Monday, May 10, 2010

Mencari Erti Bahagia...


Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang kita cari dalam hidup. Walaupun mungkin usia sudah menjangkau setengah abad, tetapi jiwa masih dalam pencarian. Apakah yang kita cari...?

Sukar untuk kita menilai erti kebahagiaan buat diri seseorang. Mungkin ada yang mengukur kebahagiaan dari segi material dan ada juga yang melihatnya dari aspek lain...

Kadang-kala kita perlu reda, menerima sesuatu seadanya tanpa meminta lebih, barulah rasa bahagia itu datang. Yang penting, hati mesti sentiasa dekat dengan Tuhan, barulah jiwa kita akan tenang dan tenteram. Kita juga perlu lebih berfikiran terbuka dan berlapang dada dalam menerima sesuatu keadaan; tidak akan mengharapkan sesuatu yang menjangkaui kemampuan diri.

Jangan juga cuba mengukur kebahagiaan anda dengan kebahagiaan orang lain! Setiap orang ada sebab berbeza-beza yang membuatkan mereka bahagia. Oleh itu, jangan sekali-kali menganggap anda akan bahagia jika jadi seperti mereka. Mungkin, seandainya benar-benar anda terjadi seperti mereka, tidak mustahil anda tetap tidak bahagia...!

Tip untuk bahagia...
1) Jangan menyimpan dendam
2) Jangan hidup dengan masa lalu
3) Bersyukur sentiasa...

Semoga kita semua bahagia dengan cara kita....

Sunday, May 9, 2010

PERSADA KEGEMILANGAN BAHASA MELAYU....


Berapa ramaikah antara kita yang tahu bahawa bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang penting di rantau Kepulauan Melayu pada suatu ketika dahulu? Bahasa Melayu bukan sahaja dipertuturkan oleh jutaan penduduk di rantau ini, malah ia juga pernah melalui sejarah hidup yang panjang sejak kehadirannya puluhan abad yang lalu.

Jika dibaca penulisan oleh para pengkaji tempatan mahupun pengkaji luar, asal-usul dan perkembangan bahasa Melayu sememangnya menawarkan satu tajuk kajian dan perbincangan yang amat menarik. Hal ini demikian kerana kajian ini berkait rapat bukan sahaja dengan asal-usul bangsa Melayu, tetapi juga sejarah asal usul dan perkembangan tamadun manusia di dunia ini. Bahasa sebagai alat perhubungan dan komunikasi utama antara manusia amat berkait rapat dengan sejarah dan ketamadunan manusia itu sendiri.


Sejak abad ke-2M lagi, bahasa Melayu purba dikatakan telah pun wujud di Champa, Vietnam. Pada abad ke-4M, beberapa prasasti atau batu bersurat dalam bahasa Melayu kuno ditemui di Dong Yen Chau, Teluk Tourane, Vietnam serta beberapa prasasti lagi yang ditemui pada abad ke-7M di Sumatera, Jawa, Seberang Perai, Kedah, selatan Thailand, Filipina, Vietnam dan Kalimantan.
Penemuan prasasti bertarikh 1303M di Kuala Berang, Terengganu yang bentuk tulisan Melayu-jawi serta kata-kata pinjaman bahasa Arab membawa tahap baru dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Ini disusuli penemuan prasasti di antara abad 14-18M di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah, Sumatera, Brunei dan Kalimantan serta manuskrip pada kulit-kulit kambing, gading, kulit kayu, kain dan juga kertas.

Bermula awal abad ke-19, orang-orang barat datang membawa bersama pengaruh bahasa luar dan teknologi moden seperti mesin pencetak dan kapal api. Penerbitan pusat buku, akhbar dan majalah berbahasa Melayu dengan tulisan jawi dan rumi di Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan Singapura, menyumbang kepada bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Banyak sekolah Melayu dibuka. Pembelajaran semakin meluas dalam kalangan penduduk, tidak terhad pada lingkungan istana sahaja. Bahasa Melayu mula mencapai tahap bahasa moden dengan perbendaharaan kata, istilah dan gaya penulisan yang baru. Bahasa Melayu dikatakan bertapak dengan kukuh pada abad ini.

Dengan melihat kepada sejarah hidupnya yang panjang bermula sejak abad ke-2M dan masih wujud sehingga ke hari ini, mustahil bahasa Melayu tidak pernah menjadi bahasa yang penting atau mengecapi kegemilangan dan keagungannya yang tersendiri.

Menurut L.C.Damais dalam bukunya, Etudes Javanaises, bahasa Melayu sejak dari abad ke-8 telah menjadi bahasa yang digunakan di seluruh rantau kepulauan Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan di antara penduduk tempatan dengan bangsa asing. Malah orang-orang Cina ketika berdagang dengan orang Jawa, menggunakan bahasa Melayu bukannya bahasa Jawa.


W.Linehan dalam rencananya, The Earliest Word-list and Dictionaries of Malay Language, sebelum kedatangan Portugis pada awal abad ke-16, telah ada sebuah kamus atau kumpulan perkataan Melayu-Cina yang ditulis dengan huruf kanji. Daftar Kata Figafetta Itali-Melayu, sebuah kamus yang terkenal ditulis pada tahun 1521 ketika Figafetta mengikuti pelayaran Ferdinand Magellan mengelilingi dunia. Dengan bantuan seorang anak kapal berbangsa Melayu, Figafetta yang singgah di Pulau Maluku, telah menyenaraikan 426 perkataan dalam bahasa Melayu dengan terjemahan dalam bahasa Itali dan Inggeris.


Sebuah lagi kamus Melayu yang terkenal di Eropah iaitu Spraeck de Woordboek in de Maleysche en de Madagascar Talen ditulis oleh Cornellius de Houtman, seorang Belanda di antara tahun 1595-1602. Buku ini dicetak berulang kali. Penerbitan 12 buah lagi kamus Melayu oleh bangsa asing dalam tahun-tahun 1603 hingga 1708 telah menunjukkan kepada kita betapa giatnya orang-orang Eropah mempelajari bahasa Melayu.


Kedudukan utama bahasa Melayu ini disokong oleh penulisan-penulisan oleh pegawai, pendita dan ahli sejarah Eropah lain seperti Jan Huyghen van Linschoten dan Francois Valentijn. Memetik catatan Valentijn yang pernah melawat Melaka pada awal abad ke-18:


"Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di negeri-negeri sebelah Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah atau sebagai bahasa lingua-franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita tidak memahaminya, tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada itu, dan di sebelah timurnya sehingga ke Kepulauan Filipina. Jika sekiranya awak tidak mengetahui bahasa ini, awak dianggap sebagai seorang yang tidak terpelajar di Timur..."

Dari sini kita dapat melihat kedudukan penting bahasa Melayu seawal abad 16 hingga 18 di mana bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua-franca atau bahasa perantaraan, bahasa perhubungan dan bahasa perdagangan di seluruh rantau Kepulauan Melayu.

"Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita...."

Monday, May 3, 2010

Nikmat Hidup Yang Tidak Ternilai...



Nikmat dan anugerah yang kita kecapi dalam hidup ini terlalu banyak dan tidak terhitung.

Salah satu daripadanya ialah nikmat kesihatan, iaitu sihat tubuh badan dan fikiran. Dengan kesihatan yang baik, kita dapat melakukan pelbagai perkara dan menjalani kehidupan dengan sempurna sama ada untuk bekerja mahupun melakukan amal ibadat.

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sekiranya kita mengalami masalah kesihatan, sudah pasti rutin seharian akan terganggu dan perlukan pengorbanan yang banyak...

Dalam meniti usia yang hampir mencecah setengah abad ini, adalah amat penting untuk meningkatkan kualiti hidup. Satu aspek yang kesihatan yang perlu diberi perhatian ialah kesihatan tulang yang sering dihadapi oleh golongan yang berusia...

Semoga kita akan terus diberi kesihatan yang baik dan dapat meningkatkan amal ibadat kita serta meneruskan kerja-kerja harian tanpa sebarang masalah...

Bersyukur dan berdoa agar kita terus dilindungi...

Saturday, April 17, 2010

JALAN MENUJU KEJAYAAN

"Tiada jalan pintas untuk menggapai kejayaan..."

Inilah ungkapan yang sering saya ingatkan kepada anak-anak didikku… sebahagian besar daripada mereka sudah mencipta kejayaan gemilangan untuk diri dan keluarga. Harap-harap mereka gemilang dunia dan akhirat.

Dalam dunia yang serba serbi ‘segera’ sekarang ini, ramai juga di antara kita yang ingin mencapai kejayaan segera dengan jalan yang mudah tanpa melalui proses-proses yang melelahkan. Kejayaan segera tidak begitu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri.

Kejayaan yang dicapai sebenarnya bukanlah suatu kebetulan. Hidup kita juga bukanlah suatu permainan silap mata ala-ala David Copperfield, malah masa depan yang cemerlang adalah milik mereka yang mempersiapkan diri untuknya. Kita harus melakukan sesuatu untuk menggapai kejayaan tersebut.

Untuk menggapai kejayaan, kita harus menjalani proses tingkat demi tingkat, umpama mendaki anak tangga. Namun begitu, ramai di antara kita yang tidak sabar menjalani proses tersebut. Kejayaan menuntut banyak pengorbanan. Kadang-kadang kita terpaksa menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga. Kita harus bersedia untuk itu. Kita harus bersedia untuk mengeluarkan keringat malah kita juga harus bersedia untuk menggugurkan airmata.

Jika kita bersedia untuk melakukan sesuatu yang orang lain tidak ingin lakukan, tentu kita akan memperolehi apa yang tidak diperolehi oleh orang lain. Orang-orang yang berjaya bukanlah orang yang luar biasa, mereka hanyalah orang-orang yang mahu melakukan sesuatu (sementara orang lain menolaknya) dan mendapat kejayaan yang luar biasa.

Friday, April 9, 2010

PENSEL & KEHIDUPAN



Rasanya sudah beberapa minggu aku tidak meninggalkan catatan di sini. Bukannya terlalu sibuk, cuma ruang waktu kebelakangan ini tidak begitu mengizinkan... ada perkara lain yang perlu diberi keutamaan....

Aku baru sahaja selesai memeriksa kertas ujian 2. Aku dapati masih ramai murid T3 yang menggunakan pensel untuk menjawab soalan subjektif. Terdetik di hati untuk mencoretkan sesuatu berkait dengan PENSEL. Murid-muridku selalu berkata "takut salah dan susah untuk dipadamkan jika guna pen". Itulah jawapan mereka setiap kali apabila disuruh menggunakan pen.... Berbeza dengan zaman kita bersekolah pada zaman 70-an dahulu... kita sangat teruja untuk 'naik' sekolah menengah, kerana di sekolah menengah nanti barulah kita boleh menggunakan pen sepenuhnya untuk membuat nota atau semasa menjawab soalan....

Sebenarnya, di sepanjang jalan pulang, kita banyak bergantung kepada kebolehupayaan kita melihat sesuatu. Dalam kehidupan ini kalau kita boleh meneladani 5 kualiti yang ada pada PENSEL, kita akan sentiasa berdamai dengan diri, hidup harmoni di dunia dan berjaya mencapai banyak kejayaan dalam kehidupan.

Kualiti pertama : kita berupaya untuk mencapai banyak kejayaan besar dalam kehidupan. Dalam pada itu, jangan sesekali kita lupa akan 'Tuhan' yang membimbing takdir kehidupan kita. Tuhan sentiasa ada untuk membimbing kita dengan rahmat dan kasih sayangNya. Kita boleh merancang perjalanan dalam kehidupan tetapi setiap kali kaki kita melangkah tentu saja dengan keizinanNya. "SEUMPAMA PENSEL, YANG AKAN HANYA MENULIS JIKALAU ADA TANGAN YANG MENGGERAKKANNYA..."

Kualiti kedua : Kini dan pada bila-bila masa pun, sebaik sahaja mata PENSEL tumpul, pensel perlu dipertajamkan dengan menggunakan "sharpener". Kebolehan pensel 'menahan sakit' tatkala sedang ditajamkan, akan menjadikan pensel lebih tajam dan elok penulisannya. Sama seperti perjalanan hidup kita, kebolehan mengharungi dugaan dan cubaan dalam kehidupan akan menjadikan kita seorang insan yang sentiasa lebih baik pada masa hadapan.

Kualiti ketiga : PENSEL sentiasa ada kawan kedua, iaitu "eraser". Eraser akan bertindak segera memadamkan kesalahan yang ada. Hakikatnya, kehidupan ini penuh liku dan simpang. Memperbetulkan keadaan dan memadam kesilapan, bukanlah suatu kesalahan. Semua ini akan memudahkan kita mencari jalan yang lebih lurus dalam kehidupan.

Kualiti keempat : Apa-apa yang menjadikan PENSEL berguna bukanlah kayu luaran yang membentuk rupa wajah pensel, sebaliknya graphite di dalam pensel yang menentukan kualiti tulisan kita sama ada jelas atau tidak untuk dibaca. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memberi tumpuan kepada isian dalaman diri kita. Itulah hakikat yang asas dan paling utama dalam kehidupan.

Akhirnya, kualiti kelima : PENSEL sentiasa meninggalkan catatan terindah yang akan terus kekal untuk dibaca. Begitu juga kehidupan kita nanti... setiap perkara yang kita lakukan pasti meninggalkan bekas dan ingatan. Oleh itu, jadilah insan cemerlang yang meninggalkan tapak gemilang dalam kehidupan yang akan dikenang sampai bila-bila....

...inilah hakikat kehidupan... sekadar mengingatkan diri sendiri.....

Sunday, March 21, 2010

Sungai Buloh & Kenangan (3)




MENGENANG TRAGEDI KILANG MERCUN MELETUP…

Letupan paling kuat dan dahsyat dalam sejarah Malaysia berlaku pada petang Selasa, 7 Mei 1991 di Sungai Buluh, Selangor. Anggaran Masa Letupan ialah pada pukul 3.45 petang yang mengorbankan 26 orang di samping 83 orang yang cedera. Jumlah Kutipan Derma Tabung Bencana dianggarkan sebanyak RM935,688.18

Kekuatan letupan dan kesan kemusnahan yang dihasilkan menyebabkan tragedi itu turut digelar ‘Hiroshima Sungai Buluh’ berikutan ledakan menggegarkan itu diibaratkan seakan-akan peristiwa bom atom dijatuhkan pesawat Amerika ke wilayah Jepun itu semasa Perang Dunia kedua.
Begitulah andaian kesan letupan 200 tan belerang yang berpunca dari sebuah kilang mercun di kawasan itu sehinggakan percikan bunga api dan serpihan bertebaran jauh malah kesan gegaran dirasai sehingga tujuh kilometer dari lokasi tragedi. Bunyinya yang kuat bagaikan letupan bom berkuasa tinggi dan kesan gegarannya memecahkan cermin tingkap rumah di bandar Seri Menjalara dan Selayang, yang terletak kira-kira tujuh kilometer jauhnya dari kilang itu.

Jika kawasan sejauh itu mampu musnah dan rosak, dapatkan anda bayangkan keadaan mangsa yang berada hanya beberapa kaki dari bahan letupan itu ketika ia meletup?


Tragedi kilang mercun itu meninggalkan kesan sejarah besar kepada negara, sekali gus mengubah polisi negara untuk terus mengharamkan sebarang aktiviti mercun termasuk sempena perayaan walaupun sebelum ini dibenarkan malah dihasilkan kilang di negara ini. Cerita tragis itu bermula kira-kira jam 3.45 petang apabila tanpa diduga, secara tiba-tiba saja satu letupan besar terhasil dari satu kawasan di dalam kilang itu. Bukan sekali, letupan kedua seterusnya menyusul kira-kira 10 minit kemudian.

Sengsara itu masih belum berakhir apabila letupan ketiga dan yang paling kuat, berlaku jam 4 petang dan dirasai lebih empat kilometer. Lebih 20 letupan kemudian terus berlaku sehingga kepulan asap yang dipercayai paling dahsyat dalam sejarah negara boleh dilihat dari jarak lapan kilometer. Berpuluh-puluh pekerja yang kebanyakannya baru memulakan sesi tugas petang pada 45 minit sebelum itu kelihatan menyerbu pintu keluar kilang bagi menyelamatkan diri daripada dibakar rentung atau terus hancur akibat letupan berkenaan.

Kekuatan letupan itu memang menakutkan, ia menggegarkan kawasan sekeliling menyebabkan banyak rumah runtuh atau terbakar. Bukan sekadar rumah, beberapa kilang termasuk kilang makanan haiwan, kilang papan dan kilang bahan pewarna makanan yang berada berdekatan turut terbakar. Berpuluh kenderaan termasuk kereta dan motosikal musnah. Letupan itu turut menggemparkan penduduk sekitar termasuk anggota tentera di Kem Tentera Sungai Buluh yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari kilang berkenaan. Keadaan kelam-kabut terus berlaku apabila penduduk dan beberapa pihak yang berada berhampiran kilang melarikan diri bagi mengelak terkena serpihan batu, batang kayu dan besi yang berterbangan akibat letupan itu selain bahang api.

Beberapa pihak yang gagal menyelamatkan diri akhirnya cedera terkena serpihan dan api itu.
Kemalangan jalan raya turut berlaku sewaktu pemandu bergegas menyelamatkan diri ketika kebakaran ini. Seorang wanita cedera di kepala apabila terlanggar sebuah kereta di jalan raya dalam cubaan menyelamatkan diri itu. Selepas letupan demi letupan itu semakin berkurangan, kedengaran raungan kesakitan di mana-mana. Berpuluh-puluh mangsa berlumuran darah merah, manakala ratusan orang ramai mula memenuhi kawasan kejadian untuk mencari sanak-saudara yang dikhuatiri menjadi mangsa tragedi. Wajah cemas dan sugul mengiringi pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan kepada sesiapa saja yang dijumpai untuk mengetahui nasib sanak-saudara masing-masing yang bekerja di kilang berkenaan. Bimbang mereka jika insan disayangi menjadi korban tragedi itu. Tangisan dan raungan semakin kuat kedengaran tatkala melihat keadaan ngeri mangsa yang rentung dan sudah tidak lengkap anggota badan dibawa keluar dari bangunan kilang yang hangus terbakar.

Lapan jentera bomba termasuk dua dari Kem Tentera Sungai Buloh, Wilayah Persekutuan(2), Petaling Jaya (2) dan masing-masing sebuah dari Damansara Utama dan Shah Alam tiba seketika kemudian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamat mangsa.


Lebih 50 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dalam kepayahan lantaran pelbagai masalah timbul. Tekanan air terlalu rendah, pili jauh, api merebak terlalu cepat, angin kencang serta beberapa letupan menghalang tugas memadam dengan lebih mudah. Apabila pasukan bomba tiba, api sudah merebak ke tiga buah rumah berhampiran kilang. Akhirnya pasukan bomba terpaksa menggunakan air yang dibawa sendiri dan selepas bertungkus lumus selama dua jam, mereka akhirnya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain di sekitar kawasan berhampiran.

Sembilan ambulans dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), lima dari Hospital Sungai Buloh berulang alik mengangkut mangsa yang parah untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Keprihatinan orang ramai menyebabkan ada mangsa dibawa ke hospital menggunakan lori dan van dalam keadaan berlumuran darah.

Walaupun kebakaran sudah dipadamkan, anggota bomba tidak dapat meneruskan operasi mencari mangsa dengan mudah kerana khuatir letupan akan kembali berulang berikutan masih ada tiga tempat simpanan letupan bawah tanah di kilang itu. Dua daripada stor simpanan itu sudah meletup dengan meninggalkan kesan seperti kawah sedalam kira-kira enam meter.

Bomba dan pasukan penyelamat lain terus memantau keadaan di tapak kilang itu sehinggalah ke malam. Api menyala semula di beberapa bahagian bangunan itu kira-kira jam 2.30 pagi dan anggota bomba terpaksa menyembur air bagi memadamkannya.
Bagaimanapun, sehingga jam 5 pagi, tiada lagi letupan berlaku.

Sehari selepas letupan, gerakan mencari yang dilakukan bomba menemui 21 mayat yang terbunuh dalam tragedi letupan dan kebakaran kilang mercun di Sungai Buluh itu. Satu daripada mayat itu iaitu seorang ahli kimia dari Hong Kong yang bekerja di kilang itu, rentung. Pemeriksaan awal juga mendapati 83 orang cedera dan dirawat di beberapa buah hospital sekitar Kuala Lumpur. Polis juga menerima aduan mengenai kehilangan enam orang penduduk tempatan. Selain itu, 37 buah rumah dan kilang serta tujuh buah motosikal musnah dalam kejadian ngeri itu.

Polis bagaimanapun mengalami kesukaran mengesan jumlah sebenar pekerja yang hilang dalam letupan itu berikutan majikan tidak mempunyai daftar kehadiran tugas harian dan ada pekerja kilang berhampiran yang cedera atau belum melaporkan diri. Kemudian satu persatu kisah yang terselindung di sebalik tragedi itu mula terbongkar. Kilang mercun dan bunga api itu disahkan beroperasi secara haram sejak 1978 malah ia juga bertindak menyalahi undang-undang apabila menggaji pekerja di bawah umur!

Siasatan juga mendapati kebakaran di kilang mercun itu disahkan berpunca daripada bahagian makmal yang menjalankan kerja-kerja menguji mercun yang siap untuk dipasarkan. Ia berpunca daripada kelalaian pihak kilang yang menjalankan ujian bunga api di luar tempat khas sehingga terkena longgokan simpanan mercun dan bunga api yang terletak berhampiran seterusnya letupan semakin merebak.

Keadaan semakin sukar dikawal ketika kebakaran berlaku kerana tiada usaha awal memadamkan api dan juga peralatan pencegahan kebakaran tidak disediakan secukupnya di kilang itu.
Hari ketiga gerakan mencari mangsa dijalankan, pasukan penyelamat menghadapi ancaman baru berikutan hujan lebat selama sejam kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan berlakunya tindak balas kimia di lokasi letupan sehingga menghasilkan gas beracun.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 200 orang anggota penyelamat diarahkan beredar dari kawasan itu kerana khuatir gas itu memberi kesan kesihatan terhadap mereka di samping mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Bagaimanapun, penyebaran gas beracun itu semakin buruk sehingga menyebabkan lebih 50 anggota pasukan penyelamat dilaporkan mengalami kesukaran bernafas, bengkak dan gatal di muka, tangan dan badan kerana terkena gas beracun itu.

Kemudian operasi diteruskan dengan anggota penyelamat terpaksa mengenakan topeng gas dan pakaian khas. Pasukan penyelamat juga menggunakan dua jentolak bagi membersihkan tapak kilang.
Pada 16 Mei, pihak berkuasa melancarkan ‘Operasi Api Buluh’ untuk membersih dan memindahkan sisa bahan kimia dari kilang berkenaan. Dalam operasi itulah, petugas menjumpai beberapa lagi mayat dalam keadaan yang mengerikan, iaitu hangus terbakar sehingga menjadi rangka dan tengkorak di kawasan letupan dan jumlah mangsa terkorban dalam tragedi itu meningkat kepada 26 orang.

Walaupun sudah beberapa hari berlalu, gas toksid masih tidak menghilang, malah semakin merebak kepada penduduk berhampiran. Tujuh anggota penyelamat turut pengsan selepas tersedut gas itu.
Keadaan semakin bahaya apabila walaupun sudah masuk hari ke-11, masih terdapat bara api yang muncul di tapak letupan itu tetapi ia berjaya dikawal oleh pihak berkuasa yang segera memadamkannya.

... ketika tragedi itu hangat diperkatakan, terdengar desas-desus bahawa kilang mercun Bright Sparklers, Sg Buloh. yang beroperasi secara haram ini milik VVIP negara suatu ketika dahulu. Sejauh manakah kebenarannya….

Wednesday, March 17, 2010

Sungai Buloh & Kenangan (2)


Kusta & Pusat Kawalan Kusta Negara....

84 tahun yang lalu, di lembah Bukit Lagong, Sungai Buloh, Selangor , sekumpulan masyarakat Melayu, Cina, India dan Eurasians telah menjadi sebahagian daripada penghuni di sini...

`Valley of Hope’ atau penempatan pesakit kusta ini mula ditubuhkan pada tahun 1926 di atas tanah seluas 500 ekar. Tujuannya adalah untuk mengasingkan pesakit-pesakit kusta daripada masyarakat sepanjang mereka mendapat rawatan di sini.

Menurut Wikipedia, penyakit kusta atau juga dikenali sebagai penyakit Hansen, merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan Mycobacterium leprae. Nama penyakit Hansen datang daripada orang yang menjumpai Mycobacterium leprae, G. A. Hansen. Pengidap penyakit Hansen biasanya dipanggil pesakit kusta atau dalam bahasa Inggeris lepers, walaupun penggunaan istilah lepers semakin ditinggalkan kerana jumlah pesakit yang berkurangan dan sebagai mengelak stigma buruk yang dikaitkan dengan pesakit kusta.

Kusta dahulunya tidak dapat diubati dan amat mencacatkan. Pesakit kusta akan disingkir dan dikurung di penempatan kusta. Pada masa kini, kusta mudah dirawat dengan menggunakan terapi pelbagai antibiotik. Selain manusia, haiwan lain yang diketahui mengidap kusta adalah armadillo.

Penyakit ini disebabkan oleh basilus yang membiak amat perlahan dan kebanyakkannya menjejaskan kulit, saraf, dan membran mukus. Organisma ini tidak pernah dibiakkan dalam media bakteriologi atau kultur sel, tetapi telah dibiakkan dalam tapak kaki tikus.

Kaedah penularan kusta kekal tidak jelas. Kebanyakan penyiasat beranggapan bahawa M. leprae disebarkan dari seseorang kepada seseorang dalam titisan pernafasan. Apa yang diketahui, kadar penularan adalah amat perlahan.

Penyakit jangkitan kronik ini biasanya memberi kesan kepada kulit dan saraf pinggir tetapi mempunyai manifastasi klinikal yang luas. Pesakit dikelaskan sebagai mempunyai penyakit kusta pausibakilari atau multibakilari. Penyakit pausibakilari adalah serdehana dan bercirikan satu atau lebih makules kulit hipopigment. Penyakit kusta multibakilari dikaitkan dengan lesion kulit sekata, nodule, lendir (plaques), kulit menebal, dan peningkatan lendir hidung menyebabkan hidung tersumbat dan epistaxis (hidung berdarah).

Sg Buloh merupakan pusat penempatan pesakit kusta atau Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang terbesar di tanah jajahan British sejak penubuhannya pada tahun 1926, dan yang kedua besarnya di dunia. Pusat ini dilengkapi kemudahan asas yang terancang berdasarkan 'garden city', yang merupakan projek 'pioneer' bagi memulihkan pesakit kusta dan melatih mereka berdikari...

Dengan penemuan ubatan dan perawatan penyakit ini, pesakit-pesakit kini tidak lagi perlu terasing daripada masyarakat. Lalu fungsi pusat rawatan ini telah dinaiktarafkan menjadi Hospital Daerah pada tahun 1971, dengan panggilan Hospital Daerah Sungai Buloh.

Semenjak tahun 1971 sehingga awal 2000, penambahbaikan telah dilaksanakan terhadap wad-wad utama di bahagian barat Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) ini. Namun begitu, wad-wad di bahagian timur masih kekal wujud sebagaimana awal penubuhannya. Selepas pembukaan Hospital Sungai Buloh yang baru pada September 2006, PKKN sudah tidak berfungsi sebagai Hospital Daerah lagi. Yang tinggal di wad-wad PKKN sekarang hanyalah pesakit HIV / AIDS, pesakit kusta dan bekas pesakit kusta.

Hari ini, PKKN sudah berfungsi sebagai `step down hospital’ untuk membantu Hospital Sungai Buloh yang baru, iaitu bagi rawatan pesakit selepas fasa acute. Demi menjayakan fungsi ini sebagai `step down hospital’ atau `extended care facility’, Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan bersetuju untuk melaksanakan pembangunan secara terancang ini dalam Rancangan Malaysia Ke9. Antara komponen-komponen projek RMK-9 yang dirancangkan ialah: merekabentuk, membina dan menyiapkan kompleks kediaman bekas pesakit kusta.

PKKN ini merupakan warisan sejarah negara. Meskipun pembangunan akan dilaksanakan, pihak Kementerian akan berusaha sedaya mungkin mengekalkan keunikan pusat ini kerana Pusat Kawalan Kusta Negara Malaysia di sini merupakan satu-satunya Pusat Kawalan Kusta di rantau ini.

Sehingga tahun 2009, bilangan penghuni pesakit dan bekas pesakit kusta di sini semakin berkurangan, iaitu daripada 398 orang pada tahun 2002 kepada 268 orang sekarang. Daripada bilangan 268 ini, seramai 129 orang di tempatkan di chalet PKKN, dan selebihnya dirawat di wad PKKN. Dari sudut pecahan bangsa, terdapat seramai 28 orang berbangsa Melayu, 233 orang berbangsa cina dan hanya 7 orang berbangsa India. Antara kemudahan yang disediakan untuk pesakit ialah plot-plot tanah di laman chalet pesakit untuk menjalankan aktiviti rehabilitasi, iaitu `Nursery Flower Growing’ untuk sumber pendapatan mereka.

Mereka yang berada di sini sebenarnya sudah sembuh sepenuhnya daripada penyakit kusta. Mereka sebenarnya sudah boleh pulang ke pangkuan keluarga dan masyarakat, tetapi dek stigma yang ada pada masyarakat dan diri pesakit yang merasa inferior, maka mereka terus kekal di sini sehingga akhir hayat mereka.

Sejak penubuhannya pada 1926, Sg Buloh merupakan pusat penempatan pesakit kusta yang terbesar di tanah jajahan British dan ramai yang tidak tahu bahawa pusat ini adalah satu-satunya kawasan yang mempunyai mata wang sendiri pada sekitar 1930-an, setelah wujud kebimbangan orang ramai bahawa akan berlaku jangkitan akibat sentuhan penghidap kusta

Kini, Sungai Buloh lebih dikenali sebagai tempat bekalan pokok bunga dan pokok hiasan berbanding dengan pusat kawalan kusta pada suatu ketika dahulu….

... entri seterusnya ... tragedi kilang mercun meletup....

Tuesday, March 16, 2010

Sungai Buloh & Kenangan... (1)



Hujung minggu lepas, 2 hari berturut-turut 13 & 14 Mac, kami ke Sg Buluh. Bukan untuk membeli bunga di 'nurseries' yg memang tersohor di situ... bukan juga untuk melawat sahabat handai atau kaum keluarga yang dirawat di hospital..., tetapi kami ke Sg Buloh atas urusan keluarga....

Tempat kami berkumpul sebelum ke destinasi seterusnya adalah di hadapan Hospital Sungai Buloh. Agak lama juga menanti.... Sambil menunggu ahli keluarga yang lain tiba, saya dan suami meninjau ke kawasan berhampiran. Terdetik di hati, jika ada kesempatan, saya akan rakamkan kenangan di Sg Buloh ini dalam 'SEPANJANG JALAN PULANG...".

(sebelum itu, saya memohon maaf kepada pengunjung blog ini sekiranya terdapat fakta yang kurang tepat, yang tertulis tanpa saya sedar mengenai Sg Buloh...)

Sungai Buloh merupakan salah satu mukim yang terletak di antara sempadan Petaling dengan Gombak, dan terletak lebih kurang 26 km dari Bandaraya Kuala Lumpur arah utara yang mengambil masa antara 20 - 25 minit perjalanan dari Kuala Lumpur.

Sungai Buloh boleh diakses melalui Jalan Kepong-Sungai Buloh dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menyusuri laluan keluar plaza tol Sungai Buloh ke arah Kuala Selangor. Sekiranya memandu dari Bandaraya Shah Alam melalui Guthrie Corridor Expressway, boleh keluar melalui plaza tol Elmina arah Utara. Sungai Buloh berada di bawah pentadbiran Majlis Bandar raya Shah Alam.

Kini, Sungai Buloh mempunyai sebuah hospital yang moden, yang dulunya terkenal sebagai Pusat Kawalan Kusta Negara serta perusahaan tanaman bunga hiasan. Memandu ke arah utara , satu lagi penempatan transit paling terkenal, ialah Penjara Sungai Buloh yang mempunyai banyak sejarah. Hutan Simpan Sungai Buloh yang diwartakan pada tahun 1898, merupakan hutan simpan yang tertua di Malaysia.

Dulu-dulu, masih saya ingat, sebut sahaja Sg Buloh, pasti akan tergambar dalam minda... tempat pesakit kusta... kemudian tempat menjual pokok2 bunga... selepas tahun 1990-an pula, tempat berlakunya tragedi ngeri letupan kilang bunga api. Kini, Sg Buloh semakin pesat membangun dengan pelbagai kemudahan moden, termasuk kawasan penempatan elit dan sekolah antarabangsa.....

Kunjungan ke Sg Buloh hujung minggu lepas merupakan kunjungan kami yang keempat. Biasanya kami hanya melewati lebuh raya PLUS untuk ke destinasi nun jauh ke utara. Kali pertama kami ke Sg Buloh adalah pada awal tahun 1990-an. Kami ke rumah seorang sahabat karib sejak zaman sekolah lagi... Noorliza & Azmi. Ketika itu, mereka menetap di Kg Melayu Sg Buloh. Beberapa tahun selepas itu, sekali lagi kami ke rumah Za yang telah berpindah ke Kg Kubu Gajah, Sg Buloh.

1998, kami ke rumah bekas Pengetua SMKTM, Tn Hj Abu Bakar Ismail, di Kg Kubu Gajah juga. Beliau kemudiannya telah berpindah ke Taman Tasik Puteri, Rawang setelah tapak rumahnya terlibat dengan projek pembinaan lebuh raya....

Hujung minggu lepas sekali lagi kami berada di Sungai Buloh untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara kami, Abdul Muiz dengan cinta hatinya, Anum di Kg Sri Indah, Sg Buloh...

Nampaknya Sg Buloh kian dekat di hati keluarga kami....

.... entri seterusnya... Sungai Buloh & Kusta....

Wednesday, February 24, 2010

Rindunya akan kampung halamanku .....


Sudah agak lama aku tidak pulang menjenguk kampung halamanku. Hampir 4 purnama berganti hari, siang dan malam....

Sepanjang bulan November / Disember, walaupun pada musim libur yang panjang, tugas yang menghambat hari-hari sunyiku tidak mengizinkan aku untuk pulang ke kampung. Tambahan lagi, sepanjang dua bulan kebelakangan ini, aku pula banyak menghabiskan hujung mingguku di kota raya KL.

Esok kami bercadang untuk balik ke kampung.... Kampungku di Kota Jelasin @ Wakaf Sena, KB dan kampung mertuaku di Batang Merbau, Tanah Merah. Jumaat merupakan cuti umum sempena Maulidur Rasul.... dan aku memohon CRK pada hari Isnin. Dapatlah aku berlibur beberapa hari di negeri kelahiranku...

Kampung halaman adalah bingkai kenangan dan harapan yang tidak pernah usang. Selalu kuat menahan erat gambar rangkaian perjalanan kehidupan. Betapa jauh sekalipun seseorang itu merantau, di sudut hati pasti akan kembali ke kampung halaman jua. Seolah-olah telah terpikat dan tidak bisa melompat, memudar hasrat.

Kembali ke kampung halaman, mengimbau memori kala bersama leluhurku yang makin hari kian jauh meninggalkan dunia yang fana ini.... Ah... rindunya aku ... Che Yusof, Mok Lijah, Che Daud....Papa, Mama, Mek dan semua yang sentiasa dekat di hatiku....

Terpahat dalam memori, rakan-rakan sepermainan.... sama-sama berlari meniti permatang sawah, menangkap belalang kala musim menuai sudah berakhir... bermain bola 'kaki tiga' dan 'bola wa' dengan penuh gaya... berkejaran bermain 'to jail'. Sering kali juga bersama Noni menyusuri tali air melihat Pakcik menjala ikan atau menangguk udang.... entah di mana mereka sekarang....

Sesekali pulang ke kampung, teringat akan sepat dan puyu yang digoreng garing oleh Mama, di makan dengan nasi panas berasap... tapi kini, hanya tinggal kenangan .... sepat dan puyu sudah kian pupus, tidak seperti zaman kanak-kanakku dahulu....

Di antara kota yang telah menjadi saksi perjalanan kisah, kampung halaman akan tetap ramah untuk menumpahkan kerinduan yang indah. Meski hanya sesekali dijengok, tetapi kampung halaman takkan merengek. Kampung halaman tetap menanti kita kembali, untuk diinjak, meski hanya berpuluh hentakan kaki.

Pulang ke desa kelahiranku, sesekali terasa ingin berlari tanpa alas kaki di atas tali air atau di sepanjang permatang sawah. Tersenyum pada awan biru yang terhias kepakan sayap merpati, nuri dan sejenisnya. Bukankah kedamaian ada di sini, di hati yang berbisik mesra pada hembusan angin,

“Tuhan betapa indah dunia-Mu.”

Lalu rasa lelah pun dibasuh, dengan air jernih yang masih tersisa. Di sana, di kampung halaman.

Thursday, February 18, 2010

Indahnya Persahabatan

Hari ini sekali lagi, terdetik di hati untuk menulis sesuatu tentang SAHABAT. Pertemuan yang baru berlalu Isnin lepas, mengingatkan saya akan beberapa episod perjalanan hidup berhubung dengan SAHABAT...

Sesungguhnya, kerinduan menjadi sebahagian daripada kehidupan bersahabat. Pertemuan lepas, walaupun hanya untuk seketika, cukup untuk meleraikan rindu yang sekian lama sarat di hati...rindu seorang SAHABAT...

Apa yang kita lalui demi SAHABAT, kadang-kadang menyeronokkan, kadang-kadang melelahkan, dan kadang-kadang menjengkelkan… tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah. Persahabatan sering berdepan dengan dugaan @ ujian, tetapi persahabatan sejati pasti dapat mengatasi setiap dugaan yang mendatang, bahkan menjadikannya bertambah mekar dan keharumannya mewangi di sepanjang perjalanan hidup kita...

Persahabatan tidak terjalin secara sendirinya. Persahabatan memerlukan proses yang panjang, ibarat besi menajamkan besi, demikianlah sahabat menajamkan sahabatnya. Persahabatan diwarnai dengan pelbagai pengalaman suka dan duka, dihibur-disakiti, diperhatikan-dikecewakan, didengar-diabaikan, dibantu-ditolak...namun, semua ini tidak pernah sengaja dilakukan dengan tujuan kebencian.

Sepanjang perjalanan kehidupan ini, teman-teman datang silih berganti, namun begitu bukan mudah untuk kita tahu huluran persahabatan sejati. Saat air mata berguguran dan masalah muncul menjenguk diri, saat itu sesiapa yang ada bersama, itulah sahabat sejati.

Marilah sama-samalah kita renung dan hayati indahnya erti persahabatan dari pandangan mata hati Sdr. Khalil Gibran dalam sajaknya : SAJAK PERSAHABATAN,

".... Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih dan dia pulalah naungan dan pendianganmu kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian...

...bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.
dan bilamana dia diam, hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan

Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita; kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

...dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan. Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya,
bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan. dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu. Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.

Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu? Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu! Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.

...dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan...Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan......"


Sesungguhnya, bukan mudah untuk seseorang yang asing sanggup untuk bersusah dan bersenang dengan kita; persahabatan dihulur tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran, bukan juga kerana status yang dipegang, kadang-kala itu menyukarkan kita untuk mengenali siapa sahabat dan siapa teman. Banyak juga orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianat sahabat sendiri... sahabat, kadang-kadang sukar ditelah...

Sahabat semua, biar badai menerajang, biar gempa menghadang...pastikan persahabatan antara kita tetap kukuh di hati... dan tidak bisa dikalahkan hanya dengan keegoan diri....

Tuesday, February 16, 2010

Dulu & Sekarang... setelah 25 tahun berlalu...






Pertemuan selepas 25 tahun meninggalkan Jabatan Pengajian Melayu, UM ... memberi 1000 makna.....

Semoga kita semua diberi kesempatan untuk berkumpul lagi pada masa akan datang....

Terima kasih Ina, Zana & Jamal... serta semua yang hadir...

Sunday, February 14, 2010

Lembah Pantai Menggamit Memori



Esok 15 FEBRUARI 2010, buat ulung kalinya selepas 25 tahun berpisah, satu majlis santai 'reunion' akan di adakan di Dewan Muruh, Kolej Kediaman Ke-10, UM. Idea untuk mengadakan majlis ini sebenarnya sudah lama timbul, cuma 2 bulan lepas Puan Zarina Zainol Abidin (yang bertugas di UM) mengambil tanggungjawab untuk merealisasikannya. Dengan inisiatif beberapa orang rakan lagi, insyaallah majlis reunion ini akan menjadi kenyataan esok...!

Majlis ini sangat signifikan bagi semua bekas penutut Jabatan Pengajian Melayu @ Budaya 1982/1985 kerana 'reunion' ini akan mengembalikan nostalgia lama semasa mengharungi suka duka menjadi penghuni kampus biru ini. Perjumpaan ini juga diharapkan dapat mengeratkan semula silaturahim yang sudah kian jauh....

Dengar khabar, pertemuan kali ini tidaklah besar, tetapi sudah cukup membuatkan hati saya tidak sabar dan berdebar-debar. Jika sebelum ini kami hanya berhubung melalui telefon @ fb dan hanya menatap foto-foto kenangan yang berusia lebih 25 tahun... hati bertanya, bagaimanakah suasana pertemuan pada hari esok...?

Yang akan hadir nanti bukan sahaja dari kalangan rakan-rakan yang menetap di Lembah Kelang, tetapi ada yang datang dari jauh... dari Kedah, Kota Bharu, Batu Pahat, Kluang, Kuala Terengganu, Kuantan dan lain-lain tempat semata-mata untuk bertemu kembali teman-teman lama yang sama-sama menghuni kampus biru di Lembah Pantai. Walaupun tidak semua yang dijemput dapat hadir esok, tetapi jumlah 15 hingga 20 orang yang bakal hadir untuk perjumpaan selama 3 - 4 jam adalah suatu kejayaan bagi saya...pertemuan pertama kali selepas 25 tahun...

Barangkali ada dalam kalangan teman-teman yang tidak pernah menjejakkan kaki di Lembah Pantai ini selepas graduate pada tahun 1985... Kembali semula ke sini esok, hati pasti berbicara sendiri...menggamit nostalgia silam...

Saturday, February 13, 2010

Raya Cina.... Cina Kelantan @ Teluk Kandis - Pendek...



Tidak jauh dari rumah saya di
Kg Kota, terdapat beberapa petempatan masyarakat Cina yang lebih dikenali sebagai Cina kampung. Penempatan ini letaknya di Kg Teluk Kandis dan di Kg Pendek. Ada antara anak-anak mereka yang sebaya dengan kami dan menjadi rakan baik semasa bersekolah. 2 orang sahabat yang nama mereka masih dalam ingatan ialah WEE SAW LAN dan KANG GET NEE.

Saw Lan, tinggal di Kg Pendek, Jalan Salor, KB (merupakan kawan baik kakak saya), kami sama-sama belajar hingga ke menengah atas, dan sama-sama ‘graduate’ pada tahun 1985 di UM.

Get Nee pula yang dikenali sebagai ‘Ani’ di kampungnya merupakan rakan sekelas saya semasa di sekolah menengah rendah. Sudah ebih 30 tahun lamanya kami terpisah. Selepas LCE saya meneruskan persekolahan di SIC dan Get Nee kekal di SMK Kota.

Get Nee tinggal di Kg Teluk Kandis. Kami selalu berbasikal untuk ke rumah Get Nee, melalui lorong berbatu kecil (kini sudah bertar) menghala ke tebing Sungai Kelantan. Lorong ni hanya muat sebuah kereta dan tidak boleh berselisih. Dari jalan utama, iaitu Jalan Salor, lebih kurang 400 meter ke dalam, kita akan sampai ke sebuah perkampungan masyarakat Cina, yang kami kenali sebagai Cina kampung…

Salah seorang penghuni keturunan Cina di sini, yang kami kenali dengan nama Melayunya 'Mek Ngo', mempunyai hubungan yang agak rapat dengan keluarga saya. Mek Ngo merupakan seorang peraih di Pasar Besar Kota Bharu. Mek Ngo sudah agak berumur pada masa saya masih bersekolah. Setiap hari dia akan berulang-alik ke KB dengan teksi/ beca roda tiga. Masih jelas tergambar dalam ingatan senyuman Mek Ngo yang manis, setiap kali teksi yang ditumpangi Mek Ngo lalu di depan rumah kami. Biasanya teksi tersebut sarat dengan barangan yang akan dijual di pasar Kota Bharu nanti.

Apabila tiba Hari Raya Cina, saya bersama beberapa orang kawan sekelas akan berbasikal ramai-ramai ke rumah Get Nee. Kami mengambil masa selama lebih kurang 20 - 30 minit untuk sampai ke destinasi. Sekarang, jika menaiki kenderaan bermotor, dalam masa kurang daripada 10 minit sampailah kita ke Teluk Kandis. Lebih 30 tahun dulu, jalan raya tidaklah sesibuk sekarang. Di rumahnya, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan kering, buah limau mandarin dan air oren atau sarsi atau lemonade atau ice cream soda di dalam botol (botol warna hitam seperti botol kicap). [Dulu, di rumah kami sendiri pun, hidangan air dalam botol seumpama ini, juga menjadi kemestian semasa hari raya]. Kami akan diberi ‘ang pau’ sebelum beredar pulang.

Sebenarnya, kaum Cina di Kelantan terbahagi kepada dua golongan, iaitu Cina Peranakan dan Cina Bandar. Orang Melayu memanggil golongan Cina Peranakan sebagai Cina kampung, Cina Kelantan atau Orang Cina kita. Bagi golongan Cina yang tinggal di bandar, mereka dipanggil Cina benua atau Cina Bandar.

Bagi saya, Mek Ngo, ‘Mek Yah’ dan ‘Ani’ mewakili masyarakat Cina kampung yang mengamalkan budaya Melayu. Dulu, mereka bercakap dialek Kelantan sesama sendiri, bercucuk tanam, berbual di anjung rumah, memakai kain pelikat bagi lelaki, dan memakai kain batik bagi kaum wanita. Ada juga yang berkelubung kepala jika keluar rumah. Cina Peranakan ini juga makan budu dan ulam-ulaman. Mereka juga menggunakan nama Melayu, seperti Che Husin, Che Hassan, Mek Su dan nama-nama lain yang mencerminkan proses asimilasi telah merubah dan membentuk budaya tersendiri dalam kalangan masyarakat tempatan.

Walau bagaimanapun, mereka tetap mengamalkan budaya mereka sendiri ketika berada di dalam rumah. Mereka masih lagi mengekalkan budaya Cina seperti sembahyang, adat perkahwinan dan juga upacara pengkebumian.

Dulu, bila berkunjung ke perkampungan masyarakat Cina kampung di Kg Teluk Kandis atau di Kg Pendek, (banyak lagi tempat lain di Kelantan sebenarnya) kita akan dapat melihat senibina rumah asal Cina yang amat unik dan menarik. Rekabentuk, jenis kayu, malah ukiran yang dipahatkan adalah seni Melayu, cuma tulisan kaligrafi Cina yang mempunyai ciri ke”Cina”an menghiasi ruang tamu dan anjung. Namun begitu, kini, kesenian dan kehalusan senibina rasanya sudah tidak ada lagi kerana kebanyakan rumah sudah dibina semula dengan rekabentuk moden.

Terdapat kajian yang mengatakan bahawa orang Cina mempunyai petempatan awal di Pulai, Gua Musang. Semasa menutut di UM dulu, dalam kuliah Sejarah Malaysia, Prof Khoo Kay Kim pernah mengatakan bahawa generasi pertama yang datang ke Tanah Melayu bermula di Kelantan dan bukannya di Melaka. Buktinya, terdapat sebuah patung lama - Ma Chor Bew di tokong Sui Yek Khong di Pulai, Gua Musang. Patung ini yang dikesan berasal dari zaman Dinasti Ming yang memerintah Negeri China antara 1368 sehingga 1644.

Di Kelantan sahaja, terdapat 24 tokong dengan tokong tertua berusia 600 tahun dikesan di Kampung Pulai, Gua Musang dan tokong yang berusia 300 tahun di Kampung Tokong, Kemubu (kampung adik ipar saya… Sahazali Awang Deraman...) Sehingga kini, masyarakat Cina kampung di Kg Tokong masih kekal mengamalkan budaya Melayu dan mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat setempat.

Walau bagaimanapun, dalam mengharungi arus pemodenan hari ini, generasi baru sekarang sudah semakin jauh dengan amalan generasi terdahulu, tidak kira sama ada masyarat Cina kampung atau masyarakat Melayu sendiri.

Anak-anak muda sekarang sudah tidak lagi suka pakai kain pelikat atau makan sireh…!