Showing posts with label buah nadir. Show all posts
Showing posts with label buah nadir. Show all posts

Sunday, May 5, 2019

Timun Betik Menggamit Kenangan


Tengah hari Sabtu baru ni, Kakanda Roslena hantar mesej dalam grup SIBLINGS, 
"kalau nak makan timun betik, datang ke rumah Bonda".  
Rasanya hanya kami tiga beradik sahaja yang suka makan timun betik... Saya, Kakak sulung dan Noni.  Adik-adik yg lain rasanya tak makan dan tak kenal pun timun betik ni.  Suami sendiri pun tak pernah makan.  Katanya tak ada di kampungnya di Batang Merbau Bt. 8, TM.  Betul ke...hahaha?Anak-anak sekarang dalam kalangan Gen Y dan Gen X lagilah tak kenal.

Timun betik betul-betul menggamit kenangan zaman kami kanak-kanak dulu.  Mama dan Papa selalu beli timun betik daripada penjaja yang lalu di depan rumah kami.  Masih ingat lagi, timun betik yang sudah agak masak tu dibalut dengan daun pinang.  

Kalau dah merekah, tu tanda dah matang sangat untuk diolah jadi dessert.  Isi timun betik ini gebu, wangi seperti tembikai susu tapi tak berasa apa-apa, manis tidak, masam pun tidak, tawar.

Mama akan belah dua buah timun betik tu.  Buang kulitnya yang nipis.  Dipotong dadu. Mama sediakan santan fresh dan dimasukkan secebis garam.  Mama akan sediakan juga rincisan nise.  Boleh juga nise itu dicampur sebati dalam santan yang telah disediakan tu.

Masa nak makan, semua bahan itu dimasukkan dalam mangkuk.  Tambah sedikit ais agar terasa sejuk dan nyaman.  Erm... sedapnya, gebu dan harum, dapat rasa manis nise lemak berkrim.

Buah timun betik seakan-akan sama dengan timun / mentimun.  Di luar macam timun, di dalam macam betik.

Dalam bahasa Inggeris timun betik ni dikenali sebagai apple cucumber, atau dikenali juga dengan nama timun suri dalam kalangan masyarakat seberang Selat Melaka.  Timun betik merupakan buah-buahan dalam famili cucurbitae, satu famili dengan timun, tembikai dan labu. Timun betik lebih menyerupai mentimun tapi saiznya berkali ganda besar iaitu sebesar buah betik kampung. 

Buah timun betik yang masak boleh dimakan segar, dijadikan jus, dimakan bersama santan+garam+gula / nise.  

Orang dulu-dulu mana ada almari yang dinamakan peti sejuk, jadi selepas semua ramuan bergaul mesra, bolehlah disantap begitu saja.  

Tapi lagi best kalau disejukkan seketika dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.

Bahan-bahan
Buah timun betik
Santan
Air nise / rincisan nise
Ais

Cara-cara 
Potong buah kecil kecil, masukkan santan dan nise.  Enak dimakan bila dicampur ais.




Tuesday, September 5, 2017

BUAH MENCEPU @ CCUPU @ CEGHOPU @ KECUPU


Beberapa hari lepas, dalam grup tele PK62, ada antara rakan yang berbicara tentang buah nadir ini.  Ada yang tidak pernah tahu tentang kewujudan buah ini.  Ada yang tahu tetapi tak pernah makan dan tidak kurangnya pula yang biasa dengan buah ccupu ini dan pernah makan. 

Bagi aku sendiri, buah ccupu mengembalikan ingatan nun jauh ke zaman kanak-kanakku....Aku dan adikku Noni seringkali 'mengait' atau menunggu buah ccupu gugur di kebun Moyang @ WorTokMek yang terletak di atas tebing Sungai Kelantan, di kampung halamanku yang permai.... Kg. Wakaf Sena Kota.




Buah ccupu atau buah mencepu ialah sejenis buah-buahan tempatan yang kurang dikenali oleh generasi sekarang. Hal ini dikatakan demikian mungkin kerana rasanya yang masam menyebabkan buah ini terpinggir dari buah-buahan tempatan yang lain.   Ada sesetengah tempat memanggilnya dengan gelaran lain, seperti di sebelah Pantai Timur khususnya masyarakat Kelantan buah ini dikenali sebagai buah ccupu, manakala di sebelah utara pula buah ini dikenali dengan nama buah ceropu @ ceghopu, manakala di Negeri Sembilan disebut "kecupu" dan ada juga yang memanggil buah ini buah mencupu.  Dalam bahasa Inggeris, buah ini disebut sebagai "button mangosteen" atau Latinnya ialah "garcinia prainiana".  Untuk mendapatkan maklumat tambahan, boleh jenguk En. Wiki...


Agak jarang untuk kita menemui pokok ccupu ini sekarang. Buahnya berwarna hijau tua semasa mudanya, berubah menjadi hijau muda apabila beransur tua, sehingga menjadi kekuningan seperti pinang masak apabila buah ccupu ini masak.  


Buahnya yang muda biasanya dimasak gulai lemak cili api bersama ikan kering atau ikan salai.  Sementara buah yang masak ranum enak dimakan saja2 atau dimakan mentah (untuk menambahkan lagi 'kick'-nya, dicicoh dengan ccolek). Jika dimakan mentah, rasa buah ccupu ini agak masam-masam manis dan buah ini mempunyai getah yang lekit; boleh melekatkan bibir atas dengan bibir bawah kita.



Selain dimakan mentah, buah ini juga boleh ditumbuk bersama sambal untuk mengurangkan pedas sambal tersebut.  Sambal ini sesuai untuk dimakan bersama-sama rebusan pucuk paku, kacang, jantung pisang celur, atau ulam-ulaman mentah lain seperti jering, petai atau kerdas.

Pokoknya berdahan melintang (horizontal) atau mendatar, sama seperti pokok manggis. Pokoknya mudah untuk dipanjat, walaupun dahannya kecil, namun keupayaannya menampung beban si pemanjat amat mengagumkan.


Kecupu yang masak ranum, kulitnya nipis, senang dikupas.

Cuma yang lecehnya ialah penangan getahnya yang melekit-lekit.

Buah ccupu @ kecupu adalah antara buah nadir yang kian dilupakan....