Monday, April 20, 2009

EJAAN BARU

Tahun 1972, untuk pertama kalinya saya dan rakan-rakan seangkatan bersekolah di sebelah petang.  Ini merupakan tahun pertama dan terakhir kami di sesi petang sepanjang 6 tahun di SRJK (I) Kota.  

Mulai darjah 4 saya ke sekolah berjalan kaki. Pukul 11.30 saya dah mula bertolak dari rumah. 30 minit perjalanan, sampailah ke sekolah. Kawan-kawan sekampung ramai yang sekolah pagi. Mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kota, satu sesi - pagi sahaja. Jadi, saya akan jalan kaki sorang-sorang sehinggalah separuh perjalanan, barulah ada kawan-kawan yang menyertainya, biasanya Zanita dan Wan Hasmah. Begitu jugalah semasa balik dari sekolah. 

Noni yang baru darjah 2, juga sekolah petang, tapi dia naik beca ke sekolah sebab ‘masih kecil' lagi.  Saya yang sudah darjah 4 ketika itu, terpaksa berjalan kaki kerana Pok Mat beca roda tiga tidak terima budak sekolah yang sudah besar....

1972 - perkara penting yang akan saya atau kami ingat sampai bila-bila ialah perubahan Sistem Ejaan bahasa Melayu.


 
Sistem Ejaan Baru telah dirasmikan pada 16 Ogos 1972. Ini bermakna sudah hampir 37 tahun ejaan baru dilaksana dan digunakan. Sistem Ejaan Rumi yang dilaksanakan pada tahun 1972 itu adalah hasil kesepakatan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia, bagi pihak kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia. Badan yang ditugaskan menyelaraskan ejaan tersebut ialah Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia yang dilantik oleh Menteri Pelajaran, dan Jawatankuasa ini diletakkan di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ini bermakna semasa kami di Std 4, merupakan era peralihan dalam mempelajari sistem ejaan - dari sistem lama kepada sistem baru. Rasanya, tidaklah mengambil masa yang lama untuk menguasainya.


Perubahan dan penyusunan semula ini telah dapat membantu pengguna Bahasa Melayu mengeja atau menulis kata-kata dengan ejaan yang betul dan tepat. Apa yang jelas ialah pelaksaanaan sistem ejaan baru itu telah banyak membantu mempertingkatkan lagi martabat bahasa Melayu itu sendiri.

Satu perkara yang menarik dalam sistem ejaan baru bahasa Melayu ini ialah perubahan dari Sistem Ejaan Rumi Za’aba, atau ejaan lama kepada bentuk ejaan baru (1972). Walaupun begitu perubahan sistem ejaan ini tidaklah banyak atau jauh berbeza, kecuali beberapa perubahan dan penyelarasan yang telah dibuat.

Salah satu perubahannya ialah huruf gabungan yang digunakan dalam sistem ejaan Rumi Za’ba, iaitu ch, dh, dz, sh, dan th telah diubah menjadi "c, d, z, sy, dan s".

Contoh: chinchin = cincin / dharab = darab / dzalim = zalim / sharat = syarat / mithal = misal / ranchangan = rancangan
contoh lain : ayer = air



Selain itu, angka 2 untuk kata ganda, tanda (- ) untuk kata sendi telah digugurkan.  Tanda (-) kekal untuk kata ganda.

Tapi yang peliknya, murid-murid sekarang suka sangat guna angka 2 untuk kata ganda ...


"Bahasa Jiwa Bangsa", jumpa lagi .



VCD Motivasi Haji




Sudah dijangka, pagi ini aku akan menerima kiriman pos dari Segamat. Habis kelas tengah hari tadi Cik Fuziellah datang ke mejaku dan menghulurkan satu bungkusan kepada aku. Tengok pada sampul, dah boleh agak dah... Bungkusan berisi VCD Motivasi Haji yang aku pesan melalui e-mail daripada Prof. Muhd Kamil Ibrahim beberapa hari lepas. Dapat harga istimewa dan siap ada tandatangan lagi....

Aku terus bagi satu copy kepada Zie. Dulu aku dah bagi 2 buah buku tulisan Prof Kamil (THMSI & TDMHE) kepada dia. Rezeki Zie... Semoga dapat memberi manfaat kepadanya.

Sebelum ni aku telah baca THMSI & TDMHE berkali-kali, tanpa rasa jemu, dan setiap kali membaca terasa sayu, dan diri terasa serba kekurangan dan sangat kerdil.... Sebelum ini aku juga tidak akan melepaskan peluang menonton Astro Oasis Ikhtibar Dari Tanah Suci - kisah yang sama walaupun diulang tayang (sejak mula musim baru, siri 1 sudah tak diulang lagi...) .


Balik sekolah, rehat sekejab, aku terus 'buka' VCD ni. Walaupun aku dah tahu 'sinopsis dan plotnya' adalah sama, namun kesan visual VCD ini meninggalkan impak yang berganda hebatnya. Sebak, terharu, hiba bercampur baur. Air mata mengalir tanpa sedar.

Itulah manifestasi kebesaran Ilahi kepada hambanya yang sentiasa berserah dan merintih memohon agar diberi keistimewaan. Walaupun aku belum berkesempatan mendengar ceramah motivasi Prof Kamil secara live, sekurang-kurangnya VCD ini dapat mengisi ruang-ruang kosong yang masih tersisa dalam diri....


Syukur alhamdulillah. Allah telah memberi ilham kepada Prof untuk berdakwah dengan caranya yang tersendiri. Terima kasih Prof.


Foto : Cover VCD Motivasi Haji

Sunday, April 19, 2009

15 hari 13 malam


Pada awalnya tarikh bertolak dari KLIA ialah pada 30 Mei dan tiba di KLIA pada 12 Jun. Ini bermakna aku terpaksa mengambil CRK satu hari pada 29 Mei. Baru sekejab tadi, ustaz sms memaklumkan bahawa rombongan kami akan berangkat pada 31 Mei dan tiba di KLIA pada 14 Jun. Ini bermakna tempoh 'perjalanan' kami ialah selama 15 hari 13 malam.

Aku rasa bersyukur sangat. Allah Maha Berkuasa menyusun semua ini. DIA mendengar permintaan hamba-NYA yang lemah ini agar perjalanan kami dipermudahkan.

31 Mei jatuh pada hari Ahad. Ini bermakna aku tak perlu ambil cuti pada hari Jumaat. Abe juga boleh bersama-sama mengiringi keberangkatan kami tanpa perlu minta pelepasan daripada pihak kolej.

Abe, Kali ni Mak dan Ayah pergi bersama Emi dan Adik, walaupun rancangan awal adalah untuk membawa Abe terlebih dahulu. Semua ini ketentuan Ilahi. Kita hanya merancang, DIAlah yang menentukannya... Insyaallah, bila ada rezeki dan kebetulan Abe cuti, kita akan pergi bertiga pula. Mak, Ayah & Abe. Doakan agar Allah s.w.t memberi kelapangan kepada kita semua. Jangan lupa berdoa...

Foto : Abe, Emi & Adik

SEKOLAH ANEKA


1967 – 1968. Masa tu aku belum lagi bersekolah. Baru umur 5 atau 6 tahun. 2 orang sepupu perempuan – Kak Yah dan Kak Sah, sudah masuk sekolah menengah. Kak Yah 10 tahun lebih tua daripadaku, manakala Kak Sah pula, 8 tahun lebih tua daripadaku. Walaupun jarak umur agak jauh, hubungan kami sangat rapat kerana tak ada sepupu perempuan lain lagi yang tinggal berdekatan. Aku, Kak Ros dan Noni seperti 'adik kandung' kepada Kak Yah dan Kak Sah. Lagipun 2 adik Kak Yah dan Kak Sah adalah lelaki (Abe Yie & Abe Die). Haniah masih baby lagi masa tu (Kini, Dr. Haniah - Pengarah Hospital Besut)

Aku selalu dengar Kak Yah dan Kak Sah sebut sekolah aneka. Aku tertanya-tanya apa itu sekolah aneka. Rasa teruja untuk ke sekolah aneka, walaupun tak tahu apa sebenarnya sekolah aneka ni. Terlintas difikiranku - mungkin ni sekolah untuk 'kanak-kanak besar'...Kalau dijelaskan pun, apalah sangat yang mampu difahami oleh kanak-kanak seusia aku pada masa tu...

Apabila aku masuk darjah satu pada tahun 1969, yang aku faham atau nampak sekolah aneka ni, bangunannya 2 tingkat, ada tangga tinggi. Besar. Hebat. Murid-murid perempuannya pakai baju sekolah (pinafore) warna biru muda. Pelajar lelaki pula pakai seluar pendek warna putih. Tak pakai beg sekolah, tetapi kepit fail sahaja bila ke sekolah. Bermulalah dunia fantasiku : "...suatu hari bila aku dah masuk sekolah aneka, tak perlu lagi bawa beg warna coklat ni (... berbentuk 4 segi - macam beg baju - ada kunci) seronoknya..."

Masa tu, sekolah aneka yang dekat dengan aku ialah Sekolah Menengah Kota, bersebelahan dengan SRJK (I) Kota, tempat aku belajar (sekolah aku - bangunan batu satu tingkat sahaja). Kak Sah bersekolah di 'sekolah aneka' SM Kota kerana dia belajar dalam aliran Inggeris, manakala Kak Yah yang mengikuti aliran Melayu bersekolah di SM Mulung.

Aku tak pasti bila...istilah sekolah aneka ni hilang begitu sahaja daripada ingatanku beberapa tahun selepas itu....

Bila aku dah belajar di peringkat yang lebih tinggi, hasil daripada pembacaan luas, barulah aku tahu bahawa sekolah aneka rupanya satu Sistem Aneka Jurusan di sekolah menengah rendah (SMR) sebagaimana yang terdapat dalam Penyata Rahman Talib.

Berikut sedikit info tentang SISTEM SEKOLAH ANEKA JURUSAN :

Sistem ini mula diperkenalkan pada 1 Januari 1965.

Menerusi sistem ini, murid-murid di SMR akan mengikuti pelajaran Aneka Jurusan, iaitu pelajaran am dan pelajaran persediaan pekerjaan dengan tujuan menolong diri mereka untuk mengetahui apakah bakat dan kecenderungan, dan jenis pelajaran (aliran akademik atau lain-lain) yang baik sekali untuk kebolehan masing-masing.

Pelajaran am termasuklah mata pelajaran wajib dan mata pelajaran asas seperti Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Ilmu Hisab dan Sains Am. Pelajaran Persediaan Pekerjaan pula termasuklah mata pelajaran Sains Pertanian, Sains Rumahtangga, Ilmu Perusahaan, Ilmu Perniagaan Am, dan lain-lain lagi.

Menurut sistem ini, pada akhir tahun ke-9, murid-murid itu akan mengambil peperiksaan SRP / LCE. Berdasarkan keputusan peperiksaan itu, mereka akan dipilih untuk masuk sama ada pelajaran Menengah Atas Aneka Jurusan dalam aliran akademik, teknik, pertanian, perdagangan atau pertukangan dan sekolah-sekolah pekerjaan, yang sesuai.

Apabila mereka tamat pelajaran menengah itu, kebanyakan murid itu tentulah telah menerima latihan cukup untuk mencari kehidupan mereka dan tentu berumur 17 atau 18 tahun, iaitu umur yang sesuai untuk mencari pekerjaan sama ada dalam perdagangan, perusahaan atau pertanian, atau bekerja sendiri, mengikut kesukaan masing-masing.

Sementara mereka yang berbakat untuk belajar dalam aliran akademik pula akan meneruskan pelajaran mereka ke maktab-maktab dan lain-lain yayasan.

Secara ringkasnya, sistem aneka jurusan ni bertujuan :

a) memberi pelajaran asas dan am selama 9 tahun kepada setiap murid hingga berumur 15 tahun lebih.

b) Mengadakan peluang belajar yang sama bagi setiap orang murid supaya mereka boleh menerima pelajaran dan latihan yang sesuai dengan bakat dan kebolehannya; dan

c) Menjamin cukup tenaga orang ramai.

Elok juga kalau sistem ni dilaksanakan untuk murid-muridku di Kelas 3K2 dan 3K4....

Maju Bangsa Maju Negara... jumpa lagi.

Foto : Kenangan di rumah Dr. Haniah

Tok Guru Quran

Bermula dengan - alif - ba - ta - sehingga khatam, kami bertiga (Aku, Kak Ros dan Noni) mengaji Quran dengan beberapa orang Tok Guru.

Sebelum masuk sekolah rendah sehingga darjah 2, kami mengaji Quran dengan Tok Che’ (moyang lelaki sebelah Mama). Daripada apa yang diceritakan oleh Pok Weil, Tok Che' terkenal sebagai Tok Guru mengaji yang garang. Tetapi, seingat aku, tak pernah pula kami kena rotan. Mungkin, peringkat cicit ni, keadaan agak lain sikit.

Setelah Tok Che’ kembali ke rahmatullah pada tahun 1970, kami mengaji pula dengan Che’ Yusof ( Atok sebelah Mama). Kemudian sambung mengaji dengan isteri Tok Wan Dollah (lupa pula namanya…) sehingga habis muqadam atau ‘surah kecil’. Malam-malam, bertemankan lampu suluh, kami bertiga akan berjalan kaki ke rumah Tok Wan Dollah yang selang beberapa buah rumah daripada rumah kami.

Bila dah naik ‘surah besar’ atau Quran, kami adik-beradik mengaji di Madrasah Tok Nik Wil. Kami mula mengaji di situ mulai tahun 1972. Disebabkan saya bersekolah sebelah petang, jadi saya mengaji Quran pada sebelah pagi. Saya pergi berjalan kaki dengan Noni. Kak Ros masa tu sekolah pagi, jadi dia mengaji sebelah petang. Waktu cuti sekolah, kami akan pergi sama-sama pada sebelah petang.

Setiap kali habis Quran, Mama akan buat pulut kuning. Kami akan bawa pulut tu ke madrasah untuk diberi kepada Tok Guru dan sebahagiannya dibahagi-bahagikan kepada rakan-rakan sepengajian. Rakan-rakan yang lain pun akan berbuat perkara yang sama mengikut kemampuan masing-masing.

Sebelum melangkah ke Form 2, saya khatam Quran sebanyak 3 kali (sambil tunggu Kak Ros dan Noni khatam). Kata Mama, jika dah masuk Form 3, sibuk pula dengan kelas untuk menghadapi pep. LCE, tak ada masa nak pergi ngaji di madrasah. Walaupun 3 kali khatam, tetapi masa tu saya belum betul-betul mahir aspek tajwidnya.

Berbeza dengan sekarang, ada kaedah tertentu untuk mempelajari hukum-hukum tajwid. Kini, kanak-kanak telah diberi pendedahan tentang tajwid seawal sekolah tadika atau setidak-tidaknya semasa di sekolah rendah lagi. Beruntungnya mereka...

Cerita pasal anak-anak yang lebih awal belajar tajwid ni, teringat saya semasa anak-anak di sekolah rendah sekitar tahun 1993 - 1994. Abe dan Emi selalu bertanya tentang hukum-hukum tajwid untuk meningkatkan pemahaman. Mak dan Ayah pula tak berapa mahir. Jadi, untuk memberi penjelasan kepada mereka, hubby telah beli buku tajwid dan letak dalam kereta. Setiap hari dalam perjalanan pulang dari pejabat di Shah Alam ke Ampang, masa kereta ‘berehat’ dalam kesesakan jalan raya, dia akan mentelaah hukum-hukum tajwid itu. Nanti malam, mudah nak terangkan kepada anak-anak apabila mereka bertanya. Sejak itu, kami pun mulalah belajar sedikit demi sedikit...

Terasa diri terlalu kerdil apabila mengingatkan banyak lagi yang perlu digali untuk mengenal dan memahami 'permata' yang amat bernilai ini....

Friday, April 17, 2009

Felda Cempaka @ Jengka 2



Felda Jengka diberi nama berdasarkan bunga. Daripada 25 Felda Jengka, 21 buah penempatannya menggunakan nama bunga, iaitu : Anggerik (J1), Cempaka (J2), Dahlia (J3), Kemboja (J4), Kekwa (J5), Keembong (J6), Kenanga (J7), Kesidang (J8), Kesumba (J9), Mawar (J10), Melati (J11), Melor (J12), Puteri Malu (J13), Raya (J14), Semarak (J15), Sena (J16), Seri Pagi (J17), Seroja (J18), Siantan (J19), Tanjung (J20), dan Teratai (J21).

Felda Cempaka sangat dekat di hati. Selama 4 tahun mencurah bakti di penempatan Felda Cempaka, banyak meninggalkan kenangan. SMK (LKTP) Jengka 2 memberi banyak pengalaman baru yang belum pernah dilalui sebelum ini.

Pertama kali menjejak kaki di sekolah ini, seolah-olah suatu kejutan. Untuk pertama kalinya selepas 15 tahun berkhidmat, saya ditempatkan mengajar pada sebelah petang. Mengajar murid Ting. 1 dan 2. Seronok juga. Untuk seketika saya tidak dibebani dengan tugas peperiksaan awam, tapi saya perlu cari pendekatan baru untuk menangani 'budak-budak kecil' ni.

Untuk sebulan pertama, agak susah juga menyesuaikan diri. Perangai murid-murid T1 masih lagi seperti murid-murid sekolah rendah... suka mengadu-domba dan duduk mengeliling guru bila Cikgu sedang memeriksa kerja mereka. Kena sentiasa tahan nafas. Mula-mula tu rasa rimas juga, tetapi lama kelamaan, seronok pula... dunia mereka.

Satu lagi, saat yang paling tidak dapat dilupakan ialah masuk ke kelas selepas rehat, terutama pada pertengahan minggu. Baju yang mereka pakai sudah beberapa hari tak bertukar. Masa rehat, mereka berkejar-kejaran, berlari dan sebagainya. Peluh yang membasahi baju mereka mengeluarkan aroma yang menusuk hidung. Biasanya, semasa murid-murid keluar rehat, saya sudah ada di dalam kelas mereka. Sebelum mereka masuk, saya telah standby dengan perfume/ cologne dalam botol kecil dan diletakkan pada hidung untuk menepis aroma yang tajam itu. Selepas beberapa bulan, perkara ni dah jadi lali, tak kisah lagi dah...

Menjelang hujung bulan, mereka akan tanya, "Cikgu tak pergi bandar ke?" Saya rasa pelik juga dengan soalan tu. Rupa-rupanya, bila hujung bulan, setelah dapat gaji, mereka akan dibawa oleh ibu bapa mereka ke bandar Jengka (15 minit perjalanan dengan kereta), paling tidak mereka akan pergi ke Pasar Malam pada hari Sabtu. Atau ke Pasar raya Mat Sapak, satu-satunya pasar raya di BP Jengka pada masa itu yang menjual pelbagai keperluan (sekarang pasar raya tu sudah tak ada lagi).

Oh, alangkah naifnya mereka.

Dulu, SMKJ2 merupakan antara sekolah yang terkenal di daerah Jengka. Ia merupakan sekolah menengah pertama di Jengka. Sebuah sekolah yang lengkap dengan pelbagai prasarana dan mempunyai asrama bagi menempatkan murid-murid yang datang dari Felda Jengka yang lain. Banyak sejarah telah dicipta yang menjadi kebangggaan penduduk Felda Cempaka.

Semoga J2 terus berkembang wangi, seharum bunga cempaka.

Jumpa lagi...

Oh Jengka


Bandar Pusat Jengka @ Bandar Jengka dan kini dikenali sebagai Bandar Tun Razak adalah sebuah bandar utama di Pahang. Bandar Pusat Jengka menjadi pusat kepada Segitiga Jengka atau dikenali sebagai FELDA Jengka. Segitiga Jengka ialah sebuah gugusan terbesar FELDA di Malaysia, satu daripada projek kerajaan Malaysia ke atas penduduk Malaysia.

Jengka dibuka secara rasmi pada 1967. Nama Jengka diambil daripada nama sebatang sungai iaitu Sungai Jengka. Sungai ini pula mendapat nama daripada satu kisah seorang wanita bernama Yang Jangka yang mati lemas di sungai ini.

Dalam tempoh tiga dekad (1967-1997), Jengka ditadbir oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ). Setelah LKWJ dibubarkan pada 1997, Pentadbiran Jengka telah diserahkan kepada Majlis Daerah Maran (MDM) dan Warisan Jengka hingga ke hari ini.

Jengka ditubuhkan melalaui satu projek iaitu Segitiga Jengka oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Nama Segitiga Jengka digunakan dengan mengambilkira lokasi Jengka yang terletak di antara tiga daerah iaitu Temerloh, Maran dan Jerantut.

Semasa menduduki LCE, Segi Tiga Jengka ni hanya'ditemui' dalam buku teks Geografi. Masa belajar di Universiti, (1982-1985)bas ekspres akan lalu ikut KT - Kuantan - Temerloh - KL. Masa tu belum ada laluan KB - Gua Musang. Bila sampai di persimpangan Kg Awah atau Simpang Jengka, dalam hati berkata, di sini rupanya Jengka... jauhnya....

Foto : Tun Razak yang digelar 'Bapa Pembangunan' melawat kawasan penempatan FELDA pada awal penubuhannya.

Thursday, April 16, 2009

bunga raya

























Bunga raya, juga dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu(Hibiscus rosasinensis) ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.

Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah untuk mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Pada akhir pada tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung. Selepas perbincangan pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.

Bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau. Pelbagai kultivar, varieti, dan hibrid telah dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda.

Masa kecil-kecil dulu, banyak juga Mama tanam pokok bunga raya di halaman rumah. Pelbagai warna dan ada yang kelopaknya berjurai-jurai (betul ke istilah ni). Tapi masa tu kita orang tak kisah sangat, tak tahu nak menghargainya.

Hari Sabtu lepas, semasa Projek Gotong-Royong Perdana yang diadakan di SMKTP, ahli Persatuan Sejarah telah menanam 2 pohon pokok bunga raya di Taman Mini Sejarah. Tak tahu pula spesis yang macam mana. Tak kisahlah.

Tuesday, April 14, 2009

Desa Jaya Jengka



1 Februari 2000. Hubby melapor diri di pejabat baru di Bandar Pusat Jengka (Kini dikenali sebagai Bandar Tun Razak...). Hari tu merupakan hari cuti umum di W.Persekutuan, jadi dapatlah kami sama-sama ke Jengka. Kami pergi bersama anak-anak dan adik ipar. Dia yang drive. Rasa jauh sangat... tertunggu-tunggu bilalah nak sampai. Nampak kehijauan pokok kelapa sawit dan pokok getah yang ditanam di kawasan yang berbukit serta beralun.

Untuk sementara hubby menginap di Mercu View Resort. Rumah yang disediakan oleh majikan belum lagi dikosongkan. Rumah yang akan kami diami nanti letaknya di no. 54, Jalan Kesedar, Taman Desa Jaya, BP Jengka. Rumah berkembar satu tingkat dengan 3 bilik.

Kami tak bawa banyak barang kerana keperluan asas sudah disediakan. Kebanyakannya ditinggalkan di rumah kami di Ampang.

Hampir satu bulan setengah aku dan anak-anak akan ke Jengka dengan Metrobus. Lepas balik dari sekolah pada hari Jumaat, aku bersama 3 orang anak akan terus ke Stesen bas Jalan Pekeliling untuk menaiki bas ke Jengka. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam kerana pada masa tu lebuh raya MTD belum ada lagi. Pagi Ahad, kami akan balik ke KL bersama hubby. Sebelum subuh hari Isnin, hubby akan drive semula ke Jengka. Keadaan ini berterusan sehinggalah aku mendapat surat pertukaran pada pertengahan Mac 2000.

Foto : 1) Hari-hari terakhir Adik bersekolah di SK Ampang; Abe & Emi di SMK Datuk Ahmad Razali, Ampang. 2) Papa di depan rumah di Desa Jaya, Jengka

Friday, April 3, 2009

Ustazah

Subjek agama Islam diajar oleh ustazah yang sama dari Std One hingga Std Six. Ustazah Zainun, orang Kampung Laut, kawan Mama semasa mereka sama-sama belajar di Sek. Naim Lilbanat, KB pada tahun-tahun 1950-an.

Masa tu belajar agama guna tulisan Jawi, tapi bila naik Form 1 (1975), guna rumi hinggalah Form 5. Lama-lama kemahiran menulis jawi semakin merosot. Rasa rugi sangat, tapi nak buat macam mana, dasar kementerian pelajaran masa tu...(Beberapa tahun kemudian, barulah tulisan jawi dikembalikan) Aspek yang diajar sama seperti sekarang, iaitu Tauhid, Feqah dan Sejarah Islam.

Mula-mula belajar baca Alif - Ba - Ta, kemudian belajar menulis jawi. Ulang setiap huruf dalam satu muka surat. Huruf di barisan atas buku latihan, Ustazah yang tulis dulu. Kemudian, kami ulang, penuh satu muka surat. Kalau tulis dengan kemas dan bersih, dapat bintang. Ada satu bintang, ada dua bintang. Yang paling baik dapat tiga bintang. Bila dapat bintang, rasa seronok sangat.

Selalunya Ust. Zainun akan bercerita tentang kisah-kisah Rasullullah s.a.w. Cerita yang disampaikan dengan bersahaja tapi sungguh berkesan. Kami akan duduk bersila mengelilingi ustazah yang duduk di atas kerusi. Nama-nama seperti Aminah, Halimatusaadiah, Maisarah, Siti Khadijah telah tertanam dalam minda kami sejak kanak-kanak lagi.

Kami juga diajar doa-doa dalam sembahyang. Kami perlu menghafal doa-doa tersebut. Setiap murid disuruh baca dengan kuat dalam kelas secara bergilir-gilir. Kalau tak hafal, alamatnya kena dendalah. Jadi, sekejab sahaja kami dapat hafal walaupun doa itu panjang.

Saya masih ingat lagi, masa darjah 4, buat amali sembahyang jemaah. Sembahyang Asar. Masa tu sekolah belum ada surau. Kami menyusun meja rapat-rapat dan sembahyang beramai-ramai di atas meja tu. (Dulu meja kayu sangat kukuh, bukan seperti hari ni, meja diperbuat daripada kayu yang dimampatkan dan guna skru, mudah goyang / rosak. Yang terkini, meja pelajar dibuat daripada plastik)

Dulu tidak banyak kelas TADIKA. Kalau adapun, bukannya berasaskan pendidikan agama Islam. Kami tiga beradik yang atas ni tak masuk TADIKA pun. Di rumah, kami hanya diajar mengaji Quran. Amalan lain, kami ikut aje apa yang dilakukan oleh mereka yang lebih dewasa. Jadi, kami mendapat pendidikan agama secara formal setelah mula bersekolah.

Terima kasih Ustazah, kerana membekalkan ilmu agama yang menjadi asas kukuh untuk saya memulakan perjalanan yang panjang ini....

Tambah Usia Lagi





Selamat Hari Lahir.

Ucapan ikhlas daripada seorang kakak kepada adik pertamanya : NORBANILAWATEY JUSOH.

Bertambah satu tahun usia.

Saudara-mara, Kawan-kawannya di kampung & masa bersekolah rendah guna panggilan Noni. Kini, nama tu dah jarang digunakan.

Adik-adik yang lain panggil Kak Nor. Dalam kalangan anak-anak buah pula lebih mesra dengan Cik Nor. Aku dan Kak Ros panggil dia dengan nama singkat 'Ni' sahaja. Dia berbahasa 'Nor' dengan kaum keluarga terdekat.

Masa zaman kanak-kanak kami sangat rapat kerana beza umur 2 tahun sahaja. Kami berdualah yang sering mengikut nenek bertandang / bermalam ke rumah saudara-mara. Masa dia darjah 1, akulah yang selalu ikat rambutnya yang panjang dan tebal itu sebelum pergi ke sekolah. Mama sibuk menyiapkan sarapan pagi.

Aku juga pernah ajar Noni tunggang basikal, walaupun aku sendiri belum pandai.... Kami berdua juga sering ikut Che Abe pergi menangguk ikan/ udang di tali air.

Zaman kanak-kanak banyak masa dihabiskan bersama.

Ni, Semoga awak lebih tabah menghadapi ujian hidup dan sentiasa muhasabah diri; dimurahkan rezeki dan diberkati Allah s.w.t. Bersyukurlah dengan apa yang telah dikurniakan...

Daripada KAK LA sekeluarga.

Foto : 1) Noni atas riba Papa (1965), 2) Noni (1981), 3) Noni (1996) 4) Noni & Family (2008)

Thursday, April 2, 2009

PERIKATAN



Tadi bincang tajuk Kerjasama Antara Kaum Ke arah Kemerdekaan dengan murid-murid.

Salah satu langkahnya ialah penubuhan PARTI PERIKATAN. Langkah-langkah lain ialah Sistem Ahli; dan kelonggaran syarat kewarganegaraan.

Parti Perikatan merupakan gabungan UMNO - MCA - MIC. Guna logo Kapal Layar - warna biru laut. Saya masih ingat lagi ada gambar logo Parti Perikatan di dinding rumah kami. Papa yang tampalkan. Agaknya nilah cara generasi terdahulu menunjukkan semangat patriotik menjelang PRU tahun 1969.

Lihat foto. Ada logo di dinding, tapi tak berapa jelas...

Wednesday, April 1, 2009

Art & Craft 1

Antara subject yang diminati semasa di sekolah rendah ialah Art & Craft.

Masa tu kami banyak guna crayon. Ada yang jenis lembut dan ada jenis yang agak keras. Yang jenis lembut lebih mudah digunakan dan warnanya lebih terang.



Untuk seni cetakan, kami guna water colour, dalam bentuk powder/ debu. Ambil beberapa jenis warna asas dan masukkan ke dalam palette yang besar. Guna brush yang besar juga. Campur dengan air. Semua ni disediakan dalam setiap classrom.

Water colour dalam tiub kecil tu mula digunakan setelah masuk sekolah menengah. Sekali-sekala bila pergi ke rumah Mak Abe, curi-curi guna water colour Kak Yah atau Kak Sah (mereka ni dah di sekolah menengah pada masa tu). Habislah dipicit bekas colour tu. Kadang-kadang letak warna merah pada kuku jari, buat inai...

Antara jenis seni yang diajar oleh Cikgu Habsah (Class Teacher One Blue) ialah seni cetakan @ mengecap corak menggunakan pelepah batang pisang yang dipotong, atau guna ubi kentang yang 'diukir' corak tertentu. Macam-macam corak yang dihasilkan. Sudah tentu Mamalah yang sediakan semua ni pada sebelah petang/ malam untuk dibawa ke sekolah keesokan paginya. 



 


Ada juga kawan-kawan yang tak bawa, terutama lelaki, mulalah melilau ke sana ke mari untuk minta simpati. Yang paling seronok apabila hasil kerja kita dipamerkan di papan kenyataan kelas. Rasa macam tak percaya... tapi bangga...





Jumpa lagi dengan kerja craft yang lain pula...