Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

Wednesday, January 30, 2013

PETUA KURANGKAN BERAT BADAN CARA KEVINZAHRI

  1. Jangan skip meals.
    Ramai ingat bahawa anda perlu skip meals seperti elakkan sarapan pagi dan melaparkan diri untuk kurang berat badan. Ini salah. Dengan cara ini anda hanya berjaya menurunkan metabolisma badan. Panduan Terbaik?  Makan 5-7 hidangan sederhana sehari dan kurang makan/minum 2-3 jam sebelum tidur.


  2. Kawal nafsu makan
    ….once nafsu is there memang susah untuk membuat pilihan makanan yang baik. Again di sinilah anda perlu makan 5-7 kali sehari untuk mengawal nafsu makan anda.

  3. Tingkatkan tahap keaktifan anda
     …tak semestinya dengan jogging atau bersenam di gym. Yang penting anda tingkatkan aktiviti physical untuk bakar lebih calorie, seperti
    • Park kereta anda lebih jauh daripada destinasi anda
    • Jangan guna lif…use the stairs
    • Bersihkan rumah anda
    •  
  4. Ketahui keperluan kalori anda. Ini penting dan jika anda rajin, bandingkan keperluan kalorie dengan pemakanan kalorie seharian anda.

  5. Eliminate makanan yang 1. tidak elok dan 2. tidak perlu. Kekadang kita ambil makan/minuman yang actually kita tak perlukan sangat pun….just because its there, doesn’t mean we have to eat or drink them

  6. Diet pills? Yes they work tetapi tidak jika anda tidak gabungkan penggunaannya dengan makanan yang terkawal…..

  7. Tak pandai kawal nafsu makan? Belilah protein shakes dan makannya di antara hidangan dua kali sehari..1. antara sarapan dan lunch…2. antara lunch dan makan malam

Ingin kurangkan 5kg dalam masa 5 minggu?

If yes, saya sangat syorkan kepada anda untuk rujuk kepada eBook saya bertajuk “Panduan Kurangkan 5kg Dalam Minggu”.

Ini adalah eBook panduan lengkap untuk membantu anda kurangkan berat 5kg dalam masa 5 minggu. Selepas mengikuti langkah-langkah mudah eBook ini, anda akan mempunyai pelan diet, senaman dan panduan mudah untuk kurangkan 5kg dengan mudah ikuti gaya hidup orang Malaysia!



Monday, August 27, 2012

Tidur yang berkualiti....


Aidilfitri sudah seminggu berlalu.  Sekolah sudah dibuka semula setelah lebih seminggu bercuti.... Perjalanan yang agak lama dari KB - KT - Kuantan agak memenatkan.... 



Hari ini, keletihan saya sudah berkurangan, walaupun masih lagi dihimpit masalah tidur yang tidak berkualiti. Apa yang saya dapat rasakan beberapa hari kebelakangan ini, saya mempunyai kualiti tidur yang kurang baik. 

Jika sebelum ini, saya dapat bangkit pada awal pagi, badan terasa segar dan dapat melakukan segala kerja yang patut. Tetapi sekarang kebiasaan tersebut sudah berubah, saya akan bangkit dari tidur hampir waktu subuh dalam keadaan badan yang masih terasa letih dan mata masih lagi mengantuk.

Tidur juga berkaitan dengan minda.  Kualiti tidur dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk fizikal, mental dan spiritual.  Bukan berdasarkan jumlah jam yang kita tidur, sebaliknya  tidur dinilai melalui perasaan selesa, ketenteraman jiwa serta kepuasan diri yang kita peroleh.

Kadangkala , saya teringat satu kata-kata, tilam yang empuk belum pasti dapat memberikan kita tidur yang lena. Saya benar-benar setuju, kerana saya mempunyai habit boleh tidur di mana-mana asalkan saya mengantuk, jadi tilam empuk sudah tidak penting lagi.

Berbalik pada kualiti tidur. Apa yang dimaksudkan dengan kualiti tidur, kita boleh tidur dengan lena, walaupun dalam masa yang singkat. Apabila bangkit dari tidur, badan kita akan berasa segar, gembira dan tenteram.

Apabila kita tidur, minda separa sedar, akan berada di peringkat theta.  Tetapi apabila kita tidur dengan lena minda kita akan berada diperingkat delta.  Kalau nak rasa peringkat delta, buat operation, kerana selepas dibius, anda akan tidur dengan betul-betul lena. 

Apa pun, tidur yang berkualiti penting untuk kesihatan, selain menjaga pemakanan , tidur juga perlu kita jaga.   Jagalah kualiti tidur anda.

 Hari ini , hari pertama kami berpuasa sunat bulan Syawal.


Sunday, April 15, 2012

Setelah lebih setahun direhatkan....

Kembali 'bertugas'.... demi kelangsungan hidup dan amalan gaya hidup sihat.   

Sebenarnya sudah lama 'aku' diambil untuk bertugas.  Kalau tidak silap, sudah lebih 6 tahun lamanya.  Sudah 3 kali berpindah rumah.  Dulu, tuan 'aku' kerap juga menggunakan khidmat 'aku'.  Lepas tu, jarang-jarang.  Kemudian 'aku' terus direhatkan....

'aku' sedang dibesihkan....
Lama juga 'aku' direhatkan di dalam stor.  Bermula sejak tuan 'aku' berpindah ke kediaman baru ini.  Tuan 'aku' pernah berkata, tidak ada ruang yang sesuai di kediaman ini untuk dijadikan tempat duduk 'aku'.   Tetapi pagi tadi entah apa yang tuan 'aku' mimpikan semalam, tiba-tiba 'aku' dikeluarkan dari stor.  'Aku' dibersihkan dan diletakkan di tempat yang baru.  

tempat baru....
Tuan 'aku' letakkan 'aku' bersebelahan dengan ruang tamu, tepi tangga untuk ke tingkat atas.... maklumlah kediaman tuan 'aku' ini tidaklah luas sangat.   'Aku' suka tempat ini.  

Aku lebih bernasib baik berbanding dengan kawan 'aku' yang selalu dikayuh oleh anak tuan 'aku'.  Kawan 'aku' yang diletakkan di koridor, selalu kena panas dan tempias jika hujan turun.  Tuan 'aku' kata, tempat ini sesuai untuk 'aku' kerana senang untuk 'aku' bekerja nanti.

'Aku' berasa sungguh gembira kerana dapat berkhidmat semula.  'Aku' rasa dihargai.  Tak sia-sia tuan 'aku' memilih 'aku' dahulu.  
seronok tengok tuan 'aku' sihat dan ceria....

Semoga tuan 'aku' akan terus gunakan khidmat 'aku'.  Semoga tuan 'aku' tidak biarkan 'aku' diselimuti debu.  Semoga  tuan 'aku' terus mengamalkan gaya hidup sihat......



Saturday, February 25, 2012

berehat di KMC buat seketika....

Sudah lebih dua minggu saya tidak menulis di sini kerana keadaan tidak mengizinkan.  Saya dan suami diminta 'berehat' di KMC....

Hari Ahad, 12 Feb, tiba-tiba suami berasa tidak sedap badan sebaik sahaja selesai makan tengah hari.  Demam tiba-tiba dan dia mengadu sakit seluruh anggota badan.  Kami beranggapan kemungkinan disebabkan aktiviti lasak yang dilakukan semasa dia menghadiri kursus "team building" seminggu sebelum itu di JB.  Tidak terfikir langsung disebabkan oleh panahan cinta berbisa daripada Cik Aedes...! 

Ketika itu, saya sendiri masih seperti biasa, masih boleh mengadap kerja-kerja sekolah yang perlu diselesaikan kerana pada minggu berikutnya terdapat beberapa sesi taklimat yang perlu dihadiri.  Sehingga pukul 11.30 malam, tiba-tiba saya rasa seperti hendak demam.  Dalam fikiran saya, ini merupakan perkara biasa.... harap-harap saya akan kembali seperti biasa pagi besok setelah mengambil panadol dan tidur.  Rupa-rupanya tanggapan saya meleset.  Tengah malam badan menggigil dan terasa sakit seluruh badan.... belum terfikir apa-apa, tetapi dalam hati terdetik "adakah pengalaman 15 tahun yang lalu berulang kembali...?

Keesokan paginya, demam semakin menjadi-jadi.  Kami terus ke klinik swasta untuk diperiksa.  Apa yang mengejutkan kami ialah, doktor yang memeriksa kami mengatakan bahawa kami hanya demam virus biasa.  Tidak serius dan beliau ingin memberi satu hari sahaja cuti rehat.  Lalu, saya menjelaskan bahawa saya tidak pernah MC sejak 2006 kecuali satu hari sekembalinya dari mengerjakan umrah pada tahun 2009 kerana batuk.  Saya meminta doktor tersebut menyemak rekod saya.  Doktor yang sudah agak veteran ini seolah-seolah tidak percaya dan mengatakan bahawa saya pasti ada mengambil  MC di klinik lain...! Alangkah tidak profesionalnya dia.   Setelah mendengar alasan suami yang mengatakan saya memang tidak berdaya untuk ke sekolah, barulah doktor itu memberi cuti sakit selama 2 hari dengan hati yang tidak ikhlas....  Ah, tak kisahlah, bukannya kita terima rawatan secara percuma.   Rasanya ini merupakan kali pertama dan terakhir saya bertemu doktor ini...!

Setelah mengambil ubat yang diberi, keadaan masih tidak berubah.  Lalu kami ke Pusat Rawatan Al-Farabi untuk membuat ujian darah.  Sah, gigitan Cik Aedes memaksa kami berehat di KMC untuk mendapat rawatan dan pemantauan segera daripada doktor pakar. 

Kekesalan kami terhadap seorang doktor yang tidak profesional di Klinik Sentosa itu semakin menebal setelah diberitahu oleh doktor yang merawat kami di KMC (beberapa hari selepas direhatkan di dalam wad) bahawa kami sebenarnya menghidap demam denggi berdarah dan menghadapi beberapa komplikasi yang hanya dapat dikesan melalui proses Sinaran 'X' dan endoscopy.

Alhamdulillah, setelah dirawat dan dipantau oleh Dr. Suhaimi di KMC, kami dibenarkan pulang dan diberi cuti rehat sehingga 24 Feb 2012.   Selepas itu, kami perlu melalui beberapa sesi janji temu dengan doktor pakar tersebut untuk memastikan kesihatan kami kembali normal seperti biasa.  Pagi tadi sesi temu janji pertama kami dengan doktor pakar dan sekali lagi pada 10 Mac nanti.

Sebenarnya, saya pernah terkena gigitan Cik Aedes 15 tahun yang lalu  ketika bertugas menjadi penguji  Ujian Lisan BM peringkat SPM di SMK Stella Maris, Pudu. Kuala Lumpur.
Waktu itu banyak projek mega di Kuala Lumpur terbengkalai kesan daripada kemelesetan ekonomi yang melanda negara, termasuklah bangunan Plaza Rakyat yang letaknya berhampiran dengan bangunan Sekolah Stella Maris. Bangunan terbengkalai merupakan antara lokasi yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Saya akan kembali bertugas pada 27 Februari.  Terasa lama sangat meninggalkan sekolah.  Terasa banyak kerja yang tertangguh.  Daripada pengalaman lepas, saya tahu untuk pulih sepenuhnya akan mengambil masa yang agak lama.  Sebenarnya, kesan penyakit  demam denggi ini lebih 'hebat' selepas kita keluar dari hospital.


Sakit juga merupakan ujian daripada Allah s.w.t. Yang penting, kita perlu berikhtiar dan berdoa. DIA-lah yang berkuasa menyembuhkannya. Sesungguhnya, ujian sakit menjadikan kita bertambah hampir dengan-NYA....

Monday, January 17, 2011

Aedes oh Aedes....




Teringat kisah hampir 14 tahun yang lalu.....

Julai 1997, saya terlibat dengan Ujian Lisan BM peringkat SPM. Ketika itu saya dan Puan Narimah ditugaskan menjadi penguji lisan di SMK Stella Maris, Pudu. Kuala Lumpur. Ujian lisan itu berlangsung selama satu minggu.

Waktu itu banyak projek mega di Kuala Lumpur terbengkalai kesan daripada kemelesetan ekonomi yang melanda negara, termasuklah bangunan Plaza Rakyat yang letaknya berhampiran dengan bangunan Sekolah Stella Maris. Bangunan terbengkalai merupakan antara lokasi yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Saya dan Puan Narimah biasanya akan sampai di sekolah itu sebelum 7.30 pagi. Laci meja tempat kami gunakan untuk menjalankan ujian lisan itu rupa-rupanya menjadi tempat 'beradu' sang Aedes... Apabila kami masuk sahaja ke bilik itu, banyaklah nyamuk yang keluar dari laci meja tersebut. Dalam hati terdetik, kalaulah dalam banyak-banyak nyamuk tu ada spesis aedes, tentu kami akan menjadi mangsanya.... tidak perlu banyak, kalau ada 2 atau 3 ekor pun sudah cukup untuk menjadikan kami berada dalam keadaan yang terancam.

Rupa-rupanya gerak hati saya betul. Pada hari ke-4, tiba-tiba saya telah diserang demam. Mengejut. Pada mulanya saya tak sangka pula demam itu merupakan tanda-tanda awal serangan denggi. Semua simpton demam denggi yang dipaparkan melalui tv @ radio menepati apa yang saya alami ketika itu. Setelah ujian darah dibuat, memang sahlah, angkara nyamuk aedes!

Saya disahkan demam denggi, tetapi tidaklah berada di peringkat yang kritikal. Saya minta untuk 'direhatkan' di Hospital Pakar Ampang Puteri agar rawatan segera dapat dilakukan, walaupun ketika itu platelet darah saya masih agak tinggi. Setelah 4 hari saya dirawat di Ampang Puteri, saya dibenarkan balik ke rumah. Saya berasa sudah cukup bersedia untuk kembali bertugas memandangkan banyak tugasan yang tertangguh...! Rupa-rupanya, sangkaan saya meleset. Belum sempat sehari turun naik tangga bangunan 4 tingkat di SMKTM, saya terasa sangat tidak bertenaga dan memerlukan rehat tambahan. Akhirnya, Dr. Md Ripin yang merawat saya telah memberikan saya cuti sakit selama 2 minggu lagi. Baru saya tahu, sebenarnya kesan penyakit denggi ini lebih 'hebat' selepas kita keluar dari hospital.

Kini, selepas 14 tahun berlalu, anakanda SITI NADIAH pula menjadi mangsa aedes. Aedes yang 'menjadi penghuni' bandar Anggerik...., lebih tepat lagi di Seksyen 7, SA telah 'menceroboh' ketenangan hidup anakanda CT. Sekarang dia sedang dirawat di KMC setelah dibawa pulang dari SA semalam. Harap-harap dia akan cepat sembuh dan dapat kembali ke kampus seperti biasa.

Sakit juga merupakan ujian daripada Allah s.w.t. Yang penting, kita perlu berikhtiar dan berdoa. DIA-lah yang berkuasa menyembuhkannya. Sesungguhnya, ujian sakit menjadikan kita bertambah hampir dengan-NYA....

Saturday, July 17, 2010

Gula Oh Gula...



Dalam sehari dua ini ramai yang berbicara tentang 'harga baharu' bagi beberapa barangan asas. Harga baharu yang lebih tinggi daripada harga sebelum ini berkuatkuasa mulai semalam.

Saya difahamkan, pihak-pihak tertentu diminta untuk tidak menggunakan "harga naik". Dalam laporan, mereka perlu menyebut "penyelarasan harga", harga baru", potongan subsidi, dll.... Walau apapun istilah @ konsep yang digunakan, kita semua akur dengan harga barangan asas ini yang semakin meningkat...

Hari ini saya bukannya ingin mengulas tentang harga baharu ini. Memang tidak pandai pun untuk membuat ulasan....Biarlah isu ini diulas oleh mereka yang lebih arif...

Saya hanya ingin berceloteh tentang gula...

Seingat saya, paling akhir kami membeli gula ialah sebelum cuti sekolah yang lepas, iaitu akhir bulan Mei. Kami membeli 2 kilo gula setelah ditanya oleh juruwang di Pasar Raya Giant (berhampiran dengan tempat tinggal kami) ketika sedang membuat bayaran di kaunter. Kebetulannya gula yang kami beli beberapa bulan sebelum itu sudah hampir habis.

Di seluruh negara ketika itu, berlaku kekurangan bekalan gula dan bekalan gula di pasaran dikawal ketat. Kemungkinan pembekal gula di seluruh negara sudah menjangka akan berlaku kenaikan harga gula ini. Seingat saya, kes komplot sorok ini berlaku sejak tahun 1970-an lagi., sehingga tercipta lagu untuk kempen membanteras komplot sorok... Nampaknya ia berulang setiap kali ada ura-ura harga barang akan naik.

Agaknya selepas harga baharu ini, tidak timbul lagi masalah bekalan gula. Orang ramai boleh beli banyak-banyak, tidak perlu lagi menunjukkan 'Kad Jemputan Kahwin' untuk dapatkan gula lebih daripada 2 kg...!

Hujung minggu ini kami bersantai di rumah sahaja. Esok ada program di sekiolah. Sudah beberapa minggu kami menghabiskan masa di luar Kuantan.... Hari ini kami bersarapan di rumah, walaupun pada awalnya kami merancang untuk bersarapan di Beserah, restoran di bawah pohon ceri.... tapi rasa malas pula nak keluar, nak bermalas-malas di rumah aje hari ini....

Kami bersarapan dengan nasi berlauk yang dibeli oleh suami di gerai berdekatan rumah kami. Saya menyediakan satu teko teh 'o'. Bungkusan 1 kg gula yang pertama yang digunakan lebih kurang 6 minggu lepas sudah habis. Memandangkan bekas gula sudah hampir kosong, terpaksalah buka bungkusan yang baru. Ketika sedang memasukkan gula ke dalam bekas tupperware, terpandang "HARGA GULA BERSUBSIDI OLEH KERAJAAN MALAYSIA" pada bungkusan gula tersebut. Sebelum ini saya tak berapa perasan perkataan tersebut.... Dulu-dulu, 10 atau 20 tahun yang lalu, rasanya tak ada pun perkataan ini, walaupun diberi subsidi....!

Selain gula, garam juga merupakan bahan asas dalam setiap masakan. Penggunaan gula dan garam yang berlebihan memang tidak baik untuk kesihatan. Namun begitu, tanpa gula yang mencukupi dan tanpa secubit garam, makanan atau minuman akan menjadi tawar hambar. Tidak sedap, tidak jelira....

Cik Pah (Syarifah Murshida) selalu bawa garam yang dipesan oleh rakan-rakan guru yang dibelinya di Kedai Penama. Dia berasa pelik kerana saya tidak membuat pesanan setelah membeli 3 bekas garam daripadanya hampir dua tahun yang lalu. (Itupun Cik Pah sudah lupa bahawa saya pernah membeli garam daripadanya....) Saya memberitahu Cik Pah bahawa 3 bekas garam yang dibeli dulu belum habis lagi.... 3 bekas tu, satu untuk Mama, satu untuk Mek Kiah (mak mertua) dan satu untuk saya gunakan di rumah....Garam di dalam bekas seberat 1.5 kg itu baru separuh digunakan.

Teringat kisah yang dipaparkan dalam filem klasik "Ahmad Albab" lakonan Seniman Agung P.Ramlee dan Biduanita Saloma. Syawal dan Mastura menyindir ayahandanya dengan menghadiahkan garam dan gula serta secawan kopi tanpa gula (dan sejenis kuih tanpa garam kalau tak silap) sempena hari jadi ayahandanya. Watak yang dilakonkan oleh A.R Tompel itu berkata :
"Kopi sedap, pekat, tapi hilang selera kerana tak ada gula".... Sambil menyembur keluar air kopi yang sudah masuk ke mulutnya.
Kata anak menantunya, tanpa gula dan garam makanan akan terasa hambar dan tawar.

Begitu jugalah dengan perjalanan hidup ini......pelbagai rasa yang silih berganti....

Di mana ada gula, di situlah ada semut....seperti garam jatuh ke air....