Showing posts with label nostalgia. Show all posts
Showing posts with label nostalgia. Show all posts

Tuesday, February 28, 2017

Singkong dan Nostalgia Ubi Kayu

Kalau di Seberang Selat Melaka jenis makanan ini dikenali sebagai singkong, sama ada singkong rebus ataupun singkong goreng, tetapi di sini kita panggil ubi kayu... ubi kayu rebus atau ubi kayu goreng....

Sebut pasal singkong ni, teringat saya sebuah lagu dari seberang yang pernah popular suatu ketika dahulu..Lagu Singkong dan Keju, ciptaan Arie Wibowo...


" Kau bilang cinta padaku... aku bilang pikir dulu...
selera kita terlalu jauh berbeda....
parfummu dari Paris... sepatumu dari Itali....
Kau bilang demi gengsi...semua serba luar negeri....
Manakah mungkin.... mengikuti caramu yang penuh huru-hara...
Aku suka jaipong...kau suka disco
Aku suka singkong....kau suka keju
Aku dambakan seorang gadis yang sederhana...
Aku ini hanya anak singkong....hanya anak singkong..."

Masa tu, saya sendiri pun tak faham maksud singkong.... ! Rupa-rupanya singkong ini ialah ubi kayu...

Semasa wisata kami ke Tanah Seberang beberapa tahun lepas, di mana-mana sahaja kami dapat lihat singkong ini dijual oleh penjaja gorengan dengan kereta sorong. Yang uniknya, singkong @ ubi kayu goreng ini ditabur dengan parutan keju dan sebuk cili di atasnya.... Pada mulanya saya tidak berani mencuba, tapi setelah merasa satu, memang sedap...lemak masin.... cuma tak tahan rasa pedas serbuk cili.... 

Dulu, apabila tiba musim hujan, Atok akan ke tebing sungai untuk ambil ubi kayu. Ubi kayu ni kalau baru dicabut masih fresh dan tak masuk angin lagi. Biasanya kami akan tolong koyakkan kulitnya, basuh dan rebus sampai empok. Sambil-sambil tu Atok pula akan dapatkan nyior dan suruh Mama atau Nenek kukur (parut). Nyior yg diparut/ kukur ini akan digaul dng sedikit garam. Ubi kayu rebus tadi akan dicicah dng kelapa parut sebelum dimasukkan ke mulut...hmm best...!

Masa kanak-kanak dulu Nenek guna dapur kayu untuk memasak...kadang-kadang kami akan menyibuk di dapur. Kalau masih ada bara atas dapur kayu selepas Nenek memasak, kami akan masukkan ubi kayu ini ke dalam bara api itu. Kena berjaga-jaga, takut ubi kayu hangus, tak jadi ubi kayu bakar lagi, sebaliknya jadi arang ubi kayu...! Bila dah yakin telah masak, ubi itu dikeluarkan dari bara api dan dibuang kulitnya sebelum dimakan.

Kadang-kadang kami buat bengkang ubi kayu. Masa kecil-kecil dulu kami hanya memerhati Mama atau Nenek buat. Semasa darjah 6 kami 3 beradik dah pandai buat sendiri. Musim hujan akhir tahun, cuti sekolah. Kami akan fikir macam-macam aktiviti untuk dibuat. Ubi memang banyak pada musim ini kerana semua ubi perlu dicabut, takut ditenggelami air bah. Ubi kayu itu kami hantar ke kedai runcit berdekatan rumah Mama untuk dimesin (kalau tak, kami parut aje). Ubi kayu yang dah dimesin/ parut itu dicampur dengan kelapa muda yang telah diparut dan dicampur gula + garam secukup rasa. Lepas tu, diletakkan atas tudung periuk sebelum dibakar sehingga masak. Masa ni kami bakar guna sabut, belum ada oven; lagi jauh sekali ketuhar gelombang micro...! Seronok sangat... Bila dah masak, bentuknya yang bulat leper itu akan kami potong dan dihidangkan bersama kopi 'o' panas.

Ubi kayu ini juga boleh dibuat lepat ubi kayu. Yang ni Mama atau Nenek yang buatkan. Kami, masa tu tak pernah mencuba. (Kalau lepat pisang biasa juga buat sebab pernah buat di sekolah semasa belajar Home Science). Rasa lepat ubi ni mesti manis + lemak, barulah sedap... kena masukkan manisan @ gula melaka + kelapa muda, lepas tu bungkus dengan daun pisang dan kukus.

Selain itu, Nenek juga biasa buat tapai ubi kayu. Ubi kayu ni perlu direbus terlebih dahulu sehingga empuk. Ubi kayu rebus ini perlu disejukkan terlebih dahulu, ditabur dengan ragi sebelum disusun dalam periuk untuk diperam. Biasanya selepas 24 jam diperam, ubi kayu tadi akan bertukar menjadi tapai. Tapai yang nenek buat terkenal di sekitar kampung, dan kadang-kala, Nenek jual tapai ni di pasar Wakaf Che Yeh. Kata Nenek, bolehlah seringgit dua buat belanja dapur... nak toreh getah tak boleh kerana batang pokok getah basah. Musim tengkujuh katakan...!

Selain itu, ada lagi makanan favourite berasaskan ubi kayu pada musim-musimhujan begini, iaitu "putu halba". Gerai menjual putu halba tumbuh seperti cendawan lepas hujan di tepi-tepi jalan utama di negeri kelahiranku pada musim tengkujuh. Putu halba dibuat daripada ubi kayu + manisan + kelapa. Dikukus.

Kisah ubi kayu mengembalikan nostalgia semasa kanak2 dan awal remaja. Kini, walaupun sekali-sekala balik ke kampung semasa musim tengkujuh, tak sempat untuk makan ubi kayu rebus atau bengkang ubi kayu. Lepat ubi kayu dan tapai ubi kayu biasa juga makan kerana ada dijual di pasar, bolehlah dibeli.

Anak-anak zaman sekarang yg biasa dihidangkan dengan makanan segera tidak gemar makan makanan berasaskan ubi, apatahlah lagi ubi kayu.

Ubi kayu atau singkong makanan nenek-moyang masyarakat serumpun bangsa sejak zaman berzaman. Ubi kayu memberi sumber tenaga semasa zaman sukar. Alangkah pentingnya ubi kayu suatu ketika dahulu....

Sunday, January 11, 2015

Masuk Darjah 1 - Bermula Episod Baharu Dalam Hidup



Tahun baharu, bermulalah episod baharu bagi semua kanak-kanak @ murid sekolah. Ibu bapa mula sibuk menghantar anak-anak untuk mendaftar masuk ke sekolah, sama ada prasekolah / tadika, sekolah rendah ataupun sekolah menengah.



Hari ini, tirai Januari  2015 sudah lebih seminggu berlabuh.  Semua murid baru akan mendaftarkan diri ke sekolah yang telah ditetapkan. Setiap orang akan melalui pengalaman ini, tidak terkecuali diri saya   4 dekad setengah yang lalu.


Kini, ramai kanak-kanak sudah memasuki prasekolah seawal 4 tahun, jadi setelah tiba masanya untuk masuk ke sekolah rendah, mereka akan melangkah dengan penuh yakin, berbeza dengan zaman saya (dan rakan-rakan seangkatan) mula bersekolah dahulu.  

 

Saya melalui zaman persekolahan di 3 buah sekolah, iaitu bermula di SRJK (Ingg) Kota (kini dikenali sebagai SK Seri Kota) sehingga Std 6. Kemudian, saya meneruskan persekolahan peringkat menengah rendah di SMK Kota, sebelum meneruskan pelajaran menengah atas di Maktab Sultan Ismail sehingga tamat Tingkatan 6.


6 BLUE Kota National Type English Primary School (1974)


Sesi persekolahan  2015 di negeri-negeri Pantai Timur bermula hari ini (yang sepatutnya pada 4 Januari 2015 tetapi terpaksa ditunda kerana banjir besar melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur).  AISYA BALQIS akan melangkah ke darjah 1 selepas melalui pengalaman Prasekolahnya tahun lepas, juga di SK Seri Kota.  




Ketika zaman saya bersekolah dahulu, SK Seri Kota dikenali sebagai SRJK (Ingg) Kota, manakala abangnya, AFIQ HAIKAL pula akan memulakan persekolahan Tahun 3 di sekolah yang sama.  Nasib baiklah uniform sekolah dua beradik ini tidak ditenggelami air semasa banjir baru-baru ini walaupun air di dalam rumah Bonda setinggi paras pinggang.


Setiap tahun, apabila bercerita tentang masuk sekolah darjah 1, Papa akan selalu berbari tentang pengalaman Papa menghantar adinda Mutia Anggerek mula-mula masuk sekolah .... 

Apakah agaknya cerita menarik yang sering diulang-ulang oleh Papa tu....hahaha...


 


Monday, December 29, 2014

Penghujung 2014 - Ujian Banjir Besar di Kelantan...


Hujung tahun, bermakna musim bah akan tiba. Mereka yang tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir @ bah pasti akan sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi kemungkinan banjir. Yang tidak pasti adalah sama ada bah itu besar atau kecil..! 
Stadium Muhammad ke-IV pada 26 Dis 2014

Boleh dikatakan saban tahun pasti berlaku bah, tetapi bah besar tidak semestinya berlaku pada setiap tahun.

Penghujung 2014, banjir besar melanda banyak kawasan yang belum pernah dibanjiri sebelum ini hampir semua daerah di Kelantan, kecuali di Daerah Bachok.  Kesan yang paling teruk adalah di Gua Musang, Kuala Krai, Dabong, Tanah Merah, dan Tumpat.  Tidak terkecuali di Kota Bharu. Sejak berdekad-dekad lamanya rumah Bonda dan Ayahanda di Kg Kota tempat kami dilahirkan dan membesar tidak pernah ditenggelami banjir, tetapi kali kali ini air bah paras pinggang di dalam rumah Bonda.  

SMK Manik Urai yang ditenggelami banjir pada 23 Disember 2014

 Bandar Kuala Krai pada 23 Disember 2014



Sebenarnya, ada bah besar, ada bah kecil. Ada bah disebabkan air hujan yang bertangkung kerana sistem saliran yang tidak baik. Ada bah disebabkan oleh limpahan air sungai yang banyak. Bah air hujan cepat surut. Apabila hujan reda, bah pun akan surut.
Bah air sungai akan berlaku setelah isipadu air sungai bertambah akibat hujan lebat berterusan di kawasan hulu. Air sungai berbeza dengan air hujan... lebih sejuk hingga ke tulang hitam dan warna juga lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat apabila angin monsun bertiup kencang menyebabkan aliran air ke muara menjadi sebak. Akibatnya, tempat yang rendah akan ditenggelami air dalam tempoh masa yang lama...

Begitulah yang terjadi pada 24 DISEMBER 2014 di Kota Bharu... Hujan yang sudah berlanjutan beberapa hari turun dengan lebat tanpa henti di kawasan Hulu Kelantan telah menyebabkan berlakunya banjir.   Kawasan yang mula-mula terjejas adalah di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai seawal 19 Disember 2014.
 
 Tambatan Diraja, air mula melimpah... pagi 24 Disember 2014


Restoran Terapung TESCO... pagi 24 Disember 2014

Stesen Bas SKMK... pukul 6 petang 24 Disember 2014


Medan Tuan Padang, Kota Bharu pada 26 Disember 2014

Kota Darul Naim juga tenggelam... 26 Disember 2014
Di Kota Bharu, khususnya di Kg Kota air mula melimpah sejak pagi 25hb Dis 2014 dan terus meningkat serta menenggelamkan kawasan di sekitar tersebut.  Ramai penduduk di kawasan yang terjejas terpaksa meninggalkan rumah masing-masing untuk ke pusat pemindahan banjir.  Air yang deras naik secara mendadak membuatkan sebahagian mangsa banjir yang terlibat tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa kecuali nyawa... Hubungan terputus, bekalan elektrik dan air terhenti.   (kisah banjir di rumah Bonda akan diceritakan dalam entri yang lain)

Ramai yang terkepung dan terkandas.  Pelbagai cerita sedih dan menyayat hati berlaku.   Biarlah kisah sedih ini menjadi ikhtibar kepada semua pihak.  Banyak harta benda musnah. Ramai kehilangan tempat tinggal terutama sekali di kawasan Gua Musang, Kuala Krai dan Dabung.  Kawasan yang ditenggelami banjir penuh lumpur tebal selepas air bah surut.   

Tidak dapat dibayangkan perasaan nasib mangsa yang terlibat; berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul...









Banjir di Kelantan pada tahun ini dianggap yang terburuk dalam tempoh lebih 8 dekad, kali terakhir terburuk adalah pada tahun 1929 walaupun pada masa itu air bah tidak menjejaskan penduduk di Kg Kota.  

Sesungguhnya setiap yang berlaku ada hikmah yang terselindung di sebaliknya. Semuanya merupakan perancangan daripada Allah s.w.t dan  ini merupakan antara ujian serta peringatan Allah kepada kita.  Banjir menguji kesabaran dan sejauhmana kita bersyukur dengan nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita selama ini.  Segala yang kita miliki ini hanyalah pinjaman daripada Yang Maha Esa, bila-bila masa akan diambil-Nya kembali. Mungkin Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik lagi. 


Saturday, November 1, 2014

secebis kenangan....kacar sugho di bulan Muharam....


Hari ini 1 NOVEMBER 2014, bersamaan dengan 8 Muharam 1436H.  2 hari lagi, 10 Muharam menandakan tibanya hari yang dikenali sebagai Hari Asyura.

Dah lama rasanya saya tidak merasai “sugho” @ bubur asyura ala Kelantan ni...tahun ni rasa teringin sangat untuk merasainya... Chek Yah kata, sugho Hjh Nik Meriam, Jalan Kelocor tempat saya selalu beli murtabak frozen dan akok tu paling best... nampaknya nak kena telefon untuk tempah sugho dengan Hjh Nik.

Teringat semasa zaman kanak-kanak dulu, melihat Nenek buat sugho bersama-sama jiran tetangga. Sehingga kini, masih ada masyarakat kampung yang meneruskan tradisi membuat bubur asyura beramai-ramai dalam bulan Muharam...

Dulu-dulu, orang kampung juga memanggil bulan Muharam sebagai bulan sugho... di sana-sini pasti ada kumpulan yang berpakat secara gotong-royong 'mengacar sugho' ni. Memang meriah sungguh walaupun mengambil masa yang lama, sehingga 8 - 9 jam untuk menukarkan bahan-bahan yang dijerang di dalam kawah itu menjadi sugho... Malangnya, anak-anak saya kini sudah tidak berkesempatan melalui pengalaman seperti itu....malah, mereka tidak begitu menyukai juadah turun-temurun ini...

Paling akhir, pengalaman bersama-sama (melihat orang) kacar sugho adalah semasa bertugas di SMK Sultan Ismail, Kota Bharu beberapa tahun lepas. Sudah menjadi tradisi warga SMKSI mengadakan majlis keagamaan begini bagi merapatkan hubungan silaturahim antara guru-murid-ibu bapa. Kalau tak kacar sugho, kami bekwah potong lembu sempena Maulidur Rasul.

Walaupun hanya sempat 2 tahun (2004-2005) bertugas di SMKSI sebelum berpindah ke Kuantan, kenangan bersama-sama rakan guru amat meninggalkan kesan di hati. Kami diagihkan tugas untuk menyediakan ramuan sugho tu. Kalau tidak silap, saya da
n beberapa orang teman guru diberi tugas menyediakan daging untuk digunakan sebagai ramuan sugho itu. Setiap orang menyediakan 1 @ 2 kilo daging. Daging ini kami rebus. Kemudiannya tongkolan daging yang telah direbus itu disiat-siatkan menjadi urat daging yang halus. Semua ni kami buat di rumah.

Keesokan paginya, kami bawa semua bahan yang telah disediakan itu ke sekolah. Hari kami buat majlis 'kacar sugho' tu kebetulannya jatuh pada hari Khamis, hari pakai baju batik ke sekolah. Jadi, berbaju batiklah kami pada hari itu. Tak sangka pula, ramai yang berbatik biru....macam uniform pula. Kami sama-sama berkumpul di atas wakaf berbumbung atap nipah di tepi kantin SMKSI untuk menyediakan apa-apa yang patut. Semuanya menjadi kenangan yang indah walaupun sudah lebih 8 tahun berlalu...


kenangan buat sugho di SMKSI...2005

Sebenarnya, bubur Asyura @ sugho ini ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharam iaitu pada Hari Asyura. Setiap negeri, terutama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, mempunyai Bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Bubur asyura @ sugho di Kelantan berbeza dengan bubur asyura yang terdapat di tempat lain…

Antara bahan yang digunakan untuk buat sugho ni ialah beras, ubi keledek, kacang merah, kacang hijau, kacang putih, jagung, rempah "sugho" (ramuan yang paling penting yang boleh membezakan rasa...), santan, daging , bawang merah, bawang putih, halia, gula dan garam secukup rasa. (Tak pasti pula, kalau-kalau ada yang tertinggal...!)

Tempoh mengacaunya ialah selama 7-8 jam... Mula-mula tidaklah terasa penat sangat kerana ramuan masih cair dan berwarna putih (campuran santan dan beras). Tetapi, selepas beberapa jam, setelah (telah dicampurkan dengan bahan-bahan di atas), sugho tadi menjadi semakin pekat, barulah mula terasa kepenatannya. Sugho ni perlu dikacau sehingga betul-betul sering, supaya tahan lama dan lambat basi. Selepas 7 atau 8 jam, dan sugho ni betul-betul sering, barulah disejukkan di dalam bekas... Masa kecil-kecil dulu Nenek akan sejukkan sura ni di dalam tempurung kelapa. Dulu, manalah ada bekas-bekas plastik yang tahan panas seperti hari ini...

Peristiwa Asyura berkaitan dengan peristiwa Nabi Musa a.s.,
Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

Ada juga anggapan bahawa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Nuh.
Kononnya, selepas diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. Apa pun yang pasti hari 10 Muharam berkait dengan peristiwa Nabi Musa dan ada anggapan ia berkaitan dengan juga dengan Nabi Nuh.

Puasa hari Asyura pula merupakan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah. (Riwayat Bukhari).


....Makan sugho makan juga, tapi penghayatan itu lebih penting. Menggabungkan kedua-dua niat itu alangkah lagi bagus. "Memasak dengan niat menjamu dan sedekah + menghayati peristiwa dan Kisah Nabi Nuh as".

Tuesday, August 26, 2014

Kenangan 26 OGOS 1984


Tarikh yang tetap akan dikenang.

Pada tarikh tersebut, aku menghadiri Majlis Konvokesyen bakal 'teman seiring jalan sepanjang hayat' yang berlangsung di DTC, Universiti Malaya. Saat itu belum 100% pasti!  Setahun selepas itu, ia menjadi suatu kepastian yang nyata dan kekal hingga kini... dan setelah 29 tahun berlalu, ia menjadi semakin pasti...

26 OGOS 1985...

Pada tarikh yang sama juga, lahir seorang lagi puteri dalam keluargaku. Dinamakan NADIA HANUM oleh ayahanda tercinta. Semasa kecil sangatlah lain daripada yang lain... terkena sawan tangis... menangis aje kerjanya... menangis dan berguling-guling sehingga berhenti sendiri. Papa & Mama tak mampu berbuat apa-apa semasa dia menangis... biarkan dan hanya tengok serta berdoa sahaja, setelah penat, berhentilah dia menangis.... 

Esok @ lusa akan berulang lagi... macam dalam filem AHMAD ALBAB pula !

26 OGOS 1984 - 18 SEPTEMBER 1985.... ketika berusia setahun lebih

Jikalau bapa 'Mastura' menamakan anaknya yang kuat menangis itu dengan nama AHMAD ALBAB lalu terus hilang tangisannya, NADIA HANUM juga ada ceritanya yang tersendiri.

Setelah sawan tangisnya berlarutan dalam tempoh yang agak lama juga, lalu Papa & Mama terfikir untuk meletakkan gelaran 'WAN' dipangkal namanya = WAN NADIA HANUM... (mungkin juga ilham daripada Nenek Lijah, ni nak kena tanya Mama...) barulah hilang sawan tangisnya itu...! Nampaknya, dia nak juga gelaran WAN yang dibawa oleh moyang sebelah Mama, WAN JEMILAH BT. WAN SAID.

Inilah asal-usulnya adikku yang sorang ni yang lebih dikenali dengan 'WAN' dalam kalangan keluarga terdekat berbanding dengan namanya yang sebenar. Hilang nama asalnya, kecuali anak-anak buah aje memanggilnya 'CIK HA'. Itulah alkisahnya!



2010....
Tak tahulah pulak, tuan empunya diri masih ingat ke tidak....


Pada tarikh yang sama juga, lahirlah HUFZAIDAH, puteri sulung dalam keluarga arwah Abang Aziz (abang ipar). Kini, dia serta 4 orang adiknya telah menjadi yatim piatu sejak beberapa tahun lepas.

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-30 Wan dan Adah....

Kenangan yang mewarnai hidup keluarga kami ini tetap kekal dalam ingatan ...



Tuesday, April 1, 2014

BUAT SAHABAT : INDAHNYA KENANGAN ITU...


SRJK (I) Kota
 



1969...

kita semua
bermula di sana
di bangku sekolah rendah yang sama
belajar tulis baca
bermain berlari bersuka ria
menyanyi bersiul riang
berebut tiang 
melenggang gelung rotan 
kala waktu di padang
kala waktu senggang 
kala menunggu cikgu datang
yang lelakinya pula
kala rehat yang tidak berapa panjang
masih sempat main-main terajang.

begitulah indahnya kenangan
bersama rakan taulan
walaupun ada yang masih mentah 
keanak-anakan
namun, tetap ada yang menyimpan perasaan
berkenan di hati akan seseorang.



Betapa dia terus memuja 
walaupun mungkin tidak pernah terbalas...
namun, terubat jua rindunya
tatkala mata hanya melirik
rabung atap dari kejauhan...!

Ah, cinta monyet budak hingusan
atau dirinya yang terlebih perasan.... 
melewati enam tahun yang tidak pernah suram.

  
SM Kota


1975....
tahun baru 
sekolah pun baru 
bertingkat-tingkat aneka jurusan.

rakan taulan datang dan pergi
silih berganti 

yang berlalu
pergi tanpa pesan
sedikit pun tidak terkesan 
rakan yang baru 
datang mengisi ruang

kita pun kian dijengah usia remaja
sudah tersimpan rasa silu dan segan
sudah beralas malu tatkala bergurau senda
tutur kata disusun tertib tatkala berbicara

usia remaja....
tandanya bermula
zaman gelora 
penuh membara
tandanya bermula
zaman menunjuk bakat 
ingin mencuba  
tandanya bermula 
zaman mencari citra diri.

Begitulah...
yang lelakinya suara sudah garau
sudah mula pandai peraga diri
mencuba nasib memikat si gadis...

yang perempuan pula 
sudah pandai tampil bergaya
mula melawa cari identiti
seringkali diintai 
abang-abang di aras tinggi
pantang bersua
diusik dikejar setiap hari.
  
Begitulah...
masa terus berlalu
musim perpisahan akhirnya tiba jua 
walaupun tidak dipinta
setelah betahun-tahun 
melakar memori indah bersama.

Dulu,
barangkali ada antara kita 

yang sering bertukar-tukar ucapan
menitipkan berita
diiringi doa dan harapan
demi kesejahteraan
demi keabadian
jalinan persahabatan.

Dulu,
barangkali setiap kali tiba musim libur
dalam kelelahan mengejar cita
kita mungkin masih tidak pernah lupa

kita mungkin masih ada sedikit masa
bertemu dan bercerita di tangga
berkongsi kisah remaja
indah dan mengasyikkan.

Tiba-tiba
tanpa sedar
kita semua terpisah
...tanpa berita
...tanpa kata
lantaran cita-cita

kita mula jadi perantau
kita bawa haluan diri
demi mengukuh peribadi
bersama keluarga
bersama tuntutan masa

bersama tugas dan tanggungjawab...

Akhirnya,
tanpa sedar
kita tidak pernah lagi bersua muka
bertahun-tahun lamanya

lama sungguh... bertahun-tahun....
bertahun-tahun.

Sahabat,
kenangan itu sering singgah
walaupun kita terpisah jauh
ingatan itu tetap utuh
minda terus diterjah
walaupun segalanya sukar ditelah....

Sahabat,

kala usia kita kian merangkak senja
kala mata sudah kurang sinarnya
kala rerambut sudah mula terbang
hati meronta mencari bayangan 
lantaran jejak yang lama hilang
sukar dikesan.


Sesungguhnya sahabat,
...yang ada hanyalah kenangan silam
rapi kemas tersimpan
dalam lipatan sanubari
...yang ada hanyalah harapan tak bertepi
terselit sunyi di hati.

Sahabat, 
dengan kehendak Yang Maha Esa
setelah terpisah sekian lama
tiba jua saat dan ketika
kita dipertemukan semula

walaupun sekadar di alam maya.


Sungguh asyiknya kita
berminggu-minggu bersendaloka
di sebalik tabir alam di angin lalu
bertanya khabar melepas rindu 
mengimbau memori yang kian kelam
membuka ceritera lama yang hampir hilang.

Akhirnya...
29 MAC 2014
tiba jua saat itu
saat yang telah lama 
kita tunggu

berkumpul bertamu dan bertemu
di istana cinta syahdu
Tie dan Mie
menjadikan impian kita
suatu yang pasti.

Sungguh indah pertemuan itu
setelah sekian lama

kenangan yang tersimpan
kembali segar bugar dalam ingatan
titian persahabatan
kembali bertaut rapat erat
melerai rindu yang sarat.

Sahabat,
inginku panjatkan syukur ke hadrat Ilahi
pertemuan semula pada usia begini
pasti mengendong seribu erti
walaupun banyak sudah yang berbeza
walaupun kita semakin dihambat usia
namun, taman persahabatan kita
tetap semerbak harumnya
sewangi kesturi.


Pertemuan pertama yang bermakna
selepas berdekad-dekad
tidak bersua 
segalanya adalah kerana DIA

....demi menghargai usia 
....demi erti persahabatan.

 
buat sahabat semua
marilah kita terus kongsikan kenangan
marilah kita terus berseloka bersambung cerita

sementara diberi kesempatan oleh-Nya
untuk bertemu berbicara
andai hayat kita masih ada....



Syukur alhamdulillah,

terima kasih sahabat.





Friday, March 14, 2014

Memori @ SRJK (Ingg) Kota



Setiap kali menjelang tahun baharu, SRJK (Ingg) Kota (kini, SK Seri Kota) pasti akan menggamit memori.

Januari 1969, merupakan detik keramat kepada saya kerana pada tahun itu saya mula menjejakkan kaki ke sekolah. Bermulalah episod baru dalam hidup seorang kanak-kanak yang saban hari menghabiskan waktu dengan keluarga dan rakan2 sepermainan. Papa dan Mama teruja sekali untuk menghantar anak keduanya ini masuk sekolah, lebih-lebih lagi yang empunya diri. Pada masa itu, tak ramai kanak-kanak dihantar ke tadika sebelum masuk sekolah, tidak seperti hari ini.... Seingat saya, sehingga pertengahan 1970-an, di KB hanya ada Tadika Jalan Raja Dewa dan Tadika Fatima.

 
Pada masa itu, SRJK (I) Kota (1969 - last batch English Medium)) terdiri daripada 2 blok bangunan satu tingkat. Setiap darjah dari Std 1 ke Std 6 mengandungi 3 kelas (Blue, Red & Green - kedudukan mengikut turutan). Ada 2 sesi persekolahan. Sekolah ini berkongsi padang dan kantin dengan SK Kota. Jarak dari rumah ke sekolah lebih kurang 2 km. Saya ke sekolah menaiki teksi (beca roda tiga) Pok Mat dengan sewa bulanan (kalau tak silap) sebanyak RM3.00.



Hari pertama ke sekolah, Papa yang hantar. Pagi-pagi lagi Mama sudah menyiapkan sarapan dan rambut saya yang panjang diikat (ekor kuda) dan dililit dengan bulu ayam merah sebagai hiasan. Dengan pinafore biru (bib di bahagian depan dan 2 silang di belakang), terpampang lencana sekolah pada bib uniform sekolah, berkasut kanvas putih Badminton Master dan beg sekolah (bentuk kotak - berkunci - berwarna coklat), saya melangkah dengan penuh gaya ke sekolah.


Pendaftaran murid baru dilakukan pada hari pertama persekolahan. Berbeza dengan sekarang, pendaftaran dilakukan sebelum sesi persekolahan bermula. Selepas mendaftar diri, utk. masuk Std. 1, murid-murid diberi sekeping kad (bersaiz empat segi kecil) yang tertulis nama masing-masing. Kertas tersebut berwarna biru, merah dan hijau. Murid-murid akan ditempatkan ke kelas mengikut warna kad yang diberi. Saya mendapat kad berwarna biru, jadi saya dikehendaki masuk ke Standard One Blue. Kad nama ini dipinkan pada uniform sekolah sepanjang minggu tersebut. Sepanjang 6 tahun di sekolah ini, saya kekal di kelas Blue. 


Dalam kelas 1 Blue, hanya ada beberapa orang kawan yang sudah dikenali, iaitu yang datang dari tempat tinggal yang sama, iaitu Jafril Mat Isa dan Wan Napisah Rejab.  Seorang lagi rakan sekampung yang masuk SRJK (I) Kota ialah Zainuddin Yusof, dia di kelas 1 Green.  Hanya kami berempat yg sebaya dari kampung itu masuk sekolah Inggeris.  Ramai rakan sepermainan pada zaman kanak2 bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kota. 

Sebahagian besar daripada murid Std 1 Blue merupakan kawan-kawan yang baru dikenali, yang datang dari Kg. Pendek, Larak, Padang Layang, Pintu Geng, Wakaf Che Yeh, Bunut Payung, Bt. 4 Jln Kuala Krai dan sekitarnya. 

Antaranya ialah : Azman dari Kg. Gaung, dari Pendek - Noorberi, Kg Padang Layang / Larak / Belukar - Abdullah Sabri, Nik Azmi, Ramzi, Zuraidi, Rohaizi; Dari Kg Kota - Haslin, Nor Azma, Rahizam Rahim, Nab, Aziz, Nik Badli, Adnan, sepupu Adnan (lupa nama - kecik2 orangnya); dari Surau Kota - Siti Noor Rosmina, Nik Fauzi, Nasir Yunus, Mahasan, Kamaruddin, Haslina Zainuddin; dr Pintu Geng - Che Norizam, Shariff; dari WCY - Marzanah, Nasaruddin, Kamariah, Zakaria, Nor Aini Ab Rahman; Bunut Payong - Zuriana, Azlina Mohamad, Nik Roslina, Nooraini Ab Rahman; Bt. 4 - Ainon, Anuar, Normah, Wan Nazli.

Beberapa orang rakan saya begitu menonjol penampilan mereka, yang kebanyakannya merupakan anak-anak cikgu di SK Kota dan juga dari keluarga yang 'berada'.
 

Kawan-kawan yang lain seperti Adzmah Ali, Tengku Norizan, Tengku Abu Bakar, Faizah, Zanita, Rubiah, Nasimah, Shamiah, Wan Hasmah, Wan Norizan Noor, Rohana Khatib, Suhaimi Mustapha, Rosli, Fariza, Wan Zaleha, Azmi Md Noor, Rohana Ahmad, dll hanya bersama kami di kelas Blue setelah 'streaming' dibuat bermula Standard 3 hingga Std. 6; bertukar ganti orangnya walaupun tak ketara sangat.  

Norhayati Idris, kalau tidak silap masuk ke sekolah ini pada tahun 1971 semasa darjah 3, terus ke kelas 3 Blue.  Rahim dan Aziz Mohamad juga masuk ke sekolah ini ketika darjah 2 atau 3, kalau tak silap.  Rusnah pula, seingat saya pernah bersama di sini sejak Std 1 dan keluar mengikut bapanya berpindah ke luar daerah dan masuk semula ke SRJK (I) Kota ketika Std 4. (perlu minta kepastian daripada empunya diri....) Rahizan pula mula bertukar ke KL pada tahun 1972 kerana mengikut ayahandanya Rahim Hj Mohamad yang berkerja di RTM Angkasapuri.


Walaupun tidak belajar dalam satu kelas yang sama, tetapi disebabkan hanya ada 3 kelas (Blue, Red dan Green) dan kami semua datang dari tempat yang hampir sama, jadi hubungan kami agak akrab.

Headmaster pada masa itu ialah Master Kassim. Dari kaca mata seorang murid yang baru masuk Darjah Satu, beliau yang bersaiz sederhana itu kelihatan sangat tegas. Kecut dan gerun apabila bertemu dengan beliau. Beliau sentiasa berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris... maklumkan sekolah orang putih...!

Guru Kelas 1 Blue ialah Cikgu Habsah. Kami panggil beliau 'Teacher'. Waktu itu beliau belum berumahtangga. Beliau mengajar semua mata pelajaran : Writing, reading (BM and English), Arithmatics, Science dan Arts & Craft. Agama Islam diajar oleh Ustazah Zainon. 


Alahai... takutnya kami kepada Teacher Habsah... beliau tegas semasa memberi arahan dan semasa mengajar. Kami sentiasa menanti waktu 'story telling', kerana pada waktu tersebut, kami akan duduk di atas lantai mengelilingi Teacher. Dengan khusyuk sekali kami mendengar cerita-cerita rakyat (Malay and Eng.) yang disampaikan oleh beliau dalam suasana yang santai dan bersahaja. Beberapa tahun lepas, saya mendapat tahu Cikgu Habsah telah kembali ke rahmatullah kerana sakit barah. Al-fatihah.

SRJK (Ingg) Kota... di sinilah bermulanya satu episod baru dalam hidup. Di sinilah saya mula belajar mengenal A-B-C-1-2-3-alif-ba-ta-, membaca, menulis dan mengira...


Walaupun, kami memasuki darjah 1 sudah 45 tahun berlalu, memori indah itu terus terpahat dalam ingatan - langkah pertama menuju kejayaan ... terima kasih Cikgu....



Foto : 6 Blue (1974) bersama Class Teacher : Mr. Chong Sam Chong...

Wednesday, January 29, 2014

27 TAHUN YANG BERLALU


Kenangan 29 JANUARI 1987....

Setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina yang jatuh pada akhir Januari, ingatan pasti singgah pada kenangan 27 tahun yang lalu.  Dalam tempoh 27 tahun dari 1987 - 2014, Tahun Baharu Cina bermula seawal 22 Januari (2004) dan paling lewat pada 19 Februari (1996).  Dalam tempoh tersebut, Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 4 hari terakhir bulan Januari (antara 28 - 31hb) adalah pada tahun-tahun berikut :



TAHUN
TARIKH
1987
29 Januari
1995
31 Januari
1998
28 Januari
2006
29 Januari
2014
31 Januari


Masih segar dalam ingatan saya,  pada pagi cuti umum sempena Tahun Baharu Cina 1987 kami dikejutkan dengan berita pemergian Ayahanda Mentua, MAMAT BIN TAHIR @ Tok Ngulu Pok Mat atau kami anak cucu memangilnya dengan Che' Pok Mat.  Che' kembali ke rahmatullah beberapa bulan selepas menjalani pembedahan membuang kaki kirinya sehingga paras betis akibat diabetes yang dialami sejak usia mudanya.  

Che' pergi ke alam abadi mengadap Penciptanya dengan tenang di pangkuan Mek pada dini hari  29 JANUARI 1987  yang dingin dan sunyi, tanpa anak-anak di sisi...Ketika itu, kami bersama putera sulung, MOHD FARIS NAIN yang baru berusia 6 bulan dan seorang pembantu rumah, Kak Moh menetap di Taman Seri Pengkalan Chepa berhadapan dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail, KB;    Arwah Abg Aziz & Arwah Kak Tie sekeluarga menetap di KL; Abg Mie & Kak Ju sekeluarga di Felda Sebertak, Pahang; Pok Teh & Inie sekeluarga di Tampin; Aynun yang baru lebih kurang 2 bulan mendirikan rumah tangga berada di Pdg Mandul, dalam daerah Tumpat...dan Arwah Kak Mah sekeluarga yang tinggal di seberang jalan Market Square Bt. 8 hanya beberapa meter sahaja dari rumah Che' pun tidak sempat bersama Che' pada detik-detik akhir hayatnya.  

Inilah ketentuan daripada-Nya yang telah tercatat di Luh Mahfuz dan kami semua redha dengan takdir ini. 

Menurut cerita Mek, beberapa petang sebelumnya, Che' masih sempat bersiar-siar di pekarangan Market Square Bt. 8 dengan kerusi rodanya.  Kadang-kala ditemani oleh cucundanya, Idi.  
 
Che' Pok Mat ketika masih sihat
Sebenarnya, pada pagi itu kami sedang bersiap-siap untuk balik bertemu Che' dan Mek yang telah sebulan tidak dijenguk.   Kesibukan tugas dalam beberapa minggu pertama awal tahun 1987,  tidak mengizinkan kami untuk mencuri masa balik menjenguk Che' dan Mek.   

Sehari sebelum itu, saya balik ke rumah Mama di Kg Kota selepas sekolah kerana pada cuti  umum sempena TBC kami berhajat untuk balik ke Bt. 8 Batang Merbau,Tanah Merah untuk menemui Mek dan Che' yang telah sebulan tidak ditemui.  Dalam perjalanan pulang dari Kota ke Pengkalan Chepa, saya menyatakan hasrat saya kepada suami untuk membawa Che' bermalam di rumah kami buat seketika bertukar angin.  

Che' menghabiskan banyak waktunya kedai makan milik Kak Mah

27 tahun yang lalu, pada hari cuti umum sempena TBC itu, ketika pagi masih awal lagi,  tiba-tiba kami mendengar salam daripada seseorang dan saya amat mengenali suara itu.   Papa.  Hati tertanya-tanya mengapakah Papa datang pada waktu begini.  Pasti ada berita penting untuk disampaikan.  Ketika itu, rumah kami belum ada telefon untuk dihubungi kerana masih dalam proses mendapatkan talian pemasangan.  Papa hadir pada pagi yang dingin itu dengan satu berita yang payah untuk diterima.   Berita pemergian Che' dimaklumkan kepada Papa oleh keluarga di Bt. 8 melalui telefon rumah di Kota.   

Hasrat yang tersimpan untuk membawa Che' ke rumah kami di PC itu hanya tinggal impian, terus terpendam tidak kesampaian dan pastinya akan diingati sampai bila-bila setiap kali menjelang akhir JANUARI....Al-fatihah.  
 
beberapa bulan terakhir sebelum pemergian Che'
Kali terakhir kami bertemu Che' adalah pada 25hb Disember 1986.  Ketika itu, Che' sedang dirawat di hospital Daerah Tanah Merah kerana diabetes.  Keluar masuk hospital merupakan rutin Che' setiap tahun.  Kami sempat berbual-bual tetapi tidak lama kerana keadaan di dalam wad tidak mengizinkan kami berlama-lama.  Abe yang baru berusia 6 bulan ditinggalkan di luar wad bersama-sama Kak Moh.   

Kini, 27 tahun sudah berlalu.  Menurut Mek, Che' dipanggil Ilahi ketika usianya mencecah pertengahan 50'an, agaknya dalam lingkungan 56 atau 57 tahun.  Menurut Mek, usia Che' ketika itu baru melepasi usia persaraan sekiranya Che' bekerja sebagai kakitangan kerajaan.  Ketika itu, saya baru setahun lebih menjadi menantu Che'. 

Mek bersama 4 drp 8 orang cucunya ketika itu, beberapa bulan selepas pemergian Che'
Che' pergi meninggalkan Mek, 2 orang puteri dan 4 orang putera yang semuanya sudah berkeluarga; serta 8 orang cucu yang masih kecil, iaitu  Pira, Idi, Ani, Epi, Adah, Zila, Abe, dan Sarah yang ketika itu baru melepasi usia satu bulan.  Pada tahun 1987 juga, selepas beberapa bulan kembalinya Che' menemui Ilahi, lahirlah Emi, Tihah dan Muiz.  

Kenangan istimewa saya bersama Che' ialah, Che' hadir pada hari konvokesyen bakal menantunya ini pada 10 OGOS 1985 dan kami sempat bergambar kenangan bersama Papa di dataran DTC, UM.   Saya menjadi ahli keluarga Che' secara rasmi pada 19 SEPTEMBER 1985. 

Che' berkain pelekat di Dataran DTC, UM - 1985

di pusara Che' satu dekad selepas pemergiannya...

Mek pula yang bertahun-tahun dalam kerinduan dan kesunyian, menyusul pemergian Che' ke destinasi abadi pada 2 MEI 2013 ketika rakyat Malaysia bersiap-siap untuk keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU ke-13.   Al-fatihah buat Che' dan Mek.

Mek mengayam rindu buat yang tersayang nun jauh di mata....