatakan jenis rumah dan setiap 10 buah rumah, kami perlu menemubual seorang tuan rumah/ penghuni / isi rumah menggunakan senarai questionaire yang telah disediakan.

Projek ini melibatkan kawasan yang agak luas... sehingga ke Pulau Panjang, Pulau Gorek di Sabak dan jalan da
ri Tapang ke Panji ketika itu masih jalan tanah merah).... Kawasan ini kemudiannya menjadi kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu. Seronok kerana mendapat banyak pengalaman bertemu dengan pelbagai ragam manusia....

Pada tahun 1981, Kelantan menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga MSSM yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad ke-IV. Saya ketika itu sudah berada di Ting. 6 Atas. Acara sukan dijalankan pada waktu sekolah, bukannya pada masa cuti seperti sekarang. Encik Ahmad Merican yang terlibat secara langsung dengan kejohanan tersebut dan kebetulannya ramai atlet dari SIC yang mewakili negeri (salah seorang daripadanya ialah Jeffery Mohd Nor) meminta beberapa pengawas SIC menjadi reporter di sepanjang kejohanan tersebut. Ketika itu murid Tingkatan 6 Rendah belum masuk lagi, pengawas perempuan hanya di Tingkatan 6 Atas, jadi mahu tidak mahu pengawas perempuan yang hanya beberapa orang itu, bersama beberapa orang pengawas lelaki (T6 dan T5) terlibat sebagai 'wartawan' di bawah bimbingan Encik Mahmud Rail (Cikgu Mahmud), yang juga seorang wartawan sambilan.

Kami beroperasi di SM Sains Kelantan. SM Sains Kelantan menjadi kem / asrama untuk para atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut. Setiap hari kami perlu berada di stadium dan bebas berada di trek / padang untuk menemu bual atlet dari seluruh negara yang m
engambil bahagian. Bahan berita tadi akan dimuatkan dalam 'news letter' khusus untuk Kejohanan tersebut. Jadi, di sepanjang kejohanan tersebut, kami tidak perlu hadir ke sekolah atas kebenaran Pengetua, dan pengetua sendiri bertugas di stadium....!

Pada tahun 1981 juga Badan Pengawas SIC dan SMZ diminta bertugas untuk Pameran Diraja yang diadakan di Istana Jahal... kini muzium Diraja. Kami bertugas secara bergilir-gilir dari 8.00 pagi hingga 10 malam. Pengawas SIC ditugaskan pada sebelah petang hingga malam, jadi pada sebelah pagi kami diberi kebenaran oleh Pengetua untuk tidak hadir ke sekolah. Saya sudah lupa berapa hari pameran ini berlangsung....


Walaupun kami bakal menduduki peperiksaan penting, iaitu STP dan SPM, namun Tuan Pengetua percaya semua itu tidak akan men
jejaskan prestasi kami dan terbukti keputusan peperiksaan awam 1981 adalah yang terbaik pada masa itu....

Kami melalui zaman persekolahan dengan penuh warna-warni dan sangat indah untuk dikenang pada era Encik Ahmad Merican sebagai Pengetua SIC.

Pengalaman lain, ialah ketika saya menjadi Setiausaha Badan Redaksi 'The Kijang 1981'. Saya perlu "mengadap" beliau untuk memastikan surat yang hendak dihantar kepada Menteri Pelajaran, Pengarah Pelajaran Negeri, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah dan YDP PIBG bagi mendapatkan kata alu-aluan, ditulis dengan betul dan mengikut prosedur/ protokol. Beliau agak cerewet (yang tepat adalah teliti...) dalam hal ini dan saya belajar sesuatu daripada beliau. Perlu teliti dan kemas dalam melakukan sesuatu tugasan untuk mendapat hasil yang terbaik.

Encik Ahmad Merican meninggalkan SIC pada Jun 1982 dengan satu penanda aras tertentu untuk diteruskan oleh pemimpin sekolah selepas itu....

Semasa saya bertugas di KL, beliau menjadi Timbalan Pengarah JPWP KL pada awal tahun 1990-an. Surat makluman penerimaan APC dalam skim SSB bagi tahun 1993 yang saya terima ditandatangan oleh beliau. Kali terakhir bertemu beliau ialah semasa saya mengikuti kursus PTK DG44 tahun 2006 di Kota Bharu. Beliau yang menyampaikan ceramah "Wawasan Pendidikan Negara", masih kelihatan bertenaga dan bersemangat seperti zaman saya di SIC...


....sedar tak sedar, rupa-rupanya sudah 3 dekad saya meninggalkan SIC....


Foto : 1) Gambar dua orang Pengetua SIC
2)
Sidang Redaksi "The Kijang 1981"....


Sunday, May 29, 2011

seketika di SIC : Pengetua (1)....

Selama 4 tahun di SIC (1978 - 1981), saya berada di bawah pimpinan 2 orang Pengetua.

Pengetua pertama semasa saya di SIC ialah Encik Yusof Abdullah, yang menjadi Pengetua SIC mulai Ogos 1977 hingga Disember 1979.


Ada beberapa kenangan yang masih terlekat dalam ingatan...

Saya masih ingat lagi secebis kisah pada tahun 1978... ketika itu, Almarhum DYMM Sultan Yahya Petra baru sahaja dilantik sebagai YDP Agong. Sekitar pertengahan tahun 1978, baginda berangkat pulang ke Kelantan buat pertama kalinya setelah menjadi YDP Agong. Satu upacara sambutan besar-besaran diadakan. Pelajar perempuan Tingkatan 4 dari beberapa buah sekolah di sekitar bandar KB (SIC, SMZ, SMKB, SMIP, Puteri, Maktab Kadir Adabi...) dipilih untuk menjadi penyambut (agaknya mereka ini akan berbaris di sepanjang laluan di lapangan terbang sambil menabur bunga rampai....!) dan pemilihan tersebut tentu sekalilah berdasarkan ciri-ciri tertentu.... cantik, tinggi, berkulit cerah (mungkin), dll....

Di SIC, Tuan Pengetua sendiri yang menentukan siapakah pelajar yang layak menyertai 'perbarisan' tersebut. Ini bermakna, beliau akan 'juri' dan melihat terlebih dahulu calon yang bakal dipilih. Salah seorang sahabat saya yang terpilih yang mempunyai ciri-ciri yang diperlukan ialah CHE NORIZAM ISMAIL. Saya ingat lagi, mereka dikehendaki memakai baju kebaya labuh berwarna merah dan berkain songket.

Semasa saya di Tingkatan 5 (1979), beliau mengajar kami subjek Sejarah. Jarang-jarang beliau sempat masuk ke kelas kerana banyak terlibat dengan urusan pentadbiran dan mesyuarat yang perlu dihadiri oleh beliau. Seingat saya, ketika itu beliau hanya sempat mengajar Bab 1, iaitu Sejarah Indonesia, itupun bahagian awal... VOC, Sultan Agong, Amangkurat I, Amangkurat II... Hamangubuwono, Perang Jawa dll.... nota pun hanya beberapa muka surat... Jadi, untuk mengatasi defisit pembelajaran, kami perlulah berusaha sendiri untuk menghabiskan tajuk-tajuk dalam buku teks yang padat dengan tulisan dan amat tidak menarik itu....!

Beliau yang saya ingat, mempunyai ciri-ciri seperti seorang 'bapa' kerana mungkin kerana beliau sudah agak berumur ketika itu. Ketika itu beliau baru sahaja menamatkan zaman solonya. Dari pandangan mata kasar, kita nampak beliau seperti kurang mesra dan agak tegas, tetapi apabila kita mengenali beliau dengan lebih dekat, sebenarnya beliau seorang yang penyayang dan suka juga bercerita. Bercerita tentang kisah hidup beliau yang sarat dengan pengalaman.....

Masih jelas dalam ingatan, dulu selalu juga ketika beliau masuk ke kelas pada waktu subjek Sejarah, banyaklah majalah yang (dibawa dari rumahnya) diedarkan kepada kami. Pelbagai jenis majalah yang kebanyakannya berbahasa Inggeris. Majalah itu tidak perlu dipulangkan. Diberi terus kepada kami. Terlintas juga difikiran nakal anak remaja....
".... ini sudah tentu suri hidupnya hendak melupuskan semua majalah yang banyak terdapat di rumahnya itu... sebelum ini, beliau hidup bersendirian, tidak ada sesiapa pun yang kisah. Pasti ruang kosong yang dahulunya diisi dengan majalah digantikan dengan peralatan rumah yang baru.....!"
Jadi, waktu Sejarah, kami habiskan dengan membelek-belek majalah....!

Kalau saya tidak silap, jika di luar waktu bekerja, atau ketika datang meninjau sekolah pada waktu petang, beliau suka memakai seluar pendek paras lutut, kembang dengan stokin panjang paras betis dan berkasut kulit... dengan paip @ pipa yang tidak pernah lekang di bibirnya itu, beliau kelihatan sangat klasik, seperti "manager estet" zaman colonial....sangat unik nostalgia ini.

Tuan Hj Yusof berkhidmat di SIC sehingga Disember 1979 dan kemudiannya berpindah ke SMK Mahmood Muhyidin, Pasir Pekan mulai awal 1980. Beliau digantikan oleh Encik Ahmad Merican Othman, seorang pengetua yang amat meminati bidang sukan....


Foto Badan Pengawas SIC 1979 : Tn Hj Yusof diapit oleh Cikgu Mokhtar dan Cikgu Alias....ada bersama di barisan hadapan ialah Pak Yew Pun, Nik Hafiez, Fauzi Hanipi....




Wednesday, March 30, 2011

Buku yang baru selesai dibaca....



Ini ialah buku yang baru sahaja selesai dibaca. Mengambil masa yang agak lama juga untuk menyelesaikannya, walaupun buku ini hanya mengandungi 366 halaman. Baca sikit-sikit sebelum mata terlelap.

"Hari-hari Dalam Hidupku", merupakan kisah benar pengarang, yang merupakan seorang aktivis Islam yang diseksa di Penjara Tentera Mesir. Buku ini diterjemahkan oleh Hj Tahir Daeng Mengati dan Mohd Yamin As-Surur.

Buku terbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd. ini mengisahkan perjuangan penulis sendiri yang sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan kebenaran yang beliau yakini. Beliau ialah ketua Jamaa'ah Muslimat yang menjadi sayap kepada Ikhwan Muslimin di Mesir.

Pada era pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasser, puluhan ribu, malah ratusan ribu anggota Ikhwan Muslimin dipenjara dan diseksa. Zainab al-Ghazali dengan sepenuh kemampuan yang dimilikinya berusaha sedaya upaya meringankan bebanan keluarga mereka dipenjarakan. Segala bantuan kebendaan dan rohani dihulurkan.

Rancangan untuk membunuhnya telah dilakukan. Akhirnya, beliau ditangkap dan dipenjarakan pada 20 Ogos 1965.... dan bermulalah siri penyeksaan ke atasnya. Walau bagaimanapun, Allah s.w.t telah menyelamatkan beliau. Ketika menghadapi saat-saat penyeksaan di dalam penjara, Presiden Jamal Abdul Nasser telah mengarahkan agar beliau diseksa dengan penyeksaan yang berat.

"Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir, Zainab al-Ghazali al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas seorang lelaki..."
Beliau dipukul dengan tongkat, cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian dalam penjara air, dipenjara dengan tikus dan pelbagai seksaan yang berlaku ke atas dirinya. Namun begitu, beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin akan janji Allah :
"Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung..."
Akhirnya beliau keluar dari penjara al-Qanatir tepat pukul 3.00 pagi, 10 Ogos 1971. Semangat serta keyakinan kepada pertolongan Allah menghadapi segala bentuk penyeksaan menjadikan beliau teladan (qudwah) kepada generasi pejuang kebenaran sehingga hari kiamat.


Terima kasih Anakanda Aina kerana menghadiahkan buku ini.... semoga kita semua sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t....



Saturday, July 10, 2010

BUKAN KERANA PANGKAT....







Saya memilih buku "BUKAN KERANA PANGKAT Tun Dr Ismail dan Masanya" untuk diulas bagi memenuhi pengisian program LADAP 3 tahun 2010.

Buku yang ditulis oleh Ooi Kee Beng dan diterbitkan oleh Institute of Southeast Asian Studies, Singapore ini merupakan sebuah karya biografi seorang anak Malaysia yang terbilang, Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’ Haji Abdul Rahman Yassin.

Saya pasti, generasi muda hari ini tidak begitu mengenali tokoh ini. Murid-murid sekolah misalnya, hanya 'bertemu' tokoh ini melalui mata pelajaran Sejarah Tingkatan 3, Bab 5 - Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tun Dr Ismail merupakan salah seorang tokoh yang menyertai Rombongan Kemerdekaan ke London 1956 bersama-sama YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Buku yang mengandungi 273 halaman ini tercatat tentang pendidikannya, tentang peribadinya yang terkenal tulus, bagaimana beliau menggunakan akal budi untuk mengendalikan masalah kecil, besar, mudah mahupun sukar, dan yang paling utama, pengorbanannya terutama dari segi kesihatan demi negara. Semua ini dibentangkan dengan butir-butir yang membuat kita tidak ragu-ragu lagi bahawa Tun Dr Ismail seorang yang pragmatik dan bijaksana, bahkan juga sangat teliti, terutama dalam persoalan undang-undang dan politik.

Tun Dr. Ismail juga digambarkan sebagai tunggak ketabahan di bawah kepimpinan dua orang Perdana Menteri, iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak sepanjang tempoh yang sangat sukar dan mencabar dalam politik Malaysia.

Setelah selesai pengajian perubatan di Australia, beliau pulang ke tanah tumpah darahnya Johor, lalu terus terbawa oleh arus politik nasional Melayu yang diterajui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau meningkat tangga kepimpinan parti hasil kerja keras, ketekunan dan kesetiaannya. Tun Dr. Ismail bukan ahli politik dalam erti kata yang lazimnya, beliau lebih merupakan pentadbir yang cekap, yang sudah sewajarnya menjadi orang kanan dan harapan Tunku dan Tun Razak. Beliau digambar sebagai seorang yang jujur, berprinsip dan paling utama tegas membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Sepanjang zaman gelora politik Malaysia, beliaulah satu-satunya suara yang berani berdiri menentang arus pelampau dan prasangka yang kian melanda.

Di persada serantau dan antarabangsa pula, pengarang menggambarkan dia tekun berjuang untuk menubuhkan kumpulan ekonomi serantau, berkempen tidak henti-hentinya supaya Asia Tenggara menjadi rantau yang bebas daripada politik kuasa besar, dan pernah beberapa kali mendedahkan bahawa hubungan antara Malaysia dengan Singapura patut diletakkan pada lunas yang betul.

Semasa pergolakan lewat tahun 1960-an dan awal 1970-an, Tunku dan Tun Razak kedua-duanya terpaksa memanggil beliau kembali meninggalkan persaraan demi berkhidmat untuk negara. Tun Ismail sumber kesederhanaan yang menjadi penyejuk hati segenap rakyat Malaysia menyusuli kejadian tragedi perkauman 1969. Jasa Tun Ismail yang paling agung ialah memastikan negara tetap utuh dan mantap setelah menempun pergolakan yang meletus.

Secara keseluruhannya, buku ini menyingkap gambaran wajah tokoh ini, nilai-nilai yang menjadi pegangannya, kehidupan peribadi dan yang umum, serta hubungan profesional beliau dengan tokoh-tokoh sezaman, baik di Malaysia mahupun di Singapura.

Hayatnya mencerminkan pengalaman awal negara Malaysia, dan dapat dikatakan pemergiannya menjadi petanda malapnya banyak impian yang terdahulu. Satu hakikat yang abadi ialah tindakan dan fikirannya tetap menjadi ingatan rakyat Malaysia akan harapan dan cita-cita seorang pejuang kemerdekaan negara yang paling disanjung, seorang pemikir rantau ini yang paling praktikal dan berpandangan jauh.

Tun Dr Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada 2 OGOS 1973....

Buku ini patut dibaca oleh semua orang terutama generasi rakyat Malaysia yang lahir selepas Tun Dr Ismail pulang ke rahmatullah. Dengan membaca buku ini, mereka akan lebih memahami negara kita dan lebih menghargai pengabdian tokoh yang ulung ini.

Foto : 1) "BUKAN KERANA PANGKAT..." 2) Rombongan Kemerdekaan ke London 1956

Saturday, July 3, 2010

Kadir Adabi (3) : tulisan-tulisannya....


sambungan...

Sangat jelas betapa gigihnya Abdul Kadir. Dalam tempoh hampir suku abad mulai 1921, beliau tidak henti-henti bekerja dengan caranya tersendiri; menerbitkan majalah, mengarang novel, aktif dalam gerakan belia dan budaya, dan kemudiannya politik.

Tulisan-tulisan Abdul Kadir menyentuh pelbagai tema dan mengenai berbagai-bagai isu. Tetapi tumpuan utamanya ialah kritik masyarakat dan buah fikiran ke arah memartabatkan bangsa Melayu.

Beliau juga banyak menulis mengenai pendidikan dan usaha-usaha yang patut diambil bagi meningkatkan kesedaran bangsa Melayu. Apabila Maktab Perguruan Sultan Idris dibuka di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1922, beliau telah menulis sebuah rencana di dalam majalah ‘Pengasuh’ bertajuk “Bolehkah diadakan sebuah kolej di Kelantan?”.

Tulisan ini telah menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat pembaca. Kemuncaknya, pada 20hb Mac 1923, beliau telah menulis surat kepada DYMM al-Sultan Kelantan memohon kiranya al-Sultan dapat mengusahakan penubuhan bukan hanya sebuah kolej, akan tetapi sebuah universiti di Kelantan. Setakat yang dapat dikesan, inilah cadangan pertama mengenai penubuhan sebuah universiti di Tanah Melayu pernah dikemukakan.

Sehingga ke akhir hayatnya, Abdul Kadir telah menghasilkan tidak kurang daripada 110 buah rencana, 3 buah novel asli dan sebuah novel saduran bertajuk “Persemburan Darah di Bawah Lipatan Takdir”. 3 buah novel aslinya, iaitu ‘Acuman Mahkota”, Sebelas Rejab” dan “Melati Kota Bharu” memperlihatkan keupayaan beliau menanggapi suasana dan kehidupan masyarakat Melayu Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua.

Selain gambaran tentang politik, novel-novel beliau juga menyorot kebangkitan semangat nasionalisme Melayu yang amat ketara, tetapi dilukis dalam pembinaan imej-imej alam secara simbolik. 3 buah novel ini telah mengangkat nama Abdul Kadir Adabi sebagai seorang novelis yang amat tajam, setanding dengan Ishak Haji Muhammad dan Harun Aminurrashid pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua.

Tidak syak lagi bahawa Abdul Kadir Adabi merupakan nama besar yang pernah dilahirkan di bumi Cik Siti Wan Kembang Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Dengan mengenangkan semua peranan yang pernah dimainkan serta buah fikiran yang pernah dikemukakannya demi kebangkitan dan kemajuan bangsa Melayu, pada akhir tahun 1969, sekumpulan siswazah Kelantan berasa terpanggil untuk menubuhkan sebuah kolej atau maktab swasta di Kota Bharu atas namanya – MAKTAB KADIR ADABI.

Manakala, pada awal tahun 2001 pula, kerajaan Negeri Kelantan, atas saranan Yang Amat Berusaha Tuan Haji A.Aziz Deraman (sekarang Dato’) Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu, dalam ucapannya pada majlis perasmian Bangunan DBP Wilayah Timur pada 9 September 2000, bersetuju menamakan sebatang jalan yang bermula dari persimpangan Jalan Dusun Muda hingga ke persimpangan Jalan Long Yunus dengan nama “Jalan Abdul Kadir Adabi" (dahulunya, sambungan Jalan Hospital).

Jasa A.Kadir Adabi terus tersemat dalam ingatan, lebih-lebih lagi dalam kalangan 'ore-ore Klate....'

Rujukan : Ikhtisar SEJARAH KELANTAN, Pustaka Aman Pres, KB - 2005

Friday, July 2, 2010

Kadir Adabi (2) : Persuratan & Politik...


sambungan....

Dalam tahun 1923, Abdul Kadir bekerja menjadi pembantu penulis petisyen kepada bapa sepupunya, Mat Saman bin Jambol. Sewaktu bekerja sebagai penulis petisyen inilah beliau menyambil menulis rencana dalam pelbagai majalah, di dalam dan di luar Kelantan, seperti Pengasuh, Edaran Zaman dan Saudara. Sejak rencana beliau yang pertama bertajuk “Permintaan” terbit dalam majalah Pengasuh keluaran 22hb Mei 1921, beliau terus menulis dengan pelbagai tajuk dan mengenai pelbagai persoalan.

Sekitar waktu yang sama juga Abdul Kadir banyak mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan sosial dan budaya di Kelantan. Pada tahun 1929, bersama-sama dengan As’ad Shukri bin Haji Muda (Dato’ Haji Mohamad Asri – Menteri Besar Kelantan 1964 – 1972), beliau menubuhkan Putera Club. Kelab ini menerbitkan majalah Putera bagi menyampaikan suara bicaranya, akan tetapi tidak lama. April 1930, Abdul Kadir menerbitkan majalah Kenchana pula. Akan tetapi dalam majalah ini beliau tidak menggunakan nama sebenarnya selaku pemimpin utama, sebaliknya berselindung di balik nama samaran : Wook bt. Abdullah. Selepas setahun 10 bulan, majalah kedua ini juga terhenti.

Tidak lama kemudian, awal Februari 1932, beliau mengisi masa lapangnya dengan bekerja menjadi penyunting majalah Pengasuh di bawah pimpinan bekas gurunya, Dato’ Laksamana. Tetapi tidak lama. Selepas dua bulan, kira-kira pada bulan April 1932, beliau meninggalkan Pengasuh untuk bergabung kembali dengan sahabat-sahabatnya, A’sad Shukri dan Yusuf Helmi bagi menerbitkan buku-buku pengetahuan umum di bawah siri “Kenchana Library”.

Mulai April 1934, Abdul Kadir menyertai majalah al-Hikmah, membantu pengarangnya Haji Ahmad Ismail (kemudiannya Dato’ Lela Negara). Tugas ini dipegangnya sehingga tahun 1941, iaitu apabila penerbitan al-Hikmah terhenti berikutan pecah Perang Dunia Kedua. Inilah waktunya apabila tulisan-tulisan beliau mencapai tahap kematangan dan daya intelektual yang tinggi.

Disebabkan oleh tulisan-tulisannya yang tajam dan mengkritik banyak pihak, terutama kalangan atasan dan pihak berkuasa agama, Abdul Kadir menjadi orang yang tidak disenangi.
Beliau pernah dipukul dua kali dengan kapak kerana tulisan-tulisannya. Kali pertama pada 2 Januari 1931 dan kali kedua pada 18 Mac 1936. Sebelum itu, pada 10 Oktober, Penasihat Undang-undang Kerajaan Kelantan, L.B William, pernah membuat kenyataan bahawa tulisan-tulisan Abdul Kadir mengenai perjudian mengandung unsur-unsur memecah keamanan dan ketenteraman di antara keluarga di Raja dengan orang ramai. Akibatnya, beliau dihadapkan ke mahkamah pada 6 Disember 1928 dan dijatuhi hukuman sehari penjara dan denda RM100.00, atau sebulan penjara dengan kerja ringan.

Tidak puas dengan menulis, Abdul Kadir melibatkan diri dalam politik pula. Apabila cabang Persatuan Melayu Semenanjung dibuka di Kelantan pada 10 Februari 1939, beliau duduk sebagai salah seorang ahli jawatankuasanya. Dalam tahun yang sama juga beliau melawat Pattani bagi meninjau reaksi rakyat Patani terhadap dasar Thai Rathaniyum Kerajaan Siam ke atas orang Melayu. Pada tahun 1940, beliau mulai berhubung dengan Ibrahim bin Haji Yaacob, pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM). Pertemuan pertama berlaku di Dungun, Terengganu, diikuti kemudiannya di Kota Bharu, pada waktu pejuang politik Melayu yang terkenal sebelum perang itu kerap berada di Kota Bharu kerana jaringan politiknya, juga kerana urusan cetak bukunya “Melihat Tanah Air”.

Menjelang Perang Dunia Kedua, Abdul Kadir sudah terlibat dalam KMM. Bagaimanapun, kegiatannya dalam KMM pada peringkat ini tidaklah terang-terangan, tetapi berselindung di balik kegiatan Setiawan Belia (sebuah badan budaya yang didirikan pada Oktober 1931), melalui pelbagai kegiatan, seperti ceramah, forum dan penerbitan. Dalam hal ini, peranan Abdul Kadir sangat besar.

Apabila Jepun menduduki Tanah Melayu, beliau menerbitkan majalah Matahari di Kota Bharu, tetapi sekali lagi dengan memakai nama samaran. Sebelum KMM dibubarkan Jepun pada 18 Februari 1942 (3 hari selepas Jepun menakluk Singapura), Abdul Kadir sempat menjadi Yang Dipertuanya yang sangat aktif bergerak. Beliau pernah ke Ipoh, menemui Onan Hj Siraj dan kemudiannya ke Singapura. Semasa di Singapura, Abdul Kadir sempat menyertai Berita Malai bersama-sama Ibrahim Hj. Yaacob. Selain itu, peranan beliau yang sangat penting pada peringkat ini ialah menjadi wakil KMM menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu dengan pihak berkuasa Jepun di Bangkok pada tahun 1942.

Menjelang akhir tahun 1943, Abdul Kadir Adabi yang pada waktu itu sudah lama berada di Singapura, dikirim kembali ke Kelantan bagi memperkuat barisan kemerdekaan bersama beberapa orang pemimpin KMM Kelantan yang lain, seperti As’ad Shukri dan Wan Ibrahim Mustafa, sebagai langkah awal bagi menghadapi sesuatu kemungkinan sekiranya Jepun ditakdirkan kalah kelak.

Namun begitu, Abdul Kadir Adabi tidak pernah sampai di Kelantan. Menyedari bahawa beliau masih tidak disenangi di Kelantan berikutan penglibatannya dalam petisi rakyat bagi menjatuhkan pimpinan Majlis Agama Islam Kelantan daripada penguasaan golongan aristokrat, maka beliau atas nasihat teman-temannya, memilih untuk menetap di Kuala Terengganu buat sementara waktu.

Semasa di sini, beliau bergabung tenaga menerbitkan “Chahaya Timur” bersama-sama Muhammad Saleh bin Haji Awang (Misbaha) dan Ibrahim Fikri (kemudiannya Menteri Besar Terengganu). Beliau tinggal berjiran dengan Misbaha di Kampung Masjid, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. Tidak lama di Kuala Terengganu, pada 24 Februari 1944, Abdul Kadir meninggal dunia kerana sakit jantung.

bersambung ....

Thursday, July 1, 2010

Kadir Adabi (1) : Kisah yang terjadi...


Saya sangat tertarik dengan Ruangan Sastera, BH, Selasa - 29 Jun 2010, “Muzakarah kes Natrah”. Kisah Natrah banyak ditulis oleh Fatini Yaacob (Datin Seri). Penyelidikan yang dilakukan oleh beliau bertahun-tahun akhirnya menghasilkan sebuah biografi yang amat bermakna kepada kita. Rencana tulisan Datin Seri Fatini dalam Dewan Masyarakat 1989, masih saya simpan sehingga kini walaupun sudah 21 tahun berlalu, seusia dengan anak bongsu saya…

Saya tertarik dengan buku biografi Natrah (1939 – 2009) Nadra @ Hurbedina Maria Hertogh @ Bertha – Cinta - Rusuhan – Air Mata. Buku ini belum saya miliki. Sudah cuba cari di MPH tetapi tidak ketemui… bagaimana untuk dapatkannya…?

Tengah hari semalam, setelah mendapat info daripada rakan-rakan fb termasuk daripada pengarangnya sendiri, saya telah membuat tempahan melalui Ujanailmu secara online. Harap-harap minggu depan "pertemuan saya dengan NATRAH secara lebih dekat lagi" akan menjadi kenyataan...!

Natrah Maarof atau nama Belandanya Hubedina Bertha Hertogh (1937 - 2009) dilahirkan pada 24 Mac 1937 oleh ibunya, Adeline di Bandung sebagai Kristian dan diserahkan kepada hartawan Cik Aminah Mohammad yang berasal dari Kemaman, Terengganu, dibesarkan sebagai seorang Islam. Natrah kemudiannya dikahwinkan dengan Mansur Adabi. Perkahwinan ini bagaimanapun berakhir dengan tragedi apabila meletusnya “Peristiwa Natrah” di Singapura pada awal 1950-an. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.

Mansur Adabi, seorang guru muda ketika itu merupakan anak tunggal kepada Abdul Kadir Adabi, seorang tokoh yang berasal dari Kelantan. Dalam kalangan masyarakat Kelantan, Kadir Adabi sinonim dengan nama sebuah sekolah swasta yang pernah wujud dan terkenal di Kelantan pada suatu ketika dahulu....

Dua hari lepas, ketika menatap petikan akhbar sambil bersarapan di kantin sekolah, beberapa orang teman bertanya tentang hubungan antara Mansur Adabi, Kadir Adabi dan Maktab Kadir Adabi…... Hasil daripada pembacaan dan sedikit pengetahuan yang ada, saya terpanggil untuk mencatatkan sesuatu di laman ini untuk kongsikan dengan semua pengunjung, khususnya generasi muda kelahiran Tanah Serendah Sekebun Bunga mengenai ABDUL KADIR ADABI.


ABDUL KADIR ADABI seorang tokoh terkenal dalam banyak bidang di negeri Kelantan – kesusasteraan, kewartawanan, budaya dan politik. Namun begitu, kesan yang sangat terasa sehingga sekarang ialah peranannya dalam dua bidang utama, iaitu kesusasteraan dan politik.

Abdul Kadir Adabi dilahirkan di Kampung Raja Dewa, Kota Bharu pada 17 Ogos 1901. Ayahnya bernama Ahmad bin Yusof bin Mekong Samah berasal dari Kampung Kemubu, Ketereh tetapi tinggal di Kampung Raja Dewa kerana diambil menjadi penghulu oleh Raja Dewa (Tengku Zainal Abidin bin Sultan Muhamammad III). Manakala ibunya, Che Biru bt. Bakar, memang warga asal Kampung Raja Dewa sendiri.

Abdul Kadir mula-mula menerima pendidikan daripada ayahnya, kemudian daripada Tuan Guru Haji Nik Daud, Kg Atas Banggol. Akan tetapi corak pendidikan awal ini terbatas pada pelajaran agama cara pondok sahaja. Baru pada tahun 1917, apabila Madrasah Muhammadiyyah (Melayu) ditubuhkan oleh Majis Ugama Islam Kelantan, beliau beroleh pelajaran secara formal. Tetapi tidak lama. Lebih kurang 3 tahun sahaja. Semasa belajar di sini, Abdul Kadir sempat berguru kepada Dato’ Laksamana yang membimbingnya belajar mengarang dan menterjemah.

Oleh sebab dibesarkan dalam lingkungan istana dan akrab dengannya, Abdul Kadir sangat terdedah kepada adat istiadat Melayu yang halus serta diceritakan bahawa Abdul Kadir memiliki budi pekerti yang tinggi, sangat tertib, baik dalam bercakap, berpakaian mahupun dalam tingkah laku. Daripada sifat-sifat inilah beliau kemudian beroleh nama jolokan “Adabi”, yang bermaksud orang beradab….

Rujukan : Ikhtisar SEJARAH KELANTAN, Abdul Razak Mahmud, PAP, Kota Bharu, 2005


foto :
1) Pengarang bersama "NATRAH"
2) Dato' Laksamana Hj Mohamed b. Khatib H Mohamed Said

entri seterusnya : peranan A. Kadir Adabi dalam bidang kesusasteraan....