Thursday, December 1, 2016

Alhamdulillah, bertemu lagi DISEMBER yang indah...



Buat Encik Kasihku,
insan yang penuh dengan cinta dan sayang,
ingin kutitipkan ucapan...


"SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-56..."
(1 Dis 1960 - 1 Dis 2016)

Kupanjatkan rasa penuh kesyukuran pada Allah s.w.t. kerana memberikan masa untuk aku mengenali erti kasih sayang dari insan dan Tuhan, menghayati pengorbanan luar biasa yang mencetus keinsafan dan memberikan aku waktu untuk mengecap cinta sedingin salju.  

Semoga kami sentiasa berada dalam perlindungan dan kasih sayang-Nya

Buat suami tercinta, kutujukan doa khusus buatmu. 
Tika sujud yang panjang, aku memohon agar kehidupanmu sentiasa dalam rahmat Tuhan. Semoga Allah panjangkan umurmu, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang penuh keberkatan....

susah senang bersama menuju jalan pulang....
Kudoakan, biarlah hanya yang terbaik berlaku dalam kehidupan, dunia dan akhirat bersama kita gapai penuh kesyukuran. Harapan dan impianku, agar aku mampu membuatmu sentiasa tersenyum dan tertawa saat kita bersama meniti usia. Moga Allah berikan aku kekuatan untuk membekalkan tenang dihatimu walaupun ketika hidup kita dihempas gelombang. 

Happy Birthday, Tok Ayah....
Terima kasih Tuhan kerana Kau jadikan dia untukku....
Terima kasih sayang kerana hadirmu begitu membahagiakan.....

DISEMBER juga meraikan ulang tahun kelahiran anak-anak saudara yang tersayang....
Aisya Balqis, Abdul Muiz A.Aziz, Aina Zaireynna Md. Zainuddin, Nur Hanis Syafiqah Sahazali,  Siti Nadhirah A. Aziz, Maisarah A.Aziz, Aiman Syakir Azemin.....

....bertambah umur
tanda usia yang berbaki semakin sedikit;
semoga kita terus diberi kesempatan membekalkan diri
untuk dibawa pulang ke alam abadi.


Monday, September 19, 2016

3 Dekad Bersama... Alhamdulillah



Pada 19 SEPTEMBER 1985 kami disatukan....sedar tak sedar, sudah lebih 3 dekad usia perkahwinan kami hari ini.



Dalam meniti 31 tahun hidup bersama, saya berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana Encik Kasihku seorang yang penyabar kepada saya dan anak-anak. Dia menyayangi kedua ibu bapa saya PAPA SOH dan MAMA CHE HALIMAH  sebagaimana dia menyayangi kedua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluarga saya. 

  
Begitu juga di pihak saya, saya juga menyayangi kedua ibu bapanya, ARWAH CHE POK MAT dan ARWAH MEK KIAH serta seluruh ahli keluarganya.  Saya menerima mereka seadanya.

Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….

Setelah 31 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengimbau pengalaman lebih 3 dekad yang telah berlalu....

19 September 1985 – 19 September 2016 .

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-31

Kepada Encik Kasihku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....



Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta.  Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang.  Pautan ini berasal dari angan-angan atas nama rindu.  Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...



Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan, sangatlah ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....



Kami sedar, berkahwin pada usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Hal ini bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.


Sedar tak sedar, kini sudah 31 tahun kami hidup bersama untuk saling melengkapi; dikelilingi 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH dan dua orang menantu kami, anakanda NURUL AINA AWANG dan SITI NUR AISHAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.… 



Istimewa sekali, kehadiran cucunda FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI, dan FALISHA SALSABILA BT. MOHD FAHMI, si cilik yang sentiasa menghiburkan kami semua....rindunya Mak Tok....


Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.



Sunday, September 18, 2016

Kita Raikan Bersama....19 SEPTEMBER

Esok, 19 SEPTEMBER... saya berkongsi 
tarikh ulang tahun kelahiran 
dengan seorang sahabat lama...
sahabat sejak zaman sekolah rendah lagi.... 


2012....

Buat sahabatku, SARIMAH BT. OMAR....

Std 6 Blue 1974...

Dulu,
sejak di bangku sekolah rendah
sehingga dijengah usia remaja
kita tidak pernah lupa akan tarikh keramat ini.

Dulu,
kita sering bertukar-tukar kad ucapan
diiringi doa dan harapan
demi kesejahteraan
dan keabadian
jalinan persahabatan.

Dulu,
setiap kali tiba musim libur
dalam kelelahan mengejar cita
kita tidak pernah lupa
bertemu dan bercerita
berkongsi kisah remaja
indah dan mengasyikkan.

Tiba-tiba
tanpa sedar
kita terpisah
...tanpa berita
...tanpa kata
lantaran cita-cita
kita bawa haluan diri
demi mengukuh peribadi
bersama keluarga
bersama tuntutan masa
tidak pernah lagi bersua muka
bertahun-tahun lamanya.

Sahabat,
kenangan sering singgah
walaupun kita terpisah jauh
ingatan tetap utuh
minda terus diterjah
walaupun sukar ditelah....

Sahabat,
setiap kali menjelang 19 September
hati meronta
lantaran jejakmu yang hilang
sukar dikesan
kad pengganti diri
tersimpan rapi
kemas dalam lipatan
tanpa dikirim...

hanya di angin lalu
ucapan kutitipkan
"SELAMAT HARI LAHIR....."
Setelah terpisah sekian lama
tiba jua saat dan ketika
dengan kehendakNYA
kita dipertemukan semula
seperti baru semalam kita bersapa...

Sungguh indah pertemuan itu
sekian lama kenangan yang tersimpan
kembali segar dalam ingatan
titian persahabatan
kembali bertaut erat
melerai rindu yang sarat.



Sahabat,
inginku panjatkan syukur ke hadrat Ilahi
pertemuan semula pada usia begini
pasti mengendong seribu makna
walaupun banyak sudah yang berbeza
walaupun kita semakin dihambat usia
namun, taman persahabatan kita
tetap semerbak harumnya
sewangi kesturi.

Kini,
walaupun tiada kad pengganti diri
namun, ingatan tetap bertakhta di hati
di ruang ini ingin kutitipkan
ucapan keramat,

"SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN"


 3 SYAWAL  1436 Hijrah
 

untukmu sahabat
untuk kita berdua
sama-sama menempuh suka duka

sama-sama berkongsi kenangan....

19 SEPTEMBER 1962







Thursday, September 1, 2016

SEPTEMBER YANG DINANTIKAN....



Terkenang lagu "Ingatan Manis di Bulan September"" yang dinyanyikan oleh biduanita Sharifah Aini sekitar awal 1970-an:
"Kumasih ingat
perkenalanku
di bulan,
September...
September...."

Sesungguhnya, SEPTEMBER merupakan bulan merayakan beberapa hari istimewa dalam keluargaku.

2 September 2016, genap LIMA tahun perkahwinan anakanda kami MOHD FAHMI NAIN dan NURUL AINA AWANG yang telah melangsungkan perkahwinan pada 4 Syawal 1432H, bersamaan 2 September 2011.  Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-5 anakanda....
  
2 SEPTEMBER 2011

dan cahaya mata mereka yang pertama FARHAH HANNAN sudah genap 4 TAHUN pada akhir JULAI lepas dan adindanya FALISHA SALSABILA genap 2 tahun 7 bulan pada 6 SEPTEMBER nanti.  

AIDILFITRI 1437H
07 September - Ulang tahun perkahwinan adinda MELISA KAMELIA @ Kakak dengan adinda JAILANI ABDUL MANAF yang ke-13....Masih kuingat lagi, ketika majlis berlangsung di rumah Mama, kami sekeluarga tidak dapat balik untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah Kakak kerana keadaan tidak mengizinkan.  Abe ketika itu sedang bertarung dengan ujian sakitnya yang penuh misteri....  

09 September, NATASHA ALIA BT. SAHAZALI genap usia 22 tahun. Natasha Alia, puteri sulung kepada Norbanilawatey Jusoh dan Sahazali Awang Deraman, dilahirkan di HKL sebelum dibawa balik ke kampung yang permai dan indah.   "HAPPY BIRTHDAY ALONG TASHA".  Along semakin matang hari ke hari.  Along penguat semangat Ibu dan adik-adik....

OGOS 2016
Semoga Along Tasha akan terus melakar kecemerlangan sebagai penuntut IPTA.... Doa Cik La agar Along Tasha akan menjadi seorang anak yang berjaya dunia dan akhirat, bertanggungjawab dan lebih matang menghadapi segala dugaan hidup.... Doa kami juga agar Along Tasha segera bertemu teman hidup yang secocok dan bertanggungjawab, yang bakal menjaga Along, Ibu dan adik-adik...

Pada 14 September, tarikh yang akan tetap dikenang walaupun adik iparku SAHAZALI B. AWANG DERAMAN sudah kembali ke alam abadi menemui Penciptanya akhir tahun 2014.  14 SEPTEMBER ini merupakan tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-50 tahun....Semoga Arwah tenang di sana, menunggu kita semua yang entah bila pula akan dipanggil pulang... Semoga kita semua akan berkumpul dan bertemu semula di Firdaus.

kenangan terakhir, akan tetap tersemat dlm sanubari... Aidiladha 1435H

Tambah manis lagi, pada 19 September ini bertambah lagi usiaku - sudah masuk 5.4 series..hahaha...!

OGOS 2016
Pada tarikh itu juga 31 tahun yang lalu iaitu pada 19hb. SEPTEMBER 1985 - aku telah disahkan menjadi suri hidup kepada insan yang tersayang setelah beberapa musim menyemai kasih dan menganyam rindu ketika bersama-sama di Lembah Pantai.... 
 
HOMECOMING APRIL 2016 - Di sinilah kasih mula bersemi....

Cepatnya masa berlalu. Sudah lebih 3 dekad rupa-rupanya kami mengharungi pahit manis bersama, menempuh duri dan ranjau hidup menuju jalan pulang ....  

Pada tahun ini juga kami menerima ahli baharu dalam keluarga Papa Mama yang akan menyambut ulang tahun kelahiran pada tarikh yang sama denganku, 19 SEPTEMBER... Adinda iparku, NIK MOHAMAD ZULARIF NIK MOHAMAD FAHMI.
 
ANGGEREK & ARIF bersama Cophea...


21 September pula adik bongsu kami, RATNA IDAYU BT. JUSOH akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-31 tahun.  Dilahirkan 2 hari selepas Papa dan Mama 'bekwah' kahwinkan anak perempuan keduanya, yang julung kali dalam keluarga kami pada tahun 1985.  Tahun ini tentu sekali lebih bermakna kepada Adinda Ratna kerana bakal menerima cahaya mata yang ke-3 sebelum berakhirnya 2016. 

Aidilfitri 1437H

23 September,  adik iparku yang ke-3, JAILANI B. ABDUL MANAF pasangan kepada adindaku MELISA KAMELIA akan menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-39 tahun.

SEPTEMBER yang sentiasa bertamu tanpa jemu, banyak merakamkan saat manis yang sangat indah untuk dikenang.... yang diraikan bersama keluarga....

Alhamdulillah.