Thursday, September 14, 2017

Corelle VS Kore

Pernahkah anda mendengar teka-teki dahulu kala :



"Ada seekor kuda sakti, badannya kayu, kepalanya besi, naik orang tidak berhenti, kadang petang, kadang pagi.."

Dalam kalangan generasi muda, mungkin agak sukar untuk mencari jawapan kerana benda ini hampir tidak lagi dijumpai di rumah-rumah pada hari ini, kecuali di MUZIUM..! Namun begitu, bagi mereka yang sudah biasa memarut kelapa secara tradisional, alat kukur kelapa @ kkoghe tentunya terlintas di fikiran.

Saya terpanggil untuk menulis tentang tajuk ini kerana terpandang "kkoghe" usang di rumah Mama beberapa hari lepas....

Kkoghe atau kukur kelapa sememangnya tidak dapat dinafikan sudah tidak relevan dalam masyarakat moden hari ini. Kini, mesin kelapa elektrik lebih dikenali oleh generasi muda apatah lagi dengan lambakan santan kotak @ santan segera menyebabkan kukur kelapa @ kore sekadar menjadi barang antik @ barang pameran sama ada di muzium atau menjadi koleksi peribadi sesetengah individu yang mempunyai nilai sentimental yang tersendiri....

Menurut Kamus Dewan, kukur = kukuran ialah sejenis alat yang bergerigi hujungnya, digunakan untuk mengeruk (mengikis) isi kelapa. Daripada kata kukuran inilah terhasilnya sebutan "kkoghe" dalam dialek Kelantan...!

Kukuran @ kkoghe merupakan salah satu alat terpenting dalam kehidupan masyarakat Melayu, terutamanya di kawasan kampung. Kukuran merupakan alat yang tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat Melayu tradisional kerana sebahagian besar resepi masakan masyarakat Melayu menggunakan santan kelapa. Kini, penggunaan kukuran semakin dilupakan oleh masyarakat sama ada di kampung, lebih-lebih lagi di bandar yang lebih cenderung menggunakan peralatan moden.

Biasanya, kukuran terdapat dalam bentuk kukur duduk, kukur kotak dan kukur silang. Kukur duduk mendominasi peringkat awal penciptaannya. Kkoghe ini dibentuk daripada kayu empat segi untuk dijadikan tempat duduk dan diletakkan besi mata kukur di hujungnya. Bentuknya sangat mudah dan ringkas. Nilai barang kegunaan harian ini diangkat menjadi barang seni melalui kreativiti pengukir yang menambah motif ukiran pada badan, kaki, dan leher kukur.


Penciptaan kukur kelapa berubah selari dengan peningkatan teknologi sehingga terhasil kukur berbentuk kotak yang memudahkan pengguna menyimpan mata kukur dengan selamat selepas digunakan memandangkan mata kukur boleh dilipat masuk ke dalam kotak.

Sementara kukur silang pula boleh dilipat dan asas silangnya seperti sebuah rehal. Kukur ini dipercayai mempunyai pengaruh elemen agama dan budaya pembuatnya.

Kepelbagaian bentuk ukiran yang terhasil pada sesebuah kukur kelapa melahirkan aspirasi keindahan dan menjadi pemangkin perkembangan pemikiran dan kemajuan tahap tamadun bangsa yang menghasilkannya. Hasil kreativiti pengukir Melayu, kukuran direka bentuk berasaskan rupa bentuk binatang berkaki empat. Kebanyakan seni ukirnya terdapat di bahagian kepada dan kaki kukur dengan menggunakan motif alam semula jadi, flora dan awan larat.

Bentuk kukuran @ kkoghe ini agak berbeza di antara satu kawasan dengan kawasan yang lain di negara kita berdasarkan pengaruh kesenian setempat. Kukur orang Melayu Pattani di Terengganu dan Kelantan misalnya banyak menggunakan motif daun sulur kacang, ketam guri dan ketumbit.

Untuk menghasilkan seni ukiran yang indah dan halus buatannya, pemilihan kayu yang sesuai sangat penting. Kukur biasanya dihasilkan dengan menggunakan kayu leban, cengal, dan nangka kerana ciri-cirinya yang tahan lasak, mempunyai urat kayu yang padat dan ira kayu yang halus serta mempunyai permukaan yang berkilat dan mudah disobek (ukir) menjadi antara kayu terbaik pilihan pengukir.

Generasi muda kini, terutama warga kota semakin melupakan peralatan tradisional kukur kelapa @ kkoghe ini. Peralatan yang suatu ketika dahulu begitu popular kerap dikaitkan dengan masyarakat yang banyak menggunakan kelapa dalam bahan masakan, khususnya masyarakat Melayu. Penggunaan kukur kelapa pada zaman dahulu menjadi satu keperluan dalam sesebuah rumah kerana suri rumah menggunakannya untuk mendapatkan kelapa dan santan, setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu kukur untuk kegunaan seharian.

Saya masih ingat, semasa zaman kanak-kanak dahulu, di rumah Nenek Lijah @ Mok Lijah,terdapat sebuah kukuran @ kkoghe duduk berbentuk seekor binatang berkaki empat. Ketika itu, kami tiga beradik sentiasa menanti peluang untuk duduk di belakang nenek atau Papa ketika nenek atau Papa sedang mengukur nyiur sambil bercerita dan bergurau senda. Secara tidak langsung, kkoghe menjadi alat menambah kemesraan dan nilai kasih sayang antara ibu @ bapa dengan anak atau antara nenek dengan cucu-cucunya.... Dulu, di rumah Mama, ada sebuah kukuran @ kkoghe silang. Pada akhir tahun 1970-an, kore itu sudah tidak digunakan....kini kkoghe silang yang masih berfungsi dengan baik itu tersimpan di dalam stor di rumah Mama.

Kore vs corelle.....bunyinya hampir sama....

Setiap kali melihat pinggan corelle, saya pasti akan teringat akan kukuran @ kkoghe. Ada kisah disebaliknya yang masih saya ingat hingga kini. 





Pada suatu hari, tahun 1988 saya bersama seorang sahabat KAK NAH (PN HJH SAPINAH - kini menetap di Bangi) yang sama-sama mengajar di SM Puteri masa tu singgah di sebuah kedai menjual barangan keperluan rumah yang terletak di hilir Pasar Besar MPKB. Kalau tak silap, nama kedai ini ialah Kedai Hajah Mariam. Sekarang rasanya kedai ni sudah tidak ada. Antara barangan yang dijual di kedai ini termasuklah kekabu, dapur arang, pinggan mangkuk, periuk dan keperluan rumah yang lain. Kami berhajat untuk membeli set pinggan mangkuk corelle.

Alkisahnya, apabila kami bertanya kepada pembantu kedai tersebut, (seorang remaja lelaki), dia mengatakan bahawa di kedainya tidak jual kore. Kami terpaksa menjelaskan beberapa kali, tetapi pemuda tersebut masih tidak dapat membezakan antara corelle dengan kore. Akhirnya kami terpaksa bertemu dengan taukenya... Sampai kini, apabila tengok pinggan corelle, peristiwa di Kedai Mariam pasti akan menggamit memori....

Menyedari hakikat bahawa warisan tradisional seperti kukuran ini perlu dipulihara, Jabatan Muzium Malaysia pernah mengadakan pameran dan demonstrasi kukur kelapa pada suatu ketika dahulu. Pameran ini amat bermakna kerana selain dapat memartabatkan penggunaanya, ia juga dapat menghidupkan kembali fungsinya dalam realiti masyarakat kini. Penggunaannya yang semakin pupus berikutan kemunculan alat-alat memasak yang lebih moden menyebabkan ramai generasi muda kita tidak lagi mengenali apatah lagi tahu cara-cara menggunakannya. Oleh itu, pameran itu sekurang-kurangnya dapat mengimbau nostalgia generasi lama, di samping memberi peluang kepada generasi muda untuk menghayati tinggalan warisan nenek moyang kita suatu ketika dahulu yang harus dipelihara ini.

kore vs corelle....pasti menggamit nostalgia.....




No comments: