Showing posts with label famili. Show all posts
Showing posts with label famili. Show all posts

Monday, December 17, 2018

Sambil Menyelam Minum Air

Ahad 16 DISEMBER kami bertolak ke Kuala Terengganu.  En Kasihku ada mesyuarat di pejabatnya di KT.  Kami menginap di hotel penginapan tepi muara berhampiran tanjung yang indah nian pemandangannya.  Angin sepoi2 diselangi rintik-rintik hujan musim tengkujuh menjadikan suasana sungguh damai dan nyaman.

Selepas daftar masuk di hotel penginapan, usai solat Zuhur, kami pusing-pusing ke Seberang Takir dengan tujuan utk mencari keropok di Bukit Tok Beng.  


Pertama kali saya sampai di sini. Terletak di Kuala Nerus, ini merupakan satu lagi destinasi di mana kita dapat membeli keropok lekor. Keropok lekor di sini juga digelar Keropok Lekor Nombor atau Beratur, kenapa? Ini adalah kerana terlalu ramai orang yang datang untuk membeli keropok lekor semasa musim cuti sehinggakan untuk membeli keropok lekor di sini anda perlu mendapatkan angka giliran terlebih dahulu. Wah… dahsyat! Ramai yang sanggup beratur kerana keropok lekor di sini sedap dengan isi ikannya yang banyak berbeza dengan tempat lain.  Semasa saya singgah, tidak ramai pengunjung...jadi tidak perlulah kami mengambil nombor. 

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan dan singgah makan tengah hari di medan selera di Pantai Teluk Ketapang.  
Pantai yang agak luas ini terletak di utara Sungai Terengganu. Pantai ini digelar Teluk Ketapang kerana  kawasan ini dikelilingi oleh bukan sahaja pokok kelapa malahan pokok ketapang.  Di sekitar pantai ini terdapat banyak gerai  kecil untuk kita membeli makanan, dimakan sambil menikmati pemandangan. Di pantai ini juga terdapat gerai yang dilawati ramai orang untuk menikmati Ikan Celup Tepung (ICT).  ICT di sini tidak setanding ICT di Pantai Penarik....
Usai menghirup udara nyaman di Pantai Teluk Ketapang, kami terus menuju ke Manir.  Niat di hati untuk singgah di Klinik #SihatSokmo untuk bertemu anak menantu dan cucu.  Singgah untuk melunaskan rindu....

Di klinik hanya ada anakanda Fahmi.  Anakanda Aina dan cucuanda ada di rumah kerana dikhabarkan kurang sihat.
Kami meninggalkan rumah agam besan kami pada petang itu sambil berjanji untuk memenuhi permintaan mereka agar datang lagi untuk makan malam di rumahnya.



Pada sebelah malamnya, sebelum ke rumah besan, kami berhajat untuk keluar mengintai ke Pulau Warisan yang dikatakan sungguh indah pemandangannya dengan dihiasi cahaya lampu yang berwarna warni pada sebelah malam.  



Pulau Warisan ini kelihatan seperti I-City di Shah Alam dengan lampu-lampu pokoknya yang berwarna-warni, begitu hidup sekali suasana malam di tempat ini. Tak sah kiranya kawasan yang menjadi perhatian ramai tidak ada kedai makan bukan? Di sini terdapat banyak kafe untuk dijadikan tempat bersantai bersama keluarga sambil menikmati pemandangan Sungai Terengganu.  Jika kita datang pada waktu yang tepat, dapatlah kita menyaksikan pertandingan lumba perahu layar yang sering diadakan di sini, tetapi malam itu ketika kami singgah, suasana agak sunyi...mungkin kerana musim hujan...
Pada keesokan harinya, sepeninggalan suami ke pejabat, aku ditemani komputer riba yang sentiasa setia bersama untuk menyemak tugasan yang masih berbaki.

Kami meninggalkan Bandar Budaya Kuala Terengganu dalam rintik hujan bulan Disember menuju ke destinasi rutin saban minggu sejak bermulanya cuti sekolah akhir tahun ini.  

Begitulah percutian kami berdua pada tahun ini.  Cuti sambil bekerja.  Bekerja sambil singgah menjenguk cucu... 

Monday, December 10, 2018

Disember Yang Padat

Disember yang sentiasa menghambat... 

Berulang alik antara kota kelahiran dengan kota tempat menggali rezeki.

Di KB, aku penunggu setia sambil menyiapkan kerja2 yang perlu diselesaikan sebagai persiapan utk sesi persekolahan yang baharu....Dia ke kantor melunaskan tanggungjawab.

Di Kuantan, aku ke pejabat menyelesaikan tugasan, dia di rumah mengemas dan menyediakan juadah enak...yang sentiasa ditunggu-tunggu anak-anak....

Begitulah, minggu bersilih ganti.

7 November - kami bertolak ke KB, selepas bermalam satu malam di PC, keesokannya, Mikhail kami hantar ke rumah TokMa nya di RP.  



9 NOVEMBER - kami ke HRPZ2, ziarah PokTeh yang dirawat di sana.  PokTeh nampak tidak banyak berubah berbanding seminggu sebelum itu ketika kami singgah ziarah di rumahnya di Taman Ayuni, Bt. 10 TM.


Semoga PokTeh terus kuat dan reda dengan ujian ini.  




Biarlah kenangan ini terakam di sini....




Balik daripada menziarahi PokTeh, kami singgah di Miria.  Sudah agak lama tidak meroti canai di sini....Bukan selalu dapat bersama Papa makan-makan begini.





Alhamdulillah, Papa nampak sihat dan ceria bersama-sama anak-anak.  13 Disember, kami akan balik semula ke Kuantan.

Begitulah, sehingga penghujung Disember...LPT2 menjadi penghubung KB - Ktn.


Sunday, November 4, 2018

Mikhail Balik Kampung (1)


Cuti beberapa hari sempena DEEPAVALI.  Bercadang balik menjenguk D'LAvender yang kutinggalkan lebih 2 purnama lamanya.  Rindunya....


Mikhail balik ke kampung.  Tanpa Abi.  Tanpa Ummi.  Mikhail balik bersama MakTok dan Tok Ayah.  Pertama kali....

Pagi minggu yang dingin, seperti biasa Mikhail bangun bersiap-siap seperti akan dihantar ke rumah Mama Pengasuhnya.  Ceria wajah cucuanda setelah memasuki VAN6209, mengambil tempat di ribaan MakTok.   

Kami bertolak seawal pukul 7 pagi.  




Thursday, September 13, 2018

Cerita Mikhail [1] : Tatkala Umi & Abi tiada di sisi

Buat pertama kalinya dalam hidup sejak bergelar ibu hinggalah kini mempunyai 3 cucu.... ada 'baby car seat' dlm keretaku.  

12/9/18 - Abi Mikhail terpaksa 'berehat' di KMC untuk mendapatkan rawatan susulan kerana batuk sejak sebelum Aidiladha akibat tersedut 'jerebu' di Port Dickson beberapa hari sebelum umat Islam menyambut hari raya korban baru-baru ini.   Umi Mikhail di JB dan TokAyah Mikhail pula di KB.  

Setelah puteri bongsu yg kini sudah berusia 29 tahun, baru sekarang aku tidur berdua bersama-sama kanak-kanak kecil, cucuanda si cilik MUHAMMAD FALIQ MIKHAIL B. MOHD FARIS yang akan genap 1 tahun 6 bulan, esok 15/9/18.   

13/9/18 - Khamis - Aku bersiap-siap seawal 5 pagi.  Segala keperluan sudah dimasukkan ke dalam kereta sebelum tidur, utk elakkan kelewatan pada esok pagi.

Usai solat subuh aku terus menyiapkan Mikhail, tukar pampers, bagi minum susu dan bawa ke kereta.  Tepat pukul 6.10 pagi kami sudah berada dalam WQP.  Selang lebih kurang 6 minit, kami sudah sampai di hadapan rumah 'Mama' Mikhail di IM1.  Lebih kurang 6.20 pagi aku bertolak ke tempat kerja dan alhamdulillah aku tiba seperti biasa di pekarangan SMJKTP, iaitu sebelum 6.35 pagi.    

Satu pengalaman baharu buatku.    


Zaman anak-anakku kecil dulu, aku tidak pernah melalui pengalaman ini kerana ada pembantu rumah yang dianggap sebagai keluarga sendiri yang akan mengurus dan menjaga 3 orang anakku yang masih kecil tatkala aku keluar ke tempat kerja.  

3 beradik itu MOHD FARIS @ Abi Mikhail, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH yang jarak usia mereka antara 1-2 tahun sahaja.   

Syukur kepada Ilahi kerana pada usiaku menjangkau lebih 5 dekad setengah ini, aku sempat melalui pengalaman ini yang tidak pernah aku alami pada zaman mudaku dahulu.








Saturday, September 1, 2018

Raikan Bersama-sama SEPTEMBER

Terkenang lagu "Ingatan Manis di Bulan September"" yang dinyanyikan oleh biduanita Sharifah Aini sekitar awal 1970-an:
"Kumasih ingat
perkenalanku
di bulan,
September...
September...."

Sesungguhnya, SEPTEMBER merupakan bulan merayakan beberapa hari istimewa dalam keluargaku.

2 September 2018, genap TUJUH tahun perkahwinan anakanda kami MOHD FAHMI NAIN dan NURUL AINA AWANG yang telah melangsungkan perkahwinan pada 2 Syawal 1432H, bersamaan 2 September 2011 dan cahaya mata mereka yang pertama FARHAH HANNAN sudah genap 6 TAHUN pada akhir JULAI lepas dan adindanya FALISHA SALSABILA genap 4 tahun pada 6 FEBRUARI lepas.  




09 September, NATASHA ALIA BT. SAHAZALI genap usia 24 tahun. Natasha Alia, puteri sulung kepada Norbanilawatey Jusoh dan Sahazali Awang Deraman, dilahirkan di HKL sebelum dibawa balik ke kampung yang permai dan indah  "HAPPY BIRTHDAY ALONG TASHA".  Along semakin matang hari ke hari.  Along tulang belakang keluarga sekarang.

Semoga Along Tasha akan terus melakar kecemerlangan dalam kerjaya yang diceburi.... Doa Cik La agar Along Tasha akan menjadi seorang anak yang berjaya dunia dan akhirat, bertanggungjawab dan lebih matang menghadapi segala dugaan hidup...





Tambah manis lagi, pada 19 September ini bertambah lagi usiaku - melewati setengah abad...!  Begitu juga dengan adik iparku, NIK ARIF pasangan hidup adinda MUTIA AGGEREK berkongsi tarikh lahir yang sama denganku.




Pada tarikh itu juga 33 tahun yang lalu aku telah disahkan menjadi suri hidup kepada insan yang tersayang setelah beberapa musim menyemai kasih dan menganyam rindu ketika bersama-sama di Lembah Pantai.... 

Cepatnya masa berlalu. Sudah lebih 3 dekad rupa-rupanya kami mengharungi pahit manis bersama, menempuh duri dan ranjau hidup menuju jalan pulang .... 

21 September pula adik bongsu kami, RATNA IDAYU BT. JUSOH akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-33 tahun.  Dilahirkan 2 hari selepas Papa dan Mama 'bekwah' kahwinkan anak perempuan keduanya, yang julung kali dalam keluarga kami pada tahun 1985.  Tahun ini tentu sekali lebih bermakna kepada Adinda Ratna kerana dapat menyambut hari bahagia ini berempat.





23 September,  adik iparku yang ke-3, JAILANI B. ABDUL MANAF pasangan kepada adindaku MELISA KAMELIA akan menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang ke-41 tahun.














SEPTEMBER yang sentiasa bertamu tanpa jemu, banyak merakamkan saat manis yang sangat indah untuk dikenang.... yang diraikan bersama keluarga....

Alhamdulillah.

Friday, May 5, 2017

DALAM KENANGAN....HJH NIK ZAKIAH HJ NIK MAT


Malam berganti siang, siang berganti malam.... pejam celik pejam celik....Sudah EMPAT TAHUN rupa-rupanya Mek kembali ke alam abadi.   Sosek-sosek tetang PRU14 kedengaran di sana sini... persiapan awal sudah pun bermula... Macam-macam agenda telah disusun. PRU mengembalikan ingatan kami kepada Mek.

Hingga saat ini, terasa seolah-olah Mek masih ada.  

Terbayang-bayang Mek dengan tongkatnya terkedek-kedek dari ruang tengah terataknya menuju sofa yang setia menunggu Mek melabuhkan diri.  


Tergambar di minda, Mek duduk di pangkin usang, sambil kakinya terjuntai tersenyum lebar menegur mesra jiran tetangga yang melintasi halaman rumah untuk ke kedai atau ke pasar malam.

Terngiang-ngiang suara Mek yang tidak pernah berubah sejak hari pertama aku hadir dalam keluarga Mek, menyuruh Tihah atau Ema (anak saudaraku @ cucu Mek yang tinggal bersamanya sejak dilahirkan) supaya menyiapkan juadah untuk kami.  Juadah makan tengah hari, makan malam dan juga sarapan pagi.  


Sesekali berpeluang balik ke kampung bertemu Mek, akan ada sahaja cerita yang hendak dikongsikan dengan kami.  Kadang-kadang cerita itu diulang-ulang.... Kami akan setia mendengarnya sehingga Mek memohon diri untuk masuk berehat di biliknya.

Sejak 2 tahun ke belakangan ini, kesihatan Mek memang agak merosot.  Faktor umur dan kemungkinan juga faktor emosi membuatkan Mek semakin ketara dimamah usia.   Mek tidak pernah sakit berat.   Berita Mek demam ringan-ringan tidak pernah sampai ke telinga kami.  Kami hanya mengetahuinya setelah Mek kembali sihat.  



Kenangan hari-hari terakhir Mek sebelum dijemput pulang bertemu Penciptanya sentiasa segar dalam ingatan.

Akhir APRIL 2013

Sejujurnya, kami sudah menerima apa-apa sahaja perkhabaran tentang Mek.  Tentang tahap kesihatan Mek.   Perkhabaran tentang Mek tiba juga di telinga kami  pada pagi Khamis, 25 April 2013.  Puteri bongsu Mek telah menelefon abangnya memberitahu bahawa Mek jatuh di bilik air dan terus tidak dapat bercakap dan sebelah kanan tubuhnya tidak berfungsi....Mek telah dibawa ke hospital Tanah Merah untuk mendapat rawatan.  


Ketika itu saya berada di sekolah.  Hati berasa tidak keruan.  Hanya doa kami titipkan kepada Allah agar keadaan Mek tidak terlalu serius dan kami sempat bertemu Mek.  Sabtu, (27/4/13) merupakan hari persekolahan ganti sempena cuti tambahan perayaan.  Minda ligat berfikir tentang cuti yang perlu saya ambil.  Lalu, pada petang Khamis, saya menghubungi pengetua melalui akaun fbnya untuk memohon pertimbangan membenarkan saya mengambil CRK selama 2 hari, iaitu pada Sabtu (27/4) dan Isnin (29/4).  Syukur, Pengetua sangat memahami keadaan saya dan tidak keberatan meluluskan CRK saya.  Saya ke sekolah seperti biasa pada hari Jumaat walaupun hati berdebar-debar sejak menerima berita tentang situasi Mek.  Kami terus bertolak balik ke TM usai tugasan saya pada hari itu dengan doa agar kami sempat bertemu Mek.....


Selepas 3 hari di hospital, doktor membenarkan Mek dibawa pulang untuk dirawat di rumah.  Ada respons positif daripada Mek.  Mek boleh memahami beberapa arahan walaupun dalam keadaan terbaring dan tidak boleh bercakap.  Mek boleh senyum apabila diusik oleh anak-anaknya.  Hati terasa lega, cuma terfikir sampai bilakah Mek akan berada dalam keadaan begini?  Badan sebelah kanan tidak boleh berfungsi.  Mek tidak boleh bercakap dan menelan.  Mek diberi minum susu melalui saluran pernafasan setiap 3 jam sekali. 

Isnin, saya balik ke Kuantan dan berjanji dalam hati untuk balik menjenguk Mek lagi.  Semasa mencium dan memeluk Mek sebelum beredar balik, air mata Mek bergenang seolah-olah tidak mahu melepaskan kami pergi.  Kami tidak putus berdoa agar Allah berikan yang terbaik buat Mek.  Hanya DIAlah yang Maha Mengetahui.... Kami sentiasa berharap agar Mek cepat sembuh.  

Mek sempat meriba Hannan pada Aidiladha yang lepas.... Aidiladha terakhir buat Mek....
Kami berharap sangat Mek sempat menjejakkan kakinya di teratak baru kami yang akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat ketika itu.  Kami berdoa agar Mek akan dapat bersama meraikan majlis kenduri kesyukuran yang akan diadakan pada awal Jun 2013.  Sebenarnya, itulah hajat Mek sejak beberapa bulan terakhir ini yang sentiasa bermain di bibir setiap kali kami balik menjenguknya.  

Mek sangat berharap agar kami dapat mengadakan majlis sambut menantu yang kedua ini di rumah kami sendiri....

AWAL MEI 2013

Hujung minggu datang lagi.  Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat rutin harian berjalan seperti biasa walaupun sebenarnya ingatan melayang jauh kepada Mek.  Hati berbelah bagi.  PRU13 hanya tinggal beberapa hari lagi.    Kami bakal mengundi di dua pusat yang berbeza dan agak jauh jaraknya antara satu sama lain.

Memang benar, Allah telah tetapkan hati kami.  Antara neraca, purnama dan Mek, hati kami berat memihak kepada Mek.  Kami nekad untuk memilih Mek dan terus balik ke kampung setelah 4 hari meninggalkan Mek dalam keadaan terbaring lesu.  Menjelang senja, kami selamat sampai di sisi Mek.   Alhamdulillah.

5 MEI 2013 - tarikh keramat yang dinanti-nantikan oleh seluruh warganegara Malaysia yang hanya akan tiba setiap 5 tahun sekali untuk memilih kerajaan baru.  

Dalam kesyahduan dini hari 5 MEI 2013, tatkala berkumandang bacaan ayat suci al-Quran di masjid berhampiran sementara masuk waktu Subuh, Mek pergi meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan tenang sekali.  Mek telah kembali ke alam abadi menemui Penciptanya.  Kami semua redha dengan ketentuan Ilahi.  Itulah JANJI ALLAH.  Itulah yang terbaik buat Mek.  Mek pergi buat selama-lamanya setelah 10 hari diuji oleh Allah s.w.t.  

perjalanan terakhir....
Syukur alhamdulillah.  Allah telah menggerakkan hati kami untuk balik ke kampung menghabiskan sisa waktu yang ada bersama Mek, bukannya memilih yang lain-lain....

Walaupun Mek sudah 4 TAHUN meninggalkan kami semua, tetapi kenangan bersama Mek selama hampir 28 tahun menjadi ahli keluarga Mek akan tetap kukuh dalam ingatan....



Alfatihah.


Wednesday, August 19, 2015

PANGGILAN HAJI TIBA LAGI....KT03



Kesempatan ini diambil untuk menitipkan doa kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang telah dan yang akan berangkat ke Tanah Suci dalam masa yang terdekat ini. Semoga kalian menjadi tetamu Allah s.w.t yang paling istimewa.

Kepada sepupuku DR. HANIAH YUSOF dan suami, telah selamat berangkat ke Tanah Suci dan untuk mengerjakan ibadah haji.  Semoga Kak Chik dan Zamani dapat menjalani ibadah haji dengan sempurna dan memperoleh haji yang mabrur.  Kak Chik merupakan jemaah KT03 yang berlepas pada petang 16 Ogos dari KLIA.

di Kompleks Haji Panji Kota Bharu

11 minit selepas berlepas dari KLIA
selamat mendarat di Madinah selepas 8 jam di udara....
 hari pertama ... di Dataran Masjid Nabawi

Ucapan yang sama juga ditujukan kepada sahabatku yang pernah bersama-sama menimba ilmu di Lembah Pantai, WAN THUBIYAHANA yang kini bertugas di SMK Agama Chenor,  yang juga akan berangkat ke Tanah Suci, Buat Wan, selamat menjalani ibadat haji, semoga   memperoleh haji yang mabrur... dan selamat kembali ke tanah air. 

Semoga selamat semuanya... Insya-Allah.

Saya terpanggil untuk berkongsi 'Mutiara Bicara' dengan rakan-rakan yang singgah di sini. Mutiara Bicara ini ditulis oleh Dr. Ridzwan Bakar dalam "HAJI MUDA" (2008),... sekadar untuk mengingatkan diri saya sendiri.....

"Tawaf dan Kaabah mengikat hati jemaah haji supaya terus mengingati kebesaran Allah. Di sinilah titik tolak cabaran haji. Ia perlu direalisasikan dengan melaksanakan amalan-amalan di Tanah Suci apabila kembali ke tanah air. Semoga kita semua istiqamah dan berusaha mempertahankan amalan-amalan semasa haji dalam kehidupan kita."

Kami tidak pernah jemu menunggu kad jemputan daripada-Nya sekali lagi.... semoga akan tiba saat yang membahagiakan itu....

 

Monday, July 20, 2015

LEBARAN 1436 Hijrah dan Majlis Adik Bongsu...

Syukur alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk menyambut lebaran bersama keluarga tercinta pada tahun ini.   


 
Pagi Syawal 1436 Hijrah....


Falisha Salsabila pada Syawal pertama....
tangan cucunda bersimen.... Syawal ke-2




pertama kali berkumpul pada Syawal di Teratak Ungu....

7 puteri pada Syawal ke-2...


parodi : Aidilfitri 1971 vs 2015

majlis resepsi Adik Bongsu pada Syawal ke-3

 
blarock Adik Bongsu di WCY....
membalas kunjungan di rumah bakal adik ipar... C3Pendek...

Semoga dapat berkumpul lagi begini beramai-ramai memeriahkan majlis.....