Wednesday, February 24, 2010

Rindunya akan kampung halamanku .....


Sudah agak lama aku tidak pulang menjenguk kampung halamanku. Hampir 4 purnama berganti hari, siang dan malam....

Sepanjang bulan November / Disember, walaupun pada musim libur yang panjang, tugas yang menghambat hari-hari sunyiku tidak mengizinkan aku untuk pulang ke kampung. Tambahan lagi, sepanjang dua bulan kebelakangan ini, aku pula banyak menghabiskan hujung mingguku di kota raya KL.

Esok kami bercadang untuk balik ke kampung.... Kampungku di Kota Jelasin @ Wakaf Sena, KB dan kampung mertuaku di Batang Merbau, Tanah Merah. Jumaat merupakan cuti umum sempena Maulidur Rasul.... dan aku memohon CRK pada hari Isnin. Dapatlah aku berlibur beberapa hari di negeri kelahiranku...

Kampung halaman adalah bingkai kenangan dan harapan yang tidak pernah usang. Selalu kuat menahan erat gambar rangkaian perjalanan kehidupan. Betapa jauh sekalipun seseorang itu merantau, di sudut hati pasti akan kembali ke kampung halaman jua. Seolah-olah telah terpikat dan tidak bisa melompat, memudar hasrat.

Kembali ke kampung halaman, mengimbau memori kala bersama leluhurku yang makin hari kian jauh meninggalkan dunia yang fana ini.... Ah... rindunya aku ... Che Yusof, Mok Lijah, Che Daud....Papa, Mama, Mek dan semua yang sentiasa dekat di hatiku....

Terpahat dalam memori, rakan-rakan sepermainan.... sama-sama berlari meniti permatang sawah, menangkap belalang kala musim menuai sudah berakhir... bermain bola 'kaki tiga' dan 'bola wa' dengan penuh gaya... berkejaran bermain 'to jail'. Sering kali juga bersama Noni menyusuri tali air melihat Pakcik menjala ikan atau menangguk udang.... entah di mana mereka sekarang....

Sesekali pulang ke kampung, teringat akan sepat dan puyu yang digoreng garing oleh Mama, di makan dengan nasi panas berasap... tapi kini, hanya tinggal kenangan .... sepat dan puyu sudah kian pupus, tidak seperti zaman kanak-kanakku dahulu....

Di antara kota yang telah menjadi saksi perjalanan kisah, kampung halaman akan tetap ramah untuk menumpahkan kerinduan yang indah. Meski hanya sesekali dijengok, tetapi kampung halaman takkan merengek. Kampung halaman tetap menanti kita kembali, untuk diinjak, meski hanya berpuluh hentakan kaki.

Pulang ke desa kelahiranku, sesekali terasa ingin berlari tanpa alas kaki di atas tali air atau di sepanjang permatang sawah. Tersenyum pada awan biru yang terhias kepakan sayap merpati, nuri dan sejenisnya. Bukankah kedamaian ada di sini, di hati yang berbisik mesra pada hembusan angin,

“Tuhan betapa indah dunia-Mu.”

Lalu rasa lelah pun dibasuh, dengan air jernih yang masih tersisa. Di sana, di kampung halaman.

Thursday, February 18, 2010

Indahnya Persahabatan

Hari ini sekali lagi, terdetik di hati untuk menulis sesuatu tentang SAHABAT. Pertemuan yang baru berlalu Isnin lepas, mengingatkan saya akan beberapa episod perjalanan hidup berhubung dengan SAHABAT...

Sesungguhnya, kerinduan menjadi sebahagian daripada kehidupan bersahabat. Pertemuan lepas, walaupun hanya untuk seketika, cukup untuk meleraikan rindu yang sekian lama sarat di hati...rindu seorang SAHABAT...

Apa yang kita lalui demi SAHABAT, kadang-kadang menyeronokkan, kadang-kadang melelahkan, dan kadang-kadang menjengkelkan… tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah. Persahabatan sering berdepan dengan dugaan @ ujian, tetapi persahabatan sejati pasti dapat mengatasi setiap dugaan yang mendatang, bahkan menjadikannya bertambah mekar dan keharumannya mewangi di sepanjang perjalanan hidup kita...

Persahabatan tidak terjalin secara sendirinya. Persahabatan memerlukan proses yang panjang, ibarat besi menajamkan besi, demikianlah sahabat menajamkan sahabatnya. Persahabatan diwarnai dengan pelbagai pengalaman suka dan duka, dihibur-disakiti, diperhatikan-dikecewakan, didengar-diabaikan, dibantu-ditolak...namun, semua ini tidak pernah sengaja dilakukan dengan tujuan kebencian.

Sepanjang perjalanan kehidupan ini, teman-teman datang silih berganti, namun begitu bukan mudah untuk kita tahu huluran persahabatan sejati. Saat air mata berguguran dan masalah muncul menjenguk diri, saat itu sesiapa yang ada bersama, itulah sahabat sejati.

Marilah sama-samalah kita renung dan hayati indahnya erti persahabatan dari pandangan mata hati Sdr. Khalil Gibran dalam sajaknya : SAJAK PERSAHABATAN,

".... Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih dan dia pulalah naungan dan pendianganmu kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian...

...bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.
dan bilamana dia diam, hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan

Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita; kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

...dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan. Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya,
bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan. dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu. Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.

Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu? Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu! Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.

...dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan...Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan......"


Sesungguhnya, bukan mudah untuk seseorang yang asing sanggup untuk bersusah dan bersenang dengan kita; persahabatan dihulur tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran, bukan juga kerana status yang dipegang, kadang-kala itu menyukarkan kita untuk mengenali siapa sahabat dan siapa teman. Banyak juga orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianat sahabat sendiri... sahabat, kadang-kadang sukar ditelah...

Sahabat semua, biar badai menerajang, biar gempa menghadang...pastikan persahabatan antara kita tetap kukuh di hati... dan tidak bisa dikalahkan hanya dengan keegoan diri....

Tuesday, February 16, 2010

Dulu & Sekarang... setelah 25 tahun berlalu...






Pertemuan selepas 25 tahun meninggalkan Jabatan Pengajian Melayu, UM ... memberi 1000 makna.....

Semoga kita semua diberi kesempatan untuk berkumpul lagi pada masa akan datang....

Terima kasih Ina, Zana & Jamal... serta semua yang hadir...

Sunday, February 14, 2010

Lembah Pantai Menggamit Memori



Esok 15 FEBRUARI 2010, buat ulung kalinya selepas 25 tahun berpisah, satu majlis santai 'reunion' akan di adakan di Dewan Muruh, Kolej Kediaman Ke-10, UM. Idea untuk mengadakan majlis ini sebenarnya sudah lama timbul, cuma 2 bulan lepas Puan Zarina Zainol Abidin (yang bertugas di UM) mengambil tanggungjawab untuk merealisasikannya. Dengan inisiatif beberapa orang rakan lagi, insyaallah majlis reunion ini akan menjadi kenyataan esok...!

Majlis ini sangat signifikan bagi semua bekas penutut Jabatan Pengajian Melayu @ Budaya 1982/1985 kerana 'reunion' ini akan mengembalikan nostalgia lama semasa mengharungi suka duka menjadi penghuni kampus biru ini. Perjumpaan ini juga diharapkan dapat mengeratkan semula silaturahim yang sudah kian jauh....

Dengar khabar, pertemuan kali ini tidaklah besar, tetapi sudah cukup membuatkan hati saya tidak sabar dan berdebar-debar. Jika sebelum ini kami hanya berhubung melalui telefon @ fb dan hanya menatap foto-foto kenangan yang berusia lebih 25 tahun... hati bertanya, bagaimanakah suasana pertemuan pada hari esok...?

Yang akan hadir nanti bukan sahaja dari kalangan rakan-rakan yang menetap di Lembah Kelang, tetapi ada yang datang dari jauh... dari Kedah, Kota Bharu, Batu Pahat, Kluang, Kuala Terengganu, Kuantan dan lain-lain tempat semata-mata untuk bertemu kembali teman-teman lama yang sama-sama menghuni kampus biru di Lembah Pantai. Walaupun tidak semua yang dijemput dapat hadir esok, tetapi jumlah 15 hingga 20 orang yang bakal hadir untuk perjumpaan selama 3 - 4 jam adalah suatu kejayaan bagi saya...pertemuan pertama kali selepas 25 tahun...

Barangkali ada dalam kalangan teman-teman yang tidak pernah menjejakkan kaki di Lembah Pantai ini selepas graduate pada tahun 1985... Kembali semula ke sini esok, hati pasti berbicara sendiri...menggamit nostalgia silam...

Saturday, February 13, 2010

Raya Cina.... Cina Kelantan @ Teluk Kandis - Pendek...



Tidak jauh dari rumah saya di
Kg Kota, terdapat beberapa petempatan masyarakat Cina yang lebih dikenali sebagai Cina kampung. Penempatan ini letaknya di Kg Teluk Kandis dan di Kg Pendek. Ada antara anak-anak mereka yang sebaya dengan kami dan menjadi rakan baik semasa bersekolah. 2 orang sahabat yang nama mereka masih dalam ingatan ialah WEE SAW LAN dan KANG GET NEE.

Saw Lan, tinggal di Kg Pendek, Jalan Salor, KB (merupakan kawan baik kakak saya), kami sama-sama belajar hingga ke menengah atas, dan sama-sama ‘graduate’ pada tahun 1985 di UM.

Get Nee pula yang dikenali sebagai ‘Ani’ di kampungnya merupakan rakan sekelas saya semasa di sekolah menengah rendah. Sudah ebih 30 tahun lamanya kami terpisah. Selepas LCE saya meneruskan persekolahan di SIC dan Get Nee kekal di SMK Kota.

Get Nee tinggal di Kg Teluk Kandis. Kami selalu berbasikal untuk ke rumah Get Nee, melalui lorong berbatu kecil (kini sudah bertar) menghala ke tebing Sungai Kelantan. Lorong ni hanya muat sebuah kereta dan tidak boleh berselisih. Dari jalan utama, iaitu Jalan Salor, lebih kurang 400 meter ke dalam, kita akan sampai ke sebuah perkampungan masyarakat Cina, yang kami kenali sebagai Cina kampung…

Salah seorang penghuni keturunan Cina di sini, yang kami kenali dengan nama Melayunya 'Mek Ngo', mempunyai hubungan yang agak rapat dengan keluarga saya. Mek Ngo merupakan seorang peraih di Pasar Besar Kota Bharu. Mek Ngo sudah agak berumur pada masa saya masih bersekolah. Setiap hari dia akan berulang-alik ke KB dengan teksi/ beca roda tiga. Masih jelas tergambar dalam ingatan senyuman Mek Ngo yang manis, setiap kali teksi yang ditumpangi Mek Ngo lalu di depan rumah kami. Biasanya teksi tersebut sarat dengan barangan yang akan dijual di pasar Kota Bharu nanti.

Apabila tiba Hari Raya Cina, saya bersama beberapa orang kawan sekelas akan berbasikal ramai-ramai ke rumah Get Nee. Kami mengambil masa selama lebih kurang 20 - 30 minit untuk sampai ke destinasi. Sekarang, jika menaiki kenderaan bermotor, dalam masa kurang daripada 10 minit sampailah kita ke Teluk Kandis. Lebih 30 tahun dulu, jalan raya tidaklah sesibuk sekarang. Di rumahnya, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan kering, buah limau mandarin dan air oren atau sarsi atau lemonade atau ice cream soda di dalam botol (botol warna hitam seperti botol kicap). [Dulu, di rumah kami sendiri pun, hidangan air dalam botol seumpama ini, juga menjadi kemestian semasa hari raya]. Kami akan diberi ‘ang pau’ sebelum beredar pulang.

Sebenarnya, kaum Cina di Kelantan terbahagi kepada dua golongan, iaitu Cina Peranakan dan Cina Bandar. Orang Melayu memanggil golongan Cina Peranakan sebagai Cina kampung, Cina Kelantan atau Orang Cina kita. Bagi golongan Cina yang tinggal di bandar, mereka dipanggil Cina benua atau Cina Bandar.

Bagi saya, Mek Ngo, ‘Mek Yah’ dan ‘Ani’ mewakili masyarakat Cina kampung yang mengamalkan budaya Melayu. Dulu, mereka bercakap dialek Kelantan sesama sendiri, bercucuk tanam, berbual di anjung rumah, memakai kain pelikat bagi lelaki, dan memakai kain batik bagi kaum wanita. Ada juga yang berkelubung kepala jika keluar rumah. Cina Peranakan ini juga makan budu dan ulam-ulaman. Mereka juga menggunakan nama Melayu, seperti Che Husin, Che Hassan, Mek Su dan nama-nama lain yang mencerminkan proses asimilasi telah merubah dan membentuk budaya tersendiri dalam kalangan masyarakat tempatan.

Walau bagaimanapun, mereka tetap mengamalkan budaya mereka sendiri ketika berada di dalam rumah. Mereka masih lagi mengekalkan budaya Cina seperti sembahyang, adat perkahwinan dan juga upacara pengkebumian.

Dulu, bila berkunjung ke perkampungan masyarakat Cina kampung di Kg Teluk Kandis atau di Kg Pendek, (banyak lagi tempat lain di Kelantan sebenarnya) kita akan dapat melihat senibina rumah asal Cina yang amat unik dan menarik. Rekabentuk, jenis kayu, malah ukiran yang dipahatkan adalah seni Melayu, cuma tulisan kaligrafi Cina yang mempunyai ciri ke”Cina”an menghiasi ruang tamu dan anjung. Namun begitu, kini, kesenian dan kehalusan senibina rasanya sudah tidak ada lagi kerana kebanyakan rumah sudah dibina semula dengan rekabentuk moden.

Terdapat kajian yang mengatakan bahawa orang Cina mempunyai petempatan awal di Pulai, Gua Musang. Semasa menutut di UM dulu, dalam kuliah Sejarah Malaysia, Prof Khoo Kay Kim pernah mengatakan bahawa generasi pertama yang datang ke Tanah Melayu bermula di Kelantan dan bukannya di Melaka. Buktinya, terdapat sebuah patung lama - Ma Chor Bew di tokong Sui Yek Khong di Pulai, Gua Musang. Patung ini yang dikesan berasal dari zaman Dinasti Ming yang memerintah Negeri China antara 1368 sehingga 1644.

Di Kelantan sahaja, terdapat 24 tokong dengan tokong tertua berusia 600 tahun dikesan di Kampung Pulai, Gua Musang dan tokong yang berusia 300 tahun di Kampung Tokong, Kemubu (kampung adik ipar saya… Sahazali Awang Deraman...) Sehingga kini, masyarakat Cina kampung di Kg Tokong masih kekal mengamalkan budaya Melayu dan mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat setempat.

Walau bagaimanapun, dalam mengharungi arus pemodenan hari ini, generasi baru sekarang sudah semakin jauh dengan amalan generasi terdahulu, tidak kira sama ada masyarat Cina kampung atau masyarakat Melayu sendiri.

Anak-anak muda sekarang sudah tidak lagi suka pakai kain pelikat atau makan sireh…!

Monday, February 8, 2010

SEJARAH : Gedung Pengalaman & Khazanah Bernilai





Keagungan sesuatu bangsa itu ditentukan oleh kepentingan yang diberikan pada sejarah. Sejarah merupakan suatu khazanah yang amat bernilai. Sejarah ialah gedung pengalaman. Bangsa yang agung ialah bangsa yang menempah sejarah dan yang mahu mempelajari daripada sejarah.

Sesuatu bangsa yang tidak mempelajari daripada sejarah akan terus melakukan kesalahan berkali-kali yang akan berakhir dengan keruntuhan bangsa itu. Daripada sejarah kita menghargai kehormatan diri kita. Daripada sejarah juga kita dapat menginsafi kedudukan kita dalam sejarah kemanusiaan dan alam semesta. Sejarah akan memberi kita tenaga dan landasan dalam menempa dan membentuk tamadun baru.

Pendidikan sejarah adalah asas penting dalam pembinaan bangsa Malaysia. Mempelajari sejarah bukanlah semata-mata untuk mendapatkan pengetahuan, tetapi ia boleh menjadi pedoman dan memberi iktibar kepada sesuatu bangsa mengenai sesuatu perkara yang telah berlaku. Apa yang telah berlaku perlu dinilai semula bagi tujuan merancang perubahan masa depan.

Oleh sebab sejarah memberikan banyak pengajaran yang berkait dengan jatuh bangunnya sesuatu bangsa dan negara, maka sejarah patut dijadikan garis panduan untuk pembinaan semula kedudukan dan kekuatan bangsa dan negara.
Burckhardt (1986) dalam bukunya `Reflections On History' menyorot kepentingan sejarah bagi menonjolkan berbagai perkara penting mengenai perkembangan aspek kemanusiaan seperti krisis Negara-Bangsa, Pembinaan Bangsa dan Negara, perjuangan tokoh terbilang dan sebagainya.

Sejarah memberi kita satu kemahiran intelektual yang amat bernilai bagi memahami dan mencungkil perkara yang telah berlalu dan membantu seseorang membuat andaian-andaian di sebalik apa yang berlaku.
Mengikut Butterfield (1973) kepentingan sejarah dalam kehidupan manusia atau sesuatu bangsa ialah, SEJARAH melibatkan pertimbangan nilai (judgement of values) dan pertimbangan moral (moral judgement) bagi membolehkan kita memperoleh iktibar dan kefahaman mengenai perkara yang telah berlaku.

Sejarah merupakan
satu disiplin ilmu sains sosial yang mengenengahkan pelbagai kejadian, perkembangan dan idea-idea yang penting dalam kehidupan individu, masyarakat dan mengenai negara, ia mengenai masa silam dan masa hadapan, ia merupakan fakta dan realiti kejadian, ia mengenai kebudayaan, perubahan, kemoralan dan etik, ketamadunan, konflik, kemusnahan masa silam dan kehancuran masa hadapan.

Sejarah memperlihatkan pelbagai kekuatan dan kelemahan manusia, seperti nasionalisma, patriotisma, keperwiraan, perjuangan dan pengorbanan, kolonialisma, feudalisma, imperialisma, kemunculan kuasa besar dan kebangkitan bangsa terbilang, kelemahan, kejahilan, kemiskinan dan kemunduran yang merupakan temaptema mengenai kemanusiaan dan ketamadunan sesuatu kaum, bangsa dan negara. Perkembangan sejarah bangsa boleh dilihat dari perspektif global ataupun dalam perspektif rumpun geo-budaya dan geo-politik yang seragam ataupun yang bersifat kepelbagaian.

"Pengetahuan SEJARAH mengajar kita supaya tidak mudah lupa pada liku-liku perjuangan bangsa. Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

Friday, February 5, 2010

HIDUP IBARAT RODA


Sebut pasal roda, ada pelbagai jenis roda. Ada roda kereta lumba, roda kereta lembu, roda kereta mainan, roda basikal dan pelbagai jenis roda lagi…

Hidup kita juga ibarat roda, kadang-kadang berada di bawah, kadang-kadang di atas. Kalau di atas tu, kita boleh tengok ke hadapan, tetapi bila kadang-kadang hidup kita berada di bawah… terasa susah dan beratnya bebanan. Kalau tayar kereta tu kecil, tidaklah terasa sangat, tapi bayangkan jikalau ‘tayar’ kereta kebal atau tayar bulldozer atau steamroll… Walau apa jua keadaan, kita kena hadapi...itulah lumrah perjalanan hidup…

Apa-apa yang telah berlaku ke atas kita adakalanya membahagiakan, adakala menyakitkan, ada yang membawa keuntungan dan adakalanya membawa kerugian. Namun begitu, setiap keburukan dan kerugian yang berlaku pasti ada kebaikan yang tersembunyi. Jadi jangan sekali-kali menggelabah apabila berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini kepada kita.

Kadang-kadang kita akan dapat melihat kebaikan yang tersirat serta-merta, kadang-kadang setelah sekian lama, baru kita akan sedar dan dapat mengetahui kebaikannya. Itu adalah lumrah alam.
Yang paling penting, apabila kita menerima kesusahan dan musibah kita hendaklah menerimanya dengan sabar, jangan cepat melatah, kerana dalam keburukan ada kebaikan yang tersembunyi, dalam keuntungan ada kerugian yang tersembunyi.

Jadikan setiap yang berlaku bukan sahaja pada diri anda, tetapi juga pada diri orang lain sebagai satu pengajaran positif dalam hidup anda, kerana selagi kita hidup, kita mesti belajar, sama ada daripada pengalaman sendiri, persekitaran dan orang yang berada di sekeliling kita.

Kita tidak tahu bagaimana nasib kita pada hari esok... Hari ini kita gembira, belum tentu esok kita masih bergembira. Jadi..sediakan diri kita untuk menempuh kehidupan dengan penuh kematangan, kecekalan dan kesabaran, kerana kehidupan kita ibarat roda.

Kita hendaklah bersedia untuk berada di mana-mana sahaja posisi kehidupan dan menghadapinya dengan tabah dan tenang.

Wednesday, February 3, 2010

BERSYUKURLAH SEMENTARA MASIH ADA ....












Banyak pendapat mengatakan bahawa untuk menjadi seorang yang berjaya dan seorang yang hebat kita perlu tahu untuk
bersyukur. Bukan bersyukur yang dibuat-buat, tetapi rasa syukur dan berterima kasih dengan penuh keikhlasan. Hal ini demikian kerana, perasaan syukur yang penuh ikhlas merupakan asas untuk menghasilkan persepsi yang positif dalam diri kita.

Sekiranya kita sentiasa membiasakan diri kita dengan selalu mengucapkan terima kasih dan bersyukur tentang perkara-perkara kecil, maka secara tidak sedar kita semakin terbiasa untuk menerima hal-hal positif dan dengan ini akan menghasilkan diri kita yang baru, iaitu diri yang lebih positif.

Adakah Anda:
• Berasakan anda ialah insan yang paling derita dalam hidup?
• Berasa sering tidak puas dengan apa yang sudah Anda miliki?
• Berasa cemburu ketika melihat kehidupan rakan-rakan lebih bahagia daripada anda?
Masih mengeluh kerana tidak memiliki apa yang orang lain ada?
Sering lupa perkara yang patut disyukuri dalam hidup ini?

Seandainya satu-satunya doa yang kita amalkan dalam hidup kita ialah `terima kasih`, itu sudah lebih daripada cukup.

Rasa syukur membuat hidup kita sempurna.
Rasa syukur mengubah apa yang sudah kita miliki menjadi cukup, bahkan berlebihan.
Rasa syukur mengubah penolakan menjadi penerimaan, kekacauan menjadi keamanan, kekeruhan menjadi kejernihan.
Rasa syukur dapat mengubah hidangan sederhana menjadi pesta, sebuah bangunan menjadi rumah yang nyaman, seorang asing menjadi kawan.
Rasa syukur membuat masa lalu masuk akal, memberi kedamaian bagi hari ini, dan menciptakan visi untuk masa depan.

Jadi sekiranya kita mengkaji dan meneliti secara jujur, kita akan sedar, betapa banyaknya hal yang seharusnya kita syukuri pada setiap hari. Terima kasih kepada tubuh badan kita yang normal dan sempurna. Terima kasih kerana kita masih boleh menyedut udara yang segar ini dan mempunyai kesempatan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang manusia.

Jika anda sering berdepan dengan dugaan serta ujian hidup, dan dugaan itu seringkali membuat anda benci dan meratapi hidup ini, mungkin itu tanda untuk anda perlu lebih kerap berterima kasih dan mensyukuri apa yang sudah anda miliki dalam hidup.

Sekiranya kita selalu bersyukur, kehidupan kita akan sentiasa diselubungi rasa gembira dan bahagia. Bersyukurlah dengan penuh keikhlasan, bersyukurlah sehingga anda mengeluarkan air mata sebagai tanda keikhlasan anda. Anda pasti akan berasa nikmat di sebalik perasaan syukur itu.

Bersyukurlah dengan setiap nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t.

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu ingin dustakan?”