Thursday, February 17, 2011

JIKA JATUH, BANGUN...



HIDUP ini boleh diumpamakan roda. Kadangkala kita berada di atas dan kadangkala di bawah. Menghadapi onak dan duri adalah sebahagian daripada kehidupan. Orang yang berjaya adalah orang yang berani menempuh segala ujian ini. Mereka juga sanggup belajar daripada kegagalan.

Sebenarnya, kita masih belum gagal selagi kita sanggup berusaha dan membuat perubahan dalam hidup. Kita hanya dihukumkan gagal apabila berputus asa dan tidak mahu berusaha. Orang bijak adalah orang yang menjadikan masalah dan kegagalan sebagai kekuatan bagi menempah kejayaan.

Pengalaman Nabi Yusuf adalah salah satu contoh yang baik. Nabi Yusuf pernah dilemparkan ke dalam perigi buruk oleh adik beradiknya yang hasad dengki. Kemudian dijualkan kepada raja Mesir oleh sekumpulan ahli perniagaan sebelum difitnahkan dan akhirnya dipenjarakan. Nabi Yusuf tidak berasa kecewa.

Semasa berada di dalam penjara, Nabi Yusuf berbaik-baik dengan rakan-rakan di penjara dan menggunakan kemahiran mentakwilkan mimpi bagi mentafsirkan mimpi rakan-rakannya. Akhirnya, raja Mesir mendapat tahu kemahiran Nabi Yusuf dan meminta khidmat nasihat beliau mentafsirkan mimpi pelik yang dialami. Sejak dari tarikh itu, kehidupan Nabi Yusuf berubah. Kemudian, Nabi Yusuf dilantik menjadi raja Mesir. Kegagalan dan ujian yang dilaluinya dijadikan jambatan bagi mendapat kejayaan.

Sebenarnya, hidup ini dipenuhi dengan pelbagai kesempatan yang bernilai. Andai kata kesempatan ini diambil, ia akan mengubah seluruh hidup kita. Kesempatan yang bernilai ini sering wujud di celah-celah ujian yang mencengkam.

Contohnya, Thomas Edison, beliau gagal 6000 kali semasa mencipta lampu. Semasa ibunya mengatakan beliau gagal dan tidak perlu bersusah payah mencuba lagi, beliau menjawab, "Tidak, sebenarnya saya tidak gagal sebaliknya saya berjaya mengenal 6000 cara yang menyebabkan lampu tidak dapat menyala." Dalam percubaan berikutnya, lampu ciptaan Edison menyala dengan terang...

Sebagai individu, pernah berjaya dalam hidup dan akan terus berjaya sekiranya kita tidak sentiasa berusaha. Semasa dilahirkan, kita berada dalam keadaan yang tidak bermaya. Kemudian, dari semasa ke semasa kita berubah menjadi insan yang hebat.

Daripada keadaan tidak dapat berjalan, kita dapat berjalan semasa berumur setahun walaupun dalam proses itu kita jatuh beberapa kali.

Daripada keadaan tidak dapat berlari, kita pandai berlari semasa berumur dua tahun walaupun dalam proses itu kita terseliuh dan mendapat luka.

Daripada tidak tahu membaca, kita pandai membaca semasa berumur 5 atau 6 tahun walaupun dalam proses itu kita dimarahi dan ditegur.

Daripada keadaan tidak tahu menulis, kita pandai menulis semasa berumur tujuh tahun walaupun dalam proses itu kita melakukan kesilapan berulang-ulang kali.

Daripada tidak pandai bercakap, kita petah bercakap semasa berumur lapan @ sembilan tahun walaupun dalam proses itu kita ditertawakan oleh ramai orang.

Tidakkah semua ini melambangkan kejayaan kita? Oleh itu, silaplah jika ada orang yang
berkata bahawa dia dilahirkan sebagai insan yang gagal. Tidak, sebaliknya kita dilahirkan dengan pelbagai potensi untuk berjaya.

Allah berfirman dalam surah at-Tin ayat 4 yang bermaksud :
" Sesungguhnya Kami mencipta insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik."

Cuma satu perkara yang perlu kita ingat. Semasa dilahirkan, kita perlu menangis untuk hidup. Jika kita tidak menangis, otak kita menjadi terencat, paru-paru tidak mengembang malah nyawa boleh melayang. Begitu juga dalam hidup. Ujian dan kesusahan perlu kerana ia merupakan jambatan ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Tangisan sering menjadi penawar yang menyembuhkan manusia....!

Sekadar berkongsi dan mengingatkan diri sendiri..
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ' 7 Formula Individu Cemerlang', Dr. Danial Zainal Abidin)

Wednesday, February 9, 2011

" Book Review" 2011


Tahun baru, format baru...

Tugasan untuk menyediakan sinopsis @ ulasan buku bagi mengisi program LADAP "Book Review" 2011 sudah pun bermula. Jadual sudah dikeluarkan oleh penyelaras LADAP, Puan Megawati Mukhtar.
Berbeza dengan tahun-tahun lepas, pada tahun ini bahan bacaan hendaklah berfokus kepada 3 bidang, iaitu :

i) Pengetahuan Profesionalisme (60%)
- Ilmu pengetahuan pendidikan dan mata pelajaran
- Kandungan dan kaedah pedagogi
- Pengurusan kurikulum
- Kreativiti dan Inovasi Pedagogi
ii) Kemahiran Profesionalisme (20%)
- Kejurulatihan
- Penulisan Ilmiah
- Kajian dan Penyelidikan Ilmiah
- Kepimpinan
- Pengurusan Kewangan
- Pengurusan Strategik
iii) Amalan dan Nilai Profesionalisme Keguruan (20%)
- Nilai dan Etika
- Komunikasi Berkesan
- 'Soft Skills'
Selain itu, setiap buku ilmiah yang dipilih hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya 50 halaman. Format ulasan juga berbeza berbanding tahun lepas....

Kebetulannya, sehari dua ini saya asyik mengemas barang untuk dipindahkan ke rumah baru, jadi terus sahaja saya memilih buku-buku (yang sudah lama 'berehat' dalam kotak - yang hanya dibuka sekiranya diperlukan) untuk dijadikan bahan ulasan nanti. Buku-buku tersebut ialah :

1) Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (Roselan Baki, Karisma Publications.)

2) Majalah Dalam Kelas (Azizul Abdul Rahman, DBP)

3) Aplikasi Kemahiran Berfikir dalam Pemelajaran Bahasa Melayu Menengah Atas (Samsu Yaacob, Makruf Publisher & Distributors, Sdn Bhd.)

4) Siri Pengajian Sejarah, Pendidikan Sejarah - Falsafah, Teori dan Amalan (Abd Rahim Abd Rashid, Utusan Pub. Dist.)

5) Inilah Kurikulum Sekolah, (Prof Madya Dr. Ishak Ramly, PTS)

6) Komunikasi untuk Guru (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.)

7) Siri Pengajian dan Pendidikan Utusan, Motivasi Dalam Pendidilkan (Saedah Siraj, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd)


Diharapkan buku-buku yang telah saya pilih itu memenuhi kriteria yang diperlukan....

"Book Review" yang pertama perlu diserahkan pada 28 Februari 2011....


Thursday, February 3, 2011

Nostalgia Raya Cina di Pendek & Teluk Kandis


Setiap tahun menjelang Tahun Baharu Cina, pasti kenangan semasa zaman persekolahan dulu menjengah minda tanpa sedar.

Tahun ini kami sebenarnya sudah merancang untuk memenuhi undangan daripada sahabat lama, Wee Saw Lan di Kg Pendek untuk beraya di rumahnya sempena CNY. Disebabkan beberapa orang kawan termasuk kakak saya sendiri yang dijemput tidak dapat hadir kerana ada urusan keluarga, jadi rancangan tersebut terpaksa ditunda pada masa yang lain. Selain suami dan anak-anak, saya bercadang untuk bawa Mama dan Papa sekali dan 2 orang adik (Anggerek dan Nadia) yang kebetulan balik kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina ini. Terima kasih, Saw Lan atas jemputan itu.

Sebenarnya, tidak jauh dari rumah saya di Kg Kota, terdapat beberapa petempatan masyarakat Cina yang lebih dikenali sebagai Cina kampung. Penempatan ini letaknya di Kg Teluk Kandis dan di Kg Pendek. Ada antara anak-anak mereka yang sebaya dengan kami dan menjadi rakan baik semasa bersekolah, antaranya ialah WEE SAW LAN dan KANG GEK NEE, 2 orang sahabat yang nama mereka masih dalam ingatan. Beberapa orang rakan lelaki yang sama-sama bersekolah sehingga di SIC, saya sudah lupa nama mereka.... termasuklah rakan sekelas semasa di Ting.5 yang juga menetap di Kg. Pendek @ Kg. Teluk Kandis.

Saw Lan yang kini bermastautin di Singapura, berasal dari Kg Pendek, Jalan Salor, KB. Menurutnya, neneknya tinggal di Pasir Mas. Saw Lan merupakan kawan baik kakak saya dan senior setahun semasa di SRJK (I) Kota, SMK Kota dan di SIC. Kami sama-sama ‘graduate’ pada tahun 1985 di UM.

Gek Nee pula yang dikenali sebagai ‘Ani’ di kampungnya merupakan rakan sekelas saya semasa di sekolah menengah rendah. Sudah lebih 30 tahun lamanya kami terpisah. Selepas LCE saya meneruskan persekolahan di SIC dan Gek Nee kekal di SMK Kota. Kami terus terputus hubungan setelah tamat Tingkatan 5.

Gek Nee tinggal di Kg Teluk Kandis. Saya dan beberapa orang kawan selalu berbasikal untuk ke rumah Gek Nee, melalui lorong berbatu kecil (kini sudah bertar) menghala ke tebing Sungai Kelantan. Lorong ini hanya muat sebuah kereta dan tidak boleh berselisih. Dari jalan utama, iaitu Jalan Salor, lebih kurang 400 meter ke dalam, kita akan sampai di sebuah perkampungan masyarakat Cina, yang kami kenali sebagai Cina kampung…

Salah seorang penghuni keturunan Cina di sini, yang kami kenali dengan nama Melayunya 'Mek Gok', mempunyai hubungan yang agak rapat dengan keluarga saya. Mek Gok merupakan seorang peraih di Pasar Besar Kota Bharu. Mek Gok sudah agak berumur pada masa saya masih bersekolah. Setiap hari dia akan berulang-alik ke KB dengan teksi/ beca roda tiga. Masih jelas tergambar dalam ingatan senyuman Mek Gok yang manis, setiap kali teksi @ beca roda tiga yang ditumpangi Mek Gok lalu di depan rumah kami. Biasanya teksi tersebut sarat dengan barangan yang akan dijual di pasar Kota Bharu nanti.

Apabila tiba Hari Raya Cina, saya bersama beberapa orang kawan sekelas akan berbasikal ramai-ramai ke rumah Gek Nee. Kami mengambil masa selama lebih kurang 20 - 30 minit untuk sampai ke destinasi. Sekarang, jika menaiki kenderaan bermotor, dalam masa kurang daripada 10 minit sampailah kita ke Teluk Kandis. Lebih 30 tahun dulu, jalan raya tidaklah sesibuk sekarang. Di rumahnya, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan kering, buah limau mandarin dan air oren atau sarsi atau lemonade atau ice cream soda di dalam botol (botol warna hitam seperti botol kicap). [Dulu, di rumah kami sendiri pun, hidangan air dalam botol seumpama ini, juga menjadi kemestian semasa hari raya]. Kami akan diberi ‘ang pau’ sebelum beredar pulang.

Sebenarnya, kaum Cina di Kelantan terbahagi kepada dua golongan, iaitu Cina Peranakan dan Cina Bandar. Orang Melayu memanggil golongan Cina Peranakan sebagai Cina kampung, Cina Kelantan atau Orang Cina kita. Bagi golongan Cina yang tinggal di bandar, mereka dipanggil Cina benua atau Cina Bandar.

Bagi saya, Mek Gok, ‘Mek Yah’ dan ‘Ani’ mewakili masyarakat Cina kampung yang mengamalkan budaya Melayu. Dulu, mereka bercakap dialek Kelantan sesama sendiri, bercucuk tanam, berbual di anjung rumah, memakai kain pelikat bagi lelaki, dan memakai kain batik bagi kaum wanita. Ada juga yang berkelubung kepala jika keluar rumah. Cina Peranakan ini juga makan budu dan ulam-ulaman. Mereka juga menggunakan nama Melayu, seperti Che Husin, Che Hassan, Mek Su dan nama-nama lain yang mencerminkan proses asimilasi telah merubah dan membentuk budaya tersendiri dalam kalangan masyarakat tempatan.

Jangan terkejut, Saw Lan pandai memasak nasi kerabu Kelantan ala Siam, walaupun sudah lebih 20 tahun bermastautin di Singapura…!

Walau bagaimanapun, mereka tetap mengamalkan budaya mereka sendiri ketika berada di dalam rumah. Mereka masih lagi mengekalkan budaya Cina seperti sembahyang, adat perkahwinan dan juga upacara pengkebumian.

Dulu, bila berkunjung ke perkampungan masyarakat Cina kampung di Kg Teluk Kandis atau di Kg Pendek, (banyak lagi tempat lain di Kelantan sebenarnya) kita akan dapat melihat senibina rumah asal Cina yang amat unik dan menarik. Rekabentuk, jenis kayu, malah ukiran yang dipahatkan adalah seni Melayu, cuma tulisan kaligrafi Cina yang mempunyai ciri ke”Cina”an menghiasi ruang tamu dan anjung. Namun begitu, kini, kesenian dan kehalusan senibina rasanya sudah tidak ada lagi kerana kebanyakan rumah sudah dibina semula dengan reka bentuk moden.

terkenang semasa dulu....

Foto : 'pinjam' daripada album Kak Mimi. Saw Lan bergambar kenangan dengan Kak Mimi dan Kak Roslena ketika berkunjung ke rumah Kak Roslena tahun lepas...

Tuesday, February 1, 2011

Februari : Mengenang Peristiwa Bukit Kepong (1)



Pekan Bukit Kepong

Pada tahun 1950-an, Bukit Kepong ialah sebuah pekan kecil yang terpencil jauh di hulu Sungai Muar, Johor. Perhubungan dari luar ke tempat ini hanya dengan menaiki bot perdagangan dari pekan Lenga yang terletak di hilir sungai, iaitu sejauh 49 km dari bandar Muar. Dari Lenga ke Bukit Kepong akan mengambil masa selama 1 jam setengah jika air pasang dan selama 2 jam setengah semasa air surut.

Pekan Bukit Kepong mempunyai lebih kurang 20 buah kedai papan berbumbung atap dan zink, dan kebanyakannya dipunyai oleh orang Cina. Pekan ini dihubungi oleh denai-denai kecil ke beberapa buah kampung yang bertaburan, iaitu terletak di antara 3 - 5 km ke pedalaman.

Jumlah penduduk yang seramai lebih kurang 1,200 orang itu, kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Melayu yang berpekerjaan sendiri atau mengambil upah menoreh getah. Kebanyakan orang Cina juga menoreh getah dan selain itu adalah sebagai peniaga dan menjaga ladang-ladang getah kepunyaan sendiri.

Balai Polis Bukit Kepong
Di Pekan Bukit Kepong terdapat satu kawasan balai polis seluas 62 meter persegi yang terletak di tebing Sungai Muar dan kawasan ini dipagari dengan dawai berduri. Kedudukan ini adalah di antara tebing Sungai Muar dan deretan kedai di pekan itu. Di dalam kawasan tersebut terdapat tiga buah bangunan , iaitu balai polis, satu deretan rumah kelamin dan satu deretan dapur di belakang rumah-rumah itu. Pagarnya mempunyai dua pintu, satu menghala ke barat, iaitu menghadapi tangga hadapan balai dan yang satu lagi menghala ke utara menuju sungai. Di rusuk balai ialah deretan rumah kelamin.

Bangunan balai dan rumah kelamin diperbuat daripada kayu beratap genting dan bertiang batu. Di dalam balai dan di dalam setiap rumah kelamin terdapat sebuah lubang di lantai untuk anggota dan keluarga mengambil perlindungan di bawah bangunan dan membuat tempat pertahanan jika berlaku sesuatu serangan. Di bawah bangunan-bangunan itu, terdapat lubang di dalam tanah yang berukuran 2.4 meter x 1.2 meter dan dalamnya 1.2 meter, di sekeliling pada bahagian atasnya ditimbun pula dengan tanah setinggi 0.3 meter. Kubu ini sama paras dengan dagu jika seseorang itu berdiri. Di kiri kanan tangga hadapan balai terdapat juga lubang pertahanan di dalam tanah yang sama dalam dan rupa bentuk, tetapi berukuran 1.2 meter x 0.6 meter. Kubu-kubu di atas balai pula hanya terdapat di bahagian hadapan, iaitu yang dibuat dengan menyusunkan guni-guni pasir. Kubu-kubu yang di luar bangunan, tetapi di dalam kawasan balai pula, dibuat daripada papan berbentuk petak yang berisi pasir dan pada bahagian atasnya disusun guni-guni berisi pasir.

Pada bahagian luar pagar Balai Polis pula, iaitu bertentangan dengan pintu pagar hadapannya, terdapat sebuah bangunan Balai Penghulu yang juga terletak di tebing sungai. Di antara kawasan Balai Polis dan Balai Penghulu itu terdapat jalan kecil yang menuju ke sungai. Lorong di hadapan deretan kedai menghala ke timur pula menuju ke Kampung Labis dan menghala ke barat arah ke Lenga.

Pada Februari 1950, iaitu bulan tercetusnya peristiwa berdarah itu, terdapat 32 orang anggota dan keluarga polis ditempatkan di Balai Polis tersebut.

bersambung...


Rujukan :

"Peristiwa Bukit Kepong" tulisan Mohd Yusof Ariffin yang terkandung dalam monograf "DARURAT 1948 - 1960, terbitan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 1984. Penulis berkhidmat sebagai polis mulai tahun 1949 dan bersara pada 31 Mac 1981 dengan pangkat ASP. Beliau pernah memenangi Hadiah Pertama Cipta dalam "Tata Seni Terbaik 1982" untuk filem "Bukit Kepong". Tulisan beliau mengenai "Peristiwa Bukit Kepong" ialah hasil kajian secara langsung yang pernah dijalankan di Bukit Kepong. Tulisan ini disiapkan pada 28 Mac 1980.