Wednesday, June 21, 2017

CATATAN KENANGAN BUAT MR. SEE...


Sempena majlis persaraan MR. SEE KOON SUAN, KETUA BIDANG BAHASA yang sangat kami hormati, 21 JUN 2017...

 
Coretan kenangan ini ditujukan kepada Mr. See yang akan meraikan ulang tahun kelahiran esok, 22 JUN 2017, seterusnya akan bersara wajib pada usia 60 tahun bermula esok.  

Coretan ini bertujuan untuk menyatakan betapa saya sangat berbangga dapat berkhidmat di bawah satu bumbung dengan Mr. See.  Sesungguhnya, Mr. See seorang rakan guru yang mudah bertolak ansur dan tidak pernah lokek dengan ilmu yang ada.    Yang paling ketara, Mr. See seorang yang mementingkan ketepatan masa, berterus terang, cekap dan mempunyai pengetahuan yang luas dalam banyak perkara, lebih-lebih lagi dalam bidang ICT.  Tentu sekalilah, beliau menjadi pakar rujuk oleh banyak pihak. Beliau juga berdedikasi, "passionate" terhadap tugas dan tanggungjawab, serta berpegang teguh pada prinsip.  



Mr. See juga merupakan seorang GURU dan Ketua Bidang yang cukup disenangi oleh rakan sekerja, seorang yang ramah, mesra dan mudah bertoleransi sehingga kami berasa selesa bekerja di bawah penyeliaan beliau.  

Sesungguhnya, SMKTP berkembang bersama Mr. See, bermula dengan tiada apa-apa pada awal penempatan beliau di  sini pada pertengahan tahun 1980-an sehingga seperti  yang ada sekarang....  SMKTP seolah-olah RUMAH KEDUA Mr. See.  Selama tempoh lebih kurang 3 DEKAD di SMKTP, tentu sekali banyak menyimpan kenangan indah buat Mr. See, lebih-lebih lagi Mr. See pernah berkhidmat bersama CINTA HATI kesayangan, iaitu PUAN NYON MEE CHING, pasangan sejoli  yang kekal bahagia sehingga ke hari ini.
Add caption

 

Add caption

Tahniah buat Mr. See yang telah melalui dan menempuhi 'kembara guru' yang sangat panjang, penuh liku dan besar cabaran ini dengan cemerlang sekali.   Semoga segala ilmu yang telah dicurahkan kepada kami dan kepada ribuan anak didik yang telah membina kerjaya masing-masing di seluruh pelosok negara ini  menjadi kenangan dan kebanggaan buat Mr. See.
                              







Mr. See, pada kesempatan ini, saya ingin  menyusun jari nan sepuluh memohon kemaafan andainya ada antara kami di bawah Bidang Bahasa yang tersilap kata, terkhilaf bicara dan tersalah langkah.   Maafkan kami jika ada perlakuan dan tutur kata kami yang menyinggung perasaan  Mr. See.  Segala jasa bakti  Mr. See sepanjang berkhidmat di SMKTP ini akan dikenang selagi hayat di kandung badan.

Semoga selepas ini Mr. See dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tercinta dan dapat memenuhi hobi serta minat yang selama ini tertangguh.    

Buat Mr. See...

Sudah terikat dalam hati,
Bersara pasti, kesihatan dijulangi;
Bukan memberi kata dan puji,
Majlis kenangan dekatkan di hati.


Mr. See,

Tiba jua kiranya di muara waktu
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku!
Berdiri melihat denai-denai kenangan
Berbunga mesra dalam jambangan ingatan.

Selamat datang persaraan
kerana segalanya hanya kesementaraan 
melengkapi perjalanan
sebuah kehidupan.

Bak air yang mengalir
Tiba juga kiranya di muara waktu
Di sini kami pasti merindu
Hakikat seorang individu.
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu.

Selamat berangkat dalam doa berkat
Selamat beristirahat daripada segala muslihat
Selamat bersara dengan senyuman mesra
Senyumlah seindah suria
Setelah mencurahkan segala-galanya.

Bak air yang mengalir
Sampai di sini kenangan indah pasti terukir.

SELUHUR BUDI SEJAMBAK MEMORI,
SERIMBUN KASIH MENGGAMIT RINDU.

Selamat Bersara, Mr. See.   
 


TERIMA KASIH.


No comments: