Showing posts with label iktibar. Show all posts
Showing posts with label iktibar. Show all posts

Tuesday, August 6, 2013

PERISTIWA PENGEBOMAN HIROSHIMA & NAGASAKI





Hari ini, 6 Ogos, 68 tahun yang lalu gugurlah sebutir bom atom di bandar Hiroshima. 3 hari berikutnya, iaitu pada 9 Ogos bandar Nagasaki pula dibom. Bom atom yang buat pertama kalinya digunakan dalam sejarah tamadun manusia ini meninggalkan kesan yang amat dahsyat.

Dalam tragedi ini, beberapa orang anak Melayu yang menuntut di Jepun pada waktu itu berhadapan dengan saat-saat getir bertarung nyawa untuk hidup. Salah seorang daripadanya ialah Abd. Razak Abd. Hamid, anak Melayu yang berasal dari Kampung Baru, KL terkena bom di Hiroshima tetapi selamat!

Saya hadir ke majlis pengkisahan beliau berhadapan dengan peristiwa yang nyaris-nyaris meragut nyawanya di Hiroshima ini. Majlis tersebut diadakan pada pertengahan 1989 di Dewan Tun Syed Nasir, DBP Kuala Lumpur.

Pada pukul 8.15 pagi, 6 Ogos 1945, Abd Razak yang ketika itu berusia 20 tahun sedang berada di bilik kuliah Universiti Hiroshima. Tiba-tiba, satu pancaran cahaya yang amat terang membelah cahaya matahari. Sedetik kemudian bangunan universitinya ranap dan Abd Razak tidak sedarkan diri.


Setelah sedar kemudiannya, dia bersama-sama dengan Pangeran Yusof (anak Brunei) keluar daripada runtuhan itu. Apakah yang dilihatnya di luar? Sejauh mata memandang tidak ada apa- apa yang tinggal, padang jarak padang tekukur. Bangunan menyembah bumi. Manusia hangus di sana-sini. Orang yang hidup tidak serupa manusia, kulitnya mengelupas dan dagingnya merah. Jeritan di sana-sini meminta tolong dan meminta air. Air sungai sudah beracun!

Bermula dari detik itu, Abd Razak mengalami pengalaman yang pahit, sedih dan dahsyat. Mulalah dia mengumpulkan debu-debu kehidupan teman-temannya dan orang-orang yang dikenalinya di samping menolong dan menyelamat mangsa-mangsa yang lain.

Inilah suatu kisah dahsyat yang ngeri, sedih, pilu dan penuh linangan air mata. Dalam keadaan inilah anak Melayu ini tegak dan terus hidup dengan tiada apa-apa cacat celanya. Sesuatu yang menakjubkan! Kisah ini diabadikan dalam buku "Debu Hiroshima", terbitan DBP, 1987.

Selepas selamat pulang ke tanah air pada awal November 1945, beliau meneruskan pengajiannya di SITC, Tanjung Malim. Sebelum bersara, beliau merupakan pensyarah bahasa Jepun di ITM (UiTM), Shah Alam.

Menurut Cikgu Razak dalam bukunya itu, persiapan untuk misi pengeboman itu telah dilakukan 2 tahun sebelumnya. Persiapan membuat bom atom dilakukan dengan nama rahsia 'Projek Manhattan' di padang pasir New Mexico. Apabila persiapan itu beroleh kejayaan, pihak Amerika memindahkan bom itu ke sebuah pelabuhan.

Dari segi bentuknya, tiada luar biasa mengenai bom atom. Ia serupa sahaja dengan bom-bom yang lain, kecuali saiznya yang lebih panjang dan besar. Ia berukuran 3 meter panjang dengan garis pusat 0.7 meter. Beratnya 4 tan dengan kekuatan 20,000 tan TNT. Bom ini dibawa oleh kapal terbang pengebom, Enola Gay.

Kehadiran kapal terbang pengebom ni sebenarnya telah dapat dikesan pada pukul 7.25 pagi dan siren amaran serangan udara berkumandang nyaring di bandar Hiroshima untuk kesekian kalinya. Serentak dengan itu, Radio Hiroshima juga menyiarkan pengumuman tentang kedatangan kapal terbang pengebom musuh. Walau bagaimanapun, penduduk-penduduk Hiroshima tidak menghiraukan sama sekali amaran serangan udara itu. Mereka bersikap tenang, seperti biasa kerana telah lali dengan amaran serangan udara.... !

Sesungguhnya, peperangan banyak membawa kemusnahan...

Sumber : 'Debu Hiroshima', 1987, Othman Puteh - Catatan pengalaman Cikgu Abd Razak di Hiroshima.



Wednesday, March 30, 2011

Buku yang baru selesai dibaca....



Ini ialah buku yang baru sahaja selesai dibaca. Mengambil masa yang agak lama juga untuk menyelesaikannya, walaupun buku ini hanya mengandungi 366 halaman. Baca sikit-sikit sebelum mata terlelap.

"Hari-hari Dalam Hidupku", merupakan kisah benar pengarang, yang merupakan seorang aktivis Islam yang diseksa di Penjara Tentera Mesir. Buku ini diterjemahkan oleh Hj Tahir Daeng Mengati dan Mohd Yamin As-Surur.

Buku terbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd. ini mengisahkan perjuangan penulis sendiri yang sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan kebenaran yang beliau yakini. Beliau ialah ketua Jamaa'ah Muslimat yang menjadi sayap kepada Ikhwan Muslimin di Mesir.

Pada era pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasser, puluhan ribu, malah ratusan ribu anggota Ikhwan Muslimin dipenjara dan diseksa. Zainab al-Ghazali dengan sepenuh kemampuan yang dimilikinya berusaha sedaya upaya meringankan bebanan keluarga mereka dipenjarakan. Segala bantuan kebendaan dan rohani dihulurkan.

Rancangan untuk membunuhnya telah dilakukan. Akhirnya, beliau ditangkap dan dipenjarakan pada 20 Ogos 1965.... dan bermulalah siri penyeksaan ke atasnya. Walau bagaimanapun, Allah s.w.t telah menyelamatkan beliau. Ketika menghadapi saat-saat penyeksaan di dalam penjara, Presiden Jamal Abdul Nasser telah mengarahkan agar beliau diseksa dengan penyeksaan yang berat.

"Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir, Zainab al-Ghazali al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas seorang lelaki..."
Beliau dipukul dengan tongkat, cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian dalam penjara air, dipenjara dengan tikus dan pelbagai seksaan yang berlaku ke atas dirinya. Namun begitu, beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin akan janji Allah :
"Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung..."
Akhirnya beliau keluar dari penjara al-Qanatir tepat pukul 3.00 pagi, 10 Ogos 1971. Semangat serta keyakinan kepada pertolongan Allah menghadapi segala bentuk penyeksaan menjadikan beliau teladan (qudwah) kepada generasi pejuang kebenaran sehingga hari kiamat.


Terima kasih Anakanda Aina kerana menghadiahkan buku ini.... semoga kita semua sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t....



Thursday, February 17, 2011

JIKA JATUH, BANGUN...



HIDUP ini boleh diumpamakan roda. Kadangkala kita berada di atas dan kadangkala di bawah. Menghadapi onak dan duri adalah sebahagian daripada kehidupan. Orang yang berjaya adalah orang yang berani menempuh segala ujian ini. Mereka juga sanggup belajar daripada kegagalan.

Sebenarnya, kita masih belum gagal selagi kita sanggup berusaha dan membuat perubahan dalam hidup. Kita hanya dihukumkan gagal apabila berputus asa dan tidak mahu berusaha. Orang bijak adalah orang yang menjadikan masalah dan kegagalan sebagai kekuatan bagi menempah kejayaan.

Pengalaman Nabi Yusuf adalah salah satu contoh yang baik. Nabi Yusuf pernah dilemparkan ke dalam perigi buruk oleh adik beradiknya yang hasad dengki. Kemudian dijualkan kepada raja Mesir oleh sekumpulan ahli perniagaan sebelum difitnahkan dan akhirnya dipenjarakan. Nabi Yusuf tidak berasa kecewa.

Semasa berada di dalam penjara, Nabi Yusuf berbaik-baik dengan rakan-rakan di penjara dan menggunakan kemahiran mentakwilkan mimpi bagi mentafsirkan mimpi rakan-rakannya. Akhirnya, raja Mesir mendapat tahu kemahiran Nabi Yusuf dan meminta khidmat nasihat beliau mentafsirkan mimpi pelik yang dialami. Sejak dari tarikh itu, kehidupan Nabi Yusuf berubah. Kemudian, Nabi Yusuf dilantik menjadi raja Mesir. Kegagalan dan ujian yang dilaluinya dijadikan jambatan bagi mendapat kejayaan.

Sebenarnya, hidup ini dipenuhi dengan pelbagai kesempatan yang bernilai. Andai kata kesempatan ini diambil, ia akan mengubah seluruh hidup kita. Kesempatan yang bernilai ini sering wujud di celah-celah ujian yang mencengkam.

Contohnya, Thomas Edison, beliau gagal 6000 kali semasa mencipta lampu. Semasa ibunya mengatakan beliau gagal dan tidak perlu bersusah payah mencuba lagi, beliau menjawab, "Tidak, sebenarnya saya tidak gagal sebaliknya saya berjaya mengenal 6000 cara yang menyebabkan lampu tidak dapat menyala." Dalam percubaan berikutnya, lampu ciptaan Edison menyala dengan terang...

Sebagai individu, pernah berjaya dalam hidup dan akan terus berjaya sekiranya kita tidak sentiasa berusaha. Semasa dilahirkan, kita berada dalam keadaan yang tidak bermaya. Kemudian, dari semasa ke semasa kita berubah menjadi insan yang hebat.

Daripada keadaan tidak dapat berjalan, kita dapat berjalan semasa berumur setahun walaupun dalam proses itu kita jatuh beberapa kali.

Daripada keadaan tidak dapat berlari, kita pandai berlari semasa berumur dua tahun walaupun dalam proses itu kita terseliuh dan mendapat luka.

Daripada tidak tahu membaca, kita pandai membaca semasa berumur 5 atau 6 tahun walaupun dalam proses itu kita dimarahi dan ditegur.

Daripada keadaan tidak tahu menulis, kita pandai menulis semasa berumur tujuh tahun walaupun dalam proses itu kita melakukan kesilapan berulang-ulang kali.

Daripada tidak pandai bercakap, kita petah bercakap semasa berumur lapan @ sembilan tahun walaupun dalam proses itu kita ditertawakan oleh ramai orang.

Tidakkah semua ini melambangkan kejayaan kita? Oleh itu, silaplah jika ada orang yang
berkata bahawa dia dilahirkan sebagai insan yang gagal. Tidak, sebaliknya kita dilahirkan dengan pelbagai potensi untuk berjaya.

Allah berfirman dalam surah at-Tin ayat 4 yang bermaksud :
" Sesungguhnya Kami mencipta insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik."

Cuma satu perkara yang perlu kita ingat. Semasa dilahirkan, kita perlu menangis untuk hidup. Jika kita tidak menangis, otak kita menjadi terencat, paru-paru tidak mengembang malah nyawa boleh melayang. Begitu juga dalam hidup. Ujian dan kesusahan perlu kerana ia merupakan jambatan ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Tangisan sering menjadi penawar yang menyembuhkan manusia....!

Sekadar berkongsi dan mengingatkan diri sendiri..
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ' 7 Formula Individu Cemerlang', Dr. Danial Zainal Abidin)

Saturday, October 2, 2010

Hikmah yang terselindung....

KITA sering berfantasi... alangkah beruntungnya jika di sepanjang jalan pulang, kita melalui lorong yang luas tanpa liku selekoh atau gunung ranjau yang curam.... kita selalu membayangkan, alangkah bahagianya jika kehidupan di dunia selalunya mudah. Segala keinginan kita tersedia tanpa sebarang rintangan... tidak perlu untuk bersusah payah. Namun begitu, suatu hakikat yang perlu kita tempuh ialah kehidupan ini penuh dengan segala rintangan dan cabaran. Kesenangan dan kesusahan datang silih berganti.

Bahkan, Allah menyatakan dalam al-Quran, kehidupan ini akan silih berganti antara kesenangan dan kesusahan. Firman Allah dalam surah Alam Nasyrah ayat 6 yang bermaksud: "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."

Tidak ada jalan mudah bagi manusia. Sebagai makhluk yang lemah, kita terpaksa mengharungi semua rintangan untuk mencapai sesuatu matlamat atau untuk meneruskan kehidupan. Lebih-lebih lagi sebagai manusia biasa kita sememangnya terpaksa bergantung dan berhajat kepada orang lain dalam memenuhi keperluan kehidupan di dunia ini.

Sebenarnya segala masalah dan rintangan ini mengandungi suatu hikmah yang amat besar manfaatnya kepada manusia...yang menyedarkan kita, betapa kita merupakan hamba Allah yang sentiasa bergantung harap kepada-Nya dan berkeadaan serba kekurangan dan kelemahan.

Kita tidak dikurniakan segala macam kesempurnaan oleh Allah dalam mengharungi hidup ini. Bahkan kita perlu menempuhnya dengan pelbagai ujian. Dengan segala masalah, tekanan dan ujian ini manusia menyedari bahawa mereka hanya seorang hamba yang daif di sisi Tuhan Yang Maha Kaya. Firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: "Tuhan yang mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang paling baik amalannya. Dan Dia Maha Mulia dan Maha Pengampun."

Kehidupan dan kematian juga adalah suatu ujian yang telah Allah tetapkan. Ujian yang kita harungi bukanlah sebagai suatu yang sia-sia, sebaliknya adalah satu proses peningkatan darjat dan kedudukan kita yang lebih tinggi di sisi Allah. Kesabaran, kecekalan dan tawakal dalam menghadapi segala macam pancaroba kehidupan menjadikan seseorang itu beroleh pahala yang banyak dan berganda berbanding orang lain yang tidak diuji dengan ujian dan cabaran itu. Akhirnya kita akan bertambah hampir kepada Allah disebabkan pahalanya itu dan kerana banyak berhubung dengan-Nya melalui doa daripada tawakal.

Atas sebab itulah, darjat mereka yang diuji dengan masalah dan rintangan lebih tinggi dan mulia di sisi Allah, sehinggalah ke satu tahap mereka benar-benar diterima sebagai manusia yang mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Oleh itu, seharusnyalah kita bersyukur di sebalik menerima segala permasalahan kerana ia mengandungi hikmah dan rahmat... menyedarkan kita siapa diri kita dan juga mengingatkan diri kita bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada Allah s.w.t.

Apabila kita menyedari dan menghayati hakikat ini nescaya kita akan kembali kepada Allah setiap kali menghadapi masalah. Dengan cara ini masalah yang kita hadapi akan menjadi ringan, kerana masalah yang mendatang itu tidak lagi dirasakan sebagai beban bahkan dianggap sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah...peluang memperbaiki kesilapan dan medan meningkatkan kedudukan kita di sisi Allah. Kita tidak boleh berputus asa dengan hidup ini dan putus harap dengan rahmat Allah.

Orang yang tidak kembali kepada Allah akan mencari cara penyelesaian yang lain, yang bukan sahaja bercanggah dengan tuntutan agama bahkan menyalahi fikiran yang waras. Manusia yang tidak menjadikan agama sebagai cara hidup, akan bergantung kepada akal semata-mata dalam menyelesaikan segala permasalahan dan kesulitan yang dihadapi di dunia ini. Kebingungan, tekanan perasaan, kecelaruan pemikiran dan sebagainya yang biasanya menimpa mereka yang ditimpa masalah akan menjadikan mereka mengambil keputusan penyelesaian yang kurang bijak, terburu-buru dan mengikut perasaan yang jauh daripada lunas-lunas agama dan etika moral.

Orang yang beriman pula akan kembali kepada Allah dengan berdoa, membetulkan kesilapan, memohon rahmat, bertawakal dan seterusnya menyerahkan keputusan untung nasibnya kepada Allah. Mereka juga menyedari bahawa segala masalah yang menimpa adalah tanda kasihnya Allah kepadanya iaitu masalah itu menjadi penyebab kepadanya untuk mendekatkan diri kepada Allah daripada kelalaian dan keterlanjuran. Dengan itu, mereka berkesempatan memperbetulkan kesilapan dan keterlanjuran itu sebelum ajal dengan pintu rahmat dan pintu keampunan sudah tertutup.

Itulah hikmah dan rahmat di sebalik segala ujian dan kesulitan yang sering manusia lupa....sekadar ingatan untuk diri sendiri....

Sunday, August 1, 2010

OGOS 1945 - Bulan yang tidak menentu di Tanah Melayu

Di Tanah Melayu dan Singapura, pemerintahan Jepun semakin hari semakin tidak popular. Rakyat jelata hidup dalam keadaan gelisah kerana tekanan politik dan keadaan ekonomi yang begitu merosot.


Ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada awal Ogos 1945 mengejutkan seluruh dunia khususnya Maharaja Jepun, angkatan tentera serta rakyat jelatanya. Ledakan ini berlaku dalam keadaan penguasaan tentera Jepun ke atas negara-negara di Asia Tenggara kian merosot.

Apabila bencana yang besar ini menimpa rakyat jelatanya, Maharaja Jepun bersama menterinya bersetuju supaya Jepun mengangkat bendera putih untuk menyerah diri. Walau bagaimanapun, beberapa orang pegawai tertinggi angkatan tenteranya tidak pula bersikap demikian. Malah ada yang percaya bahawa lebih baik mereka mati daripada menyerah diri kerana kematian membuktikan taat dan cinta mereka kepada Maharaja dan tanah air mereka. Menyerah diri adalah suatu perbuatan yang memalukan.
Perbezaan pendapat ini menjadikan kedudukan pemerintahan Jepun di Asia Tenggara dalam keadaan serba salah.

Perisytiharan menyerah diri tidak terus berkuatkuasa sehingga awal bulan September.
Dalam tempoh sebulan bulan Ogos ini keadaan adalah tidak menentu di Tanah Melayu. Berita perkembangan Perang Dunia Kedua dapat diikuti melalui All-India Radio hampir setiap hari. Pada pagi 11 Ogos, pemberita menyampaikan berita "kemungkinan Jepun akan menyerah diri kepada Tentera Bersekutu dan Perang Dunia Kedua akan ditamatkan."

Pada esok harinya, sekali lagi All-India Radio menyiarkan perkembangan terbaharu tentang perang dan melaporkan bahawa pucuk pimpinan tentera Jepun di Tanah Melayu dan Singapura belum bersedia menyerah diri....!


Dalam keadaan yang tidak menentu inilah juga berlaku satu peristiwa yang menggemparkan rakyat Pahang. Pada pertengahan bulan Ogos DYMM Sultan Abu Bakar telah 'diculik' oleh pihak MPAJA dan berada hampir sebulan di kawasan pedalaman Hutan Simpanan Jengka - Chenor (kini Felda Jengka).

Rujukan : Wan Hashim Wan Teh, Perang Dunia Kedua - Perang Gerila Melayu Force 136, 1993
bersambung selepas ini...coretan pengalaman rakyat Malaysia yang terselamat dalam peristiwa pengeboman Hiroshima & Nagasaki dan peristiwa DYMM Sultan Abu Bakar 'diculik' oleh pihak MPAJA...

Saturday, July 17, 2010

Gula Oh Gula...



Dalam sehari dua ini ramai yang berbicara tentang 'harga baharu' bagi beberapa barangan asas. Harga baharu yang lebih tinggi daripada harga sebelum ini berkuatkuasa mulai semalam.

Saya difahamkan, pihak-pihak tertentu diminta untuk tidak menggunakan "harga naik". Dalam laporan, mereka perlu menyebut "penyelarasan harga", harga baru", potongan subsidi, dll.... Walau apapun istilah @ konsep yang digunakan, kita semua akur dengan harga barangan asas ini yang semakin meningkat...

Hari ini saya bukannya ingin mengulas tentang harga baharu ini. Memang tidak pandai pun untuk membuat ulasan....Biarlah isu ini diulas oleh mereka yang lebih arif...

Saya hanya ingin berceloteh tentang gula...

Seingat saya, paling akhir kami membeli gula ialah sebelum cuti sekolah yang lepas, iaitu akhir bulan Mei. Kami membeli 2 kilo gula setelah ditanya oleh juruwang di Pasar Raya Giant (berhampiran dengan tempat tinggal kami) ketika sedang membuat bayaran di kaunter. Kebetulannya gula yang kami beli beberapa bulan sebelum itu sudah hampir habis.

Di seluruh negara ketika itu, berlaku kekurangan bekalan gula dan bekalan gula di pasaran dikawal ketat. Kemungkinan pembekal gula di seluruh negara sudah menjangka akan berlaku kenaikan harga gula ini. Seingat saya, kes komplot sorok ini berlaku sejak tahun 1970-an lagi., sehingga tercipta lagu untuk kempen membanteras komplot sorok... Nampaknya ia berulang setiap kali ada ura-ura harga barang akan naik.

Agaknya selepas harga baharu ini, tidak timbul lagi masalah bekalan gula. Orang ramai boleh beli banyak-banyak, tidak perlu lagi menunjukkan 'Kad Jemputan Kahwin' untuk dapatkan gula lebih daripada 2 kg...!

Hujung minggu ini kami bersantai di rumah sahaja. Esok ada program di sekiolah. Sudah beberapa minggu kami menghabiskan masa di luar Kuantan.... Hari ini kami bersarapan di rumah, walaupun pada awalnya kami merancang untuk bersarapan di Beserah, restoran di bawah pohon ceri.... tapi rasa malas pula nak keluar, nak bermalas-malas di rumah aje hari ini....

Kami bersarapan dengan nasi berlauk yang dibeli oleh suami di gerai berdekatan rumah kami. Saya menyediakan satu teko teh 'o'. Bungkusan 1 kg gula yang pertama yang digunakan lebih kurang 6 minggu lepas sudah habis. Memandangkan bekas gula sudah hampir kosong, terpaksalah buka bungkusan yang baru. Ketika sedang memasukkan gula ke dalam bekas tupperware, terpandang "HARGA GULA BERSUBSIDI OLEH KERAJAAN MALAYSIA" pada bungkusan gula tersebut. Sebelum ini saya tak berapa perasan perkataan tersebut.... Dulu-dulu, 10 atau 20 tahun yang lalu, rasanya tak ada pun perkataan ini, walaupun diberi subsidi....!

Selain gula, garam juga merupakan bahan asas dalam setiap masakan. Penggunaan gula dan garam yang berlebihan memang tidak baik untuk kesihatan. Namun begitu, tanpa gula yang mencukupi dan tanpa secubit garam, makanan atau minuman akan menjadi tawar hambar. Tidak sedap, tidak jelira....

Cik Pah (Syarifah Murshida) selalu bawa garam yang dipesan oleh rakan-rakan guru yang dibelinya di Kedai Penama. Dia berasa pelik kerana saya tidak membuat pesanan setelah membeli 3 bekas garam daripadanya hampir dua tahun yang lalu. (Itupun Cik Pah sudah lupa bahawa saya pernah membeli garam daripadanya....) Saya memberitahu Cik Pah bahawa 3 bekas garam yang dibeli dulu belum habis lagi.... 3 bekas tu, satu untuk Mama, satu untuk Mek Kiah (mak mertua) dan satu untuk saya gunakan di rumah....Garam di dalam bekas seberat 1.5 kg itu baru separuh digunakan.

Teringat kisah yang dipaparkan dalam filem klasik "Ahmad Albab" lakonan Seniman Agung P.Ramlee dan Biduanita Saloma. Syawal dan Mastura menyindir ayahandanya dengan menghadiahkan garam dan gula serta secawan kopi tanpa gula (dan sejenis kuih tanpa garam kalau tak silap) sempena hari jadi ayahandanya. Watak yang dilakonkan oleh A.R Tompel itu berkata :
"Kopi sedap, pekat, tapi hilang selera kerana tak ada gula".... Sambil menyembur keluar air kopi yang sudah masuk ke mulutnya.
Kata anak menantunya, tanpa gula dan garam makanan akan terasa hambar dan tawar.

Begitu jugalah dengan perjalanan hidup ini......pelbagai rasa yang silih berganti....

Di mana ada gula, di situlah ada semut....seperti garam jatuh ke air....

Tuesday, July 6, 2010

Bacalah....

Saya baru menerima "NATRAH" yang dipesan secara 'online' tengah hari tadi. Sekarang, saya dalam proses menghabiskan bacaan buku tersebut. Perkembangannya agak perlahan kerana saya perlu membaca dengan jiwa... di sesetengah helaian, saya perlu mengulang bacaan untuk lebih memahaminya....! Alhamdulillah.

Buku ini mengisahkan seorang gadis Belanda yang pernah mencetuskan peristiwa penting dalam sejarah negara ini pada suatu ketika dahulu.
Kisah Natrah sering diceritakan oleh Mama semasa kami masih kecil lagi... Waktu berlakunya tragedi Natrah, Mama masih bersekolah di sebuah sekolah Arab, iaitu Sekolah Naim Lil Banat, Kota Bharu. Tentu sekali Mama banyak mengikuti kisah tersebut yang ada kaitannya dengan kesedaran agama dan bangsa. Seringkali juga nama "Adabi" terselit dalam penceritaan Mama. Bagi kami pada ketika itu, Adabi ialah Maktab Kadir Adabi, sebuah sekolah swasta yang terkenal di KB pada tahun 1970-an. Nama Natrah tenggelam timbul bersama celoteh Mama setiap kali Mama membuka ceritera lama... kisah-kisah tahun 1950-an.
Mama terus bercerita setiap kali berkesempatan.... Walaupun saya tidak terasa apa-apa signifikannya cerita Mama tentang Natrah pada waktu itu....hanya sekadar cerita lama, namun nama Natrah terus terlekat dalam minda. Tanpa diduga, Dewan Masyarakat awal 1989, yang memuatkan artikel tentang Natrah yang ditulis oleh FATINI YAACOB kembali menghidupkan ingatan saya pada gadis comel ini....

Saya akan beritahu Mama tentang buku ini. Mama tentu sekali teruja dengan 'kelahiran' NATRAH. Penghargaan yang tinggi patut diberi kepada penulisnya yang berjaya menghasilkan sebuah karya yang sangat berharga dan bermakna ini. Sebuah karya yang terhasil daripada usaha gigih selama 20 tahun!
Buku ini perlu dibaca oleh semua generasi muda terutama orang Melayu @ Muslim.

Buku yang mengungkapkan pelbagai tema besar yang melingkungi kehidupan masyarakat ketika itu yang masih relevan hingga kini. Setelah membaca beberapa halaman, banyak perkara yang menjadi tanda tanya sebelum ini, terjawab akhirnya...


Baca dan terus membaca... sambil itu saya perlu menyiapkan Ulasan Buku untuk LADAP (3) yang perlu dihantar pada hari Sabtu ini....

Tajuk buku pilihan saya kali ini ialah "BUKAN KERANA PANGKAT - Tun Dr. Ismail dan Masanya" ditulis oleh OOI KEE BENG, ISEAS, 2007

Membaca : Kita tuai apa-apa yang kita semai....

Foto : 1) Fatini Yaacob dengan buku yang ditulisnya "NATRAH" 2) BUKAN KERANA PANGKAT....

Thursday, July 1, 2010

Kadir Adabi (1) : Kisah yang terjadi...


Saya sangat tertarik dengan Ruangan Sastera, BH, Selasa - 29 Jun 2010, “Muzakarah kes Natrah”. Kisah Natrah banyak ditulis oleh Fatini Yaacob (Datin Seri). Penyelidikan yang dilakukan oleh beliau bertahun-tahun akhirnya menghasilkan sebuah biografi yang amat bermakna kepada kita. Rencana tulisan Datin Seri Fatini dalam Dewan Masyarakat 1989, masih saya simpan sehingga kini walaupun sudah 21 tahun berlalu, seusia dengan anak bongsu saya…

Saya tertarik dengan buku biografi Natrah (1939 – 2009) Nadra @ Hurbedina Maria Hertogh @ Bertha – Cinta - Rusuhan – Air Mata. Buku ini belum saya miliki. Sudah cuba cari di MPH tetapi tidak ketemui… bagaimana untuk dapatkannya…?

Tengah hari semalam, setelah mendapat info daripada rakan-rakan fb termasuk daripada pengarangnya sendiri, saya telah membuat tempahan melalui Ujanailmu secara online. Harap-harap minggu depan "pertemuan saya dengan NATRAH secara lebih dekat lagi" akan menjadi kenyataan...!

Natrah Maarof atau nama Belandanya Hubedina Bertha Hertogh (1937 - 2009) dilahirkan pada 24 Mac 1937 oleh ibunya, Adeline di Bandung sebagai Kristian dan diserahkan kepada hartawan Cik Aminah Mohammad yang berasal dari Kemaman, Terengganu, dibesarkan sebagai seorang Islam. Natrah kemudiannya dikahwinkan dengan Mansur Adabi. Perkahwinan ini bagaimanapun berakhir dengan tragedi apabila meletusnya “Peristiwa Natrah” di Singapura pada awal 1950-an. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.

Mansur Adabi, seorang guru muda ketika itu merupakan anak tunggal kepada Abdul Kadir Adabi, seorang tokoh yang berasal dari Kelantan. Dalam kalangan masyarakat Kelantan, Kadir Adabi sinonim dengan nama sebuah sekolah swasta yang pernah wujud dan terkenal di Kelantan pada suatu ketika dahulu....

Dua hari lepas, ketika menatap petikan akhbar sambil bersarapan di kantin sekolah, beberapa orang teman bertanya tentang hubungan antara Mansur Adabi, Kadir Adabi dan Maktab Kadir Adabi…... Hasil daripada pembacaan dan sedikit pengetahuan yang ada, saya terpanggil untuk mencatatkan sesuatu di laman ini untuk kongsikan dengan semua pengunjung, khususnya generasi muda kelahiran Tanah Serendah Sekebun Bunga mengenai ABDUL KADIR ADABI.


ABDUL KADIR ADABI seorang tokoh terkenal dalam banyak bidang di negeri Kelantan – kesusasteraan, kewartawanan, budaya dan politik. Namun begitu, kesan yang sangat terasa sehingga sekarang ialah peranannya dalam dua bidang utama, iaitu kesusasteraan dan politik.

Abdul Kadir Adabi dilahirkan di Kampung Raja Dewa, Kota Bharu pada 17 Ogos 1901. Ayahnya bernama Ahmad bin Yusof bin Mekong Samah berasal dari Kampung Kemubu, Ketereh tetapi tinggal di Kampung Raja Dewa kerana diambil menjadi penghulu oleh Raja Dewa (Tengku Zainal Abidin bin Sultan Muhamammad III). Manakala ibunya, Che Biru bt. Bakar, memang warga asal Kampung Raja Dewa sendiri.

Abdul Kadir mula-mula menerima pendidikan daripada ayahnya, kemudian daripada Tuan Guru Haji Nik Daud, Kg Atas Banggol. Akan tetapi corak pendidikan awal ini terbatas pada pelajaran agama cara pondok sahaja. Baru pada tahun 1917, apabila Madrasah Muhammadiyyah (Melayu) ditubuhkan oleh Majis Ugama Islam Kelantan, beliau beroleh pelajaran secara formal. Tetapi tidak lama. Lebih kurang 3 tahun sahaja. Semasa belajar di sini, Abdul Kadir sempat berguru kepada Dato’ Laksamana yang membimbingnya belajar mengarang dan menterjemah.

Oleh sebab dibesarkan dalam lingkungan istana dan akrab dengannya, Abdul Kadir sangat terdedah kepada adat istiadat Melayu yang halus serta diceritakan bahawa Abdul Kadir memiliki budi pekerti yang tinggi, sangat tertib, baik dalam bercakap, berpakaian mahupun dalam tingkah laku. Daripada sifat-sifat inilah beliau kemudian beroleh nama jolokan “Adabi”, yang bermaksud orang beradab….

Rujukan : Ikhtisar SEJARAH KELANTAN, Abdul Razak Mahmud, PAP, Kota Bharu, 2005


foto :
1) Pengarang bersama "NATRAH"
2) Dato' Laksamana Hj Mohamed b. Khatib H Mohamed Said

entri seterusnya : peranan A. Kadir Adabi dalam bidang kesusasteraan....

Sunday, June 6, 2010

Kisah Di sebalik RP KEMUBU

KAMPUNG KEMUBU terletak di tebing Sungai Kelantan, 30km dari Kota Bharu telah disemadikan namanya dalam lipatan sejarah KADA. Di situlah terbina sebuah rumah pam membekalkan air ke Rancangan Pengairan Kemubu (RPK), rancangan terbesar dalam gugusan rancangan-rancangan pengairan lain yang dipersatukan di bawah kuasa pengendalian KADA.

Dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi cerita di sebalik pembinaan Rancangan Pengairan Kemubu oleh KIEN HUAT milik Tan Sri Lim Goh Tong .... mungkin ada yang sudah membacanya, mungkin juga masih ramai yang belum tahu kisah ini ....

Buat tatapan adik2 dan anak2ku.... tahukah kalian bahawa ....

RANCANGAN KEMUBU : NYARIS MUFLIS
(dikongsi daripada "Cerita Saya" @ "My Story", Lim Goh Tong, 2004)

RANCANGAN PENGAIRAN KEMUBU, yang kedua terbesar di Malaysia selepas Rancangan Pengairan Muda di Kedah, dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dengan pinjaman RM30 juta daripada Bank Dunia untuk membolehkan para petani menanam dua kali setahun di 47,000 ekar tanah padi di Kelantan.

Kien Huat memenangi kontrak itu dengan tawaran RM54 juta, RM10 juta lebih rendah daripada tawaran RM64 juta saingan terendah. Keputusan tender mengejutkan semua orang termasuk saya. Sejenak saya terfikir mungkin saya tersilap perkiraan, tetapi selepas itu saya yakin semula bahawa tawaran saya itu wajar.

Ramai orang dalam bidang perniagaan yang sama mentertawakan 'nasib malang' saya dan meramalkan saya akan mengalami kerugian teruk dalam projek itu. Saya tidak gentar. Ejek ketawa mereka saya jadikan daya pendorong untuk berjaya dan membuktikan mereka silap.

Projek itu rumit, memerlukan pembinaan rangkaian kira-kira 570KM tali air yang silang menyilang. Lebih daripada sembilan juta hela padu tanah perlu digali dan 2,000 struktur konkrit bertetulang perlu dibina untuk mengubah haluan air ke sawah-sawah padi. Selain itu, kami perlu membina lebih daripada 200 jambatan yang menggunakan kira-kira 20,000 kaki paip konkrit yang garis pusatnya dari tiga hingga enam kaki.

Berdasarkan perkiraan saya, mungkin sekali saya mendapat untung RM3 juta daripada projek itu; jumlah ini akan membantu membiayai projek tempat peranginan Genting, usaha impian saya yang telah saya mulakan pada tahun 1965.

Dirundung Masalah :

Kerja bermula pada 1 Ogos 1968 setelah kontrak bagi projek itu ditandatangani. Sebuah firma Perancis, Sogreah, menjadi perunding projek. Dalam bulan-bulan berikutnya, projek ini dirundung masalah : kelewatan pemerolehan tanah oleh kerajaan; pencurian alatan dan bahan dari tapak kerja; banjir teruk kerana hujan monsun; dan peristiwa 13 Mei. Kerja-kerja menjadi lambat sekali.

Semua masalah ini bererti kerugian RM5 juta di akhir tahun pertama dan kesempitan wang tunai yang serius. Ketika saya hampir muflis, seorang wira telah datangmenyelamatkan saya. Encik Chin Sophonpanich, yang ketika itu merupakan pengerusi Bangkok Bank, memberi saya overdraf. Sewaktu krisis memuncak, akaun overdraf saya dengan Bangkok Bank dalam keadaan debit RM5 juta. Saya amat berterima kasih kerana Encik Chin memberi saya sepenuh kepercayaan. Tanpa pertolongan beliau, tidaklah mungkin saya mengelakkan kemuflisan.

Krisis Keyakinan :

Selain masalah alir tunai, saya juga terpaksa menangani krisis keyakinan. Disebabkan terhalang oleh masalah-masalah yang tidak dijangka, kerja berjalan begitu lambat sehingga di akhir tahun pertama Kien Huat hanya dapat menyiapkan 5% daripada projek. Tidak dapat tidak, Jabatan Kerja Raya dan para perunding projek tidak senang hati dan mula hilang keyakinan kepada saya. Para perunding, terutamanya, tidak bersikap waras. Dalam dua bulan berikut, mereka asyik menghantar surat-surat amaran kepada saya, mengatakan saya bertanggungjawab atas akibat-akibat kelewatan dan mengugut akan mengambil tindakan menamatkan kontrak saya.

Keadaan meruncing apabila, dalam satu hari sahaja, iaitu 19 OGOS 1969, saya telah menerima 29 pucuk surat berdaftar, semuanya dengan kandungan yang sama: mereka akan mendakwa saya dan menjadikan saya muflis. Saya tidak tersabar lagi; saya membuat keputusan untuk menyerang balas.

Dengan permintaan saya, ketua jurutera projek dari Sogreah memanggil mesyuarat pada pukul 10 pagi, 29 OGOS 1969. Saya menghadiri mesyuarat itu bersama-sama pengurus saya Wong Yong Chak. Terdapat kira-kira sedozen lagi hadir, termasuk ketua jurutera projek, pengurus besar Sogreah dan pegawai-pegawai kerajaan.

Saya memberitahu mesyuarat dengan tegas bahawa tiada gunanya menghantar kepada saya surat-surat berdaftar dengan kandungan yang sama. Semuanya sudah saya campakkan ke dalam bakul sampah. Malah saya berkata bahawa jika mereka ingin menamatkan kontrak saya, ambillah peguam untuk mendakwa saya. Setelah saya menerima surat peguam mereka, esoknya juga saya akan melancong keliling dunia, kemudian pulang lalu mendakwa pihak berkuasa.

Seterusnya saya menyatakan dengan terperinci masalah yang telah saya hadapi. Saya menegaskan bahawa pemerolehan tanah merupakan masalah terbesar. Di 16 lokasi, Kerajaan tidak dapat menyerahkan tanah pada masa yang ditetapkan dalam jadual kerana penghuninya menentang pemerolehan. Akibatnya, mesin dan pekerja-pekerja saya tidak dapat bergerak meneruskan kerja. Hal ini bukan sahaja melambatkan projek malah juga menyebabkan saya menanggung kerugian wang yang besar. Semua ini disokong dengan dokumen. Oleh itu, tidak adil sama sekali menyalahkan saya, sehingga ada yang tergamak berkata saya tidak akan dapat menyiapkan projek ini dalam 30 tahun.

Saya juga menegaskan bahawa pada saat tersebut, yang penting bukanlah memastikan siapa yang bersalah, tetapi mencari penyelesaian bagi masalah ini. Saya meminta tempoh 6 bulan untuk membuktikan keupayaan saya. Jika dalam tempoh itu saya hanya dapat menyiapkan 5 atau 6 % daripada projek itu, saya tidaklah akan menyimpan dendam jika mereka mendakwa dan menjadikan saya muflis. Mereka menerima permintaan saya setelah saya mengemukakan kes yang kukuh menyokongnya.

Perubahan Reka Bentuk :

Spesifikasi projek KEMUBU menghendaki pembinaan lebih daripada 2,000 pintu percabangan untuk menyalurkan air. Struktur-struktur konkrit ini beratnya sampai 80 tan bagi yang besar dan 20 tan bagi yang kecil. Saya rasa struktur-struktur ini telah direkabentuk terlalu besar kerana tiap satu hanya dikehendaki mengendalikan aliran dua kaki air. Pada perkiraan saya, pintu-pintu percabangan yang beratnya 12 tan dan 8 tan masing-masing akan menjalankan fungsi tersebut dengan berkesan. Dalam cadangan saya kepada para jurutera perunding, saya menegaskan juga betapa banyaknya kos dan masa dapat dijimatkan dengan mengubah reka bentuk menjadi lebih kecil.

Hujah saya meyakinkan mereka dan mereka meluluskan cadangan saya. Saya pun dengan tidak berlengah-lengah terus membawa masuk mesin-mesin dan kelengkapn berkenaan. Struktur2 yang lebih kecil itu membolehkan pembikinan di tapak. Berbeza daripada struktur2 asal yang begitu besar dan perlu diangkat dengan susah payah serta dikendalikan dengan kelengkapan berat, struktur2 kecil itu mudah diangkat dengan kren untuk dipasang. Perubahan itu menghasilkan cara kerja yang jauh lebih mudah dan cepat serta menjimatkan kos sebanyak RM4 juta untuk Kerajaan.

Satu Lagi Cadangan Yang Menjimatkan :

Projek itu juga menghendaki pembinaan lebih daripada 200 batang jambatan, tiap satu 7 kaki tebalnya. Oleh sebab tidak ada lalu lintas kenderaan berat ke kawasan itu, saya telah mencadangkan kepada para jurutera perunding supaya tebal jambatan itu dikurangkan menjadi 3 kaki. Cadangan saya kemudiannya dihantar dan diluluskan oleh ibu pejabat Sogreah di Perancis. Perubahan reka bentuk itu menjimatkan kira-kira RM7 juta untuk Kerajaan.

Perubahan2 yang saya cadangkan itu menjadikan kerja-kerja jauh lebih cepat. Tidak sampai 4 bulan daripada tempoh 6 bulan yang diberi, saya telah menyiapkan lebih daripada 320 km tali air, kira-kira 1,000 pintu percabangan dan 100 batang jambatan lagi, iaitu kira-kira 60% daripada seluruh projek itu.

Pada pukul 10 pagi, 24 DISEMBER 1969, suatu mesyuarat diadakan. Selain saya dan pengurus saya Wong Yong Chak, kira-kira 20 orang yang hadir termasuklah ketua jurutera dan pengurus besar Sogreah, dua orang pengarah Bank Dunia, Ketua Pengarah Kementerian Pertanian Khoo Yang dan pegawai2 kerajaan lain.

Dalam ucapan beliau yang mengambil masa 90 minit, ketua jurutera Perancis yang telah mencemuh saya dan mengugut saya hendak menamatkan kontrak saya hanya 4 bulan dahulu, kini menyatakan rasa kagumnya melihat projek itu maju demikian pesatnya dan memberi saya pujian melangit. Malah beliau menyanjung prestasi saya sebagai pencapaian yang mengharumkan nama Malaysia.

Apabila sampai giliran saya berucap, saya berkata secara jenaka bahawa sekiranya mereka membawa saya ke mahkamah dahulu, pasti saya pergi berkaki ayam kerana seorang muflis tidak boleh berkasut. Tentu juga saya mempertahankan diri dengan tegas, menyalahkan Kerajaan terang-terang kerana kelewatan dalam pemerolehan tanah yang telah menghalang saya daripada memulakan kerja pada masa yang dijadualkan. Selepas itu, saya pun memohon izin daripada hakim untuk memanggil peguam saya. Hakim bertanya mengapa saya memerlukan peguam sedangkan sudah jelas saya akan memenangi kes itu. Saya menjawab bahawa kerana saya yakin akan menang, saya telah berpesan kepada peguam saya supaya membawakan sepasang kasut emas; dapatlah saya berlagak ketika melangkah keluar dari mahkamah. Semua orang tertawa dan bertepuk memberi saya penghargaan.


RANCANGAN PENGAIRAN KEMUBU berjaya disiapkan pada masa yang dijadualkan. Dari segi kewangan, Kien Huat bukan sahaja mengatasi kerugian dan mendapat untung kira-kira RM4 juta, tetapi juga menolong Kerajaan menjimatkan kos lebih daripada RM10 juta.

Saya bangga bahawa kerja pembinaan projek itu dijalankan sepenuhnya oleh orang Malaysia tanpa bantuan orang asing. Projek itu juga dicatatkan sebagai yang terbesar di negara ini yang dapat disiapkan menurut jadual dalam 3 tahun.

~~~~+++~~~~


"Sesungguhnya, keyakinan diri yang tinggi dan usaha yang gigih, berserta dengan doa yang berterusan, penting untuk membina kejayaan..... "

..

Wednesday, June 2, 2010

Sepanjang Jalan Kenangan : Padang Pahlawan dan Memorial ...


Terapi untuk diri yang sibuk adalah menulis dan menulis. InsyaAllah, dalam diri sentiasa berfikir, moga coretan-coretan ini ada yang mungkin boleh dibuat kenangan untuk anak-anak. Ingin saya bercerita semua, selalu.... siapalah kita untuk begitu pasti yang kita akan masih bernafas sesaat lagi. Saya tinggalkan dalam bentuk tinta maya, mungkin satu hari anak-anakku akan baca dan akan berdoa buat ayah dan bonda... InsyaAllah.

Sepanjang jalan pulang... kenangan di Padang Pahlawan suatu ketika dahulu menggamit memori tanpa sedar....

Beberapa kali singgah dan bersantai di sini... kali pertama bersama rakan karib sejak zaman persekolahan, Maheram Hassan Nordin ketika masih bergelar siswi pada tahun 1982. Tahun berikutnya bersama Tuan Hasnah 'mengintai' kereta lembu di sini ketika berkunjung ke IPG Durian Daun... dan usai sahaja Peperiksaan Akhir Tahun terakhir di UM, aku bersama Nah dan Tuan Ilham sekali lagi berehat minda sambil menjejak warisan sejarah di bumi Hang Tuah ...

Akhir 1987, singgah seketika menghabiskan cuti sekolah di sini bersama suami dan 2 orang putera yang masih kecil. Keadaan masih sama seperti kunjunganku beberapa tahun sebelumnya.

Kunjunganku pada awal 1990-an bersama keluarga, sudah mula menampakkan sedikit perubahan pada lanskapnya. Perubahannya semakin pesat dari tahun ke tahun. Melewati Bandar Hilir setahun dua kebelakangan, dan yang terakhir pada hujung minggu lepas, menjadikan diri terpinga-pinga... mencari sesuatu yang sudah ghaib pada pandangan mata. Kini, kawasan di persekitaran Padang Pahlawan ini termasuk kawasan yang ditambak sudah bertukar wajah dengan sekelip mata. Padang Pahlawan sudah menjadi Dataran Pahlawan. Paling ketara, persekitarannya menjadi semakin sesak dan sempit !

PADANG PAHLAWAN juga dikenali sebagai PADANG MERDEKA, terletak di Bandar Hilir Melaka. Padang Pahlawan menyimpan banyak kenangan dan perisitiwa bersejarah yang mungkin tidak diketahui oleh anak-anak generasi baru hari ini... atau mungkin juga sudah hilang dalam memori segelintir generasi muda walaupun pernah disebut oleh guru Sejarah mereka ! Padang Pahlawan melalui beberapa fasa sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini. Banyak perubahan dialaminya seiring dengan perkembangan dan pembangunan Melaka Bandar Bersejarah...

Di sinilah pada 20 FEBRUARI 1956, bekas Perdana Menteri Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj buat julung kalinya mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah pulang daripada rundingan selama 3 minggu dengan pihak British di London, YTM Tunku Abdul Rahman telah menaiki konvoi kereta dari Ayer Keroh ke Bandar Hilir, Melaka sebelum mengumumkan pada satu perhimpunan bertempat di Padang Pahlawan, Bandar Hilir Melaka bahawa kerajaan British bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu secara rasminya pada 31 OGOS 1957.

Mengikut catatan sejarah, Allahyarham Tun Ghafar Baba telah melobi YTM Tunku Abdul Rahman supaya pengisytiharan bersejarah itu diadakan di Padang Pahlawan yang bersetentangan dengan Kota A Famosa sebagai simbolik tempat pertama yang ditawan oleh kuasa asing pada tahun 1511. Ghafar telah berjaya mengumpulkan bukan sahaja penduduk Melaka, bahkan penduduk seluruh negara. Hasilnya, telah berhimpun seramai 100,000 orang di Padang Bandar Hilir, yang kemudiannya dikenali sebagai PADANG PAHLAWAN bagi menyambut Tunku dan rombongannya dari London.

Datuk Panglima Bukit Gantang, Menteri Besar Perak mewakili Raja-raja Melayu, Tun Tan Cheng Lock wakil masyarakat Cina, dan Tun Sambanthan, wakil masyarakat India memberi ucapan alu-aluan sebelum Tunku mengisytiharkan tarikh kemerdekaan.
Di hadapan Padang Pahlawan tersergam Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain, seperti A Famosa dan Istana Kesultanan Melaka. Bangunan Memorial ini pada asalnya ialah bangunan Kelab Melaka yang dibina pada tahun 1911. Bangunan ini juga digunakan untuk kegiatan sosial oleh golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan pada zaman penjajahan British. Setelah merdeka, kelab ini dibuka kepada orang ramai. Kemudian, pada tahun 1985, bangunan ini dijadikan memorial memuatkan segala dokumen tentang kemerdekaan. Memorial ini ditubuhkan untuk menyimpan dokumen tentang kemerdekaan negara. Selain itu, pameran di bangunan ini meliputi Zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Barang-barang yang dipamerkan meliputi dokumen, gambar, peta, perjanjian, teks ucapan, pita rakaman, minit-minit mesyuarat, majalah, keratan akhbar dan bahan-bahan artifak yang berkaitan dengan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.
Sesungguhnya, sejarah mengajar kita supaya tidak mudah lupa akan liku-liku perjuangan bangsa. Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan....

Monday, May 31, 2010

Menjejak Warisan Sejarah (1)


Porta De Santiago atau lebih dikenali sebagai A Famosa ialah bangunan bekas sebuah kubu pertahanan Portugis.

Sudah lama tidak singgah di sini. Kali pertama berkunjung ke Kota A Famosa ialah pada 1982. Selepas itu ketika menetap di KL, kami beberapa kali datang ke sini bawa anak-anak ketika mereka masih kecil. Perjalanan dari KL - Melaka tidaklah mengambil masa yang lama.

Setelah anak-anak mula menganjak usia remaja, kami tidak pernah singgah lagi ke sini ketika sekali-sekala berkunjung ke Melaka. Hanya lihat dari jauh. Paling akhir kami jejak kaki di tapak kota itu ialah lebih kurang 15 tahun yang lalu.

Kesempatan pada hujung minggu lepas membawa saya sekali lagi menjejak warisan sejarah sambil bersantai.... Kami berdua menghabiskan masa tengah hari Sabtu itu berjalan-jalan sambil melihat orang ramai termasuk pelancong asing berkunjung di kawasan sekitar dan sibuk merakamkan foto kenangan. Berbanding 15 tahun yang lalu, memang banyak perubahan di sekitar Bandar Hilir Melaka. Kawasan menjadi semakin sesak. Padang Merdeka sudah digantikan dengan Dataran Pahlawan. Kalau dulu, di sinilah tempat pengunjung mengelilingi padang dengan kereta lembu, tetapi kini hanya ada replika kereta lembu....

A Famosa ialah bangunan bekas sebuah kubu pertahanan Portugis. Kota ini dibina oleh Alfonso d'Albuquerque pada tahun 1512. Kota ini diletupkan oleh William Farquhar pada tahun 1807. Yang tinggal kini hanyalah pintu gerbangnya sahaja.

Menurut catatan sejarah, kedatangan Diego Lopez de Sequiera yang bertindak membina sebuah gudang di Melaka pada tahun 1509, tanpa kebenaran daripada Kerajaan Melaka telah menimbulkan kemarahan Sultan Melaka. Lalu, orang-orang Lopez de Sequiera ditangkap dan dipenjarakan. Peristiwa itu dijadikan alasan oleh Alfonso d' Albuquerque untuk menyerang dan menakluki Melaka. Kebetulan pula, Kerajaan Melayu Melaka ketika itu sedang mengalami perpecahan. Sultan Mahmud Shah telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Bendahara Tun Mutahir atas tuduhan merancang untuk merampas kuasa dan menggulingkan Sultan.

Akhirnya, pada tahun 1511, Sultan Mahmud Shah dan sebahagian rakyatnya terpaksa berundur ke Johor dan akhirnya membuka negeri di Pulau Bintang, di Selat Melaka.

Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, Sultan Mahmud Shah cuba mendapatkan takhtanya kembali di Melaka. Malangnya, serangan yang dilakukan tidak dapat menembusi kubu Portugis, iaitu
Kota A Famosa, malah percubaan Acheh juga menemui kegagalan. Percubaan terbesar untuk mengalahkan Portugis oleh Melaka dibuat pada tahun 1558. Armada Acheh yang membabitkan 300 buah kapal perang dan 15,000 orang askar dengan bantuan pasukan meriam yang dibawa oleh Turki mengepung A Famosa selama sebulan, tetapi digagalkan oleh ketibaan ribuan bantuan tentera Portugis dari Goa.

Ketika Belanda mula berkuasa, Belanda telah membuat serangan ke kubu ini. Dalam serangan itu, kubu ini telah dimusnahkan. Walau bagaimanapun ia telah dibina semula. Oleh sebab itulah, tercatat tarikh 1670 pada pintu kubu ini. Di atas tarikh ini tertera lencana Syarikat Persekutuan Belanda Timur India @ Syarikat Hindia Timur Belanda @ VOC...

Kubu yang dinamakan
'A Famosa" ini dimusnahkan lagi pada tahun 1807 oleh William Farquhar, seorang berbangsa Inggeris apabila Melaka jatuh ke tangan mereka. Pihak Inggeris juga ingin memusnahkan kubu lama ini, tetapi diselamatkan pula oleh Sir Stamford Raffles.

Di hadapan Kota inilah, pada 26 Februari 1956,
berita tentang tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diumumkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra di Padang Bandar Hilir, Melaka dan didengari oleh kira-kira 50,000 orang. Berita itu telah 'didengari' oleh gerbang A Famosa, Kota Melaka yang telah terpaku di negeri ini sejak 1512....

Teringat lirik lagu masa nyanyi koir zaman sekolah rendah dulu....
Kalau roboh Kota Melaka.. trek... tek... tek...
Papan di Jawa saya dirikan...trek... tek...tek..
kalau sungguh bagai dikata,
..... lupa lirik ..... .. trek... tek... tek...

Jadi, yang ada kini hanyalah sisa-sisa peninggalan Kota A Famosa yang tersirat 1000 makna untuk kita jadikan renungan dan ikhtibar....

Thursday, May 27, 2010

KERANA HEADCOUNT...

Sebagaimana yang dijanjikan, saya akan paparkan secebis kisah yang dipetik daripada buku BRONTOK, yang ditulis oleh PN. HJH NORBI HUSIN (2008).

Sama-samalah kita hayati cerita ini ....

++++++

Petang ini saya didatangi sekumpulan tetamu. Saya membawa mereka semua ke Bilik Mesyuarat Kesidang yang tidak jauh dari pejabat saya agar kami mudah berbincang. Setelah mengambil tempat duduk masing-masing, Encik Harry (Setiausaha NUTP) memperkenalkan ahli-ahli jawatankuasa kesatuannya kepada saya. Walaupun saya memandang setiap ahli yang datang namun dalam kepala saya masih terus memikirkan mengapa mereka ini semua mahu berjumpa saya.
"Boleh beritahu saya mengapa ramai sangat yang hendak berjumpa saya ni ?" tanya saya sebaik-baik sesi perkenalan selesai. Dalam hati terus berdoa agar perbincangan yang bakal berlaku sebentar lagi akan berjalan lancar.
"Ini pasal headcount lah Puan Hajah," jawabnya.
Sepantas kilat saya sudah dapat meneka mungkin headcount yang saya minta semua sekolah melaksanakannya tahun ini telah menimbulkan masalah kepada guru-guru sekolah. Pasti ramai yang membantahnya. Walau bagaimanapun, saya berazam akan terus mempertahankan sekiranya mereka berkeras membantahnya.
"Kenapa pula dengan headcount? Ada masalahkah?" tanya saya berpura-pura tidak mengetahui perasaan mereka.
"Beginilah Puan Hajah, sejak Puan Hajah meminta semua guru melaksanakan headcount, kami guru-guru berasa beban tugas kami sudah semakin bertambahlah! Banyak rungutan yang kesatuan terima. Kami mahu Puan Hajah jelaskan sedikit kepada siapa headcount ini hendak dijalankan, sebab lain pengetua lain penerangannya," katanya. Tersenyum saya mendengar kata-kata Encik Harry.
Ahli yang lain nampaknya mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata rakannya itu.
"Oh, begitu!" saya terbayang muka beberapa orang pengetua ketika saya menyampaikan taklimat headcount kepada mereka di Hotel Blue Wave tempoh hari.
Ada antara mereka sangat serius mendengarnya dan mencatat penerangan yang saya sampaikan tetapi ada segelintir yang sentiasa keluar masuk dewan, resah bagai ibu ayam yang sedang mengeram telur. Barangkali yang sering keluar masuk dewan inilah agaknya yang kurang faham, lalu apabila menerangkan kepada guru-guru mereka, penerangannya juga menjadi tidak jelas, fikir saya.

Sebelum saya menjawab soalan Encik Harry, saya mahu beliau dan rakan-rakannya itu menerangkan kepada saya, apa antara rungutan guru-guru yang mereka dengar. Daripada situ saya lebih mudah menjawab soalannya. Wah, banyak yang saya dapat tahu daripada mereka ini!
"Saya rasa apabila headcount ini diperkenalkan, beban tugas kami semakin bertambah. Sudahlah kami terpaksa menyediakan Buku Adab Belajar setiap pelajar, kami kena pula buat headcount! Bukankah itu menambah beban kami?" kata si A.
"Apa pentingnya kami buat headcount Puan Hajah? Selama ini pun kami mengajar dan menguji pelajar mengikut tajuk-tajuk pelajaran yang kami ajar!" kata pula si B.
Saya ni ketua panitia mata pelajaran Sejarah. Sudah bertahun-tahun saya memegang tugas itu. Kerja saya beres, habis kenapa kami kena buat headcount?" kata si C.
"Saya fikir headcount dibuat kepada pelajar kumpulan target sahaja. Tak perlu buat kepada semua pelajar. Mana guru ada masa hendak buat headcount, kerja yang sedia ada pun sukar hendak dihabiskan!" kata pula yang lain.
Pendek kata hampir semua yang datang ini menyatakan rasa tidak senang mereka dengan projek saya ini. Saya membiarkan mereka bebas bercakap, setidak-tidaknya apa yang terbuku di hati mereka sudah dapat diluahkan. Sekiranya saya menutup pintu perbincangan, sudah tentu kesannya akan lebih buruk lagi. Lagipun bukankah negara kita ini mendukung demokrasi? Semua orang bebas memberi pendapat.

Sebaik sahaja mereka selesai memberikan komennya, saya meminta Encik Harry menjawab beberapa soalan saya secara jujur bukan kerana mahu mempertahankan pendapat rakan-rakan gurunya. Encik Harry tersenyum mendengar permintaan saya.
"Encik Harry mempunyai seorang anak yang belajar di darjah 2. Gurunya tidak pernah memarahi anak Encik Harry walaupun anak Encik Harry tidak membuat kerja sekolah yang diberi, atau tidak masuk ke kelas atau mencuri duit rakannya. Guru itu takut hendak menegur atau menasihati anak Encik Harry kerana Encik Harry orang kuat kesatuan. Apa pendapat Encik Harry kalau sikap guru seperti ini?" kata saya.
"Eh, tak bolehlah Puan Hajah. Gurunya tak bolehlah buat macam ni!" jawabnya selamba.
"Kalau anak Encik Harry lemah dalam sesuatu mata pelajaran dan markah ujian bulanannya juga sentiasa menurun tetapi guru tidak pernah mengambil tahu kelemahannya, jauh sekali melihat aspek mana yang anak Encik Harry itu lemah untuk dibuat pengukuhan, alasannya beliau tidak ada masa, sukakah Encik Harry dapat guru seperti ini?"
"Gurunya tak patut buat macam tu! Beliau patut ajar anak saya sampai faham! Tetapi kami semua bukan macam tu!" Saya tertawa mendengar jawapannya
"Okay, kalau Encik Harry tidak suka sikap guru seperti itu, maknanya Encik Harry dan rakan-rakan Encik Harry suka guru bertanggungjawab dan komited dengan tugasnya bukan! Tentu Encik Harry suka guru-guru yang mengenali murid-murid atau pelajarnya, tahu kelemahan pelajar mereka dan kemudian membantunya. Kalau Encik Harry suka guru seperti ini, inilah yang dimaksudkan guru ini membuat headcount ke atas murid-muridnya. Mereka bukan sahaja mengenali murid-muridnya, malah tahu kekuatan dan kelemahan muridnya dan membantu. Headcount ini bukan sesuatu yang baru. Datuk nenek kita dahulu pun kalau mereka menjadi guru, mereka sudah buat headcount ini. Mereka kenal anak-anak muridnya secara mendalam sehingga emak bapa dan datuk nenek muridnya pun mereka tahu ! Sebab itu mereka rapat dengan anak muridnya. Tidaklah anak muridnya jahat dan biadab dengan gurunya," jelas saya panjang lebar.
Encik Harry dan rakanrakannya terdiam, tetapi saya tahu mereka masih belum dapat menyokong projek saya ini kerana mungkin mereka bukan seperti guru yang mengajar anak Encik Harry. Saya harus terus mempengaruhi mereka ini.
"Saya tahu, mungkin Encik Harry dan rakan-rakan Encik Harry memang mengambil tahu setiap pelajar Encik Harry. Tetapi ramai guru di luar sana, tidak kisah pun hal tersebut. Bagi mereka, datang sekolah, tugasnya mengajar pelajar. Dapat atau tidak apa yang diajar, itu bukan tanggungjawabnya. Malah ada guru kita, nama pelajar pun mereka tidak tahu!" Kata saya.
Saya kemudian memberi beberapa contoh yang kami temui semasa kami membuat penyeliaan dan pencerapan di sekolah. Saya nampak Encik Harry dan rakan-rakannya mula mengerti mengapa saya perkenalkan headcount ini ke sekolah-sekolah tahun ini.
"Okaylah Puan Hajah, sekarang saya fahamlah. Tetapi kerja kami sudah semakin bertambah. Banyak borang yang perlu diisi," jawabnya.
"Encik Harry, kerjaya guru ni satu kerjaya yang profesional, macam juga doktor. Kalau kita pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan, tentulah doktor itu akan melihat rekod kesihatan kita dan kemudian memeriksa kita. Mereka tidak terus memberi ubat kepada kita tanpa melihat rekod kesihatan dan menjalankan pemeriksaan. Rekod kesihatan tu penting bagi membantunya melihat perkembangan penyakit kita. Macam tu jugalah guru. Mereka patut menyimpan rekod murid-muridnya. Setiap ujian, turun naik markah perlu direkodkan agar mereka tahu prestasi muridnya. Kalau mengikut rekod, markah markah murid itu sentiasa menunjukkan penurunan, guru harus siasat mengapa keadaan itu berlaku sebelum buat rawatan ke atas murid itu. Kalau guru tidak menyimpan rekod turun naik markah murid-muridnya, bolehkah guru itu ingat setiap prestasi anak muridnya?"
Banyak lagi yang saya huraikan. Tujuan saya menghuraikan panjang lebar hal ini kerana saya mahu mereka semua sedar bahawa kerjaya guru ini ialah satu kerjaya yang profesional. Bukan jadi guru kerana tidak dapat kerja lain.

Saya bersyukur, berkat kami berbincang secara jujurdan ikhlas ini, akhirnya mereka semua bersetuju menjayakan projek headcount yang sudah lama dipraktikkan oleh guru-guru pada zaman penjajah tatapi telah dilupakan pada zaman ini.

Itulah secebis coretan pengalaman seorang Ketua Sektor Pengurusan Akademik di JPN. Melaka) ... yang baik jadikan teladan.... berguru dengan buku....

Saturday, April 17, 2010

JALAN MENUJU KEJAYAAN

"Tiada jalan pintas untuk menggapai kejayaan..."

Inilah ungkapan yang sering saya ingatkan kepada anak-anak didikku… sebahagian besar daripada mereka sudah mencipta kejayaan gemilangan untuk diri dan keluarga. Harap-harap mereka gemilang dunia dan akhirat.

Dalam dunia yang serba serbi ‘segera’ sekarang ini, ramai juga di antara kita yang ingin mencapai kejayaan segera dengan jalan yang mudah tanpa melalui proses-proses yang melelahkan. Kejayaan segera tidak begitu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri.

Kejayaan yang dicapai sebenarnya bukanlah suatu kebetulan. Hidup kita juga bukanlah suatu permainan silap mata ala-ala David Copperfield, malah masa depan yang cemerlang adalah milik mereka yang mempersiapkan diri untuknya. Kita harus melakukan sesuatu untuk menggapai kejayaan tersebut.

Untuk menggapai kejayaan, kita harus menjalani proses tingkat demi tingkat, umpama mendaki anak tangga. Namun begitu, ramai di antara kita yang tidak sabar menjalani proses tersebut. Kejayaan menuntut banyak pengorbanan. Kadang-kadang kita terpaksa menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga. Kita harus bersedia untuk itu. Kita harus bersedia untuk mengeluarkan keringat malah kita juga harus bersedia untuk menggugurkan airmata.

Jika kita bersedia untuk melakukan sesuatu yang orang lain tidak ingin lakukan, tentu kita akan memperolehi apa yang tidak diperolehi oleh orang lain. Orang-orang yang berjaya bukanlah orang yang luar biasa, mereka hanyalah orang-orang yang mahu melakukan sesuatu (sementara orang lain menolaknya) dan mendapat kejayaan yang luar biasa.

Friday, April 9, 2010

PENSEL & KEHIDUPAN



Rasanya sudah beberapa minggu aku tidak meninggalkan catatan di sini. Bukannya terlalu sibuk, cuma ruang waktu kebelakangan ini tidak begitu mengizinkan... ada perkara lain yang perlu diberi keutamaan....

Aku baru sahaja selesai memeriksa kertas ujian 2. Aku dapati masih ramai murid T3 yang menggunakan pensel untuk menjawab soalan subjektif. Terdetik di hati untuk mencoretkan sesuatu berkait dengan PENSEL. Murid-muridku selalu berkata "takut salah dan susah untuk dipadamkan jika guna pen". Itulah jawapan mereka setiap kali apabila disuruh menggunakan pen.... Berbeza dengan zaman kita bersekolah pada zaman 70-an dahulu... kita sangat teruja untuk 'naik' sekolah menengah, kerana di sekolah menengah nanti barulah kita boleh menggunakan pen sepenuhnya untuk membuat nota atau semasa menjawab soalan....

Sebenarnya, di sepanjang jalan pulang, kita banyak bergantung kepada kebolehupayaan kita melihat sesuatu. Dalam kehidupan ini kalau kita boleh meneladani 5 kualiti yang ada pada PENSEL, kita akan sentiasa berdamai dengan diri, hidup harmoni di dunia dan berjaya mencapai banyak kejayaan dalam kehidupan.

Kualiti pertama : kita berupaya untuk mencapai banyak kejayaan besar dalam kehidupan. Dalam pada itu, jangan sesekali kita lupa akan 'Tuhan' yang membimbing takdir kehidupan kita. Tuhan sentiasa ada untuk membimbing kita dengan rahmat dan kasih sayangNya. Kita boleh merancang perjalanan dalam kehidupan tetapi setiap kali kaki kita melangkah tentu saja dengan keizinanNya. "SEUMPAMA PENSEL, YANG AKAN HANYA MENULIS JIKALAU ADA TANGAN YANG MENGGERAKKANNYA..."

Kualiti kedua : Kini dan pada bila-bila masa pun, sebaik sahaja mata PENSEL tumpul, pensel perlu dipertajamkan dengan menggunakan "sharpener". Kebolehan pensel 'menahan sakit' tatkala sedang ditajamkan, akan menjadikan pensel lebih tajam dan elok penulisannya. Sama seperti perjalanan hidup kita, kebolehan mengharungi dugaan dan cubaan dalam kehidupan akan menjadikan kita seorang insan yang sentiasa lebih baik pada masa hadapan.

Kualiti ketiga : PENSEL sentiasa ada kawan kedua, iaitu "eraser". Eraser akan bertindak segera memadamkan kesalahan yang ada. Hakikatnya, kehidupan ini penuh liku dan simpang. Memperbetulkan keadaan dan memadam kesilapan, bukanlah suatu kesalahan. Semua ini akan memudahkan kita mencari jalan yang lebih lurus dalam kehidupan.

Kualiti keempat : Apa-apa yang menjadikan PENSEL berguna bukanlah kayu luaran yang membentuk rupa wajah pensel, sebaliknya graphite di dalam pensel yang menentukan kualiti tulisan kita sama ada jelas atau tidak untuk dibaca. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memberi tumpuan kepada isian dalaman diri kita. Itulah hakikat yang asas dan paling utama dalam kehidupan.

Akhirnya, kualiti kelima : PENSEL sentiasa meninggalkan catatan terindah yang akan terus kekal untuk dibaca. Begitu juga kehidupan kita nanti... setiap perkara yang kita lakukan pasti meninggalkan bekas dan ingatan. Oleh itu, jadilah insan cemerlang yang meninggalkan tapak gemilang dalam kehidupan yang akan dikenang sampai bila-bila....

...inilah hakikat kehidupan... sekadar mengingatkan diri sendiri.....