Beberapa hari lagi, atau lebih tepat pada 9 OKTOBER 2017, iaitu hari ISNIN, peperiksaan PT3 2017 akan bermula.
Hari-hari terakhir sebelum PT3, suasana di sekolah agak sibuk. Agenda penting menjelangnya PT3 ialah Majlis Restu Ilmu, Solat Hajat, Taklimat Akhir PT3 dan penyusunan dewan / bilik peperiksaan.
Semalam, 5 OKTOBER, tepat pukul 7.30 pagi bertempat di Dewan Wawasan, bermulalah Majlis Restu Ilmu untuk calon PT3 2017. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada murid yang terlibat memohon restu agar guru mendoakan kejayaan mereka.
Usai ucapan oleh wakil murid dan GPK HEM, majlis diakhiri dengan setiap calon peperiksaan PT3 menemui setiap guru yang mengajar Ting 3 untuk memohon restu agar mereka memperoleh keberkatan daripada-Nya dan saling bermaaf-maafan. Semua murid Ting. 3 beratur untuk bersalaman dan memohon restu daripada guru-guru. Semoga dengan restu yang diberikan oleh guru-guru, semua murid akan dapat menduduki peperiksaan pada 9hb ini dengan penuh yakin dan tenang, seterusnya memperoleh kejayaan yang cemerlang.
LAFAZ RESTU DARI GURU
"Kami berdoa dan merestui serta gunakanlah segala ilmu yang telah dicurahkan untuk mencapai kecemerlangan. Kami ikhlas mendidikmu. kami rela melepaskanmu untuk pergi berjuang berbekalkan ilmu yng telah dicurahkan. Gunakanlah sebaik-biknya. Jawapan ada ditanganmu..buatlah yang terbaik..kerana anda adalah yang terbaik bagi kami...selamat berjuang"
Kami berharap agar semua calon PT3 bersedia bukan sahaja dari segi ilmu, malah persediaan mental, emosi dan fizikal juga sangat penting. Ibu bapa perlu memainkan peranan memberi sokongan kepada mereka agar terus bermotivasi dan membuat persediaan yang secukupnya untuk menghadapi peperiksaan ini. Kami sedar, tekanan dan sasaran bukanlah jalan terbaik untuk memberi kata-kata semangat.
Sesungguhnya kami warga SMJKTP sentiasa mendoakan agar calon-calon PT3 tahun ini dapat menjawab soalan dengan tenang dan akhirnya memperoleh kejayaan yang cemerlang kelak. Insya-Allah.
Pagi tadi melalui Program Bina Insan, Majlis Solat Hajat yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama semua guru Muslim telah diadakan di Dewan Prestasi.
Antara objektif Majlis Solat Hajat ini adalah untuk :
1) Mendidik murid agar
sentiasa bergantung kepada Allah dalam semua urusan hidup.
2) Merapatkan hubungan
silaturahim antara warga SMKTP dan ibu bapa.
3) 3) Menjalankan aplikasi
solat Hajat secara praktikal kepada calon-calon PT3 dan SPM.
4) 4) Memohon kepada Allah
agar memberikan ketenangan dan kejayaan cemerlang kepada semua calon PT3 dan SPM 2017.
Antara pengisian Program Bina Insan semalam, selain mendirikan solat hajat, kami juga melaksanakan solat sunat Dhuha beramai-ramai yang dipimpin oleh CIKGU ZAIDAN HUSIN, diikuti bacaan Yaasin yang diketuai oleh CIKGU KHAIRUL FADHIL, amanat terakhir daripada Tuan Pengetua SMJKTP iaitu ENCIK CHAN KOK WAI, dan diakhiri dengan tazkirah daripada GPK HEM, ENCIK JOHARI BUDIN.
Kami telah menyediakan sedikit jamuan untuk semua murid yang terlibat dengan solat hajat ini hasil sumbangan ikhlas daripada guru-guru Islam SMJKTP. Kami juga turut berterima kasih dan bersyukur kerana menerima sumbangan daripada ibu kepada seorang murid dari kelas 3K6, berupa sedikit makanan dan senaskhah Yaasin dalam setiap pek 'goodies' itu.
Selepas rehat, lebih kurang pada pukul 10.20 pagi, telah diadakan taklimat akhir PT3 yang dikendalikan oleh SUPT3, PUAN NURUL ASRANI ABDUL MANAF. Seterusnya kerja-kerja penyediaan bilik dan dewan peperiksaan. SMJKTP yang tidak mempunyai dewan tertutup terpaksa 'membuka' 4 buah kelas untuk dijadikan dewan peperiksaan dan menggunakan beberapa buah bilik darjah untuk menempatkan lebih kurang 360 calon PT3, pusat peperiksaan CK025.... Urusan penyediaan dewan / bilik peperiksaan dimulakan sebaik sahaja taklimat akhir selesai, iaitu lebih kurang pada pukul 11.20 pagi. Penyusunan dewan dan bilik peperiksaan dapat diselesaikan dalam masa lebih kurang 1 jam sebagaimana yang telah ditetapkan dengan kerjasama daripada semua guru dan murid.
Nampaknya penantian dan perjuangan murid menengah rendah selama tiga tahun sudah hampir sampai ke matlamatnya. Sudah tentu guru, ibu bapa, pihak PPD malah JPNP sekalipun sedang memfokuskan kepada PT3 yang akan dijalankan pada 9 - 12 OKTOBER 2017 nanti.
Bagaimana pula untung nasib calon-calon PT3 SMKTP, khususnya anak-anak didikku... 3K11, 3K8 dan 3K2 ?
SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PMR KEPADA ANAK-ANAK DIDIK KAMI....