Showing posts with label rindu. Show all posts
Showing posts with label rindu. Show all posts

Sunday, November 11, 2018

Coretan Rindu Buat Hannan Bella

Rindu MakTok tidak pernah lekang di jiwa.  Rindu akan Hannan, Bella, Abah dan Mommy.  Kerja kadang-kadang membataskan MakTok untuk kerap bertemu, lebih-lebih lagi sekarang MakTok dan TokAyah berjauhan. 


Pulang dari sekolah lepas JUMAAT dua hari lepas, sambil mengadap juadah tengah hari MakTok membuka cerita untuk jalan-jalan ke Kuala Terengganu hujung minggu nanti.  Cadangan MakTok  disambut dengan senyum oleh TokAyah.  Kebetulannya Ummi masih bercuti, AyahLong tak kerja dan CikDya pun tak ada kelas.  Bolehlah bawa Mikhail berjalan-jalan. 

Sebenarnya, kami bercadang untuk bertolak awal pagi.  Singgah sarapan di mana-mana dan terus ke KT.   Kereta yang dihantar untuk 'disolek' hanya siap pukul 10 pagi.  Jangkaan sebelum ni akan siap paling lewat semalam, tetapi cuaca yg tidak menentu selalu hujan menyebabkan kerja-kerja 'menyolek kereta' lambat sedikit. 

Sabtu, lebih kurang 11 pagi VAN6209 bergerak perlahan meninggalkan IM8.  MakTok bersama-sama TokAyah, Ayah Long, CikDya, Ummi dan Mikhail tak sabar-sabar lagi untuk bertemu Hannan dan Bella.  

Kami tiba di pekarangan Klinik SihatSokmo melewati waktu Zuhur kerana MakTok singgah sekejab di CantikSekali. 












Terlerai sudah rindu MakTok dan TokAyah.  Mikhail juga sangat gembira bertemu Kakak Hannan dan Kak Bella....


Sunday, February 2, 2014

Bertemu Cinta Hati...


Terkenang akan keletahnya yang makin galak, rindu menjadi semakin sarat.  Jarak dan ruang waktu tidak mengizinkan kami kerap bertamu untuk bertemu Hannan.  Hanya gambar yang dititip bisa mengubat rindu yang sering bersarang di hati kami.


Dini hari awal Februari yang nyaman.  Usai solat Subuh kami terus bertolak ke Banggol Peradong, buat memenuhi undangan majlis kesyukuran sempena perkahwinan Dik Sue, puteri kepada besan kami, Abe Him dan Kak Ha.  Tidak sabar rasanya untuk sampai ke sana.  Di sana, ada Cintahati kami... Hannan, Emi dan Na.... Ingin cepat-cepat kuleraikan rindu ini, tak terdaya lagi hendak kukendung.   


Seperti yang dijangka, saat awal pertemuan, Hannan susah untuk kami dekati....kami amat faham dan sentiasa bersedia, inilah hakikat yang perlu kami terima.  Sabarlah wahai hati.

Rindu kami terlerai jua akhirnya pabila melihat kelibat Hannan dan mata bertemu mata, biarpun belum boleh dipangku, dipeluk dan dicium....


Dalam keriuhan majlis yang meriah itu, dapat juga kupujuk Hannan untuk berada di sampingku.  Duduk di atas ribaanku, bergurau senda buat seketika sambil melayan keletahnya.  


Walaupun berat hatiku untuk meninggalkan Cintahati kami, tetapi kami terpaksa beredar juga ketika matahari sudah mula condong ke barat.  Kami meninggalkan BP tatkala Hannan diulit mimpi siang hari yang indah di bilik peraduannya.  


Pastinya seperti ada yang tertinggal di sana....




Saturday, September 28, 2013

"Yeay....dapat juga jumpa Hannan"



Akhirnya rinduku pun terlerai.

Sungguh, benar sekali.  Dia mendengar suara hatiku.  Dia Maha Mengetahui dan Maha Penyayang.  Tadi lebih kurang pukul 4.00 petang ketika mataku hampir terlelap, telefon antikku berbunyi minta dijawab.


Abah Hannan rupanya.  Jarang-jarang terima panggilan daripada Abah Hannan.  Yang biasa membuat panggilan atau menghantar SMS bertanyakan khabarku ialah Mummy Hannan.

"Mak, Emi ada di Legend Cherating sekarang.  Datanglah.  Ayah ada di rumah ke?"

"Ayah kerja.  Tak tahulah dapat pergi atau tidak.  Esok Mak ada majlis blarok keluarga Echah di Kg. Sri Damai, Kuantan."

"Tak apalah kalau begitu.   Esok Emi singgah di Kuantan sebelum balik ke KT"

"Baiklah, rasanya sempat.  Mak mungkin sampai rumah dalam pukul 2 petang."




Hatiku melonjak kegembiraan dan ingin sangat bertemu mereka.  Dalam masa yang sama aku terfikir, sempatkah kami bertemu esok?  Pukul berapa majlis blarok akan selesai?  Takkan mereka datang ke Kuantan dulu kemudiannya bertolak balik ke KT?  Pukul berapa mereka akan sampai di rumah kelak?  Pagi Ahad Abah Hannan berkerja.  Tidak penatkah dia?  Pelbagai persoalan menerjah mindaku.

Lalu aku terus menelefon Encik Kasihku.  Aku memberitahunya tentang perbualan yang berlaku dengan Abah Hannan.  Sebenarnya ada maksud tersirat.  Syukur, Encik Kasihku memahaminya dan bersetuju untuk menjengah mereka pada malam nanti.  Tapi beberapa minit selepas itu, melalui telefon Encik Kasihku mengajak aku pergi petang itu juga selepas dia balik dari pejabat.  Tidak terkata gembira sungguh hatiku.  Yeay, dapat juga jumpa mereka, tidak perlu menunggu lama.  Semuanya adalah dalam perancangan-Nya.

5.30 petang lebih kurang kami bertolak ke Cherating.  Kami redah hujan yang agak lebat dan dalam masa kurang daripada 40 minit kami tiba di pekarangan LBR.   Bilik 222 kami jengah.  Terpandang sahaja wajah mereka, rinduku terurai gugur satu persatu. Alhamdulillah.


Sempatlah kami 'bermain-main' dengan Hannan dan bertanya khabar anak menantu.  Usai solat Maghrib, kami beredar mencari ruang untuk makan malam.  Kami singgah di Restoran Pak Su, tidak jauh dari LBR.  



Pengunjung belum lagi ramai kerana waktu itu masih awal.  Beberapa ketika selepas itu, tempat duduk di restoran tersebut hampir penuh dengan pengunjung yang entah dari mana mereka datang.  Barangkali pengunjung itu adalah sebahagian daripada mereka yang menghabiskan cuti hujung minggu dengan bersantai sambil menikmati keindahan pantai Laut China Selatan.



Usai makan malam, Hannan pun nampaknya sudah mula nak tunjuk ragam.  Tangannya asyik menggeyeh mata tanda mengantuk walaupun jam baru menunjukkan 9.20 malam.  Agaknya penat kerana sepetang berada di pantai dan di kolam bermain air.  Kami beredar dari Restoran Pak Su dan terus pulang ke IM8 setelah singgah sekejab di LBR.   

Pukul 10.00 malam kami sudah selamat sampai di rumah IM8.   Sempat lagi Encik Kasihku menonton Pasukan Tok Gajah menyumbat gol yang ke-2 & ke-3 mengalahkan PKNS. 

Selamat malam Hannan.  Selamat malam semua.  Nanti kita jumpa lagi.  Tidurlah dengan lena cucuku.

Allahuakbar.  Alhamdulillah. Rindu yang kukendong semalam sudah terurai sebahagiannya....Dia Maha Mengetahui.




Thursday, September 26, 2013

RINDU BERTAMU LAGI....



SESEKALI tika gerimis turun

bertukar lebat menjadi hujan

membasahi bumi yang sudah lama gersang

rindu itu pun singgah bertandang

pada sore yang kian kelam....


SEBENARNYA,

baru 2 minggu berlalu

berkumpul bermesra bersama cucu dan anak menantu


Hannan....

tapi hatiku terasa seperti sudah lama benar tak bertemu

rindu yang bertamu

buat hatiku rasa sebu....

anak menantu & cucu....

SESUNGGUHNYA,

lebih sepurnama tidak kutemui mereka

tidak sempat kujengah walaupun untuk seketika

untuk menatap wajah Ayahanda Bonda tercinta

hanya kenangan sewaktu bersama bermain di mata.


 Papa dan Mama.... kukendong rindu yang sarat

BEGITULAH catatan yang tersurat...

pabila tiba masanya

tidak akan terlewat atau tercepat walaupun sesaat

sudah hampir lima purnama rupanya

Mek kembali ke alam abadi menemui Pencipta

meninggalkan anak menantu cucu cicit dan saudara mara

ah, rindu di hatiku tidak tertahan rasanya

mengendong kenangan hampir 28 tahun bersama.

 di airport Subang menunggu saat Mek berlepas ke Tanah Suci lebih 20 tahun yang lalu...

ALHAMDULILLAH, syukur kepada-Mu Ilahi

dalam ruang kosong yang sunyi ini

masih ada yang sudi menemani

encik kasihku yang sentiasa setia di sisi

berdua meniti hari di teratak nan sepi

menyusun memori yang telah lama terpateri

buat pengubat rindu yang tak pernah bertepi.
 
setia bersama di sepanjang jalan pulang....

SESUNGGUHNYA,

tidak pernah kulupa untuk berdoa

mohon limpahan kasih sayang dan dilindungan-Nya

setiap hari, tanpa mengira saat atau ketika....
 


SEMEMANGNYA

akan terus kutadah tangan memohon doa

tanda syukur yang tidak terkira

atas nikmat-Mu buat kami semua

cucu anak menantu dan seluruh ahli keluarga.


BIARLAH  rindu yang bertamu ini

terus menghiasi malam sunyi kami

sehingga tiba saatnya nanti

kita pasti bertemu kembali....