Showing posts with label Jengka. Show all posts
Showing posts with label Jengka. Show all posts

Sunday, April 17, 2011

Nostalgia Majlis Jasamu Dikenang....





Sehari dua ini, keadaan di sekolah agak sibuk. Pertama, persiapan menjelang Kejohanan Olahraga Tahunan kali ke-42 yang akan diadakan di Stadium Makmur pada 23 APRIL 2011. Satu lagi ialah persiapan untuk majlis persaraan Tuan Pengetua SMKTP yang dijangka diadakan beberapa hari selepas itu.

Merenung waktu yang telah jauh meninggalkan kita... setiap daripada kita akan menempuh saat persaraan, sama ada bersara pilihan ataupun yang pasti bersara wajib. Tidak terkecuali dengan diri saya.

Nostalgia majlis persaraan yang berlangsung di Dewan SMKJ2 pada tahun 2003 amat indah untuk dikenang. Majlis Jasamu Dikenang sempena persaraan Pengarah JPNP ketika itu, YH. Dato' Hj. Abdul Rahim B. Hj. Mohamad diadakan dengan penuh meriah. SMKJ2 dipilih sebagai tuan rumah di peringkat Daerah Maran kerana YH. Dato' Pengarah pernah menjadi Pengetua SMKJ2 suatu ketika dahulu... untuk mengembalikan nostalgia YH. Dato' di SMKJ2....

Dengan kerjasama daripada warga SMKJ2, PPD Maran dan semua pihak yang terlibat, kami berjaya menukarkan wajah Dewan SMKJ2 menjadi seperti dewan sebuah hotel berbintang, konon! Tak kisahlah berapa bintangpun.... Persiapan bermula beberapa minggu sebelum majlis yang diadakan pada 8 Mac 2003. Kami 'mengerjakan' dewan itu seperti membuat persiapan sebuah majlis kenduri besar....

Pada hari tersebut, tetamu jemputan yang kebanyakannya terdiri daripada Pengetua / Guru Besar dari seluruh Daerah Maran, termasuk pegawai pelajaran di PPD Maran memenuhi dewan SMKJ2. Kebetulannya, di SMKJ2 ada seorang guru seni (Cikgu Nasaharuddin - kini bertugas di IAB Genting) yang mahir melukis, jadi salah satu hadiah persaraan daripada SMKJ2 ialah lukisan potret YH. Dato' Pengarah semasa zaman muda, iaitu ketika beliau menjadi Pengetua di SMKJ2. Potret tersebut disampaikan oleh Puan Hjh Maimunah Bt. Hj Taib (Pengetua SMKJ2 ketika itu).

Sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai pendidik, saya pernah hadir (mewakili Pengetua SMKTM) untuk Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang bagi meraikan persaraan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Dato' Asiah Abu Samah. Majlis ini diadakan di Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaya pada tahun 1993. Majlis yang dikendalikan oleh J.Sham (penyanyi dan pensyarah di Maktab Perguruan Ilmu Khas) itu sungguh menghiburkan...!

Di peringkat sekolah, walaupun sudah lama menjadi pendidik, tetapi baru sekali saya berpeluang meraikan majlis persaraan Pengetua, iaitu Majlis Jasamu Dikenang untuk
Pengetua SMK Tanah Putih, Encik Chow Ah Soon yang diadakan pada September 2007. Majlis Jasamu Dikenang ini telah disempurnakan di Dewan SMKTP dan disusuli dengan Majlis Makan Malam yang diadakan di sebuah hotel milik Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, YH. Datuk Sri Peter Cheah.

Semua rentetan peristiwa ini akan menjadi sebahagian daripada kenangan yang akan saya bawa pulang setelah kembali bertugas di negeri kelahiranku nanti.


Pada hujung April ini nanti, dua individu yang pernah menjadi pemimpin atau ketua di tempat saya bertugas akan bersara. Mereka ialah ENCIK MOY WAH GOON, pengetua SMKTP sekarang yang akan menamatkan khidmatnya sebagai penjawat awam pada 27 April 2011.

Seorang lagi ialah bekas Pengetua SMK Jengka 2, Maran - sebuah sekolah yang pernah saya 'singgah' untuk menabur bakti selama 4 tahun, iaitu PUAN HAJAH MAIMUNAH BT. HJ TAIB, Ketua Sektor Peperiksaan dan Penilaian JPNP yang akan mula bersara wajib pada 1 MEI 2011.

Yang pasti setiap daripada kita akan menempuh saat bersara. Sesungguhnya, persaraan yang sebenar di dunia yang fana ini ialah setelah kita dijemput Ilahi. Oleh itu berbuatlah kebaikan sebelum kita benar-benar 'dibersarakan'...!

Saturday, May 16, 2009

Hari Guru 2002 & Abe








Buat pertama kalinya, saya tidak dapat menyambut perayaan Hari Guru Peringkat Sekolah pada tahun 2002. Masa tu, saya menetap di BPJengka dan bertugas di SMK Jengka 2.

Alkisahnya, pada 15 MEI 2002 saya dan hubby membawa Abe untuk mendapat rawatan lanjut di Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka. Masa tu Abe di Ting. 4 di SMK Jengka Pusat. Abe dirujuk ke bahagian Neurologi Hospital Pantai setelah mendapat rawatan awal di Klinik Ghazali, Jengka. Kami menjangkakan setelah pemeriksaan dibuat oleh doktor di sana, kami boleh balik ke rumah pada hari yang sama, tak terfikir Abe akan dimasukkan ke wad. Kami pergi sehelai sepinggang, jadi terpaksalah membeli beberapa helai baju di Jaya Jusco Ayer Keroh. Abe dimasukkan ke wad selama 4 hari.

Akhirnya, saya tidak berkesempatan untuk menyambut Hari Guru di SMKJ2 pada tersebut.

Setiap kali menjelang Hari Guru, saya akan terkenang kepada Abe.

Pada 16 MEI 2002, bermula rawatannya di hospital setelah kesihatannya terganggu sejak pertengahan April 2002. Akibatnya, dia terpaksa menangguhkan pelajarannya untuk beberapa tahun....

Sebenarnya, setelah tiga kali keluar masuk Hospital Pantai, penyakit Abe tidak dapat dikesan melalui rawatan moden. Setelah dirujuk kepada pakar jiwa, dan didapati tiada 'kes', kami disarankan agar berubat secara tradisional. Bermula bulan Ogos 2002, kami berusaha secara perubatan alternatif - perubatan Islam dan tradisional, sehingga membawa kami ke Darul Syifa, Bangi.

Sesungguhnya, kita hanya merancang, DIA-lah yang menentukannya. Ujian dan dugaan ada di mana-mana. Ujian Allah mendekatkan lagi kita kepada-NYA.

Foto : Abe yang sentiasa ceria...

Friday, May 15, 2009

HARI SABTU DI BPJENGKA

Hari Sabtu merupakan 'hari besar' kepada segolongan masyarakat Jengka, terutama masyarakat peneroka. Pasar Malam di Bandar Pusat Jengka pada hari Sabtu menjadi tumpuan ramai penduduk Jengka. Penuntut UiTM Jengka juga akan 'turun' ramai-ramai ke pasar malam itu untuk bertukar selera setelah seminggu dihidangkan dengan menu yang hampir sama di asrama. Bas UiTM / van penumpang persendirian akan berulang-alik memunggah mereka seawal pukul 4 petang.

Hari Sabtu di BPJengka menjadi lebih meriah semasa Ekspo Perdagangan diadakan. Banyak gerai jualan disediakan untuk menjual pelbagai jenis barangan keperluan khususnya bagi masyarakat peneroka di Jengka. Biasanya ekspo ini berlangsung untuk beberapa minggu, kadang-kadang mencecah lebih daripada sebulan. Dalam setahun, adalah beberapa kali diadakan. Maklumlah, di Jengka tidak ada East Coast Mall atau Parkson atau Pasar raya Giant atau Carefour....!

BP Jengka juga kerap menjadi tuan rumah bagi beberapa pertandingan yang menjadi minat masyarakat setempat. Saya masih ingat semasa pertandingan Tomoi Siam dan Perlawanan Sepak Takraw peringkat negeri, suasana BP Jengka menjadi sungguh meriah. Ramai pengunjung dari luar daerah memenuhi BPJengka.

BPJengka juga menjadi sibuk semasa musim pendaftaran penutut baru di UiTM. Mulai tahun ni, bertambah satu lagi pusat pengajian tinggi dengan pembukaan Pusat Matrikulasi yang baru bersebelahan dengan kampus UiTM (dulunya SM Teknik Jengka, yang beroperasi untuk beberapa tahun sahaja : 2004-2008).

Suasana sebegini sebenarnya memberi peluang perniagaan yang memberangsangkan kepada penduduk setempat, terutama pengusaha kedai makan (gerai & restoran) yang banyak terdapat di BPJengka.

Satu masalah yang timbul apabila ramai orang luar berkunjung ke BPJengka ialah kekurangan tempat penginapan. Yang ada hanyalah Mercu View Resort, Rumah Tamu UiTM dan beberapa unit Rumah Rehat yang diubahsuai daripada rumah kedai. Kadang-kadang pengunjung terpaksa menginap di Jerantut ataupun di Tekam Resort yang letaknya lebih daripada 20km dari BPJengka.

Petang ni, sepatutnya saya ke Jengka, bermalam di sana, tengah hari esok balik semua ke Kuantan. Tujuannya adalah untuk mengambil Adik yang akan sampai di kampus UiTM pada awal pagi esok. Adik bersama penuntut 'dean list' mengikuti kursus di Langkawi, mulai hari Ahad lepas. Mereka dijangka sampai di UiTM pada pukul 3 pagi esok.

Pada mulanya suami bercadang agar kami terus sahaja ke Jengka, tak perlu buat tempahan bilik! Sambil berseloroh, saya katakan lebih baik telefon dulu, manalah tahu ada program PM baru singgah di Jengka, pasti bilik penuh. Dia seperti yakin sangat tak ramai orang luar di BPJengka sekarang sebab UiTM sudah mula bercuti....

Jangkaannya meleset, bila telefon Mercu View, rupa-rupanya bilik sudah 'f'ully booked' sejak hari Selasa lagi.... nasib baik, kalau tak kenalah tumpang di masjid. Katanya ada 'Konsert....' di sana.

Semuanya berlaku pada hujung minggu. Jadi, kalau nak bermalam di Jengka terutama pada hari Sabtu, perlu buat tempahan awal. Inilah senario yang berlaku di BPJengka

Jadi, terpaksalah ubah program. Kami terpaksa bertolak ke Jengka setelah bas UiTM yang membawa rombongan tu sampai di KL, tak kiralah pukul berapa. Tempoh perjalanan antara KL - Jengka dan Kuantan - Jengka, lebih kurang sama.

Sementara menunggu tu, bolehlah kami membuat 'ulangkaji' doa-doa untuk umrah nanti.

Semuanya DIA-lah yang menentukannya.

Friday, April 17, 2009

Felda Cempaka @ Jengka 2



Felda Jengka diberi nama berdasarkan bunga. Daripada 25 Felda Jengka, 21 buah penempatannya menggunakan nama bunga, iaitu : Anggerik (J1), Cempaka (J2), Dahlia (J3), Kemboja (J4), Kekwa (J5), Keembong (J6), Kenanga (J7), Kesidang (J8), Kesumba (J9), Mawar (J10), Melati (J11), Melor (J12), Puteri Malu (J13), Raya (J14), Semarak (J15), Sena (J16), Seri Pagi (J17), Seroja (J18), Siantan (J19), Tanjung (J20), dan Teratai (J21).

Felda Cempaka sangat dekat di hati. Selama 4 tahun mencurah bakti di penempatan Felda Cempaka, banyak meninggalkan kenangan. SMK (LKTP) Jengka 2 memberi banyak pengalaman baru yang belum pernah dilalui sebelum ini.

Pertama kali menjejak kaki di sekolah ini, seolah-olah suatu kejutan. Untuk pertama kalinya selepas 15 tahun berkhidmat, saya ditempatkan mengajar pada sebelah petang. Mengajar murid Ting. 1 dan 2. Seronok juga. Untuk seketika saya tidak dibebani dengan tugas peperiksaan awam, tapi saya perlu cari pendekatan baru untuk menangani 'budak-budak kecil' ni.

Untuk sebulan pertama, agak susah juga menyesuaikan diri. Perangai murid-murid T1 masih lagi seperti murid-murid sekolah rendah... suka mengadu-domba dan duduk mengeliling guru bila Cikgu sedang memeriksa kerja mereka. Kena sentiasa tahan nafas. Mula-mula tu rasa rimas juga, tetapi lama kelamaan, seronok pula... dunia mereka.

Satu lagi, saat yang paling tidak dapat dilupakan ialah masuk ke kelas selepas rehat, terutama pada pertengahan minggu. Baju yang mereka pakai sudah beberapa hari tak bertukar. Masa rehat, mereka berkejar-kejaran, berlari dan sebagainya. Peluh yang membasahi baju mereka mengeluarkan aroma yang menusuk hidung. Biasanya, semasa murid-murid keluar rehat, saya sudah ada di dalam kelas mereka. Sebelum mereka masuk, saya telah standby dengan perfume/ cologne dalam botol kecil dan diletakkan pada hidung untuk menepis aroma yang tajam itu. Selepas beberapa bulan, perkara ni dah jadi lali, tak kisah lagi dah...

Menjelang hujung bulan, mereka akan tanya, "Cikgu tak pergi bandar ke?" Saya rasa pelik juga dengan soalan tu. Rupa-rupanya, bila hujung bulan, setelah dapat gaji, mereka akan dibawa oleh ibu bapa mereka ke bandar Jengka (15 minit perjalanan dengan kereta), paling tidak mereka akan pergi ke Pasar Malam pada hari Sabtu. Atau ke Pasar raya Mat Sapak, satu-satunya pasar raya di BP Jengka pada masa itu yang menjual pelbagai keperluan (sekarang pasar raya tu sudah tak ada lagi).

Oh, alangkah naifnya mereka.

Dulu, SMKJ2 merupakan antara sekolah yang terkenal di daerah Jengka. Ia merupakan sekolah menengah pertama di Jengka. Sebuah sekolah yang lengkap dengan pelbagai prasarana dan mempunyai asrama bagi menempatkan murid-murid yang datang dari Felda Jengka yang lain. Banyak sejarah telah dicipta yang menjadi kebangggaan penduduk Felda Cempaka.

Semoga J2 terus berkembang wangi, seharum bunga cempaka.

Jumpa lagi...

Oh Jengka


Bandar Pusat Jengka @ Bandar Jengka dan kini dikenali sebagai Bandar Tun Razak adalah sebuah bandar utama di Pahang. Bandar Pusat Jengka menjadi pusat kepada Segitiga Jengka atau dikenali sebagai FELDA Jengka. Segitiga Jengka ialah sebuah gugusan terbesar FELDA di Malaysia, satu daripada projek kerajaan Malaysia ke atas penduduk Malaysia.

Jengka dibuka secara rasmi pada 1967. Nama Jengka diambil daripada nama sebatang sungai iaitu Sungai Jengka. Sungai ini pula mendapat nama daripada satu kisah seorang wanita bernama Yang Jangka yang mati lemas di sungai ini.

Dalam tempoh tiga dekad (1967-1997), Jengka ditadbir oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ). Setelah LKWJ dibubarkan pada 1997, Pentadbiran Jengka telah diserahkan kepada Majlis Daerah Maran (MDM) dan Warisan Jengka hingga ke hari ini.

Jengka ditubuhkan melalaui satu projek iaitu Segitiga Jengka oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Nama Segitiga Jengka digunakan dengan mengambilkira lokasi Jengka yang terletak di antara tiga daerah iaitu Temerloh, Maran dan Jerantut.

Semasa menduduki LCE, Segi Tiga Jengka ni hanya'ditemui' dalam buku teks Geografi. Masa belajar di Universiti, (1982-1985)bas ekspres akan lalu ikut KT - Kuantan - Temerloh - KL. Masa tu belum ada laluan KB - Gua Musang. Bila sampai di persimpangan Kg Awah atau Simpang Jengka, dalam hati berkata, di sini rupanya Jengka... jauhnya....

Foto : Tun Razak yang digelar 'Bapa Pembangunan' melawat kawasan penempatan FELDA pada awal penubuhannya.

Tuesday, April 14, 2009

Desa Jaya Jengka



1 Februari 2000. Hubby melapor diri di pejabat baru di Bandar Pusat Jengka (Kini dikenali sebagai Bandar Tun Razak...). Hari tu merupakan hari cuti umum di W.Persekutuan, jadi dapatlah kami sama-sama ke Jengka. Kami pergi bersama anak-anak dan adik ipar. Dia yang drive. Rasa jauh sangat... tertunggu-tunggu bilalah nak sampai. Nampak kehijauan pokok kelapa sawit dan pokok getah yang ditanam di kawasan yang berbukit serta beralun.

Untuk sementara hubby menginap di Mercu View Resort. Rumah yang disediakan oleh majikan belum lagi dikosongkan. Rumah yang akan kami diami nanti letaknya di no. 54, Jalan Kesedar, Taman Desa Jaya, BP Jengka. Rumah berkembar satu tingkat dengan 3 bilik.

Kami tak bawa banyak barang kerana keperluan asas sudah disediakan. Kebanyakannya ditinggalkan di rumah kami di Ampang.

Hampir satu bulan setengah aku dan anak-anak akan ke Jengka dengan Metrobus. Lepas balik dari sekolah pada hari Jumaat, aku bersama 3 orang anak akan terus ke Stesen bas Jalan Pekeliling untuk menaiki bas ke Jengka. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam kerana pada masa tu lebuh raya MTD belum ada lagi. Pagi Ahad, kami akan balik ke KL bersama hubby. Sebelum subuh hari Isnin, hubby akan drive semula ke Jengka. Keadaan ini berterusan sehinggalah aku mendapat surat pertukaran pada pertengahan Mac 2000.

Foto : 1) Hari-hari terakhir Adik bersekolah di SK Ampang; Abe & Emi di SMK Datuk Ahmad Razali, Ampang. 2) Papa di depan rumah di Desa Jaya, Jengka

Sunday, March 29, 2009

Mercu View Resort


Hari Sabtu lepas, selesai program di sekolah, lebih kurang pukul 1.15 tengah hari aku dengan hubby terus ke Jengka. Sudah janji dengan Adik untuk ke sana. Sampai lebih kurang pukul 3.00 ptg, terus check in di Mercu Resort. Pukul 4.30 ptg baru ambil Adik di Kompleks Siswi (sebenarnya dia ada program), terus ke Pasar Malam di Bandar Jengka.

Setiap kali bertemu, sejak dulu lagi, Adik tidak berhenti bercerita, ada sahaja cerita yang hendak dikongsi. Antaranya ... "Mak, kalaulah di tempat Adik belajar ni pihak pengurusan boleh buat seperti yang Pengarah UiTM Johor buat, alangkah eloknya. Ramai kawan-kawan Adik kata begitu..." Saya hanya senyum mendengar celotehnya.

Malam, dalam pukul 8.00, hantar Adik ke UiTM kerana ada program sempena 'Earth Hour'. Semua lampu dipadam selama 1 jam mulai 8.30 malam. Students dikumpulkan di dewan dengan program yang telah disusun.

Pagi tadi, terus ke Klinik Fadzillah Jengka. Adik perlu dapatkan suntikan meningitis (ACY 135), untuk urusan Visa Umrah akhir Mei nanti. Selesai urusan di klinik, bawa Adik breakfast di Restoran Sukaramai dan hantar dia balik ke kampus (katanya ada mesyuarat MPP). Lepas tu, lebih kurang pukul 11.00 pg aku dan hubby terus balik ke Kuantan.

Sebenarnya, pertama kali kami menjejakkan kaki ke Jengka pada Februari 1990 - cuti umum sempena Cuti Tahun Baru Cina. Masa tu kami menetap di KL, saja singgah ke Bandar Pusat Jengka selepas pergi ke majlis kenduri di Jengka 18, dan sebelum itu bermalam di rumah Abg Mi di Felda Sebertak (Gugusan Bera). Ketika itu, Adik baru berusia 7 bulan; Emi 2 tahun lebih dan Abe 3 tahun lebih.

Lihat foto yang diambil pada tahun 1990 di depan Mercu View Resort.

Kisah keluarga kami di Jengka akan disambung nanti ...