Tuesday, November 4, 2014

KESEMPATAN PADA PERTEMUAN ITU.....PK62


September - Oktober yang indah...

Teringat pula sajak PERTEMUAN, yang diajar oleh Cikgu Rosni Yusoff semasa di tingkatan 4 lebih 35 tahun yang lalu.... 

Pertemuan ~ T. Alias Taib

Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru

Pertemuan berlalu
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu


T.Alias Talib
 Kuala Terengganu, 1974

Begitulah... beberapa pertemuan berlaku dengan sahabat yang telah bertahun-tahun terpisah.

SAHABAT, suatu ketika dahulu adalah....

yang bersama di bawah bumbung yang satu;
yang belajar dalam satu kelas yang sama;
yang sering beriringan santai di bawah pohon yang rendang di tepi padang
yang kadang-kala dilihat merukah jejaring besi menguji kehebatan diri....

SAHABAT suatu ketika dahulu juga adalah....
yang hanya dilihat  dijeling dari kejauhan; 
yang hanya berselisih ketika menuju ke dewan atau ke kantin;
yang sekali-sekala bertemu semasa latihan rumah sukan; dan mungkin...
yang hanya muncul dalam mimpi tanpa diketahui nama....

Begitulah, 
jalinan persabahatan terjalin tanpa sedar... 
mewarnai usia remaja yang masih hijau...
berkongsi suka duka tanpa rahsia...

dan akhirnya tiba-tiba hilang 
tanpa dapat dikesan 
masing-masing mencari arah tujuan
mengejar cita-cita murni masa hadapan...

Setelah lebih tiga dekad setengah meninggalkan bangku menengah atas, meninggalkan alam persekolahan yang indah, meninggalkan kenangan yang pernah hinggap dalam ingatan, tiba-tiba kami dipertemukan semula....

Oh, sungguh indah pertemuan itu....

Percayalah, walau secanggih mana sekalipun teknologi itu, jika tanpa izin dan kehendak-Nya, kita pasti tidak dapat bertemu dan berkumpul begini....

Sahabat handai rakan taulan zaman persekolahan... setelah sekian lama terpisah kembali bertaut mengimbau kenangan yg telah lama ditinggalkan....

SEPTEMBER - menjejak sahabat di Pantai Irama


OKTOBER nan indah bersama sahabat.... bersarapan bersama penawar rindu yang telah kian lama bersarang di kalbu....

Undangan sarapan daripada Norsi


Pertemuan di WAU, sungguh bermakna walaupun sekejab cuma....






Sesungguhnya, tanpa izin daripada Allah s.w.t., tidak mungkin kita dapat bertemu dan berkumpul dalam PK62.  Syukur alhamdulillah.

NAILIS saksi nilai persahabatan sejati walaupun telah lama terpisah tanpa berita....

Hae, ZY, Mae, NikMie  Kashry





Syukur alhamdulillah, pada usia yang kian senja ini kita bertemu semula. Pertemuan demi pertemuan diatur mengeratkan silaturahim. 

Air halia pengikat erat tali persahabatan yg akrab....
Enak rasa menambah mesra di hati.....
Geger gegak di Ruz Aladdin membawa ke seberang jalan menyambung cerita....
Bersantai di Nailis penuh ceria meraikan rakan taulan....

Sesungguhnya, kesempatan yang ada ini tidak harus dikesampingkan.... Marilah sama-sama kita hargailah usia dan erti persahabatan ini.   Semoga kita dapat berkumpul dengan lebih ramai lagi PK62.... Insya-Allah.


Ucapan terima kasih 
yang tidak terhingga buat ENCIK KASIHKU
 yang sentiasa setia bersama menemaniku
pada setiap pertemuan itu....




Saturday, November 1, 2014

secebis kenangan....kacar sugho di bulan Muharam....


Hari ini 1 NOVEMBER 2014, bersamaan dengan 8 Muharam 1436H.  2 hari lagi, 10 Muharam menandakan tibanya hari yang dikenali sebagai Hari Asyura.

Dah lama rasanya saya tidak merasai “sugho” @ bubur asyura ala Kelantan ni...tahun ni rasa teringin sangat untuk merasainya... Chek Yah kata, sugho Hjh Nik Meriam, Jalan Kelocor tempat saya selalu beli murtabak frozen dan akok tu paling best... nampaknya nak kena telefon untuk tempah sugho dengan Hjh Nik.

Teringat semasa zaman kanak-kanak dulu, melihat Nenek buat sugho bersama-sama jiran tetangga. Sehingga kini, masih ada masyarakat kampung yang meneruskan tradisi membuat bubur asyura beramai-ramai dalam bulan Muharam...

Dulu-dulu, orang kampung juga memanggil bulan Muharam sebagai bulan sugho... di sana-sini pasti ada kumpulan yang berpakat secara gotong-royong 'mengacar sugho' ni. Memang meriah sungguh walaupun mengambil masa yang lama, sehingga 8 - 9 jam untuk menukarkan bahan-bahan yang dijerang di dalam kawah itu menjadi sugho... Malangnya, anak-anak saya kini sudah tidak berkesempatan melalui pengalaman seperti itu....malah, mereka tidak begitu menyukai juadah turun-temurun ini...

Paling akhir, pengalaman bersama-sama (melihat orang) kacar sugho adalah semasa bertugas di SMK Sultan Ismail, Kota Bharu beberapa tahun lepas. Sudah menjadi tradisi warga SMKSI mengadakan majlis keagamaan begini bagi merapatkan hubungan silaturahim antara guru-murid-ibu bapa. Kalau tak kacar sugho, kami bekwah potong lembu sempena Maulidur Rasul.

Walaupun hanya sempat 2 tahun (2004-2005) bertugas di SMKSI sebelum berpindah ke Kuantan, kenangan bersama-sama rakan guru amat meninggalkan kesan di hati. Kami diagihkan tugas untuk menyediakan ramuan sugho tu. Kalau tidak silap, saya da
n beberapa orang teman guru diberi tugas menyediakan daging untuk digunakan sebagai ramuan sugho itu. Setiap orang menyediakan 1 @ 2 kilo daging. Daging ini kami rebus. Kemudiannya tongkolan daging yang telah direbus itu disiat-siatkan menjadi urat daging yang halus. Semua ni kami buat di rumah.

Keesokan paginya, kami bawa semua bahan yang telah disediakan itu ke sekolah. Hari kami buat majlis 'kacar sugho' tu kebetulannya jatuh pada hari Khamis, hari pakai baju batik ke sekolah. Jadi, berbaju batiklah kami pada hari itu. Tak sangka pula, ramai yang berbatik biru....macam uniform pula. Kami sama-sama berkumpul di atas wakaf berbumbung atap nipah di tepi kantin SMKSI untuk menyediakan apa-apa yang patut. Semuanya menjadi kenangan yang indah walaupun sudah lebih 8 tahun berlalu...


kenangan buat sugho di SMKSI...2005

Sebenarnya, bubur Asyura @ sugho ini ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharam iaitu pada Hari Asyura. Setiap negeri, terutama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, mempunyai Bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Bubur asyura @ sugho di Kelantan berbeza dengan bubur asyura yang terdapat di tempat lain…

Antara bahan yang digunakan untuk buat sugho ni ialah beras, ubi keledek, kacang merah, kacang hijau, kacang putih, jagung, rempah "sugho" (ramuan yang paling penting yang boleh membezakan rasa...), santan, daging , bawang merah, bawang putih, halia, gula dan garam secukup rasa. (Tak pasti pula, kalau-kalau ada yang tertinggal...!)

Tempoh mengacaunya ialah selama 7-8 jam... Mula-mula tidaklah terasa penat sangat kerana ramuan masih cair dan berwarna putih (campuran santan dan beras). Tetapi, selepas beberapa jam, setelah (telah dicampurkan dengan bahan-bahan di atas), sugho tadi menjadi semakin pekat, barulah mula terasa kepenatannya. Sugho ni perlu dikacau sehingga betul-betul sering, supaya tahan lama dan lambat basi. Selepas 7 atau 8 jam, dan sugho ni betul-betul sering, barulah disejukkan di dalam bekas... Masa kecil-kecil dulu Nenek akan sejukkan sura ni di dalam tempurung kelapa. Dulu, manalah ada bekas-bekas plastik yang tahan panas seperti hari ini...

Peristiwa Asyura berkaitan dengan peristiwa Nabi Musa a.s.,
Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

Ada juga anggapan bahawa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Nuh.
Kononnya, selepas diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. Apa pun yang pasti hari 10 Muharam berkait dengan peristiwa Nabi Musa dan ada anggapan ia berkaitan dengan juga dengan Nabi Nuh.

Puasa hari Asyura pula merupakan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah. (Riwayat Bukhari).


....Makan sugho makan juga, tapi penghayatan itu lebih penting. Menggabungkan kedua-dua niat itu alangkah lagi bagus. "Memasak dengan niat menjamu dan sedekah + menghayati peristiwa dan Kisah Nabi Nuh as".