Tuesday, February 28, 2017

Singkong dan Nostalgia Ubi Kayu

Kalau di Seberang Selat Melaka jenis makanan ini dikenali sebagai singkong, sama ada singkong rebus ataupun singkong goreng, tetapi di sini kita panggil ubi kayu... ubi kayu rebus atau ubi kayu goreng....

Sebut pasal singkong ni, teringat saya sebuah lagu dari seberang yang pernah popular suatu ketika dahulu..Lagu Singkong dan Keju, ciptaan Arie Wibowo...


" Kau bilang cinta padaku... aku bilang pikir dulu...
selera kita terlalu jauh berbeda....
parfummu dari Paris... sepatumu dari Itali....
Kau bilang demi gengsi...semua serba luar negeri....
Manakah mungkin.... mengikuti caramu yang penuh huru-hara...
Aku suka jaipong...kau suka disco
Aku suka singkong....kau suka keju
Aku dambakan seorang gadis yang sederhana...
Aku ini hanya anak singkong....hanya anak singkong..."

Masa tu, saya sendiri pun tak faham maksud singkong.... ! Rupa-rupanya singkong ini ialah ubi kayu...

Semasa wisata kami ke Tanah Seberang beberapa tahun lepas, di mana-mana sahaja kami dapat lihat singkong ini dijual oleh penjaja gorengan dengan kereta sorong. Yang uniknya, singkong @ ubi kayu goreng ini ditabur dengan parutan keju dan sebuk cili di atasnya.... Pada mulanya saya tidak berani mencuba, tapi setelah merasa satu, memang sedap...lemak masin.... cuma tak tahan rasa pedas serbuk cili.... 

Dulu, apabila tiba musim hujan, Atok akan ke tebing sungai untuk ambil ubi kayu. Ubi kayu ni kalau baru dicabut masih fresh dan tak masuk angin lagi. Biasanya kami akan tolong koyakkan kulitnya, basuh dan rebus sampai empok. Sambil-sambil tu Atok pula akan dapatkan nyior dan suruh Mama atau Nenek kukur (parut). Nyior yg diparut/ kukur ini akan digaul dng sedikit garam. Ubi kayu rebus tadi akan dicicah dng kelapa parut sebelum dimasukkan ke mulut...hmm best...!

Masa kanak-kanak dulu Nenek guna dapur kayu untuk memasak...kadang-kadang kami akan menyibuk di dapur. Kalau masih ada bara atas dapur kayu selepas Nenek memasak, kami akan masukkan ubi kayu ini ke dalam bara api itu. Kena berjaga-jaga, takut ubi kayu hangus, tak jadi ubi kayu bakar lagi, sebaliknya jadi arang ubi kayu...! Bila dah yakin telah masak, ubi itu dikeluarkan dari bara api dan dibuang kulitnya sebelum dimakan.

Kadang-kadang kami buat bengkang ubi kayu. Masa kecil-kecil dulu kami hanya memerhati Mama atau Nenek buat. Semasa darjah 6 kami 3 beradik dah pandai buat sendiri. Musim hujan akhir tahun, cuti sekolah. Kami akan fikir macam-macam aktiviti untuk dibuat. Ubi memang banyak pada musim ini kerana semua ubi perlu dicabut, takut ditenggelami air bah. Ubi kayu itu kami hantar ke kedai runcit berdekatan rumah Mama untuk dimesin (kalau tak, kami parut aje). Ubi kayu yang dah dimesin/ parut itu dicampur dengan kelapa muda yang telah diparut dan dicampur gula + garam secukup rasa. Lepas tu, diletakkan atas tudung periuk sebelum dibakar sehingga masak. Masa ni kami bakar guna sabut, belum ada oven; lagi jauh sekali ketuhar gelombang micro...! Seronok sangat... Bila dah masak, bentuknya yang bulat leper itu akan kami potong dan dihidangkan bersama kopi 'o' panas.

Ubi kayu ini juga boleh dibuat lepat ubi kayu. Yang ni Mama atau Nenek yang buatkan. Kami, masa tu tak pernah mencuba. (Kalau lepat pisang biasa juga buat sebab pernah buat di sekolah semasa belajar Home Science). Rasa lepat ubi ni mesti manis + lemak, barulah sedap... kena masukkan manisan @ gula melaka + kelapa muda, lepas tu bungkus dengan daun pisang dan kukus.

Selain itu, Nenek juga biasa buat tapai ubi kayu. Ubi kayu ni perlu direbus terlebih dahulu sehingga empuk. Ubi kayu rebus ini perlu disejukkan terlebih dahulu, ditabur dengan ragi sebelum disusun dalam periuk untuk diperam. Biasanya selepas 24 jam diperam, ubi kayu tadi akan bertukar menjadi tapai. Tapai yang nenek buat terkenal di sekitar kampung, dan kadang-kala, Nenek jual tapai ni di pasar Wakaf Che Yeh. Kata Nenek, bolehlah seringgit dua buat belanja dapur... nak toreh getah tak boleh kerana batang pokok getah basah. Musim tengkujuh katakan...!

Selain itu, ada lagi makanan favourite berasaskan ubi kayu pada musim-musimhujan begini, iaitu "putu halba". Gerai menjual putu halba tumbuh seperti cendawan lepas hujan di tepi-tepi jalan utama di negeri kelahiranku pada musim tengkujuh. Putu halba dibuat daripada ubi kayu + manisan + kelapa. Dikukus.

Kisah ubi kayu mengembalikan nostalgia semasa kanak2 dan awal remaja. Kini, walaupun sekali-sekala balik ke kampung semasa musim tengkujuh, tak sempat untuk makan ubi kayu rebus atau bengkang ubi kayu. Lepat ubi kayu dan tapai ubi kayu biasa juga makan kerana ada dijual di pasar, bolehlah dibeli.

Anak-anak zaman sekarang yg biasa dihidangkan dengan makanan segera tidak gemar makan makanan berasaskan ubi, apatahlah lagi ubi kayu.

Ubi kayu atau singkong makanan nenek-moyang masyarakat serumpun bangsa sejak zaman berzaman. Ubi kayu memberi sumber tenaga semasa zaman sukar. Alangkah pentingnya ubi kayu suatu ketika dahulu....