Showing posts with label lawatan. Show all posts
Showing posts with label lawatan. Show all posts

Thursday, March 14, 2013

JEJAK SEJARAH DI PEKAN SG LEMBING.....


13 MAC, Rabu - Persatuan Sejarah dan Persatuan BM SMKTP seramai 40 orang ahli bersama-sama 4 orang guru penasihat telah berkunjung ke pekan Sg Lembing, melawat sambil meninjau dan menghayati tinggalan sejarah di sana.  Kami ke Muzium Sg Lembing terlebih dahulu sebelum menjejak tinggalan sejarah di bekas tapak lombong bawah tanah yang dikatakan paling besar dan paling dalam di dunia....



Lawatan sambil belajar ini merupakan salah satu daripada aktiviti persatuan untuk tahun ini.  Kami mengadakan lawatan ini pada hari persekolahan, iaitu hari Rabu kerana menurut pihak pengurusan di sana, pada hari Sabtu dan Ahad terdapat ramai pengunjung dalam kalangan orang awam dan pelancong asing.  Bayaran yang dikenakan untuk seorang murid adalah sebanyak RM7.00 sahaja.


Berikut sedikit catatan tentang sejarah latar belakang dan asal usul pekan perlombongan yang tersohor suatu ketika dahulu.....

Nama Sungai Lembing dipercayai berasal dari perkataan ‘lembing’ sejenis senjata yang digunakan dalam perburuan. Kisahnya berkisar pada sekumpulan pemburu di satu kawasan hutan yang dikatakan telah melontar sebatang lembing pada seekor kijang. Dalam usaha kijang itu untuk menyelamatkan diri, kijang tersebut telah terjun ke dalam sungai dan hilang bersama-sama dengan lembing yang tercucuk di badannya.


Sungai Lembing merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di dalam daerah Kuantan, Pahang Darul Makmur. Sungai Lembing dikenali sebagai pekan perlombongan kerana di sinilah wujudnya sebuah lombong bijih timah yang terdalam di dunia. Lombong bijih timah di sini berkembang maju ketika di era pemerintahan British dahulu, dan kini hanya tinggal sejarah yang amat unik.

dari jalan bertingkat berdekatan Shah Putra......


Jarak di antara Sg Lembing dengan bandar Kuantan ialah kira-kira 42km dan mengambil masa perjalanan selama lebih kurang 45 minit dengan menaiki kenderaan sendiri dan 1 jam dengan menaiki bas awam.  Berikutan kedudukan Sg Lembing yang agak jauh dari bandar, maka ramai yang tidak menyedari akan keunikan yang terdapat di sini, seperti keindahan alam semulajadi dan sejarahnya yang tersendiri. 


Setibanya kami di pekan Sg Lembing, kami disambut oleh Tok Empat salah sebuah kampung di sana, Pakcik Dol.  Pemandu bas yang kami naiki, Encik Zainal pula kebetulannya penduduk asal di situ telah banyak bercerita tentang rahsia di sebalik kegemilangan Sg Lembing suatu ketika dahulu.....ada fakta yang tidak direkod dalam catatan sejarah.   
 

Pekan Sungai Lembing pernah diibaratkan El-Dorado Timur di Tanah Melayu kerana di sini terletaknya sebuah perkampungan Inggeris yang istimewa di Lembah Sungai Kenau. Kegiatan perlombongan telah mewujudkan sebuah bandar sejak 100 tahun dahulu dan membuatkan pekan ini terkenal kerana lombong bijih timah bawah tanahnya adalah yang terdalam di dunia. Kedalamannya ialah antara 1,800 hingga 2,000 kaki di dalam perut bumi.


info sejarah pada dinding terowong.....


Walaupun Sungai Lembing merupakan sebuah kawasan yang terpencil, namun ia bertukar menjadi sebuah bandar yang berkembang maju hasil daripada kekayaan mineral yang bernilai tinggi. Kegiatan perlombongan bijih timah di Sungai Lembing bermula pada tahun 1906. Aktiviti ini dilakukan secara besar-besaran sebaik sahaja pengurusan perlombongan diambil alih oleh sebuah Syarikat British iaitu The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).

replika seorang pekerja lombong pada zaman kegemilangannya.....

Pada zaman kegemilangannya, Sungai Lembing dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti sekolah, hospital, kedai, balai polis, rumah kediaman, sistem pengangkutan yang baik dan lain-lain lagi. Dianggarkan penduduk Sungai Lembing ketika itu ialah berjumlah 10,000 orang penduduk.


Namun dalam meniti zaman kegemilangan tersebut, Sungai Lembing digugat oleh beberapa peristiwa hitam. Antaranya ialah kebakaran bangunan-bangunan kedai pada tahun 1921, kejadian banjir besar pada 1926, penjajahan Jepun pada 1941-1945 dan ancaman komunis pada tahun 1950-an. Segala peristiwa itu menyebabkan PCCL terpaksa membelanjakan wang yang besar untuk membangunkan semula Bandar Sungai Lembing. Namun demikian, tamparan paling hebat adalah kejatuhan harga timah di pasaran dunia pada tahun 1985 yang menyebabkan PCCL mengalami kerugian dan terpaksa menghentikan operasinya. Aktiviti-aktiviti di Bandar Sungai Lembing menjadi perlahan dan begitu juga ekonomi hariannya.

daripada info sejarah di dalam terowong.....


Penutupan lombong bijih timah memberi banyak kesan negatif kepada Bandar Sungai Lembing. Ia telah merubah wajah bandar ini yang sebelum ini riuh menjadi sunyi sepi. Bilangan penduduk mulai berkurangan, dan ramai yang berhijrah mencari rezeki ke tempat lain. Bandar Sungai Lembing pada saat ini menjadi seperti bandar mati kerana suasananya begitu suram.


Kemegahan Sungai Lembing yang dahulunya dikenali sebagai pekan termoden pada zamannya hanya tinggal kenangan kepada bekas-bekas pelombong bijih timah di sini. Ramai yang datang ke sini telah memberi jolokan pekan koboi kepada Sungai Lembing.

"nasi dagang istimewa turun temurun ada di sini, mee jawa pun ada...." kata pemandu bas kami.....


Setiap penghujung tahun iaitu di antara bulan Oktober hingga bulan Disember Sungai Lembing sentiasa dilanda satu bencana alam yang memang dijangka akan berlaku. Hujan yang turun dengan lebatnya telah menyebabkan kawasan rendah di Sungai Lembing mengalami banjir. Banjir yang berlaku selalunya mencapai ketinggian setinggi 2 meter dan banjir yang terbesar pada tahun 2001 mencapai ketinggian 4 meter. Namun banjir yang berlaku ada kalanya kecil dan kadang kala boleh membawa malapetaka kepada penduduk Sungai Lembing.



Apabila banjir berlaku, jalan penghubung antara pekan ini dengan bandar akan terputus. Keadaan ini menyebabkan penduduk di sini terputus bekalan makanan yang memakan masa selama tidak lebih dari seminggu.
Sg Lembing sentiasa dilanda banjir  zaman-berzaman.....


Selepas banjir surut, pekan ini berada di dalam suasana yang amat kotor dan disaluti oleh lumpur yang tebal. Namun perkara ini dianggap biasa oleh penduduk di sini kerana penduduk di sini sudah biasa mengalami keadaan seperti ini apabila banjir melanda.


Kini Sungai Lembing telah berubah wajah setelah Sungai Lembing diwartakan sebagai salah satu kawasan pelancongan di negeri Pahang. Sungai Lembing juga telah diwartakan sebagai Pekan Bersejarah. Ini kerana, kegiatan perlombongan bijih timah pada waktu dahulu menjadikan Sungai Lembing kaya dengan sejarah perlombongan dan ramai pengkaji-pengkaji dari luar datang ke sini untuk mendapatkan ilmu tentang perlombongan bijih timah bawah tanah di sini.


Sebuah muzium telah dibuka untuk mengekalkan sejarah perlombongan di sini. Dengan adanya muzium di sini, suasana Sungai Lembing sekali lagi berubah wajah kerana ramai pengunjung dari dalam dan luar negeri datang memeriahkan susasana di Sungai Lembing. Keadaan ini pasti mengembalikan nostalgia bekas pelombong yang masih setia menetap di sini.


Selaras dengan pembukaan muzium, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah meluaskan cawangannya di Sungai Lembing untuk menambahbaikan keindahan Sungai Lembing. Antara tempat yang dipulihkan ialah bekas tapak utama perlombongan dan Pekan Sungai Lembing itu sendiri. Usaha ini adalah untuk memudahkan pengunjung melawat ke tapak bersejarah itu. 



Hasil daripada usaha murni inilah telah membawa kami ke bekas tapak utama perlombongan yang suatu ketika dahulu menjadi rebutan banyak pihak, .... Semoga dengan lawatan ini akan meningkatkan kesedaran dan rasa bangga akan tinggalan sejarah di negara kita dalam kalangan generasi muda.

Terowong bawah tanah

Terowong bawah tanah atau 'pengkang' dikorek secara manual tanpa menggunakan bahan letupan. Sebelum kerja melombong dijalankan, ahli-ahli kaji bumi terlebih dulu mengkaji kedudukan longgokan bijih timah. Kajian dilakukan secara berterusan bagi memastikan aktiviti perlombongan akan terus beroperasi.

Terowong terdalam ialah lombong Myah. Lombong ini terletak 700 meter ke bawah dasar bumi manakala lombong Taibeto pula mencecah 500 meter ke dasar bumi. Jarak di antara setiap tingkat adalah lebih kurang 30 meter.  Lombong yang dibuka untuk tatapan pengunjung ialah lombong Taibeto..... kami dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua orang kakitangan yang bertugas memberi penerangan tentang lombong ini kepada kami

naik 'tren' untuk masuk ke dalam terowong sebelum memulakan perjalanan kami.....



info sejarah yang terdapat di dalam terowong lombong bawah tanah ini.....


tekun mendengar......
info sejarah.... syaf Myah.......
terus menjejak tinggalan sejarah......
kisah yang terjadi, misteri yang tersembunyi......

jalan ke syaf Myah ditutup....  kedalamannya mencecah  700m ke bawah tanah....
ingin mencuba......
semoga lawatan ini memberi manfaat kepada mereka.....

Di sepanjang jalan menjejak sejarah di dalam terowong, minda melayang ke era awal kurun ke-20..... banyaknya hasil bumi kita 'dirompak' dan dibawa pergi jauh ke negara mereka..... 

menyusuri jalan pulang setelah selesai jejak sejarah buat kali ini.....
mereka pulang bersama rentetan kisah yang kini tersimpan dalam lipatan sejarah....

tanda kenangan menjejak sejarah di pekan koboi.....

tanda kenangan......

 ..... secebis kisah tanah pusaka bonda tercinta yang kaya-raya, tetapi hasilnya dibawa pergi.....semuanya kini menjadi sejarah.....



Wednesday, May 23, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (4) : bas mogok & kek lapis

Bas yang kami naiki menuruni Kampung Budaya Sarawak terus menuju ke pusat bandar Kuching.  Kami pada asalnya dijangka ke tempat pembuatan kek lapis yang sangat popular di Sarawak.

Encik Pemandu melencongkan menuju ke bangunan Dewan Undangan Negeri.  Kata Encik Pemandu, biasanya ramai pelawat yang akan berkunjung ke bangunan DUN itu.... Saya berkata kepada suami, hari ini bermula persidangan DUN, sudah pasti pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan bangunan DUN.
bangunan Dewan Undangan Negeri tersergam megah di tebing Sungai Sarawak....

Ketika bas yang kami naiki sampai betul-betul di pintu masuk bangunan DUN, tiba-tiba enjin bas terhenti.   Ketika itu waktu sudah melewati pukul 1.30 tengah hari.  Persidangan ditangguhkan untuk berhenti rehat. Abe Him, Abe Safuan, Ariff, dan suami turun dari bas dan 'bersantai' di bawah kanopi di persimpangan jalan ke bangunan DUN.

pandangan dari atas bas yang mogok....'part-time' ....
Dari jauh kelihatan anggota persidangan turun dari bangunan DUN menuju ke tapak letak kereta untuk pulang. Mereka melalui jalan tempat bas yang 'mogok' itu.   Mujurlah setelah 'dipujuk' beberapa ketika, bas tersebut dapat dihidupkan semula tetapi alat pendingin hawa perlu dimatikan.  Kami berada dalam keadaan 'suana' yang meresahkan...!  
pandangan dari arah pusingan "U" menuju ke pusat bandar....

Ketika bas kami mula bergerak membuat pusingan "U" di pintu masuk ke bangunan DUN menuju ke pusat bandar, kelihatan berderet-deret kereta keluar dari kawasan tersebut....Mujur sekali lagi, ketika itu kami sudah mula bergerak meninggalkan tempat itu.

Dalam keadaan berhati-hati dan 'bersauna', bas kami menuju ke kawasan pembuatan kek lapis Sarawak.  Hanna membawa kami ke kilang Kek Lapis Dayang Salhah.  Kedai/ kilangnya tidaklah berapa besar, tetapi ramai sungguh pengunjungnya.  Kami disambut mesra dan diberi stiker berwarna kuning yang dilekatkan pada lengan baju. 
di kedai kek lapis Dayang Salhah

Seronok juga 'mencuba-cuba' sampel kuih lapis itu.  Bermacam-macam jenis kek lapis disediakan di dalam bekas yang diletakkan di atas meja rendah di tengah-tengah ruang.  Rasanya seperti Hari Raya pula.  Selepas merasa hampir semua jenis sampel dan terasa sudah agak kenyang, kami pun mulalah memilih kek yang disukai.  Kek-kek ini diletakkan di dalam bakul dan dibawa ke kaunter bayaran.  Kek-kek tersebut dimasukkan ke dalam kotak dan dibungkus rapi.
sticker....

Dari kilang kek lapis Dayang Salhah kami berjalan kaki melintasi jalan menuju ke medan selera di tepi Sungai Kuching @ Sungai Sarawak, atau lebih tepat di Kuching Waterfront.   Waktu yang sesuai untuk kami mengisi perut yang sudah mula 'menyanyi-nyanyi'.... 

Ramai juga yang membuat pesanan Nasi Kerabu Kelantan.  Nampak dari jauh, cukup syaratnya.  Lengkap dengan budu lagi.  Saya dan suami memesan nasi goreng ikan terubuk.  Dua kali buat pesanan di gerai yang berlainan, barulah dapat makan dengan selesa....!
makanan di sini boleh tahan, terasa di tekak....

Bas yang kami naiki menunggu kami di seberang sungai.  Jadi, kami perlu menyeberangi sungai dengan perahu tambang untuk menjimatkan masa.  Tambang perahu tersebut hanyalah sebanyak RM0.50 sen.   Seronok juga sekali sekala melalui pengalaman begini.
menuju ke perahu untuk menyeberangi sungai....

Dulu, ketika usia remaja selalulah juga saya menyeberangi Sungai Kelantan menggunakan motobot dari pangkalan Seberang Pasir Mas ke bandar Pasir Mas untuk ke rumah seorang sahabat, TUAN HASNAH RAJA HASSAN.  Ketika itu belum ada jambatan yang menghubungkan Jalan Pasir Mas - Salor dengan bandar Pasir Mas di seberang Sungai Kelantan.
bersantai menghirup udara segar di Kuching Waterfront.....

Kami menjejakkan kaki di pangkalan seberang sana dengan selamatnya.   Kami menyusuri jalan di sepanjang deretan bangunan kedai lama untuk meninjau cenderamata yang akan dijadikan buah tangan kenangan.... Yang lainnya, Kak Ha dan Abe Him bersantai  di pelantar rehat berbentuk bulat di tepi sungai sambil memerhati cucunda kesayangan bermain....sementara menunggu bas tiba.  
asyik sekali dengan "baby angkasa" nya....

Beberapa ketika menunggu, bas pun tiba.  Jangkaan kami, bas lain akan menggantikan bas yang 'mogok' tadi. Rupa-rupanya kami akan balik ke inap desa dengan bas yang sama. Bas yang 'mogok' di depan bangunan DUN. Kami berdoa dalam hati agar perjalanan kami tidak akan tergendala.  Kami tiba di inap desa dalam keadaan 'bersauna' dengan selamatnya walaupun dua kali juga enjin bas terhenti ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau....


Pada sebelah malamnya, kami diundang oleh Encik Wasta dan Puan Masnah untuk makan malam di rumahnya di BDC....  

Inilah pengalaman yang indah dan menyeronokkan untuk dikenang di sepanjang jalan pulang....

Monday, May 21, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (3) : Kampung Budaya Sarawak

Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan seni budaya yang unik.  Sejenak di bumi Kenyalang mendekatkan diri saya dengan keindahan dan keistimewaan budaya hidup pelbagai etniknya.  
Kampung Budaya Sarawak....

Hari ke-3, 14 Mei 2012 di bumi Kenyalang, pagi-pagi lagi selepas sarapan, kami berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village).  Kunjungan ke Kampung Budaya Sarawak merumus segala inti sejarah, budaya dan keistimewaannya.  

Terletak di kaki Gunung Santubung sejauh 35 kilometer dari bandar raya Kuching dan tersorok di tengah-tengah kehijauan hutan hujan, KBS mencanang pakej dan agenda lawatan yang unik lagi menyeronokkan.  Dalam keluasan 14 ekar landskap semula jadinya, KBS menghimpunkan diversiti kumpulan etnik utama Sarawak dalam persekitaran yang benar-benar serupa dengan kehidupan mereka di seluruh Bumi Kenyalang.
Gunung Santubung dari kejauhan....

Dalam perjalanan ke KBS, dari kejauhan kelihatan megah berdiri Gunung Santubung yang menjadi kebanggaan penduduk bumi Kenyalang yang penuh dengan ceritera rakyat lagenda negeri Sarawak.  Untuk ke sana kami melalui Damai Beach Resort dengan pasirnya kelihatan halus memutih menghiasi gigi pantai, mengindahkan panorama pantainya.  

Sesampainya kami di KBS, kami terus membeli tiket yang nilainya RM60.00 untuk seorang dewasa.  Bagi warga emas, pelajar universiti / murid sekolah dapatlah sedikit diskaun.  Agak mahal juga.  Hanya Che' yang mendapat separuh harga kerana berada dalam kategori Warga Emas...!   
Pasport ke KBS bernilai RM60.00....

Kami diberi 'pasport' sebagai pas masuk ke KBS. Variasi ucapan yang menyambut kedatangan tetamu sejurus melewati pintu masuk kampung di kaki Gunung Santubong ini amat jelas mewakili sistem sosio majmuk yang menjadi penghuni di dalamnya.
menapak ke rumah tradisional etnik Sarawak....

Kami mulalah berjalan-jalan dan singgah turun naik semua rumah yang ada di situ.  Tangganya tinggi-tinggi.  Ada rumah yang tangganya cuma batang kayu yang ditakak untuk tempat menapak.  Nak naik memang senang, tetapi bab nak turun tu yang gayat sikit. 
kenangan di rumah panjang kaum Iban....

Ada tujuh buah rumah semuanya, iaitu Rumah Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Penan, Melayu , Cina dan  Rumah Melanau. Mendaki tangga tinggi rumah Orang Ulu, bermain buai di bawah rumah Melanau dan belajar menyumpit di pondok Penan adalah antara aktiviti yang boleh dicuba. 

Selain 'apa khabar' dan 'ni how' yang biasa didengari di Semenanjung Malaysia, sesekali terdengar juga ucapan salam yang lain bunyinya. 'inou dengah', 'damea brita', 'nama brita', dan 'nu denge', itu semua bersahut-sahut daripada bibir mereka yang kelihatan bangga menyarung pakaian tradisional masing-masing.  

Selepas diamati betul-betul wajah, dan pakaian mereka   barulah kami dapat membezakan satu-persatu orang yang menyambut penuh senyum itu.   Melanau, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu, terasa sungguh istimewa dan betapa bumi Sarawak ini kaya dengan entiti seumpamanya.
jambatan ke rumah kaum Penan....bersama Kak Ha, Mek & Zue

Dalam turun naik rumah-rumah tersebut, kami seronok tengok gelagat 3 beradik cucunda kesayangan Kak Ha dan Abe Him.  Mereka sedang dalam fasa semua benda nak buat sendiri.  Cepat saja mereka 'memanjat' tangga termasuklah si adik Nisa.  
Nisa sabar menunggu untuk didukung menuruni tangga...

Ada suatu ketika di dalam rumah Orang Iban, tengok-tengok ketiga-tiga si cilik ni sudah ada di atas loteng.... Masa naik cepat sahaja, tetapi nak turun mungkin mereka terasa sedikit gayat, terpaksalah ayahanda mereka naik ke atas dan dukung  seorang demi seorang menuruni tangga....

Kami tidak sempat singgah di semua rumah etnik itu.  Kami mengejar masa untuk menonton persembahan kebudayaan yang dijangka bermula pada pukul 11.30 pagi di Theatre KBS.... Semua rangkuman kehidupan itu boleh disaksikan dalam persembahan budaya selama 45 minit di panggung KBS.   
tarian tradisional etnik di Sarawak....

Kami mengambil tempat duduk di barisan hadapan panggung.  Jangan pula terkejut kalau tiba-tiba disergah oleh pahlawan-pahlawan Iban yang bersenjatakan parang dan tombak. Juga bersedialah untuk menyerah diri kalau tempat duduk dijadikan sasaran sumpit.

PERTUNJUKAN budaya di panggung KBS menghimpunkan lagu-lagu, kostum ekstravaganza dan tarian etnik negeri.  Di atas pentas yang sarat ciri teater itu juga, kita disaksikan oleh kenakalan bakat-bakat ini mengusik para tetamu wanita di panggung itu. Sememangnya menghiburkan!

Walaupun tidak sempat menghabiskan 'penjelajahan' kami ke seluruh kampung etnik ini, namun kami tetap berpuas hati dengan pengalaman separuh hari di Kampung Budaya Sarawak."


Yang pasti, pengunjung Kampung Budaya Sarawak boleh mendekati gaya hidup pelbagai kaum dari pelbagai aspek termasuk makanan, muzik dan juga aktiviti yang berkaitan dengan alam semula jadi.
 

Kepelbagaian kaum dan etnik merupakan tarikan utama di kampung yang bertindak sebagai muzium hidup ini.  sewajarnyalah bukan sahaja warga asing, malah kami rakyat Malaysia yang datang dari Semenanjung juga kagum dengan apa yang kami temui ini....

Kami turut difahamkan bahawa KBS menyediakan pakej perkahwinan yang membolehkan pasangan pengantin meraikan hari bersejarah mereka dengan persediaan persalinan dan sambutan yang mengikut adat Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau atau Cina.

Pengalaman disambut dengan aneka ucapan salam kaum etnik, merentas sungai dengan titi buluh, hampir 'disumpit', dan kemudian diajak menari tarian tradisional, tidak mungkin kalau satu pun daripada pengalaman itu tidak membuatkan tetamu tersenyum dan terkenang-kenang kembali saat melangkah pulang! 
rehat sekejab sebelum meninggalkan Kampung Budaya Sarawak....
 
Keluar dari Kampung Budaya, pemandu bas membawa kami menjenguk Kuching Waterfront....

....bersambung.

 

Wednesday, November 16, 2011

Mengintai Mek Bunga di Kuala Gandah


3 November lepas, hari Khamis beberapa hari sebelum cuti Hari Raya Aidil Adha kami telah mengadakan lawatan mendekati alam sebagai salah satu aktiviti selepas PMR bersama-sama 100 orang murid Tingkatan 3. Rombongan 3 buah bas bersama-sama 10 orang guru pengiring terdiri daripada 4 orang kaunselor, GPK Hem, serta 5 orang guru Tingkatan 3... saya, Yin Yoke Chan, Rosni, Ruslina dan Rosmiza.

Destinasi kami adalah ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lancang. Tempat ini terletak di kawasan perkampungan Orang Asli suku Che Wong dan Temian. Kami bertolak seawal pukul 7.45 pagi dan sampai di Kuala Gandah 2 jam kemudian. Ada beberapa kumpulan murid prasekolah yang juga baru tiba. Tepat pukul 10.30 pagi kami berkumpul di tapak khas yang lapang untuk diperkenalkan kepada beberapa ekor gajah.

Satu sesi taklimat ringkas disampaikan oleh Encik Rasli berkaitan dengan Pusat Konservasi ini. 5 ekor gajah ditampilkan dan diperkenalkan kepada kami, iaitu Timur, 37 tahun dari Johor; Mawar, 11 tahun juga dari Johor; Pyan, 37 tahun dari Myanmar; Kala dan Akot berusaia 16 tahun. Kemudian kami diberi peluang memberi makanan kepada gajah sambil bergambar dengan gajah-gajah berkenaan. Ini diikuti dengan aktiviti menunggang gajah.

Menurut Encik Rasli, setiap aktiviti yang dijalankan, misalnya memberi makanan kepada gajah mempunyai tujuan tertentu, iaitu untuk mempamerkan rasa sayang dan prihatin kita terhadap gajah-gajah 'yatim piatu' ini yang telah terpisah daripada induknya. Gajah sangat sensitif terhadap persekitaran.

Semasa sesi berkenalan dengan gajah denak ini, saya ternanti-nanti dan mengintai-intai kemunculan Mek Bunga, tetapi malangnya Mek Bunga direhatkan pada masa itu. Sebelum bertolak ke Kuala Gandah lagi, saya sudah berkira-kira untuk bertemu Mek Bunga. Ingin melihat bersua dan mengusap badannya. Kulit gajah yang agak kasar tetapi amat sensitif.... Sebelum bertolak ke Lancang pada pagi tersebut, Puan Suriani sempat 'berkirim salam' untuk Mek Bunga.

Mek Bunga dan se
ekor lagi gajah betina yang diberi nama Lokimala, berusia 70 tahun lebih merupakan dua ekor gajah denak atau gajah pemujuk yang paling tua. Mereka digunakan untuk 'menggoda' dan memujuk gajah yang diselamatkan untuk bertenang dan naik ke lori sebelum dibawa ke Pusat Konservasi Gajah ini. Sudah banyak jasa dan sumbangan Mek Bunga dalam usaha 'memujuk' gajah-gajah liar untuk dijinakkan.

Mungkin ada pengunjung di sini pernah terbaca dalam akhbar tentang kisah atau cerita dua ekor gajah denak ini membantu pihak PERHILITAN dalam operasi pemindahan gajah gajah liar yang telah kehilangan habitatnya. Yang terbaru, pada bulan Jun lepas, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Jabatan PERHILITAN telah menangkap seekor gajah betina liar yang dilaporkan memusnahkan tanaman penduduk di beberapa buah kampung di Mukim Baka dan Cherang Hangus, Machang Kelantan.

Gajah betina yang dianggarkan berusia 25 tahun dan seberat 1.5 tan itu telah dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Ke
bangsaan, Kuala Gandah untuk dijinakkan. Operasi itu mengambil masa selama satu jam hasil bantuan gajah denak Mek Bunga dan Kala serta sepasukan anggota PERHILITAN negeri dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.

Tahukah anda, kos setiap kali proses tangkapan gajah liar yang dilakukan oleh Jabatan PERHILITAN dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan ini menelan belanja lebih kurang RM35 ribu...!

Sebenarnya, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang lokasinya berdekatan dengan Hutan Simpanan Hidupan Liar Krau telah ditubuhkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada tahun 1989. Pusat ini merupakan ibu pejabat Pasukan Pemindahan Semula Gajah yang telah wujud sejak tahun 1974.

Unit Gajah merupakan satu pasukan yang unik di Malaysia di mana peranan utama unit ini adalah untuk menempatkan semula gajah-gajah liar yang habitatnya telah diambil alih oleh kawasan pertanian.
Gajah liar ini akan ditempatkan semula ke kawasan-kawasan perlindungan seperti di Taman Negara.

Sejak lebih 30 tahun yang lalu, pasukan yang dahulunya terdiri daripada 25 ora
ng ahli telah berjaya memindahkan lebih daripada 450 ekor gajah liar di mana proses pemindahan ini bertujuan untuk meminimumkan risiko kepupusan yang berterusan.

Selain berfun
gsi sebagai ibu pejabat untuk unit gajah, pusat ini juga merupakan tempat perlindungan bagi beberapa ekor gajah denak dan liar. Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah juga mempunyai matlamat untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh gajah di Malaysia.

Selain itu, pusat pemuliharaan ini menggalakkan kajian dan penyelidikan berkaitan teknik pemindahan semula dan konservasi gajah.

Pusat ini juga giat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar. Para pelawat digalakkan untuk menonton dokumentari tentang proses pemindahan semula gajah liar yang dilakukan pada 1996 dengan kerjasama krew Nationa
l Geographic.

Pusat ini mempunyai beberapa ekor gajah tempatan yang dibawa masuk daripada Thailand dan Myanmar. Gajah-gajah ini dilatih dan digunakan untuk memindahkan gajah-gajah liar dari kawasan-kawasan yang bermasalah di seluruh Semenanjung Malaysia. Pusat ini juga memelihara anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh ibunya untuk memastikan anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh ibunya terus hidup.

Gajah Asia kini dikategorikan sebagai spesies yang kian terancam dengan anggaran yang kurang daripada 1,200 ekor gajah liar di Semenanjung Malaysia.

Melindungi gajah Asia liar atau Elephus Maximus secara langsungnya membantu melindungi ribuan jenis sp
esies lain yang terdapat dalam lingkungan habitat gajah tersebut. Gajah membuka denai-denai dan menumbangkan pohon-pohon yang menjadi sumber makanan semula jadi yang sangat diperlukan untuk haiwan yang lebih kecil umpama jentolak semula jadi, serta menyebarkan biji-bijian di dalam najisnya.

Walau bagaimanapun disebabkan oleh kekurangan habitat, gajah kini
terpaksa mencari makanan di kawasan pinggir hutan yang telah bertukar rupa menjadi kawasan perladangan dan penempatan manusia. Pencerobohan ini menyebabkan kerugian pihak terbabit.

Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah ini memberikan pelawat peluang untuk mempelajari dengan lebih lanjut mengenai haiwan mamalia yang besar ini serta pengalaman menunggang gajah di persekitaran hutan dengan bantuan seorang mahout atau pemandu gajah. Hampir 50 orang murid SMKTP diberi peluang menunggang gajah. Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk menunggang "Mawar" bersama anak didik dari kelas 3K8, Ayu Wulandari dengan bantuan mahout atau pemandu gajah. Agaknya, inilah percubaan yang pertama dan terakhir untuk saya....

Selain itu, pelawat yang berani dan menginginkan pengalaman yang berlainan pula berpeluang menunggang gajah ke sungai dan memandikannya...! Tidak ada di tempat lain di mana anda boleh mendekati haiwan mamalia yang besar ini seperti ini... Disebabkan jadual untuk gajah mandi adalah pada pukul 2.30 petang, jadi kami tidak sempatlah mencubanya kerana terpaksa beredar ke auditorium untuk tayangan video "Simfoni Alam" sebelum singgah di Deer Land dalam perjalanan keluar dari Kuala Gandah ini...

Sebaik sahaja kami tiba di Taman Rusa, hujan mulai turun dan aktiviti terhenti seketika. Ketika ini petugas di Taman Rusa memberi peluang kepada murid SMKTP bergambar dan 'bermesra' dengan dua ekor ular yang agak besar juga. Setelah hujan teduh, murid-murid mula mendekati rusa dan memberi rusa-rusa itu makanan....

Kami bertolak balik ke Kuantan lebih kurang pada pukul 2.30 petang dan tiba di sekolah menghampiri pukul 5.00 setelah berhenti makan di R & R Temerloh untuk seketika....

Lawatan mendekati alam ini amat menyeronokkan dan diharap dapat memberi sedikit kesedaran kepada generasi muda peri pentingnya menyelamat dan memelihara hidupan liar di negara kita....