Thursday, February 7, 2013

Kuih Bakul, Atuk dan Kenangan....


Tinggal beberapa hari sahaja lagi masyarakat Tionghua di seluruh dunia akan menyambut Tahun Baharu Cina atau dalam perbualan biasa, kami sebut sebagai "Raya Cina".

Menurut Wiki, Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Tahun 2013, atau tahun 1411 dalam kalendar qamari Cina merupakan Tahun Ular.

Menurut Wikipedia, "Gong xi fa cai" (Tulisan Cina Tradisional: 恭喜發財; Tulisan Cina Ringkas: 恭喜发财; pinyin: gōngxǐ fācái; Bahasa Kantonis (Yale): gūnghéi faatchòih; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai "Tahniah dan semoga mendapat rezeki" atau “Selamat Bertambah Kaya”..

Bagi masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baharu bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru. Acara terbesar pada malam Tahun Baharu Cina ialah ‘makan besar’ atau jamuan pertemuan semula. Bagi masyarakat Cina, makan besar cukup signifikan kerana semua anggota keluarga baik yang jauh mahupun dekat, akan kembali untuk mengeratkan talian perhubungan sesama keluarga di samping menikmati juadah-juadah lazat seperti ayam, ikan, itik, sup sirip ikan yu dan sayur-sayuran kemakmuran (prosperity vegetables).

Selain ‘makan besar’, Tahun Baharu Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Dulu, semasa zaman kanak-kanak...minggu-minggu terakhir sebelum “Raya Cina”, Atuk akan bawa balik banyak buah limau mandarin dan
kuih bakul yang dihadiahkan oleh kawan-kawannnya di sekitar bandar Kota Bharu.

Atuk yang dikenali sebagai Tok Mandur Daud, mempunyai ramai kenalan dalam kalangan masyarakat Cina kerana sejak sebelum Perang Jepun lagi Atuk merupakan seorang mandur Majlis Bandaran Kota Bharu (kini MPKB) yang dikenali ramai.

Kuih bakul yang Atuk bawa balik ada yang dibalut dengan daun pisang dan ada yang berbalutkan plastik lutsinar nipis. Disebabkan banyak sangat, kami agak memilih… pilih yang enak-enak sahaja… kuih bakul itu akan dipotong menjadi kepingan sebelum dimakan… Kuih bakul ini tahan lama walaupun tidak disimpan di dalam peti ais…!

Kuih bakul, nian gao atau kuih Tahun Baharu Cina merupakan kuih yang terkenal dalam masyarakat Cina. Sungguhpun boleh dimakan pada bila-bila masa, secara tradisi kuih ini paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina. Bagi masyarakat Cina, kuih bakul dipercayai membawa tuah kepada si pemakan pada hari perayaan ini kerana "nian gao" juga membawa erti "makin tahun makin tinggi."

Kuih bakul mempunyai pelbagai jenis, namun begitu ramuan utamanya ialah pulut. Pulut dikisar dan diacu mengikut kehendak atau boleh dimasak semula dengan menambahkan ramuan atau bahan-bahan lainnya. Kuih bakul yang biasa saya makan dahulu ialah jenis yang manis, dimaniskan dengan gula hitam, dengan warna kuning tuanya yang menonjol.

Dahulu, orang-orang Melayu Kelantan mahir membuat kuih bakul yang sememangnya digemari oleh semua lapisan masyarakat di sana. Menurut Atuk, banyak pantang larangnya untuk membuat kuih bakul ini dan proses mengukus kuih bakul juga mengambil masa yang lama, iaitu sehingga 8 jam. Kini, sudah lama saya tidak merasa keenakan kuih bakul...


Kepada rakan taulan dan anak-anak didikku (termasuk bekas murid di SMKTM & SMKTP) yang berbangsa Tionghua, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Gong xi fa cai"..... 







No comments: