Monday, August 27, 2012

Tidur yang berkualiti....


Aidilfitri sudah seminggu berlalu.  Sekolah sudah dibuka semula setelah lebih seminggu bercuti.... Perjalanan yang agak lama dari KB - KT - Kuantan agak memenatkan.... 



Hari ini, keletihan saya sudah berkurangan, walaupun masih lagi dihimpit masalah tidur yang tidak berkualiti. Apa yang saya dapat rasakan beberapa hari kebelakangan ini, saya mempunyai kualiti tidur yang kurang baik. 

Jika sebelum ini, saya dapat bangkit pada awal pagi, badan terasa segar dan dapat melakukan segala kerja yang patut. Tetapi sekarang kebiasaan tersebut sudah berubah, saya akan bangkit dari tidur hampir waktu subuh dalam keadaan badan yang masih terasa letih dan mata masih lagi mengantuk.

Tidur juga berkaitan dengan minda.  Kualiti tidur dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk fizikal, mental dan spiritual.  Bukan berdasarkan jumlah jam yang kita tidur, sebaliknya  tidur dinilai melalui perasaan selesa, ketenteraman jiwa serta kepuasan diri yang kita peroleh.

Kadangkala , saya teringat satu kata-kata, tilam yang empuk belum pasti dapat memberikan kita tidur yang lena. Saya benar-benar setuju, kerana saya mempunyai habit boleh tidur di mana-mana asalkan saya mengantuk, jadi tilam empuk sudah tidak penting lagi.

Berbalik pada kualiti tidur. Apa yang dimaksudkan dengan kualiti tidur, kita boleh tidur dengan lena, walaupun dalam masa yang singkat. Apabila bangkit dari tidur, badan kita akan berasa segar, gembira dan tenteram.

Apabila kita tidur, minda separa sedar, akan berada di peringkat theta.  Tetapi apabila kita tidur dengan lena minda kita akan berada diperingkat delta.  Kalau nak rasa peringkat delta, buat operation, kerana selepas dibius, anda akan tidur dengan betul-betul lena. 

Apa pun, tidur yang berkualiti penting untuk kesihatan, selain menjaga pemakanan , tidur juga perlu kita jaga.   Jagalah kualiti tidur anda.

 Hari ini , hari pertama kami berpuasa sunat bulan Syawal.


Thursday, August 23, 2012

OGOS : Selamat Hari Jadi





Bulan Ogos, hampir menutup tirai....

3 saudara terdekat menyambut ulangtahun kelahiran pada bulan Ogos. 23 Ogos, ulang tahun kelahiran MELISA KAMELIA yang ke-31. 

Pada 26 Ogos pula, ulangtahun kelahiran NADIA HANUM yang ke-28. Pada tarikh yang sama, ulang tahun anak saudara HUFZAIDAH BT. ABDUL AZIZ, juga yang ke-28 tahun.

SELAMAT HARI JADI untuk kalian bertiga... semoga sejahtera sentiasa, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Thursday, August 16, 2012

Nostalgia Hari Raya : Ibu Kek & Rumah Terbuka


Dua hari lagi seluruh umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri.  Mereka yang berada di perantauan sudah mula beransur pulang ke kampung untuk meraikan hari kemenangan ini bersama keluarga tercinta....  

Dulu-dulu, kalau berkunjung ke rumah orang untuk berhari raya, pasti saya akan terpandang sesuatu yang menarik dihidangkan di atas meja. Benda yang menarik itu ialah kek icing yang cantik yang digelar 'ibu kek'. Ibu kek itu tidak boleh dipotong, apatah lagi dimakan! Ia sekadar menjadi penyeri meja. Di atas kek itu tertulis "Selamat Hari Raya..." Tidak semua rumah ada 'ibu kek'. Keluarga yang menyediakan 'ibu kek' ini dianggap golongan berkemampuan...!

Tapi kini zaman sudah berubah, 'ibu kek' sudah tidak menjadi keutamaan lagi.... digantikan dengan pelbagai jenis juadah yang 'mewah'....

2 Syawal 1432... Wee Saw Lan, sahabat lama datang berkunjung
Dulu-dulu, aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara-mara atau sahabat handai untuk meraikan hari raya dilakukan dengan cukup meriah. Kini, aktiviti tersebut masih diteruskan, sekurang-kurangnya untuk beberapa hari pertama bulan Syawal. Cuma, bezanya dulu tidak ada istilah 'Rumah Terbuka'.

Kini, keadaan sudah sedikit berubah.... semua orang sibuk dengan 'rumah terbuka' terutama sekali masyarakat bandar. Bagi perantau yang pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing, setelah mereka kembali ke bandar @ kota tempat mereka mencari rezeki, bermulalah 'majlis rumah terbuka'. Aktiviti pada setiap hujung minggu sehingga berakhirnya Syawal dipenuhi dengan undangan ke majlis 'rumah terbuka'....

Bagaimana jika ada sahabat handai atau sanak saudara yang tidak diundang ke majlis rumah terbuka....? Betulkah yang dijemput sahaja yang akan @ boleh hadir ke majlis tersebut...?

berkumpul beramai-ramai... 2 Syawal 1432
Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, keluarga kami akan berkumpul di 'rumah hinggap' kakak sulung kami (tidak jauh dari rumah Ayahanda Bonda) pada hari raya yang tertentu mengikut kesesuaian masa untuk mengadakan majlis kesyukuran hari raya.  Tahun lepas kami berkumpul pada hari raya ke-2 tetapi tahun ini kami akan berkumpul pada hari raya ke-3... Kami akan menunggu kehadiran sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan datang beraya.   

Selain meraikan tetamu yang datang berhari raya, majlis kesyukuran hari raya ini akan disempurnakan dengan solat hajat, bacaan tahlil dan doa selamat bersama-sama dengan jemaah Masjid al-Husna Kg Wakaf Sena, Kota yang dijemput khas selepas solat Zohor....

Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada semua yang sempat 'singgah' di sini.   



Saturday, August 11, 2012

Sotong rebus katok serai

Antara juadah berbuka petang ini ialah sotong rebus katok serai.  Simple tapi sedap....

Kalau orang Johor, sotong masak asam merupakan hidangan yang simple dan paling mudah untuk disediakan. Tetapi bagi orang Pantai Timur, sotong rebus katok serai menjadi pilihan selain masak sambal, goreng kunyit, atau dibuat ketupat sotong. 

Sengaja dipanggil rebus katok serai untuk mengekalkan nama tradisionalnya....Katok bererti ketuk atau titik dalam bahasa masakan.

SOTONG REBUS KATOK SERAI

Bahan-bahannya :
1kg sotong segar 
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
2 keping asam gelugur (pilihan)
2-3 batang serai
Air secukupnya untuk kuah
Garam secukup rasa dan sedikit gula pasir / gula melaka
Beberapa biji lada hidup atau cili padi - jika mahu pedas

Cara membuatnya :

Sotong dibersihkan dan tos. Saya lebih suka kekalkan 'dakwat' sotong menjadikan kuahnya berwarna hitam. Walau bagaimanapun terpulang kepada citarasa masing-masing.  Kalau Pok Muda Leh, sotong ni kena bersihkan betul-betul untuk hilangkan warna hitam.... 

Bawang merah dan bawang putih dimayang halus, serai diketuk2.  Semua bahan termasuk sotong dimasukkan ke dalam periuk dan didihkan di atas api yang sederhana.   Masaklah seperti biasa hingga sotong masak tapi jangan terlalu lama, kerana sotong akan liat.   Akhir sekali, masukkan lada hidup dan cili padi. Sesuaikan rasa dan angkat. Sedap dimakan panas-panas bersama nasi putih.

Tuesday, August 7, 2012

TKA : Apa kata mereka... Ini kata saya....


Hari ini hari ke-18 umat Islam berpuasa.  Hari ini ada sedikit kelapangan dan ada 'mood' untuk mencatat sesuatu... berkaitan dengan buah tangan Puan Raudzah @ Roza Roslan... 

Travelog ke-3 Roza, 'Travelog Kehidupan Abadi: Perjalanan Menuju Dewasa' sudah selesai dibaca.  Dibaca dengan hati dan perasaan.  Saya tidak pernah jemu menatap dan menghayati setiap baris tulisan helai demi helai sehingga nokhtah terakhir.

Travelog ini merupakan siri ketiga selepas Travelog Cinta Abadi dan Travelog Impian Abadi...

Sebenarnya saya "mengenali" Roza sejak tahun 2009 melalui blognya "Hidup itu Indah : Kenangan cerita diri..." itu pun setelah "bertemu" dengan "Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan" (KRTS) yang menjadi destinasi 'wajib singgah' pada setiap hari sejak 2009.  

Sekitar pertengahan 2010....saya berasa sangat bertuah kerana dipelawa oleh Roza untuk membaca manuskrip Travelognya (akhirnya menghasilkan TIA dan TKA) selepas TCA dan saya diminta memberi sedikit pandangan.  Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya terus menerimanya...ibarat kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan....!  

Ini kata saya ....
...Roza bercerita dengan gaya mudah dan bersahaja.  Ia seolah-olah air sungai yang mengalir tenang, sesekali bergelombang apabila dihalang oleh batu-batu sungai.  Ia kembali tenang, bergelora semula, dan berselang-seling sehingga tidak langsung menyedari bahawa air yang mengalir itu sudah sampai ke muara sungai....

Dalam santai bercerita, Roza sentiasa menyelitkan unsur-unsur ketuhanan dan kemanusiaan yang menyentuh jiwa.  Malah, mesej yang mahu disampaikan begitu tersirat.  Di sana-sini ada teguran spontan tetapi sinis berupa kritikan sosial yang dapat dijadikan pengajaran kepada pembaca pada semua peringkat umur.

Itu kekuatan sebenar Travelog Kehidupan Abadi : Perjalanan Menuju Dewasa.

Perkaitan hubungan antara manusia dengan Tuhan dipaparkan secara berterusan dalam setiap penceritaannya.  Ia cukup lembut dan bersahaja.  Setiap kejadian dikaitkan dengan keagungan, kebesaran, dan kekuasaan Allah, serta rasa cinta dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.  Ia menyebabkan saya dan pembaca terpesan untuk sentiasa mensyukuri rahmat dan nikmat Allah.  Roza sebenarnya berdakwah secara halus!

Kali ini Roza mengakhiri catatannya penuh simbolik.

"Pulanglah... belajarlah berenang.  Awak tidak akan ke mana-mana sekiranya tidak menggerakkan kaki, tangan, dan menggunakan kepala...."

Semoga manifestasi daripada 'pesanan' di atas dapat kita 'temui'  dalam travelog seterusnya.  Tahniah buat Roza....

Itulah kata saya....

Kini, beberapa orang sahabat di sekolah sudah mula 'berkenalan' dengan buah tangan Roza ini.  Mereka cuba mencari TCA dan TIA untuk melengkapkan siri pengalaman hidup yang dilalui oleh penulis.  Kata mereka, beberapa kedai buku di Kuantan sudah dijengok.  Popular Book Store di Megamall sudah, Kedai Buku Ansar di Kuantan Parade juga sudah dijengok, tetapi mereka kata kedua-dua buku itu sudah habis terjual. Nanti saya akan cadangkan kepada mereka supaya mencarinya di Kedai Buku Hamid Bros, manalah tahu kalau-kalau masih ada terselit di rak buku di kedai tersebut....

Kalau tak ada juga, bolehlah pinjam daripada saya.... Memang tidak rugi memilikinya. 

"Anda perlu membaca ketiga-tiganya bagi melihat suatu kembara kehidupan yang mengajar banyak erti cinta, kasih, dan sayang antara sesama manusia dan manusia dengan Penciptanya....  Bacalah dengan minda yang terbuka..!
- Kata Pengantar daripada Prof. Dr. Hatta Azad Khan

Monday, August 6, 2012

Nuzul al-Quran (1)

Dini hari yang mendamaikan. Hari ini 6 OGOS 2012, Isnin beberapa buah negeri bercuti sempena Nuzul Quran, termasuklah negeri tempat saya bertugas ini. Ini bermakna  kami mendapat 'cuti rehat' beberapa hari bermula Sabtu, 4 Ogos 2012.  Jadi kami mengambil kesempatan untuk bersua muka dengan cucunda sulung kami di KT, langsung terus balik ke kampung halaman menjenguk ayahanda bonda.   Kini, saya berada di rumah Bonda menikmati kedinginan dini hari yang begitu nyaman pada 17 RAMADAN 1433....  Dalam keheningan pagi ini, sempatlah saya berkongsi coretan ini dengan rakan-rakan yang singgah di sini.

 

SEJARAH PENURUNAN AL-QURAN (Nuzul Al-Quran)

Oleh: Abuyusoef Hashim Othman Al-Maranji.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang.

PENGENALAN

Allah SWT telah menurunkan Al-Quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W, dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Membaca Al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat. Ia merupakan satu kitab panduan hidup manusia dan rujukan utama di samping sunnah Rasulullah. Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawatir (berperingkat atas sebab penurunannya), pasti dan qat’i dan ditulis mashaf yang hari ini lebih dikenali sebagai mashaf ‘Uthmani. Adalah wajar bagi kita umat Islam mengkaji sejarah Al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya. Penulisan ini akan mengemukakan satu perbincangan mengenai penurunan Al-Quran (Nuzul al-Quran) salah satu aspek daripada pengajian ‘Ulum Al-Quran’ (Ilmu-ilmu Al-Quran). Ilmu berkaitan Nuzul akan membicarakan mengenai cara-cara wahyu diturunkan, peringkatnya, tempat-tempat turunnya ayat-ayat Al-Quran, masanya, awalnya dan akhirnya. Berdasarkan ilmu tersebut, Kita dapat mengetahui ayat-ayat Makkiyah Dan Madaniyyah Dan juga mengetahui asbab al-nuzul.

PENGERTIAN NUZUL AL-QURAN

Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama Ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh, “Dia yang telah…..menurunkan hujan.” (al-Baqarah:22), “Dialah….yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Ali Imran:3) Dan banyak lagi ayat-ayat lain.

CARA AL-QURAN (WAHYU) DITURUNKAN

‘Aishah isteri Rasulullah SAW, meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.

Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Baginda bagaimana wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab : ”Kadang-kadang wahyu datang kepada-ku dengan gema (desingan) loceng dan ini amat berat bagi-ku, dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepada-ku. Kadang ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepada-ku merupai lelaki, bercakap dengan-ku dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepada-ku.”

PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN

Para ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekaligus, dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekaligus. Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu : • Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz; • Kali kedua, dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia; dan • Kali ketiga, penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam. Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari al-Lauh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah Dan dari Bait al-‘Izzah kepada Rasulullah s.a.w. Melalui Jibril a.s.

• 1. Dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.
Penurunan ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 Dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi,
بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ .
“(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.” (al-Buruj:21-22)

• 2. Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia.

Penurunan kali kedua secara sekaligus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas; Allah SWT berfirman,

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia Dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
(al-Baqarah:185) Firman Allah SWT,

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” (ad-Dukhan:3)
Firman Allah SWT,
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (al-Qadr:1) Ibn ‘Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said b. Jubayr: “Al-Quran diturunkan sekaligus pada malam yang penuh berkat.”
Ikrimah pula meriwayatkan ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata: “Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait al-‘Izzah di langit dunia.

Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara ‘Atiyyah bin al-Aswad dan ‘Abdullah bin ‘Abbas yang mana ‘Atiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini, “Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan”, dan “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada bulan Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi’ al-Awwal.”


Kemudian Ibn ‘Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar sekaligus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari.”

• 3. Dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah S.A.W. (dalam masa 20 malam).
Penurunan di peringkat ini telah berlaku secara beransur-ansur. Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah S.A.W, dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh dua puluh tiga tahun. Tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah al-Munawwarah. Mengikut pendapat ini, Jibril A.S.(Angel Gabriel) diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada al-Quran disimpan di Bait al-‘Izzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. dalam masa 20 malam. Pandangan ini dipegang kuat oleh al-Mawardi.

Kritikan terhadap Pandangan atau Pendapat di atas.

Mengenai pendapat pertama mengenai al-Quran diturunkan sekaligus dari Allah SWT ke al-Lauh Mahfuz tidak disokong oleh bukti yang jelas dan kukuh. Ayat dalam surah al-Buruj yang digunakan sebagai hujah tidak menunjukkan secara tersurat atau tersirat mengenai penurunan sekaligus. Para ulama hanya membuat tafsiran pada ayat ini. Maksud ayat ini menceritakan tentang al-Quran dipelihara daripada sebarang pencemaran. Ayat ini ditujukan kepada musuh-musuh Islam yang cuba menambah, mengurang atau mengubah ayat al-Quran tidak akan dapat berbuat demikian kerana ia akan tetap tulen dan selamat. Tafsiran ini disokong oleh para mufassir seperti Tabari, Baghawi, Razi dan Ibn Kathir.

Pendapat kedua tentang penurunan sekaligus ke Bait al-‘Izzah berpandukan kepada ayat 2, surah al-Baqarah dan ayat 1, surah al-Qadr tidak menyatakan secara jelas mengenai al-Quran diturunkan sekaligus pada malam yang penuh berkat tersebut. Kenyataan al-Quran ini merujuk kepada masa ia diturunkan dan tidak mengenai bagaimana atau cara ia diturunkan. Ulama tabiin yang terkenal ‘Amir al-Sha’abi mengatakan: “Sudah pasti penurunan al-Quran berlaku pada Malam Lailatul-Qadr pada bulan Ramadhan, dan terus turun dalam masa 23 tahun. Tidak ada Nuzul lain melainkan yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.”


Jumhur bersetuju yang ayat 1-5 daripada surah al-‘Alaq diturunkan di akhir Ramadhan 13 tahun sebelum Hijrah. Ketiga-tiga ayat yang dijadikan hujah di atas, tidak dinafikan, merujuk kepada ayat 1-15 surah al-‘Alaq. Cuma para ulama mentafsirkan ayat 185 surah al-Baqarah sebagai ‘keseluruhan al-Quran’.

Para ulama, fuqaha, ahli hadith dan ahli tafsir semuanya bersetuju perkataan al-Quran merujuk kepada sebuah al-Quran atau sebahagian daripadanya. Malah ia dinyatakan dalam surah al-A’raf, ayat 204, Allah SWT berfirman,


وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

Mengenai riwayat Ibn ‘Abbas, ia merupakan pandangan beliau dan tidak ada dikaitkan dengan sebarang ucapan Rasulullah s.a.w. sebagai satu sumber menyokong pendapatnya. Suatu persoalan timbul mengapa perkara sepenting ini hanya disebut oleh Ibn ‘Abbas sedangkan di kalangan sahabat yang diiktiraf sebagai pakar al-Quran seperti ‘Abdullah Mas’ud, Ubayy bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan Mu’az bin Jabal tidak membicarakan perkara Nuzul al-Quran yang diturun sekaligus ke Bait al-‘Izzah(langit dunia).

Al-Zarqani berpendapat tidak wajar untuk mempersoalkan atau tidak mempercayai Ibn ‘Abbas kerana beliau dikenali sebagai orang yang tidak ada kaitan dengan cerita-cerita israiliyat serta pendiriannya sebagai ‘sahabat’, oleh itu beliau tergolong di bawah ‘Hukm al-Marfu’ iaitu perkara yang ada hubungan dengan Rasulullah SAW.


Sebahagian ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah melalui Jibril (Gabriel) secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz, ke Bait al-‘Izzah(langit dunia) dan kepada Rasulullah. Penulisan ini tidak akan terbabit dalam perbahasan ulama mengenai jumlah penurunan dan juga mengenai riwayat Ibn ‘Abbas bersandarkan kepada Rasulullah atau tidak. Penulis hanya menyampaikan adanya perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai jumlah Nuzul.

HIKMAT AL-QURAN DITURUNKAN BERANSUR-ANSUR

Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hamba-hambaNya. Sekiranya al-Quran diturunkan sekaligus, sudah tentu ia akan menyusahi dan memberatkan, baik daripada segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam kehidupan.

Al-Khudhari mengatakan tempoh al-Quran diturunkan ialah 22 tahun 22 bulan dan 22 hari, bermula daripada 17hb. Ramadhan tahun 41 kelahiran Rasulullah s.a.w. hinggalah 9hb. Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah. Dalam tempoh tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakr r.a. dan disempurnakan pada masa Sayidina ‘Uthman r.a. Antara hikmat utama Allah SWT merencanakan penurunan al-Quran kepada baginda Rasulullah SAW ini secara beransur-ansur adalah seperti berikut :


• 1. Untuk menetapkan jiwa Rasulullah s.a.w. dan menguatkan hatinya. Hal ini demikian kerana dengan turunnya Jibril a.s. membawa wahyu secara berulang-ulang daripada Allah SWT kepada Rasul-Nya dapat menguatkan jiwa Rasulullah s.a.w. Baginda dapat merasakan pertolongan serta inayat Ilahi tersebut. Tanggungjawab sebagai Nabi adalah berat dan Rasulullah sebagai seorang manusia yang sudah tentu akan menghadapi pelbagai cabaran getir dalam menyampaikan risalah bukan sahaja menghadapi tekanan, sekatan, cercaan, maki hamun malah ancaman nyawa daripada kaumnya sendiri Quraisy dan juga dari kalangan Yahudi dan orang munafik. Tentulah beliau memerlukan belaian wahyu sebagai penenang kepada semua itu.

• 2. Untuk mendidik masyarakat waktu itu secara beransur-ansur. Ini akan memudahkan mereka untuk memahami al-Quran dan menghafaznya serta dapat beramal dengannya berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan mereka. Oleh itu mereka dapat mengikis akidah amalan dan adat yang bertentangan dengan Islam secara beransur-ansur. Oleh itu sedikit demi sedikit ianya dapat dihapuskan.

• 3. Untuk menyesuaikan dengan peristiwa yang baharu berlaku iaitu apabila timbul sesuatu masalah di kalangan mereka, turunlah al-Quran menentukan hukum yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut. Contohnya, ayat mengenai persoalan roh dan seumpamanya.

• 4. Untuk menunjukkan bahawa sumber al-Quran itu Kalam Allah SWT semata-mata. Ia bukan ciptaan Nabi Muhammad s.a.w. atau makhluk lain.

Berbahagialah hidup kita berpandukan al-Quran....


Thursday, August 2, 2012

Kehadiran yang dinanti....

baru 2 jam

RAMADAN 1433 yang penuh makna
hati kami sekeluarga berbunga-bunga
gembira 
tidak terhingga....

tiba jua saat itu
setelah berhari-hari berlalu
menunggu
tanpa jemu

30 JULAI yang tertulis
10 RAMADAN yang dipilih 
dia hadir dalam tenang malam
tika umat Islam saling bersalam
usai terawih di masjid dan surau

hari yang ke-3
Kini, anakanda FAHMI bergelar BAPA
NURUL AINA pula bergelar BONDA   
hadirnya puteri sulung dalam keluarga
buat penyeri hidup pengikat kasih mereka berdua.....

Semoga gelaran Mak Tok dan Tok Ayah serasi buat cucunda sulung kami dan cicit pertama buat Ayahanda Hj. Jusoh serta Bonda Hjh Che Halimah...!

Alhamdulillah, Allahu Akbar....