Thursday, February 7, 2019

mini Re-U SoHeritage (2) : Kunjungan ke masjid Ar Rahman Pulau Gajah

Pada 6 FEB 2019 pula, sebelum adinda Noni dan keluarga terbang pulang ke KL penamat cuti sempena CNY, kami berkonvoi membawa Papa dan Mama berkunjung ke Masjid Ar Rahman, Pulau Gajah, Sabak.  Kami sempat solat Asar berjemaah di masjid tersebut. 

Kami bertolak dari rumah Mama lebih kurang pukul 3 petang.  Perjalanan ke Pulau Gajah mengambil masa lebih kurang 25 minit.   



TERPEGUN seketika tatkala kereta menghampiri tempat letak kenderaan di  Masjid ar Rahman di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, Kelantan baru-baru ini. Apa tidaknya, keindahanan seni binanya yang indah memukau mata yang memandang!


Terletak kira-kira tujuh kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, masjid yang baru dibuka tahun lalu ini kian menjadi sebutan dan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.




Seolah-olah berada di tengah-tengah pulau, masjid ini sebenarnya dibina di atas tanah paya bakau oleh seorang penderma yang mewakafkan tanah miliknya, dibeli sejak 25 tahun lalu.




Menurut penduduk tempatan yang kebetulan kami temui usai solat Asar berjemaah memberitahu bahawa penderma yang menanggung kos pembinaan masjid ini ada dalam masjid semasa solat Asar berjemaah tadi.   Penderma itu sendiri  bertanggungjawab sepenuhnya dalam rekaan masjid itu.

Masjid ini adalah gabungan seni bina Melayu Kelantan, nusantara terutama Indonesia, ada sedikit sentuhan Turki dan Yaman.



Malah ukiran ayat al Quran daripada kayu yang memenuhi bahagian atas masjid menggunakan kepakaran pengukir dari Japara, Indonesia.  Bukan itu saja, banyak juga hiasan dalaman dalam masjid ini yang diperoleh dari negara luar misalnya dua batang pokok tamar diimport dari Timur Tengah menyerikan lagi kawasan mimbar.  

Kayu cengal jadi pilihan

10 batang kayu cengal dari kawasan hutan Hulu Kelantan juga menjadi penyeri dalam pembinaan masjid ini. Lima batang kayu sebesar pemeluk yang didirikan di ruang solat dalam masjid mewakili Rukun Islam, lima perkara.

Setiap arca atau hiasan dalaman masjid ini mempunyai maksud yang tersirat. Ini termasuk batu yang diukir dengan ayat suci al Quran, menjadi hiasan di tepi masjid juga adalah diilhamkan dari Batu Bersurat Terengganu.


Beduk dan ketuk-ketuk di luar masjid juga adalah yang asli dibeli dari negara jiran.
Walaupun beduk tersebut tidak digunakan, tetapi warisannya boleh dilihat oleh generasi muda, bagaimana di zaman dahulu tanpa pembesar suara, kita menggunakan kedua alat itu untuk menandakan waktu solat masuk.

Guna tenaga hijau

Pandangan dari luaran masjid ini lebih nampak tradisional dengan diinspirasikan Masjid Kampung Laut, masjid tertua di Malaysia tetapi pihaknya tetap menerapkan ciri teknologi hijau dalam memastikan binaannya mesra alam.

Tanpa menggunakan penghawa dingin, masjid ini agak sejuk di bahagian dalam kerana binaan tingkap dari atas ke bawah di sekeliling bangunan ini secara tidak langsung membuka laluan angin.


Nah, apa lagi, jika ke Kota Bharu, singgah-singgahlah ke Masjid ar Rahman Kampung Pulau Gajah, kerana pastinya anda juga terpegun dengan seni binanya seperti penulis juga.



Kami meninggalkan perkarangan masjid dengan rasa puas kerana dapat membawa Papa dan Mama ke sini melihat warisan seni bina Islam yang sungguh indah.  Kami singgah di restoran WAU dalam perjalanan pulang ke rumah.



Sunday, February 3, 2019

mini Re-U SoHeritage (1) : majlis ulang tahun kelahiran Papa & Bee

Kesempatan balik kampung sempena cuti CNY membolehkan kami adik beradik berkumpul beramai-ramai menghiburkan hati Papa dan Mama.

Kita tidak tahu sama ada kita masih diberi kesempatan begini pada waktu mendatang.  Kita tidak tahu siapakah yang akan pergi dahulu, pergi meninggalkan alam fana ini utk kembali ke alam abadi. 

Kami berkumpul di NEW HORIZON pada 2 FEB 2019, Sabtu malam, untuk membuat surprise sempena HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN Papa yang ke-76 yang jatuh pada 1 FEBRUARI 2019 dan juga HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN Shawatul Najwa.