Tuesday, September 5, 2017

BUAH MENCEPU @ CCUPU @ CEGHOPU @ KECUPU


Beberapa hari lepas, dalam grup tele PK62, ada antara rakan yang berbicara tentang buah nadir ini.  Ada yang tidak pernah tahu tentang kewujudan buah ini.  Ada yang tahu tetapi tak pernah makan dan tidak kurangnya pula yang biasa dengan buah ccupu ini dan pernah makan. 

Bagi aku sendiri, buah ccupu mengembalikan ingatan nun jauh ke zaman kanak-kanakku....Aku dan adikku Noni seringkali 'mengait' atau menunggu buah ccupu gugur di kebun Moyang @ WorTokMek yang terletak di atas tebing Sungai Kelantan, di kampung halamanku yang permai.... Kg. Wakaf Sena Kota.




Buah ccupu atau buah mencepu ialah sejenis buah-buahan tempatan yang kurang dikenali oleh generasi sekarang. Hal ini dikatakan demikian mungkin kerana rasanya yang masam menyebabkan buah ini terpinggir dari buah-buahan tempatan yang lain.   Ada sesetengah tempat memanggilnya dengan gelaran lain, seperti di sebelah Pantai Timur khususnya masyarakat Kelantan buah ini dikenali sebagai buah ccupu, manakala di sebelah utara pula buah ini dikenali dengan nama buah ceropu @ ceghopu, manakala di Negeri Sembilan disebut "kecupu" dan ada juga yang memanggil buah ini buah mencupu.  Dalam bahasa Inggeris, buah ini disebut sebagai "button mangosteen" atau Latinnya ialah "garcinia prainiana".  Untuk mendapatkan maklumat tambahan, boleh jenguk En. Wiki...


Agak jarang untuk kita menemui pokok ccupu ini sekarang. Buahnya berwarna hijau tua semasa mudanya, berubah menjadi hijau muda apabila beransur tua, sehingga menjadi kekuningan seperti pinang masak apabila buah ccupu ini masak.  


Buahnya yang muda biasanya dimasak gulai lemak cili api bersama ikan kering atau ikan salai.  Sementara buah yang masak ranum enak dimakan saja2 atau dimakan mentah (untuk menambahkan lagi 'kick'-nya, dicicoh dengan ccolek). Jika dimakan mentah, rasa buah ccupu ini agak masam-masam manis dan buah ini mempunyai getah yang lekit; boleh melekatkan bibir atas dengan bibir bawah kita.



Selain dimakan mentah, buah ini juga boleh ditumbuk bersama sambal untuk mengurangkan pedas sambal tersebut.  Sambal ini sesuai untuk dimakan bersama-sama rebusan pucuk paku, kacang, jantung pisang celur, atau ulam-ulaman mentah lain seperti jering, petai atau kerdas.

Pokoknya berdahan melintang (horizontal) atau mendatar, sama seperti pokok manggis. Pokoknya mudah untuk dipanjat, walaupun dahannya kecil, namun keupayaannya menampung beban si pemanjat amat mengagumkan.


Kecupu yang masak ranum, kulitnya nipis, senang dikupas.

Cuma yang lecehnya ialah penangan getahnya yang melekit-lekit.

Buah ccupu @ kecupu adalah antara buah nadir yang kian dilupakan....




No comments: